Tuesday, 25 May 2010

Sebelum Kamu Mahu Melenyapkan Nyawa Kamu Sendiri

Kamu ingin mengambil nyawa kamu sendiri. Nah, persilakan. Tiada sesiapapun yang mahu menghalang. Tapi, aku ada beberapa nasihat untuk kamu.

1. Jadilah Selebriti Dahulu
Apabila kamu adalah selebriti, maka kematian kamu itu akan dianggap sebagai satu tragedi kehilangan. Semua orang akan meratap kematian kamu. Kalau kamu bernasib baik, akan ada orang-orang lain yang akan turut membunuh diri lantaran rasa sedih kerana kamu telah mati. Adakah kamu seperti Kurt Korbain yang meletupkan kepalanya sendiri? Seperti Marilyn Monroe yang menelan pelbagai jenis pil tidur? Seperti Cleopatra yang membiarkan dirinya dipagut kobra Mesir? Atau sekurang-kurangnya seorang yang sangat kejam seperti Hitler? Kalau jawapan kamu “tidak”, maka aku kata, janganlah engkau persiakan hayat kamu. Atau kamu akan mati dalam keadaan yang sangat tidak dipedulikan oleh publik.

2. Binalah Sekta Sendiri
Buatlah satu kumpulan sekta kamu sendiri. Angkatlah diri kamu sebagai nabi dalam kumpulan itu. Dan pilihlah ahli-ahli untuk kumpulan sekta kamu itu dari kalangan orang-orang yang sepenanggungan dengan kamu. Orang-orang yang sudah tidak bermaya lagi untuk hidup dan menempuh hakikat sebuah kehidupan. Jangan kamu ambil dari kalangan orang-orang yang teguh pendiriannya terhadap hidup kerana ini akan meruntuhkan sekta yang sedang kamu bina itu. Atau sekurang-kurangnya kamu tidak akan diangkat sebagai nabi dalam sekta itu. Dan Apabila kamu telah dinabikan, kematian kamu akan diratapi oleh segenap umat sesekta tersebut. Kamu akan diingati. Kamu akan diratapi. Kalau kamu tidak mampu untuk menjadi nabi dalam sekta kamu-kamu sendiri, maka kematian kamu hanya akan menjadi statistik kajian dalam makalah dan jurnal pelajar perubatan dan para physcologist sahaja. Nah, kematian kamu hanyalah kematian yang memenuhi ruang jalur dalam kertas para pengkaji sahaja.

3. Katalah “Aku ingin meninggalkan dunia ini secara sengaja” Sebelum Kamu Membunuh Diri
Kalau kamu ada blog, maka buatlah satu posting yang bertajuk “Aku Ingin Mati dan Aku Benar-benar Maksudkannya”. Kemudian kamu tunggu respons dari para pembaca kamu [itupun kalau kamu ada pengikut setia yang membaca blog kamu]. Apakah mereka menjerit dan memekik kepada kamu “Jangan” atau reaksinya adalah nihil. Atau mungkin kamu boleh menulis pada kad manila “Malam Nanti Aku Akan Memotong Urat Nadiku” dan mengangkatnya tinggi-tinggi sambil berdiri di persimpangan lampu isyarat. Tunggu dan lihat reaksi publik. Kalau berduyun-duyun datang mengatakan “jangan” sambil memujuk kamu dengan linangan air mata, maka kamu teruskanlah niat kamu untuk membunuh diri itu. Kerana kamu adalah subjek yang sangat diambil tahu oleh publik dan kematian kamu akan diratapi dan diingati. Tapi kalau tiada sesiapapun yang ambil kisah, jangan kamu membunuh diri kerana kematian kamu itu tidak akan dipedulikan.

4. Kamu Harus Menjadi Seorang Fasis Terlebih Dahulu.
Macam Hitler, dia menembak dirinya sendiri bukan kerana putus cinta atau kerana selalu dimaki hamun oleh orang-orang Amerika. Hitler membunuh diri bukan kerana dia bercita-cita ingin membunuh diri sewaktu ditanya oleh gurunya semasa dia bersekolah rendah. Hitler membunuh diri kerana dia bercita-cita sangat besar dan tinggi. Dia ingin memerintah dunia. Dan dia telah gagal dalam cita-citanya. Nah, adakah kamu juga mempunyai cita-cita sebesar Hitler? Kalau setakat hidup kamu bergelora kerana dibebani hutang, ada jalan penyelesaiannya. Kalau kamu hanya putus cinta, belajarlah untuk menjadi seorang yang setia dan bijak. Lagi 3 tahun akan adalah yang akan menjadi kekasih sepanjang hayat kamu. Atau kamu tunggu sahaja lagi 30 tahun. Kalau kamu berdepan dengan masalah yang pelik-pelik, jangan bunuh diri. Pergilah belajar berenang. Berenang itu baik untuk menyelesaikan semua masalah. Tidak percaya? Belajarlah berenang dahulu.

5 Bunuhlah Diri Kamu Dengan Cara Yang Bukan Konvensional.
Terjun dari kondominium, itu konvensional. Menggantung diri sendiri pada kipas silang, juga konvensional. Menghiris nadi pada pergelangan tangan, sangat-sangat konvensional. Menelan pil-pil tidur dan pelbagai jenis dadah, terlalu konvensional. Dan alangkah rendahnya martabat kamu kalau sekiranya kamu terus memilih antara satu dari yang tersebut sebagai kaedah untuk menamatkan hayat kamu sendiri. Kamu akan menjadi satu kumpulan dengan orang-orang lain yang telah membunuh diri. Kalau kamu berniat untuk membunuh diri, pilihlah satu kaedah yang bukan konvensional. Satu kaedah yang bisa diingati oleh seru sekalian alam. Misalnya kamu mendidihkan air dalam sebuah periuk yang besar, dan kamu terjun ke dalamnya. Atau kamu ke puncak Krakatoa dan jatuhkan diri kamu ke dalam kawah gunung berapi. Nah, kamu telah melakukan sesuatu yang sangat tidak konvensional dan sesungguhnya kamu akan sentiasa diingati kerana menamatkan nyawa kamu dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Simpan sahaja tali gantung, pisau cukur dan pil-pil itu ke dalam mangkuk tandas.


Kalau kamu mahu mati, biarlah kematian kamu akan sentiasa diingati dan diratapi. Kalau kematian kamu tidak dipedulikan, kamu adalah manusia yang paling malang sehingga kamu membawa malang itu ke lubang kubur kamu sendiri.

Kamu masih mahu membunuh diri?

Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (An-Nisa' : 29)

Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah saw., bersabda : “Sesiapa yang membunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya.” (Shahih Muslim)

1 comment:

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...