Monday, 17 May 2010

Dunia Di Sebelah Sana

i

Dunia itu sudah lama ada di belakang gua.
Kadang-kadang gua berpaling ke sana. Melihat kesuraman. Imej-imej suram dengan garis-garis yang tidak menentu susunannya yang tersimpan dalam kotak yang dipatri dengan besi tuang yang paling berharga.. Gua sudah jauh pergi. Tapak-tapak kaki gua sudah lama terbenam di dalam pasir. Air hujan pula telah menghanyutkannya. Ada yang menumpang di dalam longkang, menghanyir dan membusung di situ. Ada juga yang terus hanyut ke dalam anak sungai, menghilir ke muara dan bersatu dengan masin air laut. Ada juga yang tidak ke mana-mana. Statik di situ. Dipanah hangat sinar suria, kemudian bertukar menjadi wap, mengapung ke langit dan dipanggil semula turun ke muka bumi.

Dunia itu sudah lama gua tinggal.
Namun ucap salam daripada mereka, tidak pernah terputus. Semakin jauh gua pergi, semakin dekat mereka datang. Mungkin kematangan hidup, menjadikan mereka memandang sesuatu itu dengan lebih bercahaya. Pada suatu ketika dahulu, mereka sering tersangkut-sangkut untuk bernafas. Dan gua akan menjerkah mereka untuk terus hidup. Supaya mereka terus bernafas. Jangan menjadi bak anjing yang tak bertuan di tanah sendiri. Hanya rasa ghairah untuk menyalak di balik bukit, tapi orang lain pula enak-enak meratah kekayaan yang ada di depan halaman rumah.

Dunia itu sudah lama ada di belakang gua.
Dari sebalik tanah dan laut ini, gua melihat dan mendengar cerita. Cerita tentang kegembiraan, cerita tentang gundah gulana. Memang hidup ini adalah permainan silangkata. Hanya perlu mencari aksara-aksara dan menyusunnya. Mengisi aksara yang betul pada kekotak kosong yang betul adalah hukum untuk terus hidup dan bernafas dengan licin. Tersilap memilih aksara juga adalah hukum hidup. Dan dari sebalik tanah ini dan di sebalik laut ini, gua lontarkan suara ini. Mengeluh dan mencebik bukanlah cara yang terbaik untuk terus hidup bahagia.

Dunia itu sudah lama gua tinggal.
Tapi pada setiap pertengahan bulan Mei, mereka datang semula.


ii

Di ibu kota Gajah Putih pula, keadaan menjadi semakin kacau. Bau peluru dan asap tayar terbakar menjadi satu pesta. Para lasykar melepaskan peluru kepada kelompok berbaju merah. Warna merah pada baju mereka menjadi darah yang tersembur dan membuak dari dada dan kepala mereka. [Alangkah.. di Malaysia, polis menembak orang hingga mati kerana melanggar lampu merah, di sana lasykar menembak orang yang memakai baju merah!]

Thaksin tetap nyenyak tidurnya di atas timbunan wang kertasnya. Manakala para pengagumnya tidur di atas aspal dan kaki lima yang keras dan pejal. Sangat bertuah menjadi Thaksin, beratus ribu sanggup meletakkan nyawa di hujung senjata api para tentera demi meletakkan dia semula di atas tahkta kerajaan. Tatkala ratusan ribu itu bermain-main dengan nyawa, Thaksin pula sedang enak-enak menghirup wain merah terbaik.

Kota Bangkok sangat kacau. Aku berharap engkau yang pulang ke sana, dan berjanji untuk aku untuk kembali semula ke sini tetapi kemudiannya senyap tanpa suara sentiasa baik-baik sahaja. Supranee Jamjaeng alias Nurlisa Abdullah, aku harap engkau baik-baik sahaja di tengah-tengah kota yang sedang membakar itu.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...