Thursday, 2 June 2011

Hijrah

Beberapa kali gua layan Sham Kamikaze goreng gitarnya depan mata gua. Dengan muka hensemnya, anting-anting di sebelah telinganya, Sham goreng gitar macam makan nasi beriyani kari kambing. Sedap dan lazat.

Sekarang, anting-anting sudah tidak ada di telinganya. Sham lebih selesa dengan kopiah dan jubah. Orang kata dia sudah berhijrah. Gua kata, 'Baguslah'.

Tentang artis yang berhijrah ni, bagi gua adalah lumrah. Sebelum ni pun ramai juga artis yang berhijrah. Gua mula tahu artis yang berhijrah ni setelah gua mulai masuk sekolah menengah. dR Sam Rasputin yang terkenal dengan irama raggaenya ialah artis pertama yang gua tahu melakukan penghijrahan ini. Dengan jambang dan serbannya, dR Sam memasukkan dirinya dalam satu jemaah dakwah. Mula-mula, sekali sekala dia berlakon juga. Sekali sekala dia juga merakamkan lagu. Tapi kemudian, dia menyepi terus dari dunia hiburan dan meneruskan kehidupannya dengan jamaah yang disertainya.

Ketika gua di hujung-hujung sekolah menengah, Ramli Sarip juga menunjukkan ciri-ciri untuk berhijrah. Lagu-lagunya banyak bercerita tentang keislaman. Sebab gua minat dengan muzik keras yang dibawa oleh Ramli Sarip, gua sentiasa mengikut perkembangannya. Gua pernah melihat Ramli Sarip di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar mengerjakan solat Jumaat. Dengan berjubah dan berserban, dia berada di saf yang paling hadapan.

Kemudian, sewaktu gua di UM, gua pernah terserempak dengan seniman Azmil Mustapha. Dia seorang pelakon popular masa tu. Dia juga pernah buat album berentak jazz. Masa gua terserempak dengannya di Perdana Siswa, Azmil memakai baju Melayu. Penampilannya sudah nampak sedikit Islamik. Dan kemudian, gua dapat tahu Azmil terus komited dengan kerja-kerja keislamannya dan merantau ke beberapa buah negara di Timur Tengah semata-mata ingin mendalami Islam.

Gua juga pernah satu kali terserempak dengan bekas vokalist kumpulan Wings, Mel. Ketika itu dia berbusking di food court Riana Green, Bangsar. Sambil bermain gitar, dia bernyanyi bersama beberapa rakannya. Gaya dan penampilannya sudah lain. Bukan lagi gaya seorang rockers, tetapi gaya seorang ustaz. Mel juga telah berhijrah.

Sebenarnya, ramai lagi artis yang membuat penghijrahan. Dan dalam pemerhatian gua, kebanyakan artis lelaki yang berhijrah ini datangnya daripada aliran muzik keras. Macam Ramli Sarip, Mel, Akhil Hayy dan Amy Search. Bob Lokman juga berasal daripada kelompok itu.

Ada juga yang datang dari kelompok dang dut, macam Iwan.

Cuma yang membezakan mereka ialah mungkin cara dan lorong penghijrahan itu. Ada yang berhijrah, dan terus menjauhkan diri daripada dunia hiburan. Macam dR Sam, Mel, Izam [EYE], dan Azmil Mustapha. Ada pula yang terus berada dalam dunia hiburan walaupun sudah berhijrah, macam Ramli Sarip, Amy Search dan Sham Kamikaze. Ada juga yang mengambil pendekatan seperti berpatah arang dengan dunia hiburan, macam Bob Lokman. Akhil Hayy juga pernah mengambil jalan seperti jalan yang diambil oleh Bob Lokman sekarang.

Walau apa pun cara dan lorong yang mereka pilih, gua percaya niat dan tujuan mereka cuma satu sahaja. Banyak orang yang marah-marah apabila Bob Lokman memilih pentas parti politik pembangkang untuk berdakwah. Cuma yang marah-marah itu tidak pula meluahkan kemarahan mereka kepada gejala keruntuhan akhlak anak-anak muda, setara dengan kemarahan mereka yang dituju kepada Bob Lokman. Bagi gua, sekurang-kurangnya Bob Lokman telah melakukan kerja Tuhan, tidak seperti orang yang marah-marah itu.

Beb, lu hormat la sikit pada jalan yang diorang telah pilih.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...