Friday, 30 July 2010

Tawai-Tawai

Setelah dua jam perjalanan dari Jabatan Perhutanan Sandakan, gua sampai di pekan Telupid. Berhenti sekejap untuk memijak bumi selepas dua jam dalam bas kepunyaan jabatan perhutanan, sambil mendunhillkan diri sendiri, sangat melegakan. Kemudian, gua dan sekumpulan pelajar dari Sandakan di bawa ke sebuah padang untuk mendengar pegawai PPD berbla! bla! bla!

Gua duduk jauh-jauh mencari bayang pokok. Gua bukan datang untuk mendengar ceramah. Gua datang untuk masuk ke dalam belantara. Gua memang suka masuk dan meneroka belantara. Kalau dia nak berbla!bla! bla! gua tak peduli lagi.

Setelah dia pung! pang! pung! pang! berbla! bla! bla! bla! dan gua melayannya dengan fikiran yang entah ke mana, akhirnya gua dan kumpulan pelajar dari Sandakan diagihkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki menaiki beberapa buah kenderaan pacuan empat roda. Gua tengok kenderaan-kenderaan tersebut, perggghhh….masih baru berkilat dan nampak gagah. “Banyak betul harta jabatan perhutanan,” kata gua dalam hati.

Kemudian dari Pekan Telupid, kami dibawa perlahan-lahan meninggalkan jalan utama. Mula-mula kami merentasi jalan kampung biasa. Apabila kampung sudah habis, jalan balak pula yang kami gunakan.

Perjalanannya agak panjang. Gua lebih banyak melemparkan pandangan dari cermin kaca tingkap pacuan empat roda. Debu-debu dari rodanya mengapung naik ke atas.

Lebih kurang dua jam di dalam pacuan empat roda, merentasi jalan berdebu, jalan yang berlekuk-lekuk, kadang-kadang sangat becak, dan melintasi jambatan yang diperbuat daripada dua batang balak di kanan dan dua batang balak di kiri yang di bawahnya ada sungai, gua dan rombongan akhirnya sampai di Tawai-Tawai.

Tanah di Tawai-Tawai ini berwarna kuning keemasan. Sangat lain gua lihat warnanya. Gua kemudiannya diberitahu, dalam perut Tawai-Tawai kaya dengan hasil bumi. Ada kuprum dan ada emas. Tapi kekayaan itu tidak boleh digali. Kalau digali, Tawai-Tawai akan musnah. Kalau Tawai-Tawai musnah, punca air utama Sandakan akan musnah. Orang-orang Sandakan akan mengalami masalah mendapatkan bekalan air. Itu kata salah seorang pegawai jabatan hutan. Bila dia kata “Sandakan akan mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan air” gua senyum-senyum kambing. Gua teringatkan mesin pengepam air yang terpaksa gua beli. Kalau tak ada mesin pengepam itu, rumah gua di Sea View (sekarang dikenali sebagai Good View) dan Grand View tak akan mempunyai air. Dan gua juga pernah dilanggar kereta di BDC semata-mata rumah gua tak ada air. [Masa itu bulan puasa. Lagi seminggu mahu berhari raya, tetapi rumah gua tiada air, macam biasa dan selalu terjadi. Apabila air tiada, dengan apakah gua mahu bersungkai?. Maka dari Sea View, gua menunggang kapcai untuk ke Taman Fajar. Tapi gua tak sampai ke Taman Fajar. Sebaliknya gua telah disampaikan ke Duchess of Kent. Hari tu gua berpuasa sampai jam 9 malam sambil dilayan oleh makcik-makcik misi yang bermuka gangster kumpulan ceti haram; sangat tidak mesra kepada pesakit]

Di Tawai-Tawai, gua dan rombongan berkhemah di tepi sebatang anak sungai. Sangat jernih dan sejuk airnya. Ada bongkah-bongkah batu. Alirannya agak laju. Pada fikiran gua, kalau ada anak sungai, mesti ada puncanya. Dan oleh kerana gua sekarang ini berada di kawasan tanah tinggi, maka gua rasa tentunya ada air terjun, di titik berhampiran dengan bermulanya punca air sungai ini.

Tekaan gua memang tepat, keesokan harinya sekumpulan ranjer Jabatan Perhutanan akan membawa gua dan rombongan mendaki lagi ke atas, masuk lagi ke dalam belantara untuk sampai ke air terjun.
“Kamu semua akan menjadi orang awam pertama di dunia ini yang akan sampai ke air terjun tersebut,” kata salah seorang ranjer.
“Wow!” kata gua dalam hati.

[Sebenarnya terdapat dua air terjun. Satu, yang sedang gua dan rombongan sedang tuju sekarang ini. Manakala air terjun yang kedua, agak mustahil untuk sampai ke sana lantaran lokasinya yang sangat sukar untuk dicapai melalui daratan.]

Kami kemudian berderet-deret di dalam hutan itu. Gua memilih untuk berada di belakang, menjadi ‘sweeper’ dengan seorang ranjer. Sambil berjalan, gua berborak-borak dengan dia. Oleh kerana tiada manusia atau haiwan yang menggunakan hutan itu sebagai laluan, maka denai juga tidak akan ada. Kami berjalan dengan berpandukan kepada cebisan kain merah yang diikat pada ranting pokok yang telah dibuat oleh beberapa orang ranjer sebelum ini.

Berjalan merentas hutan bagi gua bukanlah sesuatu yang sangat menyusahkan. Gua dah selalu masuk ke hutan sebelum ini. Tapi oleh kerana hutan di sini berada di tanah tinggi, maka akan adalah pendakian yang kadang-kadang perlu dilakukan. Kerana itu, sebagai ‘sweeper’ gua terpaksa ‘menyapu’ mana-mana pelajar yang agak ‘manja’ dan tak biasa dengan hutan belantara.

Setelah hampir tiga jam meredah hutan, mendaki ke atas, kadang-kadang menurun ke bawah, akhirnya bunyi air terjun semakin lama semakin kuat ngaumannya. Dan apabila sampai ke satu titik tempat, air terjun itu seolah-olah sudah berada di sebelah. Tapi air terjunnya tidak kelihatan. Rupanya kami terpaksa mendaki satu tebing yang sangat curam untuk sampai ke sana. Gua kira mungkin hampir 85 darjah kecuramannya. Tali terpaksa digunakan untuk mendaki. Gua tengok pelajar-pelajar yang keletihan itu seperti mengeluh, “Ahhhh…”

Seorang demi seorang pelajar mendaki. Macam-macam teknik yang digunakan mereka. Teknik yang paling popular ialah ‘teknik mendaki ikut suka hati aku’. Apabila tidak mengikut teknik seperti yang ditunjukkan oleh ranjer, maka tidak hairanlah mereka berpusing-pusing semasa bergayut pada tali. Tapak tangan yang menggelupas, tak payah cerita. Beberapa kali gua dan ranjer menyambut pelajar-pelajar yang menggelongsor turun. Kadang-kadang rasa mau marah pun ada kerana kedegilan mereka yang tidak mahu mengikut teknik yang diajarkan, rasa mau ketawa sampai pecah perut pun ada juga.
“Budak-budak..” kata gua kat ranjer yang menjadi sweeper bersama-sama dengan gua.

Setelah melihat dengan agak payah para pelajar mendaki dengan menggunakan tali, akhirnya semua mereka sampai ke atas. Gua menjadi orang kedua terakhir. Ranjer yang menjadi sweeper bersama-sama dengan gua menjadi orang yang paling akhir.

Sesampai di atas, gua melihat gugusan air yang sangat perkasa menjunam dari satu tebing yang sangat tinggi. Oleh kerana berada di kawasan tanah tinggi, di tebing kiri kanan air terjun itu dibarisi oleh pokok-pokok pine yang berdaun halus tirus.. Di bahagian atas air terjun, biasan airnya telah menerbitkan pelangi, melengkung, seolah-olah menjadi kubah kepada air terjun itu. Air terjun yang gagah, pokok-pokok pine, pelangi berkubah ; satu pemandangan yang gua tak pernah nampak sebelum ini. Sangat cantik dan indah.

Batu-batunya dipenuhi oleh lumut-lumut. Sangat berhati-hati apabila mahu melangkah. Apabila melihat lumut-lumut tebal menyelimuti hampir kesemua bongkah-bongkah batu, maka gua telah membuat satu kesimpulan. Tentunya air terjun ini tidak ada makhluk yang datang menjengah. Kalau ada haiwan yang menjadikan kolam air terjun ini sebagai sumber minuman mereka, tentunya tiada lumut-lumut di bongkah-bongkah batu. Sekurang-kurangnya lumut-lumut itu tidaklah terlalu tebal kerana dipijak oleh haiwan-haiwan yang datang.

Gua berhenti di gigi air untuk membebaskan lelah yang terkurung. Bongkahan batunya sangat pejal dan gagah. Percikan airnya yang singgah di muka gua terasa sangat dingin. Gua melihat pelajar-pelajar yang tadinya nampak begitu letih, kembali bertenaga. Mereka berada di mana-mana sahaja. Yang ada sedikit keberanian, mereka menduga kolam di sana. Berenang-renang sambil diawasi oleh para ranjer. Gua pula memilih untuk hanya berada di tebing. Bermain dengan bongkah-bongkah batu sambil merasai dingin airnya pada kaki gua.

Gua meletakkan mata gua pada keliling. Memang sangat cantik. Antara air terjun yang paling cantik yang pernah gua lihat. Kemudian gua melihat ke dalam air di bahagian tepi. Pada mulanya tiada apa-apa yang menarik pada pandangan gua. Hanya batu-batu sahaja. Tetapi, kemudiannya gua dapat melihat sesuatu yang lain. Batu-batu di dalam air itu mempunyai pelbagai warna dan berkilau-kilauan apabila di sinari cahaya matahari. Warna hijau, biru, kuning, dan merah yang paling banyak. Gua cuba mengambilnya. Tetapi batu-batu berwarna itu terlalu kuat melekat pada dasar lantai air. Gua membuat andaian, mungkin batu-batu berwarna itu adalah batu-batu batu permata yang mempunyai nilai.

Setelah beberapa ketika berada di situ, entah mengapa gua terasa ingin balik ke tapak perkhemahan. Mungkin kerana sudah mula berasa bosan kerana hanya duduk-duduk sahaja di atas bongkahan batu. Tapi apabila melihat pelajar-pelajar yang masih galak bermain air di situ, gua merasakan lambat lagi para ranjer akan membawa kami balik. Lagipun para ranjer pun gua tengok sangat teruja bermain dengan air.

Gua memberitahu salah seorang ranjer yang gua ingin pulang ke tapak perkhemahan. Pada mulanya dia seperti teragak-agak untuk membiarkan gua pergi. Hutan tebal dan tiada denai dia jadikan alasan untuk cuba menahan gua dari balik ke tapak perkhemahan seorang diri. Apabila gua kata, gua boleh balik sendiri, dan dia nampak kesungguhan gua, akhirnya dia lepaskan gua.

Dan sekali lagi, untuk kali ke berapa, gua sendiri pun tak pasti, gua meredah belantara seorang diri. Kali ini yang ada pada gua ialah sebuah kompas dan kamera SLR [Waktu itu DSLR masih lagi berada di alam kayangan, dan gua rasa cukup ‘takabbur’ kerana gua bawa kamera SLR sedangkan yang lain hanya membawa kamera kompak sahaja!] sahaja. Gua tidak membawa pisau seperti yang selalu gua buat.

Riben-riben merah yang diikat pada ranting-ranting pokok menjadi panduan untuk gua mencari laluan. Sambil berjalan, mata gua melilau melihat sekeliling. Mencari-cari sesuatu yang menarik pada mata gua. Sambil berjalan gua akan mengambil gambar dengan kamera SLR yang gua bawa. Pokok-pokok gagah yang berbanir besar, kelopak-kelopak bunga hutan, serangga-serangga kecil yang tak pernah gua tengok, menjadi objek untuk kamera SLR gua.

Dalam hutan tebal itu, gua seorang diri, dan sangat asyik mengambil gambar yang entah apa-apa.

Gua kemudiannya tersedar yang gua sudah tersasar dari laluan apabila gua tidak dapat melihat lagi riben berwarna merah pada ranting pokok. Gua cuba mencari-cari riben itu, tetapi gua tidak dapat melihat satu pun riben itu. Gua sudah tidak tahu di mana gua berada sekarang ini. Gua tidak tahu ke arah mana harus gua tuju dalam hutan belantara Tawai-Tawai ini. Atau dengan kata lain, gua telah tersesat. Berada seorang diri di tengah-tengah hutan belantara dan tidak tahu di mana kita sedang berada dan ke arah mana harus kita tuju adalah satu perkara yang bukan main-main. Apabila berada dalam situasi begitu, gua harus pantas berfikir. Gua ada dua pilihan. Tunggu di situ dan tidak pergi ke mana-mana sambil menunggu ada yang datang mencari sebaik menyedari kehilangan gua [mungkin malam nanti, mungkin besok hari, mungkin minggu hadapan, atau mungkin tak akan dijumpai sampai bila-bila sehinggalah bertahun-tahun kemudian ada orang yang menjumpai tulang-temulang gua berserakan, tanpa sengaja] Dan pilihan yang kedua ialah terus berjalan mencari riben merah atau mencari titik di mana gua bermula.

Gua akhirnya memilih pilihan yang kedua. Gua ada kompas. Gua akan menggunakan kompas tersebut. Gua boleh menyusur ke bahagian bawah dan mencari anak sungai.

Seingat gua, dari tapak perkhemahan, gua dan rombongan bergerak ke arah matahari terbit untuk menuju ke air terjun. Maknanya, gua harus mencari arah ke barat untuk pulang ke tapak perkhemahan. Dengan menggunakan kompas, gua bergerak ke arah barat.

Hutan di Tawai-Tawai ini agak tebal. Banyak pokok-pokok kecil di bawah pokok-pokok besar. Tumbuhan menjalar, berselirat dari pokok ke pokok. Daun-daun kering di lantai hutan sangat tebal dan lembap. Apabila dipijak, kaki gua sedikit tenggelam ke dalam daun-daun kering yang menimbun itu. Hutan di Tawai-Tawai tidak seperti hutan di Sepilok yang agak ‘lapang’.

Gua berjalan sambil memasang telinga. Gua cuba-cuba menangkap bunyi aliran sungai. Gua juga cuba meninjau-ninjau kalau-kalau ada sesuatu yang boleh dijadikan tanda untuk gua tuju. Tetapi setakat ini, belum ada apa-apa lagi. Di dalam belantara Tawai-Tawai itu, gua tidak mendengar apa-apa, sangat sunyi. Di dalam hutan belantara itu, apabila tidak tahu di mana berada, sepatutnya gua rasa takut, atau bimbang sekurang-kurangnya. Tapi entah mengapa, gua tidak berasa apa-apa. Mungkin gua tak pernah menganggap yang gua tersesat. Gua juga tahu, di kawasan belantara tebal di kawasan tanah tinggi, tiada haiwan liar. Maknanya gua sudah terselamat dari satu ancaman. [pada masa itu gua tidak mahu memikirkan kewujudan makhluk lain] Dan gua sangat percaya kepada gerak naluri. Naluri gua kuat mengatakan yang malam ini gua tidak akan tidur di banir pokok besar dengan berbumbungkan silara hutan, tapi gua akan tidur di dalam khemah berkanvas sambil meletakkan earfon di lubang telinga melayan “Biru Mata Hitamku” sampai lena.

Gua meneruskan perjalanan. Hanya berpandukan kompas semata. Riben merah tidak gua jumpai. Gua hanya main redah sahaja menuju ke arah barat. Gua tahu, sekiranya gua berjalan dengan menuruni cerun, lambat-laun gua akan bertemu juga dengan anak sungai. Hukum muka bumi yang dijadikan Tuhan memang begitu; di bahagian akhir cerun akan ada sungai.

Setelah agak lama berteka-teki sendirian, berhuhahuhah sendirian, berfikir sendirian, bermain-main dengan perasaan sendirian, sayup-sayup gua terdengar bunyi aliran air sungai. Gua terus menuju ke arah bunyi tersebut, tetapi titik tuju gua tetap ke arah barat. Seringkali, di dalam hutan, kita akan menjadi keliru dengan arah dari mana bunyi aliran sungai itu datang. Atau seringkali juga kita hanya dimainkan oleh perasaan kita sahaja. Bunyinya tiada, tetapi kita seperti terdengar bunyi-bunyi yang sangat kita harapkan. Jadi untuk lebih selamat, gua tetap bergerak dengan menggunakan bantuan kompas. Gua mulai yakin yang gua akan berjumpa dengan anak sungai. Anak sungai ini penting sebagai jalan untuk gua kembali ke tapak perkhemahan.

Semakin lama, bunyi anak sungai yang mengalir semakin kuat. Semasa menuruni curam, gua akhirnya dapat melihat anak sungai. Gua berasa sangat lega. Gua terus menuruni curam itu sambil menjadikan pokok-pokok kecil di sekeliling sebagai tempat untuk berpegang. Dan, sesuatu yang tidak pernah gua jangkakan, rupanya gua terus menuju ke anak sungai yang menjadi tapak perkhemahan. Dua orang ranjer yang sedang mandi di situ agak terkejut apabila gua tiba-tiba muncul di tebing anak sungai sambil tersengih-sengih.

Gua kemudiannya duduk-duduk di bongkah batu untuk melepaskan lelah. Sambil-sambil itu, gua berborak-borak dengan 2 orang ranjer itu. Dan gua tidak memberitahu mereka pun yang gua sebenarnya tersesat tadi. Apabila mereka bertanya di mana yang lain, gua memberitahu yang gua pulang seorang diri ke tapak perkhemahan. Yang lain-lain masih meriah bermain-main di air terjun.

Apabila ranjer itu kata nasib baik gua tidak tersesat dalam hutan, gua hanya tersenyum sahaja sambil menDunhillkan diri sendiri. Mereka tidak tahu, sekejap tadi sememangnya gua berpusing-pusing di dalam hutan itu hampir tiga jam tanpa mengetahui di mana gua sedang berada, dan ke mana harus gua tuju.

Selesai mendunhilkan diri, gua berlalu pergi ke khemah. Sambil itu gua kata kat dua orang ranjer itu : “Hutan Tawai-Tawai memang sangat tebal, dan aku sudah bersekolah di dalamnya!”.

Mereka melihat gua dengan mata terkebil-kebil.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...