Pagi hari Jumaat. Embun pun masih basah di rumput dan di lalang.
Sejak awal pagi, dia sudah berada di bendang. Ayah dia pak tani. Maka dia harus menjadi seorang anak kepada pak tani. Selut di bendang ialah mainannya. Air bendang yang masam ialah mainannya. Segala jenis lintah ialah alat mainannya.
Dia ke bendang dengan hanya beralaskan nasi dingin lebihan semalam.
Menjadi anak kepada seorang yang mengais rezeki di bendang menjadikannya seorang anak yang menumpahkan rasa belas kepada ayahnya. Ayahnya tidak pernah meminta dia berada di bendang, bermain dengan selut dan lumpur. Tapi jiwa dan rasa seorang anak ialah anugerah Tuhan yang paling bernilai. Dia harus berada bersama dengan ayahnya di bendang. Membantunya mengais rezeki.
Pagi itu, ayahnya membajak sawah. Maka dia juga harus membajak sawah. Menumpahkan segala keringat di bendang. Dia sangat puas kerana, itu ialah alam ayahnya dan dia turut sama merasai alam tersebut.
“Kamu pulanglah dulu, hari sudah tinggi. Panas di sini,” kata ayah kepada dia. Kasih seorang ayah…tidak mahu anaknya dibakar panas matahari.
“Banyak lagi, tentu ayah penat mengerjakannya seorang diri,” kata dia. Kata-kata seorang anak yang sangat kasih akan ayahnya. Seorang anak yang tidak mahu ayahnya berpanas sendirian mengerjakan sawah yang tidak seluas mana.
“Tak apa, kamu balik dulu. Panas ni,” kata ayah dia lagi.
Dia melangkah perlahan-lahan. Pulang. Sambil berjalan, dia sempat melemparkan pandangan kepada susuk tubuh ayahnya di tengah bendang.
Dia mendongak. Matahari semakin tinggi. Hawa semakin membahang.
Tenaga dan keringat yang ditumpahkan di bendang sebentar tadi, menjadikannya sangat lapar. Sangat lapar.
Sesampai di rumah, dia terus menuju ke dapur. Kakinya masih berselut. Tangannya masih berselut. Di rambutnya ada selut.
Dan dia berasa sangat lapar.
Dia membuka tutup saji. Ada nasi. Nasi sahaja tanpa lauk. Dia mencari-cari kalau-kalau ada lauk. Tapi dia hanya mencari sahaja, lauknya memang tiada.
Dia keluar dari dapur, menuju ke bawah rumah. Terbongkok-bongkok mencari-cari nasibnya di situ. Dia hanya berharap agar adalah sebiji dua telur ayam yang boleh digoreng untuk dijadikan lauk. Tapi dia tak berjumpa apa-apa. Kosong, tiada apa-apa.
Dia naik ke rumah dan menuju ke dapur. Melihat nasi kosong tanpa ada apa-apa lauk.
“Tak apalah, nasi kosong sahaja,” kata dia.
Dia menyuapkan nasi kosong itu ke dalam mulutnya. Bau selut yang datang dari tangan, dari kaki, dan dari rambutnya bercampur gaul dengan aroma nasi kosong.
Dia menyuap dan menelan nasi kosong itu, satu satu. Hinggalah suapan yang seterusnya, dia tidak mampu lagi untuk menelannya. Sangat kosong nasi itu. Tiada rasa apa-apa. Dia berhenti menyuap. Bukan dia tidak bersyukur dengan nasi kosong itu, jauh sekali merintih sedih kerana hanya ada nasi kosong. Tidak sama sekali.
Di atas para-para, terdapat bekas berisi garam. Dia ambil semangkuk air. Garam dikacau sehingga larut. Air garam itu dia jiruskan di atas nasi kosong itu.
“Biar ada sedikit rasa,” kata dia dalam hati.
Dan dia makan nasi yang disiram air garam itu sehingga habis. Air garam sahaja. Tanpa lauk, tanpa ada apa-apa.
“Tuhan, kalaulah ini rezeki yang Engkau anugerahkan kepada aku, aku amat bersyukur,” kata dia dalam hati.
Dia kemudiannya bersandar di penjuru rumah. Dia merenung pinggang kosong yang sebentar tadi berisi dengan nasi kosong yang bersiram air garam.
Pinggang itu kosong. Nasi yang dijamahnya sebentar tadi juga kosong. Tapi jiwa dia tidak kosong. Dia memang miskin kerana ayahnya hanyalah petani yang tidak punya apa-apa. Tapi dia sentiasa percaya, kemiskinan bukanlah untuk diwarisi. Dia harus keluar dari lingkaran kemiskinan itu. Dia tak mahu ayahnya menghabiskan sisa umurnya di bendang.
Sambil bersandar, dia teringat-ingat akan nota-nota yang terpaksa disalinnya sendiri. Untuk mendapatkan sebuah buku rujukan baginya, umpama meniti di atas bendang sawah padi yang sangat kecil. Lunyai dan berselut.
Dia terus bersandar di penjuru rumah. Kemudian merebahkan badan untuk membebaskan lelah yang terperangkap.
Dia memejamkan matanya.
Matanya terpejam, hatinya tetap dibuka.
Matahari semakin tinggi. Hawa semakin panas. Sebentar lagi ayahnya akan pulang.
Dedikasi untuk Cikgu Mat Daud Ibrahim
Smk Sandakan 1998-2002
Siri percakapan daripada seorang manusia kecil, Dihimpun sesuka hati dia. Dia belasah apa-apa sahaja. Dia memuji apa-apa sahaja. Dia memaki apa-apa sahaja. Kadang menjadi seorang rebel. Kadang-kadang menjadi seorang romantikalasofa. Kadang-kadang bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan. Kadang-kadang bercita-cita menjadi Tok Peran dalam Makyung.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.
D an. Hujan. Pun. Gugur. Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan. Bi...

-
Keling. ini istilah yang digunakan oleh orang-orang MELAYU. Sejak zaman-berzaman istilah itulah yang digunakan untuk merujuk kepada sekelom...
-
Merenung langit memang tak ada apa-apa. Langit malam memang kelam. Lu tak akan nampak apa-apa. Tapi di beberapa lapisan langit ada rahsia Tu...
-
Gua sudah lupa nama dia. Tapi susuk wajah dan binaan tubuhnya, gua masih ingat. Hari itu hari pertama cuti penggal persekolahan. Asrama SM...
-
Dan kalau kamu melihat aku bercakap bersama angin, kamu harus faham, kita harus kekal menjadi orang asing yang sempurna
-
Gua kata kat dia, kau punya ameno berubahlah. Lima tahun lagi tak lama, kata gua lagi. Kau punya ameno berubah, Melayu akan pakatpakat bali...
-
Waktu aku kat kampus, selain Search dan Wings, aku juga layan Cromok. Waktu tu, Karl, Mizi, Sam dan Din (al-fatihah untuk allahyarham) masi...
-
Kawasan rumah gua memang menjadi port para negro. Gua tak tau apa yang menariknya dengan kawasan rumah gua. Gua memang sangat rimas dengan...
-
“Kamu pigi lagi. Jangan kamu biluk-biluk. Ada juga hospital di sana tu” kata pemuda itu. Hanafiah angguk-anggukan kepala. Gua dengar-dengar ...
-
Petang. Pertengahan Mei, 1992, gua mula-mula sampai di Sandakan. Perjalanan dengan bas ekspres (bas ekspres?) dari KK membawa gua ke ter...
-
*entri ini berjantina 18 SX. Membaca atas risiko sendiri* Suatu pagi. Di atas kerusi sebuah warung. Ada penulis bernama A. Kawannya jug...
Ja...tubik air mata kawe membacanya...
ReplyDeleteambo pung..ambo terasa sebab ambo pun pernah meraso lagu ni
ReplyDeleteAyahku bukan petani...ayahku mencari rezeki jauh dibelentara...jauh,hanya matahari dan bulan menjadi pedoman (kompas)...
ReplyDeleteaku pernah makan nasi berkuahkan garam bersama ibu...agar telur goreng sebiji dapat dikongsi oleh adik-adik yg begitu berselera...zuriatku anggap ceritaku, sebuah cerita dogeng yg diajar disekolah.