Thursday, 23 April 2009

Monolog

Saban waktu, aku selalu menelusuri Internet, merayau ke sana sini. Aku cuba menjejaki nama-nama yang pernah kukenali sewaktu aku bermastautin di Negeri Di Bawah Bayu. Aku hanya ketemu dengan Hanafiah Diman di alam maya. Aku memanggilnya Napi. Hanafiah ni agak rapat denganku semasa dia mencurahkan bakti sementaranya di SMK Sandakan. Sekarang ni, melalui maya aku dapati dia sudah menjadi orang penting di Yayasan Sabah. Aku cuba menyapanya melaluinya maya, tetapi sapaanku belum lagi bersahut. Mungkin alamat emelnya sudahpun bertukar.

Aku juga cuba mencari Mat Nor Sima, tetapi setakat ini belum ketemu lagi. Agakanku, mungkin Mat Nor sudah berpindah ke Tawau. Maktab Perguruan Sandakan sudah ditutup dan berpindah ke Tawau. Sebagai salah seorang tenaga pengajar, aku rasa Mat Nor pun ikut berpindah ke sana. Lagipun isterinya juga orang Tawau.

Selain itu, aku juga cuba merayau dan mencari anak-anak Sabah yang pernah aku didik. Aku yakin, dalam kemudahan untuk berblog di alam maya, mereka juga turut sama berblog. Tapi aku rasa mungkin kerana mereka menggunakan nama samaran, maka amat payah untuk aku menjejaki mereka. Setakat hari ini, aku cuma terserempak dengan Haris sahaja. Walaupun aku hanya sempat mendidiknya beberapa bulan sahaja (Tingkatan 6 rendah mendaftar pada bulan Mei,) dan aku tidak sempat mengajarnya sehingga ke Tingkatan 6 Atas kerana aku harus pulang ke semenanjung, tapi susuk tubuhnya dan perwatakannya masih kental di hujung mataku. Dan memang aneh, hanya Haris sahaja yang kuingat nama dan susuk tubuhnya, sedangkan rakan-rakannya yang lain yang satu batch dengannya, langsung aku tidak ingat.

Semasa belajar undang-undang di UKM, Haris menjadi aktivis pelajar. Jalan yang dipilihnya ialah agama. Dia menjadi presiden PMUKM. Sebagai guru, aku memang berbangga. Sekarang ini, dia menjadi peguam. Dan dia juga bergiat secara aktif dengan PAS. Itu aku tak kisah. Sama ada dia memilih dacing atau bulan atau apa-apa sahaja, aku yakin dia tahu apa yang dia buat. Dan dia ada blog sendiri http://sandakanorigins.blogspot.com Aku selalu menjengah blognya. Kadang-kadang aku berbicara melalu maya dengan Haris. Antara bicaraku ialah:

Haris,
Selain masalah pengenalan diri banyak lagi masalah yang memerlukan kepada penyelesaian yang tuntas. Antaranya:

1. Penghayatan terhadap agama Islam. Ini yang paling asas. Di SMK Sandakan, aku pernah mendidik seorang pelajar yang bernama Charles. Bila aku tanya akan agamanya, dia hanya menjawab dengan pandangan mata yang menampakkan kekeliruan. Lalu kawan di sebelahnya memberitahu: "Kadang-kadang dia pergi masjid pada hari Jumaat, kadang-kadang dia pergi gereja pada hari Ahad". Rupa-rupanya dia dilahirkan dalam keluarga yang bercampur-aduk, ibunya Muslim, manakala ayahnya seorang Kristian.Aku juga pernah mendidik seorang pelajar yang bernama Siti Aishah, Azlina Awang, Irwan Haji Osman, tapi semuanya Kristian. Bila diselidiki, mereka dilahirkan sebagai muslim, tetapi kehancuran rumah tangga ibu bapa mereka menyebabkan mereka jauh tergelincir. Irwan, si pelajar Kristian ini pandai baca Quran, katanya pernah khatam Muqadam, seorang pelajar yang cemerlang, begitu hormat akan guru-guru, tetapi sayangnya telah beralih kiblat.

2. Masalah pengenalan diri; masalah yang tipikal. Banyak anak didikku yang mempunyai masalah ini. Yang datang dari kawasan Kinabatangan, Pamol, Penanggah, Suan Lamba, Gomantong (sekadar menyebut beberapa nama tempat terpencil), mereka bermasalah untuk mengutip pengenalan diri lantaran ibu bapa yang buta huruf dan tidak tahu bahawa hidup di muka bumi ini ada peraturannnya. Ada masalah peneganalan diri yang kadang-kadang nampak melucukan, tetapi amat menyaklitkan hati: ayah dan ibu mempunyai IC biru, abang dan kakak juga punya IC biru, tetapi "aku" tidak layak untuk memperoleh IC walau apa warna sekalipun. Terlalu aneh!

3. Masalah kewangan dan ekonomi yang menghimpit; banyak juga anak didikku yang terpaksa menyembelih masa depan mereka lantaran masalah kewangan. Ada guru yang tidak memahami, lalu saban hari menuntur agar dibayar yuran sekolah dan juga yuran peperiksaan. Jumlahnya terlalu besar bagi "baliau" yang hanya menjadi buruh kasar di kem2 pembalakan. Apabila si guru selalu menyebut2 di depan kelas tentang yuran dan pembayaran yang tertunggak, maka si pelajar ini berasa malu, lalu mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. Ada yang sempat aku pujuk, Alhamudillillah, meneruskan persekolahan seperti biasa. Ada juga,dalam diam aku melunaskan yuran mereka (pembaca blog ini sahaja yang tahu akan rahsia ini sebab aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa, kerana bagiku itu adalah JIHAD kepada anak bangsa, tetapi ramai juga yang terus menjauhkan diri.

4. Matador, Rambo, Kitaro dan entah apa-apa lagi.

5. Perkauman dan Assabiyah yang terlalu tinggi. Sekitar '97 (kalau aku indak silap) Bugis dengan Suluk "bertempur" di BDC, TB Ward dan Kg Forest. Dan masing2 berbangga dengan suku kaum masing2, bukan hanya dalam kalangan pelajar, malah guru2 tempatan pun sama. AKu hanya mengeleng-gelengkan kepala...

Lalu Haris, aku selalu berpesan kepada mana-mana anak didikku yang berkesempatan, bila sudah berkemampuan dan berilmu, berbaktilah kepada anak bangsa sendiri. Ubahlah nasib rakan seagama dengan kita, tak kira Bugis, Suluk, Sungai, Bajau, Cocos, dan entah apa-apa lagi. Di Telupid, masih ada lagi anak-anak yang berkaki ayam pergi ke sekolah, sedangkan situasi itu hanya berlaku pada tahun 60-an sahaja di bumi semananjung.

Haris, berjuanglah!

1 comment:

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...