Thursday, 23 April 2009

Catatan yang Tercicir

Jumaat , 17 April 2009

Setiap tengah hari Jumat, aku menghadap Allah di Masjid Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya. Setelah dinaik taraf, rumah Allah ini amat selesa dan tampak mewah.

Usai solat sunat, aku menanti masuk waktu. Sambil itu aku membaca surah-surah pendek yang senang untuk diamalkan.

Azan bergema apabila masuk waktu. Tidak lama kemudian, tuan khatib menuju ke mimbar. Seorang lelaki berusia 50-an, bertubuh agak kecil, berkulit sawo matang. Baju Melayu menyaluti badannya. Aku melihat dengan penuh minat akan tok khatib ini.

“Dr. Hassan Ali!” aku menjerit dalam hati. Kalau aku tak silap, Dr. Hassan Ali ialah Pesuruhjaya PAS Selangor. Selaku exco kerajaan negeri, di bahunya terpikul beban untuk menjaga dan memelihara martabat agama Islam di Selangor.

Apabila berkhutbah, Dr Hassan tidak membaca khutbah seperti yang dilakukan oleh kebanyakan khatib-khatib lain. Kerana khatib membaca khutbahlah menyebabkan ramai jemaah yang terlena di sudut-sudut masjid, menyandar dengan penuh santai di tiang-tiang, atau ada juga yang jenis tak reti bahasa merokok di luar masjid.

Tetapi Dr Hassan Ali tidak membaca khutbah. Dr. Hassan Ali menyampaikan khutbah. Sungguh, semua jemaah terpegun dengan khutbah yang disampaikan oleh Dr Hassan Ali. Semua mata tertikam ke arah Dr Hassan Ali. Dr. Hassan telah berjaya membawa jemaah hanyut dan khayal dengan isi khutbah yang disampaikan. Isinya jelas dan meresap masuk lalu terus sebati dengan tulang-temulang, cebisan daging, denyut nadi dan darah yang mengalir.

Semasa mengimamkan solat, bacaannya sungguh mengasyikkan.



Nota tumit kaki: kalaulah sijiban yang baru diangkat menjadi Bentara Menteri menjadi iman bergilir dengan timbalannya dan berkhutbah seperti Dr Hassan Ali, nescaya kumpulan Bulan Purnama sukar menjadi pemerintah! Tapi, menanti sijiban membaca khutbah dan menjadi imam solat samalah seperti menantikan Israel menjadi manusia yang paling penyayang di atas muka bumi ini….!

1 comment:

  1. adapun sebelum negeri perak dirampas puak2 mamak bendahara,berkhutbah jugalah para ulama', tuan2 guru, alim bijaksana yg arif agama. terjagalah yg gemar tidul peelnya, tersedak yg memakan pisang di luar, terbatuk yang mengasap jantung di tepi kolam.

    tapi selepas negeri dilanggar gagak mamak bndahara dibisukan segala yang yang berani bersuara. berkhatib rabanlah segala pengampu istana. maka tidurlah yang gemar tidur, habislah pisang di pangkin, berasaplah kolam lksana kebakaran lagaknya.

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...