
Hiburan malam zaman kanak-kanak kampung, adalah nihil. Hanya mengaji Quran di rumah tok guru. Hanya sesekali sahaja apabila ada Main Puteri atau Membageh sahaja, maka zaman kanak-kanak gua sedikit terlibur.
Atau kadang-kadang menonton mak yung.
*****
Zaman dewasa gua, terlepas semua itu. Tidak ada Main Puteri. Tidak ada lagi Membageh. Kerana itu, apabila mak yung dihidupkan di Istana Budaya, gua kembali mencari liburan kanak-kanak yang telah hilang itu.
Bersama perawan kecil gua, gua melihat kembali liburan kanak-kanak gua. Walaupun gua terpaksa menjadi sang narator secara langsung kepada perawan kecil gua, gua masih sempat meraup kembali liburan zaman kanak-kanak gua.
Perawan kecil gua bertanya pelbagai soalan. Semenjak dari mula hingga ke penamat cerita.
"Kenapa dia pakai baju kelip-kelip?"
"Itu raja dan adiknya. Tengok, kan ada mahkota di kepala mereka?"
"Kenapa selalu sangat raja dan princess tu nyanyi?"
"Mereka bercakap sebenarnya. Tapi dibuat macam lagu. Dengar betul-betul, mereka sedang bercakap-cakap"
Apabila sekumpulan jin tiba-tiba muncul, perawan kecil gua memegang kuat-kuat lengan gua.
"Takut" dia kata.
Mak yung di Istana Budaya ada perbezaan dengan mak yung zaman kanak-kanak gua. Ketika gua kanak-kanak, mak yung sangat miskin. Putera puteri rajanya hanya memakai mahkota yang pudar warnanya. Kadang-kadang busananya carik di hujung. Berdendang dan beraksi di bawah bangsal bertiang bambu, berbumbung pelepah-pelapah kelapa. Lampu gasolin diletakkan bergantungan di beberapa penjuru tiang bambu.
Mak yung di Istana Budaya sangat mewah. Busananya indah, hinggakan Pengasuh Tua dan Pengasuh Muda pun berbusana cantik. Ada lampu kelap-kelip pancawarna. Ada asap tatkala sekumpulan jin muncul. Suara jin bergema kasar kerana terjana oleh mesin. Dan para penontonnya duduk penuh santai di atas kusyen dalam dewan berbentuk Roman Theatarical.
Apabila mak yung di tangan para pelakon yang bukan anak jati Tanah Serendah Sekebun Bunga, kata-kata yang diucapkan agak janggal bunyinya. Telornya menjadi pelik. Enam puluh peratus keaslian mak yung telah kabur.
Mak yung di Istana Budaya bukan sepenuhnya mak yung zaman kanak-kanak gua.
*****
Gua keluar dari Istana Budaya dengan mengenggam tangan perawan kecil gua. Walaupun banyak yang telah kabur dan hilang, gua telah membawa kembali perawan kecil gua menelusri denai budaya para leluhurnya. Ketika gua seusia dengan perawan kecil gua, gua sendiri yang mencari mak yung. Manakala perawan kecil gua pula dalam usianya ini, gua yang mengenggam tangannya untuk masuk dan mencari denai leluhurnya yang semakin mengecil. Gua tak pasti, apakah perawan kecil gua akan berkesempatan untuk mengenggam tangan kecil zuriatnya apabila dia seusia dengan gua sekarang ini.
No comments:
Post a Comment