Thursday, 25 February 2010

Sebelum Asar, Dia Bercerita tentang Jesus

“Dulu, masa di sekolah, aku pernah menjadi kepala dalam Persatuan Pelajar Kristian,” dia kata. Matanya yang separa bundar, separa galak, kelihatan redup.
Gua menadah telinga.
“Dua tahun aku menjadi kepala dalam kumpulan itu. Banyak aktiviti yang aku rancangkan. Semua mengikut kata-kataku. Semua orang memuji aku sebagai pengikut Jesus yang taat,” dia kata lagi.
“Kau tahu..” dia tanya.
“Apa?” gua pula bertanya.
“Semua kawanku kata aku akan menjadi seorang sisters suatu hari nanti. Hidup sepenuhnya di bawah bumbung gereja. Membawa mesej kasih sayang Jesus ke setiap pelusuk,” dia kata. Mata dia kelihatan semakin redup, seperti ada sesuatu yang tertanggung untuk suatu masa yang agak lama.
“Bapakku…bapakku orang yang paling gembira tentunya. Melihat anak perempuan sulungnya menjadi seorang pengikut Jesus yang baik,: dia kata lagi.

“Dulu, kau pernah membawa sebuah bible dan tunjukkan padaku. Kau tanyakan aku tentang Allah yang terdapat dalam bible itu,” dia seperti memanggil peristiwa yang telah pergi.
Gua termanggu-manggu, cuba meningatkan kembali.
“Kau sudah lupa?” dia tanya.
Gua diam. Memang gua sudah lupa.
“Jadi, apa jawapanmu bila aku tanya tentang Allah yang terdapat dalam Bible itu?” gua tanya.
Dia tersenyum, sangat tawar.
“Aku sangat ego ketika itu. Allah ketika itu hanyalah bapa kepada Jesus, seorang manusia yang kononnya diutuskan untuk menebus dosa-dosa seluruh umat manusia,” dia kata.
“Dan engkau bilang, kalau kau mau tahu Allah yang sebenar, bukalah terjemahan al-Quran, cari surah al-Ikhlas. Siapa Allah, jawapannya akan ada di situ,” dia kata lagi.
Gua senyum. Peristiwa pertanyaan gua bertanyakan dia tentang Allah, muncul semula dalam kepala gua.

Kemudian, gua diam. Dia pun diam. Hanya angin panas musim el nino yang wujud di sekeliling dia dan gua.

“Aku dulu petah memberi khutbah di gereja. Isi Bible ada dalam kepalaku,” dia kata lagi.
“Dan aku juga pandai menjadi perancang misa di sana, di gereja tentunya,” dia sambung lagi.
Gua terbayang : Dia sedang sibuk mengepalai suatu upacara suci di dalam dewan sebuah gereja. Ada salib besar di sana. Ada pula lagu-lagu suci yang menyelit masuk. Lagu-lagu yang memuji Jesus.
Dan dia kata, dia sangat faham untuk memilih lagu-lagu itu.

“Rosari…kau tau apa itu rosari?” dia tanya.
Gua geleng kepala.
“Islam memanggilnya sebagai zikir,” dia kata.
“Dalam banyak-banyak upacara spiritual, rosari inilah yang paling susah. Perlu dihafal. Dan tidak semua yang mampu menguasainya. Tapi aku, aku mampu melakukannya. Semuanya kerana rasa kasihku kepada Jesus,” dia kata lagi.
“Doa-doa Kristian semuanya tersimpan dalam kepalaku.”

Tiba-tiba dia bangun. Melihat-lihat jam di tangannya.
“Kau mahu ke mana?” gua tanya.
“Solat Asar. Kau sudah solat?” dia jawab dan dia bertanya.
“Belum,” kata gua.
Dia senyum dan berkata, “Tak baik melewat-lewatkan waktu untuk berjumpa dengan Kekasih.”

Selepas membetul-betulkan tudungnya, dia berlalu, menuju ke sebuah surau di hujung sebuah bangunan.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...