Thursday, 15 July 2010

Dulu-dulu

Selepas tidak lagi tinggal di Kolej Dayasari, gua telah menyewa sebuah rumah di Kampung Pasir Baru. Agak jauh juga lokasinya. Dari pintu utama UM di KL Gate, gua harus menyusur Jalan Pantai Bharu, melintasi pintu masuk utama Angkasapuri, melepasi rumah-rumah setinggan di Pantai Dalam yang berselerak susunannya, dan kemudian menyeberang pula secara haram landasan keretapi [mana ada kebenaran untuk melintasi landasan keretapi secara sah!] untuk sampai ke Kampung Pasir baru. Selalunya bila hujan lebat, laluan ke sana akan penuh dengan air hujan yang tersekat dan terkepung, kadang-kadang hingga ke paras paha. Apabila ini berlaku, gua terpaksa keluar melalui pintu utama yang kedua iaitu PJ Gate, menyusur Hospital Universiti [sekarang dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya],mengambil Jalan Gasing dan terus menghala ke depan sehingga ke Jalan Kelang Lama. Dari Jalan Kelang Lama yang menghala ke KL, sebelum tiba di simpang OUG yang terletak di sebelah kanan, gua akan mengambil satu simpang ke kiri untuk sampai Kampung Pasir Baru. Tatkala itu, Jalan Kelang Lama sangat gah dengan kesesakan lalu lintas yang sampai ke tahap giler babi selain jalan yang berlubang-lubang dan bertampal-tampal di sana sini.

Tuan punya rumah sewa tempat gua menyewa bernama Kassim Tunggal, seorang ahli perniagaan. Macam-macam perniagaan yang dia buat. Di depan pejabatnya, berderet-deret lori kepunyaannya. Pertama kali gua bertemu dengan Kassim Tunggal, gua fikir kalau dia ada anak perempuan, mesti anak perempuannya cun giler! Sebabnya gua tengok Kassim Tunggal ni ada iras-iras seperti lelaki Bollywood. Walupun sudah berumur, ketampanannya masih terserlah. Dengan tubuhnya yang tinggi dan sasa serta seutas rantai emas sebesar ibu jari melilit di lehernya, memang Kassim Tunggal nampak elegan dan macho.

Dan selepas itu gua tahu memang Kassim Tunggal mempunyai seorang anak perempuan yang memang cun giler. Tinggi lampai, berkulit putih melepak, sepasang mata yang sangat galak dan menawan, serta hidungnya pula sangat mancung.

Waktu gua baru menyewa di rumah kepunyaan Kassim Tunggal, anak perempuannya itu baru memenangi pertandingan Dewi Remaja. Kadang-kadang, setiap petang anak perempuannya itu akan bersiar-siar di hadapan rumah sewa bapaknya dengan kereta proton yang dimenanginya dalam pertandingan tersebut. Kadang-kadang gua dengan kawan-kawan yang lain bersidai kat depan rumah sewa kami pada setiap petang. Anak perempuan Kassim Tunggal ni walaupun cun dan datang daripada famili kaya, tetapi dia tidak sombong dan angkuh. Seringkali apabila melihat gua dengan kawan-kawan gua yang lain [walaupun kami kelihatan seperti kutu], dia akan membunyikan hon, melambai-lambaikan tangannya dan akan tersenyum manis. Maklumlah kami ni penyewa rumah bapaknya yang tak pernah terbabas melunaskan sewa apabila cukup bulan. The good pay master, kata orang kampung gua. Dan ada juga sekali dua dia memberhentikan keretanya di hadapan rumah sewa bapaknya itu, dan berborak-borak dengan kami. Memang sangat ramah. Walau baru pertama kali bertemu, tetapi seperti sudah kenal bertahun-tahun. Lagi satu yang gua suka tentang dia ialah, dia ni sempoi habis. Dengan hanya ber t-shirt dan berseluar denim, dia akan sama-sama bertenggek atas tangga batu sambil mengunyah-ngunyah pisang goreng yang dia bawa. Dia sangat tak kisah walaupun namanya sudah mula meniti dalam dunia hiburan tanah air.

Tetapi, selepas itu anak perempuan Kassim Tunggal itu sangat jarang-jarang kelihatan. Gua serta rakan-rakan gua yang lain pula terus sibuk dan tenggelam dengan pengajian di UM. Rumah sewa kami hanya menjadi tempat untuk tidur dan menukar t shirt dan jeans yang berbau hapak dan masam.

Anak perempuan Kassim Tunggal yang bernama Aleeza Kassim itu kemudiannya telah menjadi super model dan pelakon terkenal tanah air.

Sha’ari, kawan gua yang bermisai paling tebal kata, “Ishhh…rugi aku tak tekel dia dulu,” sambil menepuk dahinya setelah mengetahu Aleeza Kassim menjadi seorang artis.

Kemudian gua balas, “Takper, mak dia ada. Masih cun lagi tu!”.

Nota tumit kaki : Kampung Pasir yang ada sekarang sudah menjadi terlalu moden. Hampir 95% Kampung Pasir yang lalu sudah lenyap digigit raksasa pembangunan. Sebaik kembali dari Sandakan, gua cuba menyusur kembali laluan-laluan yang pernah gua lalui, mencari gerai roti canai tempat gua selalu lepak, meninjau-ninjau studio tempat kumpulan Loving Born [yang pernah gah dengan lagu Terima Kasih] selalu praktis, dan tertanya-tanya gerai pisang goreng kepunyaan seorang makcik yang kuat melatah…. namun yang gua lihat ialah lebuh raya bertingkat yang sangat besar. Dan gua telah tersesat di tempat yang pernah gua tinggal suatu masa dahulu. Ternyata nostalgia yang ada dalam diri tak mampu untuk melawan arus pembangunan yang kuat bergelombang.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...