Friday, 30 July 2010

Aku Mengizinkan Kau Pergi

Wahab hanya melihat sahaja lalu lalang kereta ketika jam sudahpun hampir kepada tujuh malam. Kereta yang lalu lalang membawa setiap manusia, berpergian atau pulang. Awan yang mengapung di tirai tirai bukit bukau kini mulai diwarnakan dengan merah dan kuning, berjajar jajar seperti warna dikanvas lukisan seorang lelaki yang begitu malas dan bermenung. Wahab melihat alam yang perlahan lahan bertukar menjadi gelap. Walaupun ada lampu yang terpantul panjang berjela jela dari kereta yang lalu lalang atau dari lampu lebuhraya namun tidaklah sama seperti siang, hitam diwarnakan di setiap sudut, di birai birai bukit, di tirai horizon dan jauh di kalbu zulmatnya.

Wahab kemudian menulis di perca kertas, perlahan lahan kalamnya menari:

…dan engkau semakin jauh
begitu jauh dan aku,amat terasing.

Dan kemudian Wahab mengangkat kepalanya, malam jelas sudah melebar, dia kembali menulis:

…tidak akan ada pertanyaan, mengapa?
kerana ada kemilau cahaya di hujung terowong
membinarkan sedar dan apakah yang sirna?kasih.
biarlah……terputus bagai tali rapuh

namun aku berdiri di sini, bertunjangkan kenangan
kerana tidak mudah, tidak mudah.

Wahab menarik nafasnya dengan dalam dan kemudian melepaskanya perlahan, dia terus menulis untuk melengkapkan ayat ayat terakhir:

namun
aku tetap di sini.walau engkau semakin jauh
semakin jauh.

Wahab membaca kembali tulisannya, membaca kali kedua, kali ketiga dan kali keempat. Kemudian perca kertas itu melayah terbang ditiup angin, jauh dan jauh. Malam kini benar benar telah dilabuhkan. Gelap gelita mengongsi alam maya.


[Gua tersasar ke satu blog ini. Dan gua terbaca satu posting [yang di atas]. Bila gua baca, ada macam persamaan dengan satu posting yang telah gua conteng. Gua tau, ini satu kebetulan. Tapi contengan Lope, lagi bernyawa kalau dibandingkan dengan contengan gua.]

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...