Wednesday, 13 May 2009

Asrama SMK Sandakan

Selain menjadi markas kader-kader gerakan Islam (baca PAS), asrama SMK Sandakan juga pernah menjadi markas jin (baca makhluk halus).

Dulu-dulu, di bahagian hujung blok bawah aspuri, letaknya setor untuk menyimpan barang-barang yang disumbangkan oleh Yayasan Sabah. Di dalam setor itulah tersimpannya peralatan tulis-menulis, baju sekolah, seluar sekolah, termasuk juga pinafore yang disumbangkan oleh Yayasan Sabah untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Aku kemudiannya dilantik sebagai guru penyelaras untuk mengagihkan bantuan ini. Hari pertama yang aku buat ialah meninjau keadaan di dalam setor tersebut. Apabila aku mendapati setor itu terlalu berselerak dan berdebu kerana sudah lama tidak dijengah, aku bercadang untuk membuat sedikit “house keeping”.

Aku mencari beberapa orang pelajar lelaki untuk membantu bagi mengemaskan setor itu. Berlumba-lumba mereka mengangkat tangan menawarkan diri untuk membantu, maklumlah setor itu letaknya di blok Aspuri!

Pagi itu, aku dan mereka mengemas setor Yayasan Sabah.

Malamnya, semasa aku sedang bersantai-santai di rumah, seorang pelajar Aspura menelefon.
“Pelajar Aspuri kerasukan!” dia memberitahu.
“Warden lelaki tak ada ke?” aku tanya.
“Tak ada, mereka pigi makan mangkali. Yang ada sigu Rozita sahaja”, kata dia.

Aku menghidupkan enjin jentera SS8771C, terus menghala ke sana. Sesampai, aku terdengar sayup-sayup suara pelajar aspuri. Amat cemas bunyinya. Blok aspuri memang gelap gelita kerana ketiadaan bekalan elektrik kesan daripada kebakaran blok Kemahiran Hidup tidak lama dulu.

“Budak-budak ni kerasukanlah cikgu”, cikgu Rozita memberitahu. Aku dengan dia menuju ke sebuah dorm aspuri. Tiga atau empat (aku sudah lupa) orang pelajar aspuri kelihatan seperti orang yang tidak normal. Seorang daripada mereka asyik bernyanyi. Lenggok lagunya amat mistik pada pendengaranku. Selepas bernyanyi dia minta dilepaskan kerana ingin ke belakang aspuri. Ketika itu, di belakang aspuri hanyalah hutan sahaja. Selepas itu dia bernyanyi lagi. Lepas tu minta dilepaskan untuk ke belakang aspuri. Begitulah berulang-ulang kali.

Seorang pelajar lagi, jari telunjuknya asyik menujah-nujah ke tingkat bawah. Dalam keadaannya yang tidak sedar itu, suara dia marah-marah kerana menganggu tempat tinggalnya. Jari telunjuknya terus menujah-nujah ke tingkat bawah.
“Tadi dia berlari menuju ke setor Yayasan Sabah. Kami membubutnya dari belakang”, seorang rakan dia memberitahu.

.
Setor Yayasan Sabah! Pagi tadi aku membersihkan setor tersebut. Mungkin setor tersebut telah menjadi tempat tinggal makhluk lain kerana sudah lama tidak diziarahi manusia. Dan aku telah “menganggu” kampung halaman mereka.

Aku pandang Cikgu Rozita. Cikgu Rozita pandang aku.

Dalam kegelapan, aku menuruni tangga aspuri dan menuju ke setor tersebut. Sepanjang menuruni tangga, aku tidak dapat merasakan apa-apa. Bila sampai di hadapan setor Yayasan Sabah, bulu roma mula berdiri. Aku membuka pintu setor Yayasan Sabah. Aku menyalakan lighter. Dalam samar-samar cahaya api lighter, aku masuk ke dalam setor tersebut. Cuaca berasa dingin secara tiba-tiba.

“Kenapalah kamu nak kacau budak-budak tu. Pergilah balik ke tempat kamu yang asal. Kalau kamu nak menumpang kami, duduklah baik-baik. Jangan bikin kacau”, aku berkata entah kepada siapa. Kemudian aku keluar dari setor itu.

Aku menuju ke dorm pelajar perempuan yang kerasukan tadi. Mereka kelihatan amat lemah. Sudah tiada lagi dendangan lagu mistik. Keadaan sudah menjadi tenang.

“Dah, kamu semua balik ke aspura!” aku mengarahkan beberapa orang pelajar lelaki yang masih lagi tercongok di dalam dorm tersebut.
“Nanti kalau mereka kerasukan lagi, macam mana ba sigu. Kalau kami ada, bulih juga kami tolong sikit-sikit”, kata mereka sambil tersengih-sengih.
“Dah, jangan nak mengada-ngada. Pergi balik asrama”.

Malam itu, aspuri kembali damai, tetapi malam besoknya mereka kerasukan lagi. Dan jumlah pelajar yang kerasukan lagi bertambah.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...