Tuesday, 25 May 2010

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula


Malam. Sepilok Laut

Malam itu sangat pekat. Di tengah-tengah belantara yang terkenal dengan orang utannya, memang tiada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi unggas dan bunyi angin sahaja. Koloni manusia yang terdekat pula ada kira-kira 2 km dari tempat gua dan pelajar-pelajar gua berkhemah. Selain itu hanyalah pokok-pokok, bintang-bintang dan angin malam yang dingin sahaja. Orang tua-tua kata, di tengah-tengah belantara, akan ada satu padang yang menghampar. Dan apabila gua berada di situ, gua percaya akan kata-kata itu. Gua sedang berada di padang yang menghampar di tengah-tengah belantara. Dan kata orang tua-tua di padang yang menghampar itulah adanya makhluk lain yang tinggal di situ.

Malam itu, sesudah pelajar-pelajar gua menjamah makanan,gua adakan aktiviti burung hantu. Pelajar lelaki gua bawa masuk jauh ke dalam hutan dan diletakkan duduk-duduk seorang diri. Pelajar perempuan hanyalah di pinggir sahaja, tapi masih lagi seorang diri. Kemudian, gua akan merayap ke sana sini melihat-lihat mereka, risau kalau-kalau ada sesuatu yang tak kena. Ini hutan belantara beb! Bukan padang permainan di hadapan rumah. Suria, Florence dan Lisa pula gua arahkan untuk menjaga khemah.

Selain menjenguk-jenguk yang berada di dalam hutan dan di pinggir hutan, gua juga harus ke tapak perkhemahan. Suria dan Florence juga harus gua pastikan keselesaannya agar tiada apa-apa yang aneh datang menyapa mereka.

“Cigu…” panggil Suria sebaik nampak gua menjenguk mereka.
“Macam bekalan makanan kita mo habis suda ni,” kata Suria. Florence hanya diam. Lisa juga diam Matanya sahaja berkelip-kelip.
“Untuk pagi esok, apa yang ada?” gua tanya.
“Rasanya kalau untuk 3 urang, boleh la,” kata Suria.

Gua menconggak-conggak sendiri. Sebelum masuk ke dalam belantara ini, gua telah membuat perkiraan yang rapi. Berdasarkan pengalaman yang lepas, bekalan yang dibawa memang berkecukupan. Dan pada pagi tadi pun gua masih sempat meninjau bekalan yang diamanahkan kepada Suria, Lisa dan Florence untuk menjaganya. Dan gua rasa memang cukup. Dan di tengah-tengah hutan tebal ini, gua tidak mahu memikirkan apa-apa yang boleh mematikan semangat gua sendiri. “Kehilangan” bekalan makanan itu gua simpan dalam diri gua.

“Ndapa, nanti saya fikirkan macam mana mo setel masalah ini,” kata gua sambil berlalu pergi. Pelajar-pelajar yang ditinggalkan di dalam dan di pinggir hutan harus gua jenguk.
Sambil berlalu gua kata, “Kalau ada apa-apa yang pelik, kamu tiup wisel kuat-kuat”.
Suria dan Florence tidak berkata apa-apa.
“Jangan risau, teda apa-apa. Ada juga renjer yang sedang menjaga kita,” kata gua. Dan pada malam itu sebenarnya gua berbohong kepada mereka kerana tiada seorangpun renjer yang ada di situ.

Selesai ‘burung hantu’, setelah semua pelajar berhimpun, setelah semua tiada apa-apa, dan setelah semua berada di khemah masing-masing, gua ke ‘dapur’. Suria, Florence dan Lisa masih di situ. Bersembang-sembang sesama mereka.

“Saya kena pergi ke daratan. Saya harus mencari dan membawa bekalan makanan. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa makanan,” kata gua.
“Tapi malam suda ba ini, cigu. Mo jam 1 suda,” kata Lisa.
“Tak apa. Saya tiada pilihan. Saya mesti ke HQ ranjer forest. Minta tolong hantarkan saya ke bandar sekejap,” kata gua lagi.
“Gelap ba cigu. Jauh juga HQ ranjer tu,” Lisa kata lagi. Suria dan Florence diam tak berkata. Tapi dalam samar pekat malam, gua dapat lihat keresahan pada wajah mereka.
“Biar kami temankan cigu,” tiba-tiba Suria bersuara.
Gua senyum.
“Tak apa. Biar saya pegi sorang-sorang. Berjalan di tengah malam dalam hutan, banyak yang buruk dari baiknya,” kata gua

Suria, Florence dan Lisa diam.

Gua bersiap. Sebilah pisau yang selalu gua bawa semasa berkhemah, gua genggam kemas-kemas. Semasa gua bangun untuk ‘mengembara’, Lisa menghulurkan lampu suluh.
“Mungkin ini akan berguna untuk cigu,” kata Lisa. Perlahan suara dia.
Gua ambil. Gua pandang ke muka anak-anak perawan yang mula meninggalkan angka belasan pada usia mereka. Garis-garis resah, risau dan takut ada pada wajah mereka.
“Bah, janganla kamu semua bimbang. Teda apa-apa juga tu nanti. Campin juga saya ni dalam hutan,” kata gua separuh bergurau. Gua senyum. Tapi senyuman tiada pada diri mereka.
“Ingat, jangan kamu mengasi tau sama palajar-palajar lain saya teda. Nanti entah apa-apa yang durang lakukan nanti. Kalau ada yang bertanya, katakan sahaja saya ada dalam khemah,” kata gua.

Gua bangun.
“Cigu…” kata Lisa. Perlahan suaranya. Sayu pada telinga gua.
Gua berpaling. Gua lihat Lisa. Gua sangat faham sinar yang terdapat pada mata Lisa. Gua menghampirinya. Sambil menggosok-gosok bahunya gua kata, “Jangan risau.”

Dan dalam pekat malam itu gua merentas hutan itu seorang diri. Tangan kiri gua memegang lampu suluh yang diberikan Lisa. Tangan kanan gua pula mengenggam pisau yang bersarung.

Malam itu, hutan Sepilok Laut sangat gelap. Gua harus merentas sejauh dua kilometer untuk ke HQ ranjers Jabatan Perhutanan. Gua hanya berjalan berpandu pada naluri dan daya ingatan sahaja. Dalam pekat malam, amat sukar untuk melihat denai. Lampu suluh yang diberikan Lisa tidak gua gunakan. Dalam hutan, amat tidak elok untuk menggunakan sesuatu yang bercahaya. Bimbang akan menarik perhatian hidupan yang tidak ingin gua lihat dan tidak ingin gua jumpa.
Semasa berjalan, gua teringat-ingat peristiwa seorang pegawai tentera muda yang sesat di dalam hutan Sepilok Laut selama berminggu-minggu, dan kemudiannya dijumpai rangkanya berhampiran Seguntor. Sangat misteri. Dan sekarang gua sedang berada di hutan yang sama pada tengah malan yang sangat gelap! Tapi gua tahu, Yang Di Atas akan menjaga gua.

Setelah bermain-main dengan malam yang pekat di tengah hutan, setelah mendengar bermacam-macam bunyi unggas hutan, dan setelah bermacam-macam imaginasi yang gua bayangkan, akhirnya gua sampai ke HQ Jabatan Perhutanan. Seorang ranjer terkejut apabila melihat gua setelah membuka pintu yang diketuk gua. Dengan sebuah bot laju, gua dibawa menyusur sungai menghilir ke muara Teluk Sandakan, dan kemudiannya berlabuh di jeti Tanah Merah.

Kemudian pada jam hampir 2.30 pagi, gua mengetuk sebuah kedai runcit di Tanah Merah.

Dan lebih kurang 2 jam kemudian gua sudah berada semula di tapak perkhemahan Sepilok Laut.
“Kan saya sudah kata, saya ni campin dalam hal-hal hutan,” kata gua sambil tersenyum kat Lisa.

Kalau gua diberi kesempatan untuk melakukannya sekali lagi, berjalan di tengah belantara pada waktu malam yang pekat, sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...