Friday, 2 July 2010

Hidup Ini Bukan Hanya Satu Falsafah Impian Mimpi

Akhir-akhir ini ada orang kata gua seperti banyak berfalsafah. Mereka kata gua banyak membebel tentang hal-hal ruwet yang kadang-kadang sukar untuk difahami. Mereka kata gua seperti memberi suatu ceramah di dalam sebuah dewan kepada sekumpulan audiens yang bermuka serius. Mereka kata gua tidak lagi bercerita seperti dulu-dulu.

Gua sendiripun sebenarnya tidak sedar apa yang sedang berlaku. Gua menconteng dan gua membebel berdasarkan kepada apa yang gua rasa. Apa yang gua rasa, itu yang gua luahkan. Gua tidak mengharapkan untuk memaksa orang lain memahami apa yang gua bebelkan. Gua cuma mahu menjadi diri gua sendiri. Mungkin putaran masa dan peristiwa dan cerita yang gua sendiri menjadi antara pelakunya telah menyebabkan gua sekarang ini kembali menjadi gua yang dulu; seorang perenung yang songsang dan pembebel yang entah apa-apa. Nah, sekali lagi gua seperti seorang pengamal kepercayaan individualistik tanpa mempedulikan orang keliling!

Hidup ini bukannya satu falsafah. Hidup dan kehidupan ialah sesuatu yang nyata. Apa yang telah terjadi, yang tersayat pada jantung, yang terkelu pada rasa, dan yang membeku pada jiwa, selalunya akan gua masukkan ke dalam kotak hidup gua. Gua akan simpan di di dalamnya. Gua jarang-jarang sekali menjenguknya semula biarpun tersimpan di dalam kotak milik gua sendiri. Sama ada ia akan mereput di dalam kotak itu, atau tetap segar seperti pertama kali dimasukkan, gua tidak akan menganggapnya sebagai suatu prioriti dalam hidup gua untuk mengetahuinya.

Tidak banyak sebenarnya yang gua simpan dalam kotak hidup gua. Banyak juga yang gua hanya letakannya di atas para-para mimpi dan akan terbanghilanglupus secara natural sebaik sahaja gua membuka mata pada besok paginya. Bagi gua, sesuatu yang tidak punya apa-apa yang istimewa, gua hanya akan menjadikannya sebagai pyjama yang disangkut pada dinding bilik mandi sahaja. Ia boleh datang dalam mimpi gua, jika ia mahu. Dan gua tidak akan menjerih-perih kalau ia tidak menjenguk pun. Tetapi bagi sesuatu yang terkesan pada gua, gua bukan hanya sekadar menaruhnya di dalam kotak hidup gua, tetapi gua akan meletakkannya di dalam kocek baju gua, yang terletak di sebelah kanan, yang dekat dengan hati gua.

Selamat malam, gua mau tidur. Kalau ini tidur gua yang terakhir untuk malam yang penamat, gua mohon maaf dari kamu.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...