Monday, 20 April 2009

Suri

“Adik Suri meninggal, tangannya hancur kerana termasuk ke dalam penggilis.”

Suri merupakan salah seorang pelajarku. Suri ini dapatlah aku katakan sebagai “Wanita Melayu Terakhir”. Suri seorang yang sangat lembut, sangat halus pula apabila berkata-kata. Jalannya bagaikan itik pulang petang. Suri juga pandai memasak. Ketika Kelab Pencinta Alam SMK Sandakan berkhemah di Lembah Danum, Surilah yang menjadi kepala kepada segala tukang masak.

Apabila adiknya meninggal, aku tahu Suri amat sedih. Aku pula, walaupun tidak pernah kenal akan keluarganya, tapi aku mengambilnya sebagai rasa tanggungjawabku sebagai seorang guru untuk menziarahinya.

Tempat tinggal Suri di Sakilan Desa, di sebuah kawasan ladang kelapa sawit.

Setelah beberapa kilometer menyongsong jalan bertanah merah, aku tiba di rumah Suri. Ketika itu jenazah adiknya sedang disempurnakan. Aku lihat beberapa buah baldi terdapat di bawah rumahnya. “Untuk menadah air lebihan mandi jenazah,” aku diberitahu.

Kemudian seekor ayam jantan disembelih di hadapan tangga tempat jenazah akan dibawa keluar. Aku hanya melihat.

Keranda jenazah dibawa keluar. Setiba di tanah, keranda tersebut diangkat agak tinggi. Beberapa orang (aku rasa ahli keluarga terdekat) menunduk kepala sambil mengelilingi keranda tersebut. Aku hanya melihat lagi. “Supaya kaum keluarganya tidak merinduinya,” aku diberitahu lagi.

Tiba-tiba, keranda tersebut dilambung-lambun beberapa kali. Aku terus melihat. Kali ini tiada siapapun yang memberitahu aku kenapa keranda itu harus dilambung. Aku terus melihat dengan dada yang sesak.

Jenazah adik Suri dimasukkan di belakang sebuah lori kecil untuk di bawa ke pusara.

Dari kejauhan aku melihat Suri yang menghantar jenazah adiknya dengan pandangan matanya yang sayu, seorang anak gadis pingitan yang bercita-cita besar tetapi terlingkung dalam batasan budaya dan cara hidup yang masih tertinggal jauh.

Apabila aku melihat Suri, aku melihat generasiku yang dilingkari oleh duri-duri konservatif. Mereka cuba melawan, tapi jari-jemarinya terluka dek tusukan duri-duri tersebut….

Nota tumit kaki: Berita terakhir yang aku terima, Suri dipaksa kahwin dengan jejaka yang bukan pilihannya dan kemudiannya telah berpindah ke Lembah Kelang.

3 comments:

  1. cikgu,
    hambatan kepada budaya khurafat seringkali menjadi tembok penghalang kpd generasi muda sabah utk melihat lebih jauh. lebih tragis, budaya itu lebih mesra dengan mesra dgn mereka dari Islam...

    ReplyDelete
  2. Kerana itu Haris, jangan diharapkan kepada sang pemimpin yang rakus menimbun harta, kita atur langkah sendiri.

    p.s. agak-agaknya, bila tuan peguam nak balik sandakan dan perbetulkan mana-mana yang tempang?

    ReplyDelete
  3. insyaAllah,

    buah langsat buah pauh
    rambutan juga dicari orang
    sauh diangkat, layar dilabuh
    dayung jua ditangan orang

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...