Tuesday, 14 June 2011

Jalan Pintas ke Syurga

Masa di Lembah Pantai, gua belajar lingusitik Melayu. Dia belajar medik. Tahun pertama, gua dengan dia menghuni Kolej Lima. Sebab kami sama-sama marhaen, kami sama-sama mengatur tapak ke fakulti. Fakulti gua lebih dekat. Jadi peluh gua tak sebanyak peluh yang dirembeskan untuk ke fakultinya.

Gua suka masuk bilik muzik. Dia juga suka masuk bilik muzik. Gua hanya tahu petik-petik string gitar sahaja. Tapi dia selalu tukar-tukar. Hari ini petik string gitar, besoknya pukul dram pula, manakala lusanya dia belasah gitar bes. Memang dia boleh main macam-macam.

Dia memang genius. Sewaktu kawan-kawan sekuliah dia yang lain makan buku kerana exam, dia pula sibuk main ragbi sampai patah hidung. Jadahnya, dia pegi exam dengan hidung berbalut. Tapi dia tetap skor.

Gua habis belajar, gua pegi Sabah. Dia pula buat housemanship. Itulah kali terakhir gua jumpa dia.

Sehinggalah gua terjumpa semula dengan dia. Gua hampir-hampir tidak cam. Berserabai macam mat gelandangan.

"Lu pehal?" tanya gua.
Dia tak jawab. Sengih tidak. Mencuka pun tidak. Muka tak ada emosi langsung.

Gua heret dia ke kedai mamak. Gua pesan dua gelas besar teh tarik.
Gua letak Dunhill atas meja. Dia tarik satu demi satu, bersambung puting. Macam orang ketagih nikotin.

Gua tengok muka dia. Gua agak, kawan gua yang genius ini sudah tersalah pilih jalan. Tapi gua diam sahaja. Gua tak mendesak dia bercerita. Gua tunggu dia bercerita.

"Berapa tahun lu kat Sabah?" dia tanya.
"10 tahun" kata gua.
"Bini lu orang Sabah?" dia tanya lagi.

Gua diam, dan dia juga diam.

Kemudian dia kata, "Gua dulu 6 tahun kat Hospital Ipoh. Gua kawin sama budak Ipoh. Nurse."

Nikotin dia sedut dalam-dalam.

Kemudian dia sambung, "Pastu gua balik KL. Gua buka Klinik sendiri kat Pandan."

Kemudian dia bla! bla! bla! bla!

Gua lebih banyak mendengar.


*****

Dia memang seorang yang genius. Dia mampu meraih gelaran doktor. Dia ada pendapatan yang lumayan. Dan dia sangat sibuk dengan kliniknya.
"Demi anak-anak dan isteri gua," dia kata.

Namun, dia terlalai. Dia terlalai untuk melihat-lihat isterinya. Dia tidak dapat mencium kecurangan isterinya. Sehinggalah pada suatu ketika dia melihat sendiri isterinya bersama dengan lelaki lain di atas ranjang.

Gua paham kekecewaannya. Cuma gua tak paham kenapa dia memilih jarum suntikan untuk dicucuk ke dalam tubuhnya. Gua tak paham kenapa dia memilih marijuana. Mungkin kekecewaannya sangat dalam. Menyebabkan dia memilih jalan yang singkat tetapi malap.

Akhirnya, dia hilang semua yang dia sayang. Dia hilang isterinya. Dia hilang anak-anaknya. Dia hilang pekerjaannya. Dan dia hilang dirinya.

Dia telah memlilih jalan pintas untuk ke syurga untuk lari dari neraka dunia.

1 comment:

  1. Semoga dia diberi kekuatan: taufik dan hidayah. Amin.

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...