Tuesday, 19 May 2009

Jani

Dalam kalangan kawan-kawannya, dia lebih dikenali dengan Janet. Kami, para cikgu memanggilnya Jani.

Jani ni berketurunan Andi. Bagi sesiapa yang kurang faham tentang kelas sosial keturunan Bugis (khususnya Bugis Sabah), Andi ini ialah nama gelaran pangkal bagi keturunan ningrat. Kalau di Semenanjung, akan ada nama Tengku, Ungku, Ku, atau Raja. Kalau di Sabah ada pula Andi, Sharif, Pangiran dan sebagainya.

Jani mempunyai mata yang bundar dan redup. Berkulit kuning langsat dan amat lembut apabila berbicara. Apabila aku melihat dia, aku melihat harapan yang belum lagi mekar, tetapi akan mengeluarkan haruman yang mewangi apabila tiba waktunya nanti.

Sebagai anak sulung, dibahunya terpikul satu beban yang maha berat untuk dipikul oleh sorang gadis berusia 19 tahun. Pernah menjadi “Amoi Kicap” di pasar raya Liang Sang sementara menanti keluarnya keputusan SPM. Jani memang seorang anak gadis yang kuat. Di raut wajahnya tidak pernah sepicing pun terlukis akan kesusahan dan kesukaran hidup. Aku tahu, lakaran hidup keluarganya tidaklah begitu indah. Perpisahan yang berlaku antara kedua orang tuanya cukup meninggalkan kesan yang amat dalam dalam jiwanya. Aku tahu itu walaupun dia tidak pernah bercerita tentangnya.

Jani seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik. Aku tahu, dia mampu melangkah ke menara gading. Dia mampu menangani masalah yang menghimpitnya dengan baik.

Beberapa bulan sebelum STPM, bapanya terlantar di Hospital DOK. Aku rasa bapanya menghidap penyakit paru-paru. Sebagai anak yang terlalu baik kepada orang tuanya, Jani akan memastikan dia seboleh-bolehnya berada di sisi ayahnya di katil hospital. Memang itulah yang dilakukannya tanpa gagal, berada di sisi ayahnya sebaik sahaja tamat waktu persekolahan.


Aku, Cikgu Fazman dan Cikgu Masrizal pernah mengunjungi ayahnya di hospital. Ketika kami melawatnya, tangan ayah Jani yang hanya tinggal tulang itu melambai-lambai kepada Cikgu Fazman. Cikgu Fazman menghampiri, dan mendekatkan telinganya ke mulut ayah Jani. Cikgu Fazman tersenyum, rupa-rupanya ayah Jani bertanyakan rokok daripada Cikgu Fazman. Sudah ketagih benar agaknya ayah Jani terhadap nikotin. Cikgu Fazman kelihatannya serba salah. Jani menjeling tajam ke arah Cikgu Fazman. Cikgu Fazman faham jelingan Jani itu. Tapi dalam masa yang sama mata kuyu ayah Jani telah meranapkan jiwa lelaki Cikgu Fazman. Cikgu Fazman akhirnya menghulurkan sebatang rokok Marlboro kepada ayah Jani.
“Itulah bapak ni, sedang sakit begini pun masih lagi mahu menyigup”, kata Jani.
Bapanya diam. Cikgu Fazman pula tersengih-sengih seperti anak dara yang baru dipinang orang.

Seminggu sebelum STPM.
“Bapa Jani meninggal”, Hasmia Nohing menelefon semasa aku sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.
Aku terdiam. Bukan kerana terpana dengan berita tersebut, tetapi aku amat risau kalau-kalau Jani terkulai di pertengahan jalan sebelum sempat berjuang dalam STPM. STPM lagi seminggu akan menjengah.

Rupanya ayah Jani menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2 pagi. Dan apabila ayahnya menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Bersama sahabat akrabnya, Hendra, mereka berdua berjalan kaki dari DOK ke Grand View, menuju ke rumahku. Tetapi, malangnya pada awal pagi itu aku tidur mati, tidak sedar yang mereka memanggilku dari luar pagar.

Akhirnya, menjelang petang, dalam hujan renyai-renyai, jenazah ayah Jani telah selamat disempurnakan.

Di tanah perkuburan, aku masih lagi risau akan Jani. Dia anak yang baik. Dia cemerlang dalam pelajaran. Tapi aku cukup risau kalau-kalau pemergian ayahnya ini akan turut sama membawa segala kekuatan dan cita-citanya terbang ke angkasa raya.

Beberapa hari selepas itu, aku lihat Jani sudah bertenaga kembali. Tetapi aku tahu, dia sedang bertarung dengan perasaan dan dirinya sendiri. Tetapi Jani tetap Jani. Jani seorang anak gadis yang amat kental. Jani tetap tabah dan gagah mengharungi cabaran. Dalam aku menyaksikan ramai anak Sabah yang terpatah di pertengahan jalan, Jani telah memberikan satu dimensi yang berlainan.

Selamat Hari Guru, Cikgu Nurjani Awang Usman.

2 comments:

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...