Tuesday, 5 May 2009

BDC dan sampah di bawah kolong

Dari arah muka jambatan, aku melangkah satu-satu. Aku tak pasti sama ada itu ialah Jambatan A, atau Jambatan B, atau Jambatan Jazz Blues, atau jambatan apa. Aku terus melangkah.

“Rumah saya yang paling hujung, cikgu” ujar J.

Sampai ke hujung jambatan, wajah J tersembul di pintu jendela rumahnya. Senyuman J mempersilakan aku ke dalam rumahnya. Rumahnya memang ringkas. Tak ada sofa, jadi kami bersila di lantai. Terdapat sebuah rak buku yang dipenuhi buku-buku sekolah yang menindan majalah dan akhbar lusuh.

Desiran ombak menerjah ke dalam telinga. Kadang-kadang rumah seolah bergoncang kecil apabila dihempas ombak Laut Sulu. Aku yang tak biasa dengan goncangan itu berasa gusar. Kegusaranku tergambar di pandangan J, dan dia tersenyum.

“Kadang-kadang rumah ini bergoyang apabila musim gelora tiba”, kata J.

Seorang lelaki yang sudah dimamah usia muncul dari sebalik tabir yang diperbuat hasil cantuman perca-perca lebihan kain.

“Bapa saya”, J memperkenalkan.

Kami bersembang dengan bapa J. Banyak yang kami bualkan.

Sampai ke suatu titik perbualan, bapa J menitiskan air matanya.

“Sepanjang anakku bersekolah, belum pernah lagi guru-gurunya datang berziarah. Cikgulah orang yang pertama datang ke rumah kami. Terima kasi ba sigu”.

“Pakcik, saya datang berziarah kerana saya cikgunya”, aku berkata perlahan.

Pandangan bapa J menjadi bertambah sayu.

Dalam perjalanan pulang melalui papan jambatan yang terkopak di sana-sini, aku melihat hanyutan sampah di bawah kolong. Aku melihat sampah-sampah yang hanyut itu sebagai suatu metafora anak pribumi Sabah yang masih banyak lagi berpaut pada dahan-dahan reput.

Matahari pun terbenam di ufuk langit.

Nota tumit kaki: J mendapat keputusan yang membanggakan dalam STPM. Tetapi masalah pengenalan diri dan kemiskinan telah membunuh harapannya untuk ke menara gading. Aku tahu luka dalam jiwa J amat dalam.

5 comments:

  1. masih wujudkah BDC??aku org sandakan yg sipi2...my mom org sandakan..suatu masa dulu dia membesar di Sim-sim..just nearby the the BDC kalau tidak silap aku..maaf cikgu..bhs ku bercampur2..

    ReplyDelete
  2. BDC adalah wajah sebenar sandakan. kdang cuba ditopengkan dengan pembangunan pesat di batu 4, bndr indah dan sekitarnya. wlaupun kehodohan itu tertutup, namun hancingnya masih menusuk hidung.

    ReplyDelete
  3. Roseriana,
    BDC dengan Sim-Sim tidaklah terlalu jauh. Kalau berjalan kaki, mungkin seputung rokok sahaja. Rumah-rumah di atas laut di Sim-Sim lebih tersusun kalau dibandingkan dengan BDC.

    Haris Gopenghagen,
    Tempat yang paling awal selepas aku sampai di Sandakan, ialah BDC. Masjid pertama yang aku injaki juga di BDC. Coto makasar yang pertama kurasai juga di BDC. BDC dengan SMK Sandakan ibarat coto makasar dengan bakso...!

    ReplyDelete
  4. salam cikgu metal.. saya budak jazz blues BDC..rumah dkt dgn masjid sabilal muhtadin... area2 rumah cikgu anuar.. kaunselor smk sandakan..
    dulu saya pun belajar di smk sandakan 2000-2004... anak murid cikgu amir sabri ahmad, zaman cikgu leong.

    bdc dan sampah dibawah kolong...

    memang tajuk yang menarik... dulu waktu first BDC di robohkan.. saya tulis satu sajak dan dibacakan waktu perhimpunan... sebagai penghargaan kepada kampung kesayangan... semua student bertepuk tangan... sebab saya tahu semua bdk smk sandakan kebanyakkannya budak bdc...

    tempat dimana kami bermain... cari makan...semuanya disana ?

    walaupun orang kata black area namun itulah kawasan yg selamat bagi kami...

    kg. BDC nie adalah simbol kpd sandakan... walaupun ada kg. yang lain waktu tue.. tapi tak sama dgn BDC...

    Kampung yang saya yakin telah banyak mengeluarkan golongan2 professional yang percaya kepada keadilan... keadilan yg telah dipijak-pijak di Sandakan...

    cthnya cikgu2 di SMK Sandakan sendiri.

    Salam perkongsian.. wassalam.

    ReplyDelete
  5. Batta,
    Nama cikgu-cikgu yang kamu sebutkan itu semua kawan-kawan aku. Masa hari raya, aku pernah menikmati udang harimau di rumah cikgu anuar. Cikgu Roslan dan cikgu Adnan juga anak jati BDC. Murid-muridku bertebaran serata tempat, dari TB Ward hinggalah ke kampung Foresr.

    Batta, kalau kamu terjumpa dengan cikgu Anuar, Cikgu Roslan, Cikgu Adnan, kirimkan salam saya kepada mereka semua. Katakan Cikgu Zamani yang berkirim salam...

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...