Monday, 28 June 2010

Aku Sentiasa Berdoa untuk Kamu

Babe,
Aku tidak pernah berada jauhpun dari laman kamu, sebenarnya. Cuma mungkin aku lebih sangat bersunyi-sunyi sekarang ini. Dari luar jendela tingkap rumah kamu, aku tinggalkan “diri” aku di situ untuk melihat kamu. Aku teringin sangat mahu mengucapkan “selamat pagi” untuk kamu setiap kali kamu membuka jendela rumah kamu pada setiap awal pagi, seperti yang pernah aku lakukan seketika dulu. Tapi aku sendiri bagaikan sudah kehilangan kekuatan untuk berkata-kata dan memberi salam apabila warna di jendela itu aku sendiri pun tidak tahu calitan apa warnanya sekarang ini. Rasanya, aku bimbang sebenarnya. Atau mungkin juga aku sendiri yang tertegun tanpa rasa apabila jelmaan beberapa ekor sang pawana yang tiba-tiba masuk ke dalam kamar istirahat aku dan ketawa berdekah-dekah tanpa henti.

Kadang-kadang aku seperti terperangkap dan terbenam di dalam janji yang aku sendiri bangunkan. Misalnya, apabila aku berjanji yang aku akan menggelonsor turun daripada bilah-bilah pelangi apabila sampai ke titik yang aku katakan, maka aku harus menjelmakan janji itu menjadi satu hakikat. Aku harus menggelonsor turun walaupun 7 bilah warna pelangi itu tidak memberi apa-apa yang salah kepada aku. Tetapi, kerana aku sudah berjanji, maka aku harus patuh kepada janji itu. Aku bukannya seorang laki-laki yang berada dalam sekumpulan manusia yang mencatat janji pada panji-panji, dan kemudian akan membakarnya sendiri apabila janji itu sendiri yang telah memamah setiap inci daging dan kulit mereka.

Aku sangat menghormati kamu. Sejak dulu, aku memang selalu menghormati kamu. Dan aku akan terus menghormati dan menyokong kamu walau siapa pun kamu. Itu tiada sebarang kompromi. Jadi tiada sebab untuk aku terus hilang ghaib tanpa mempedulikan kamu. Jadi babe, aku ada sebenarnya, walaupun aku seperti tiada. Mungkin di balik-balik daun di luar pagar laman rumah kamu, aku ada di situ, duduk-duduk sambil bermain-main dengan angin.

Sebenarnya, aku tidak mahu dilihat dan dianggap sebagai si penyibuk yang entah apa-apa. Apabila aku kepingin menegur kamu, aku tentunya akan bertanyakan tentang itu dan tentang ini. Aku mungkin akan bertanya tentang tanah yang engkau telah pijak. Mungkin juga aku akan bertanya tentang baris-baris ayat masa yang kamu susun. Atau mungkin juga aku akan kata “jangan” dan “tidak” pada apa-apa yang aku rasakan tidak sepatutnya kamu berada di situ atau berbuat sesuatu.. Aku juga mungkin akan bertanya tentang resah dan gelisah kamu. Dan aku cukup risau kalau semua rasa ingin tahu aku itu akan sangat menganggu kamu.

Aku bukanlah hulubalang yang mempunyai kekuatan 7 kadim yang mampu mengalahkan setiap musuh yang datang dengan sekali hembusan. Atau, aku juga bukanlah pawang yang mampu memanggil sehelai sirih bertemu urat dan kemudian bisa meramalkan apa yang akan diturunkan oleh Tuhan pada besok pagi. Namun aku tidak akan menjadi sang kalandar yang mengharap hidup pada ehsan orang lain. Aku hanya ingin melihat kamu sentiasa sentosa dan sejahtera tanpa beralih ke arah denai berlumut yang licin yang mungkin akan merebahkan kamu sendiri. Kamu pernah rebah. Walau kamu kata kamu tidak apa-apa, tapi aku tahu sakitnya tetap ada.

Babe, aku sentiasa berdoa untuk kesejahteraan kamu walaupun aku seperti lenyap dan sirna.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...