Bertahun-tahun dahulu, kalau ingin pergi ke Sibuga, harus menggunakan sebatang jalan yang kecil. Di kiri kanannya dipenuhi belukar tebal. Selepas waktu tengah malam, tak ramai yang ingin menggunakan jalan tersebut. Waktu itu, Sibuga hanya dikenali kerana penjaranya, juga kerana kewujudan kompleks sukannya.
Sibuga menjadi sangat terpencil, waktu itu. Yang ada hanyalah sebaris blok kedai yang sangat sederhana. Ada sebuah mini market, kedai makan cina, dan sebuah pasar basah cina yang gua lihat seperti hidup segan mati tak mahu. Rasanya, 98% penduduknya ialah orang Cina.
Hanya ada dua pilihan jalan untuk ke Sibuga. Jalan yang pertama ialah melalui jalan utama KK-Sandakan. Melintasi Batu 4, sehinggalah bertemu dengan satu simpang di Batu 5 untuk masuk ke Sibuga. Atau alternatif yang kedua ialah melalui Tanah Merah-Jalan Leila, kemudian mendaki bukit yang mempunyai pusingan ‘patah riuk’, meredah belukar yang lagi tebal sehinggalah tiba di Taman Mawar.
Bertahun-tahun dahulu, setiap saban minggu, gua akan menghabiskan masa gua di Sibuga. Kawan gua, Mat Ju yang mengajar di St. Mary entah mengapa tinggal tanpa sengaja di sana. Mungkin kerana sewaktu mula-mula sampai di Sandakan, dia tak tahu ke mana harus dituju. Jadi, waktu itu hanya mengikut sahaja apa yang orang di sana aturkan. Waktu itu, tuan rumah memang berlumba-lumba untuk menyewakan rumah mereka kepada para guru graduated yang datang dari Semenanjung. Dengan menyediakan perabut yang paling asas, ada tv, ada dapur untuk memasak, ada peti ais, maka tuan rumah akan mendapat lebih seribu ringgit sebulan untuk rumah yang diberi sewa itu. Tapi bukan kami yang membayarnya, melainkan Kementerian pelajaran juga yang membayarnya!
Maka gua pun akan ikut berlabuh di sana setelah boring melihat bilik warden asrama SMK Sandakan yang penuh dengan lipas dan habuk. Mungkin kerana sunyi dan boring tinggal seorang diri di tempat jin bertendang itu, Mat Ju telah membawa seorang pelajarnya, Amit untuk tinggal bersama-samanya. Pertama kali gua tengok Amit, gua keliru. Namanya Melayu; Amit Bin Awang. Tapi mukanya sebijik macam budak Cina. Selepas Mat Ju soh~seh~soh~seh dengan gua berkenaan dengan Amit, baru gua faham. Memang la muka macam Cina sebab Amit memang budak Cina…..hahahahaha. Sampai sekarang, setelah bertahun tahun tahun tahun tahun… gua dengan Mat Ju masih lagi berkontek dengan Amit, yang kini dikenali sebagai Cikgu Amit dan bertugas pula di sekolahnya yang dahulu, St Mary. Dan Amit ini pula jenis yang tidak pernah melupakan orang-orang yang pernah mendidiknya.
Bertahun-tahun yang lalu, pada setiap petang Jumaat, gua akan ke sana, Sibuga. Gua akan mengambil bas Labuk atau mana-mana bas mini terlebih dahulu untuk pergi ke bandar. Di bandar, gua akan membeli dahulu apa-apa yang harus dibeli untuk menjamin gua tak kebulur semasa berada di Sibuga. Kalau terputus bekalan makanan di tengah malam semasa di Sibuga, bukannya ada kedai makan yang dekat-dekat situ. Nak keluar ke bandar, bas memang sudah tiada. Masa tu gua dengan Mat Ju masih tak punya apa-apa. Motosikal buruk pun belum ada lagi. Kami masih lagi sesama haprak masa itu. Kami ialah jejaka yang tidak ada harta dibawa bekal. Jejaka yang terlontar jauh dari keluarga dan kekasih.
Bertahun-tahun dahulu, gua sangat suka akan sejenis ikan yang tulang-tulang halusnya banyak menyulam pada dagingnya. Ikan itu banyak dijual di pasar Sandakan. Kalau tak silap gua, di Sandakan ikan itu dipanggil ikan kuaci. Masa itu, harganya masih sangat murah. Tak sampai seringgit untuk satu kilo.[Dalam masa beberapa tahun, harga ikan tersebut naik secara mendadak]. Dan gua juga tak lupa membeli buah salak. Kalau di semenanjung, untuk mendapatkan buah salak agak payah dan harganya pun mahal. Tapi kalau di Sandakan, hari-hari boleh bertemu dengan salak dan harganya sangat murah. Kerana harganya yang sangat murah dicampur dengan kedaratan gua yang sangat jarang makan buah salak, maka gua akan membeli salak dengan tandan-tandannya sekali dan melantaknya di rumah sewa Mat Ju di Sibuga. Gua makan buah-buah salak itu macam esok dunia akan tamat.
Kawasan rumah sewa Mat Ju mempunyai tanah yang sangat luas dan lapang. Ada beberapa batang pokok jambu air yang tidak pernah putus-putus berbuah. Bertimbun-timbun buah jambu air itu yang gugur di pangkal pokok. Ada suatu ketika, gua dengan Mat Ju memetik buah-buah jambu air yang ranum. Tetapi kebanyakkannya berulat di dalamnya. Semasa sedang memetik jambu tersebut yang terletak di belakang rumah, gua terpandang satu timbunan tanah. Gua agak dah lama sebab rumput-rumput pun sudah melebat di situ.
“Apa tu?” gua tanya Mat Ju sambil menunjuk ke arah timbunan tanah itu.
Mat Ju memandang timbunan tanah itu tanpa apa-apa reaksi. Bersahaja.
Kemudian, tiba-tiba dia kata “Kubur”.
Bila Mat Ju menyebut ‘kubur’, gua terkedu. Ada kuburan di belakang rumah!
“Cuba kau tengok betul-betul. Kubur budak kecil tu. Mungkin kubur kanak-kanak.” kata Mat Ju lagi.
Gua perhatikan betul-betul ke timbunan tanah itu. Memang ada bentuk seperti kubur.
“Anak tuan rumah kot kat dalam tu,” gua kata.
Kemudian gua membuat andaian : Mungkin kerana terlalu sayang akan anaknya, maka mereka telah mengambil keputusan untuk mengebumikan anaknya di belakang rumah. Atau mungkin kerana kawasan perkuburan yang jauh, mereka telah mengambil keputusan untuk mengebumikan sahaja anak mereka di belakang rumah. Lagipun waktu itu Sibuga memang sangat terpencil lokasinya.
Kemudian gua dengan Mat Ju berlalu pergi. Kami tak kisah langsung. Sama ada itu kubur atau tidak, kami tak rasa apa-apa walaupun mungkin akan ada orang akan tanya “Kau tak dengar apa-apa bunyi malam-malam?”.
Sibuga waktu itu sangat terpencil, dan di belakang rumah ada kuburan. Kadang-kadang agak menyeramkan juga pada waktu malam apabila selalu sahaja bekalan elektrik terputus. Dalam keadaan yang gelap gelita, kalau tiba-tiba terdengar bunyi kanak-kanak menangis di belakang rumah, mau juga terluruh jantung.
Beberapa bulan yang lepas gua kembali ke Sandakan. Gua lihat Sibuga sekarang ini sudah banyak berubah. Tempat untuk araimatih pun sudah ada di Taman Mawar. Di Sibuga, sudah tiada lagi tempat untuk jin bertendang.
Siri percakapan daripada seorang manusia kecil, Dihimpun sesuka hati dia. Dia belasah apa-apa sahaja. Dia memuji apa-apa sahaja. Dia memaki apa-apa sahaja. Kadang menjadi seorang rebel. Kadang-kadang menjadi seorang romantikalasofa. Kadang-kadang bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan. Kadang-kadang bercita-cita menjadi Tok Peran dalam Makyung.
Thursday, 22 July 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.
D an. Hujan. Pun. Gugur. Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan. Bi...

-
Keling. ini istilah yang digunakan oleh orang-orang MELAYU. Sejak zaman-berzaman istilah itulah yang digunakan untuk merujuk kepada sekelom...
-
Merenung langit memang tak ada apa-apa. Langit malam memang kelam. Lu tak akan nampak apa-apa. Tapi di beberapa lapisan langit ada rahsia Tu...
-
Gua sudah lupa nama dia. Tapi susuk wajah dan binaan tubuhnya, gua masih ingat. Hari itu hari pertama cuti penggal persekolahan. Asrama SM...
-
Dan kalau kamu melihat aku bercakap bersama angin, kamu harus faham, kita harus kekal menjadi orang asing yang sempurna
-
Gua kata kat dia, kau punya ameno berubahlah. Lima tahun lagi tak lama, kata gua lagi. Kau punya ameno berubah, Melayu akan pakatpakat bali...
-
Waktu aku kat kampus, selain Search dan Wings, aku juga layan Cromok. Waktu tu, Karl, Mizi, Sam dan Din (al-fatihah untuk allahyarham) masi...
-
Kawasan rumah gua memang menjadi port para negro. Gua tak tau apa yang menariknya dengan kawasan rumah gua. Gua memang sangat rimas dengan...
-
“Kamu pigi lagi. Jangan kamu biluk-biluk. Ada juga hospital di sana tu” kata pemuda itu. Hanafiah angguk-anggukan kepala. Gua dengar-dengar ...
-
Petang. Pertengahan Mei, 1992, gua mula-mula sampai di Sandakan. Perjalanan dengan bas ekspres (bas ekspres?) dari KK membawa gua ke ter...
-
*entri ini berjantina 18 SX. Membaca atas risiko sendiri* Suatu pagi. Di atas kerusi sebuah warung. Ada penulis bernama A. Kawannya jug...
No comments:
Post a Comment