Wednesday, 26 May 2010

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula [ii]



Lembah Danum.

Sehari sebelum ini, gua dengan ahli-ahli KPA menjelajah belantara Lembah Danum. Dengan ditemani oleh dua orang petugas Pusat Penyelidikan Luar Lembah Danum, kami beransur-ansur masuk ke dalam belantara. Malam sebelumnya hujan lebat. Kerana itu, lantai belantara Lembah Danum sangat lembap dan basah. Dalam situasi yang lembap dan basah itu, pacat-pacatlah yang menjadi makhluk Tuhan yang paling aktif dan agresif. Betis-betis gua dan ahli-ahli KPA dipanjat oleh pacat-pacat yang menghisap rezekinya. Kadang-kadang gua terpaksa berhenti dan membongkok untuk membuang pacat-pacat yang sedang berpesta di betis ahli KPA yang ‘manja’ dan seram dengan pacat.

Keesokannya, gua dan ahli KPA menyeberang Sungai Segama melalui jambatan gantung yang untuk ke tebing sebelah sana. Dari atas jambatan gantung, gua melihat air sungai itu. Laju dan keruh. Mungkin kerana hujan lebat semalam, isipadu air Sungai Segama menjadi semakin perkasa.

“Kalau dapat bermain-main di tepian sungai ini, best juga,” kata gua. Nani yang berjalan di sebelah gua menyampuk, “jomlah kita ke sana.”
Gua diam. Gua tak memberi apa-apa respons.

Dari atas jambatan gantung itu, gua pandang ke dada Sungai Segama. Airnya yang kekuningan berasak-asak dari bahagian hulu untuk mencari hilir. Airnya yang keruh itu bagaikan menyimpan seribu macam misteri di hutan simpan tropika yang tertua itu. Seperti sebuah peti purba yang menyimpan pelbagai khazanah yang sangat berharga.

Kemudian gua turun ke tebingnya. Pasir ditebing, putih menghampar seperti di tepi pantai. Patutlah ada satu papan tanda yang tercatat “Pantai Sungai Segama”.

Gua bermain-main di tepian sungai itu. Melihat-lihat airnya yang meluncur laju. Ada pokok-pokok di tebing, dahan-dahannya menghulur ke dada sungai. Beroleng-oleng.

“Boleh la ba cigu, kita mandi-mandi di sini,” kata Nani. Pelajar-pelajar lain menyokong dengan riak muka masing-masing. Mereka seperti ingin menduga apa yang ada dalam arus yang laju itu. Gua tidak memberi apa-apa jawapan. Ini soal keselamatan.
“Selagi saya tidak memberi apa-apa arahan, jangan sesiapa yang gatal-gatal bermain dengan air sungai,” kata gua.
“Kenapa?” tanya mereka.
“Saya membawa 21 orang pelajar ke sini. Dan saya tidak ingin pulang dengan hanya 20 orang pelajar, kurang satu orang,” kata gua.
Dan mereka mendengar arahan gua tanpa sebarang bantahan. Memang mereka sangat mendengar arahan dan perintah. Kerana itu gua sangat senang untuk membawa mereka ke mana-mana aktiviti luar yang gua kepalai.

Gua tahu, mereka sangat ingin bermain-main di air sungai itu. Tapi gua harus melihat-lihat terlebih dahulu. Soal keselamatan, gua tiada kompromi.

“Kamu semua jangan ke mana-mana,” kata gua. Kemudian gua masuk perlahan-lahan ke dalam sungai. Di bahagian tepi, airnya tidaklah dalam. Sifat sungai di bahagian hulu memang begitu. Sangat cetek di tepi dan akan dalam tiba-tiba di bahagian tengah.

Setelah menduga-duga sungai itu, gua kata “Ok, kalau kamu semua mau mandi, mandi sahaja di bahagian tepi. Jangan sesiapa pun yang pandai-pandai mahu jauh dari sini.”

Dari atas hamparan pasir, gua memerhatikan mereka. Melihat mereka sangat berpesta di sungai itu, menyebabkan gua ingin merasai pesta tersebut. Gua kemudiannya bersama-sama mereka, dan perlahan-lahan gua berenang menyimpang arus ke tengah. Walaupun nampak deras, tapi tidaklah sampai mematahkan tenaga gua untuk berenang.

“Cigu!!” panggil Paridah.
Gua berpaling dan berenang ke tepian.
“Kita pergi ke tebing sebelah sana. Mau?” kata Paridah.
“Boleh ke kau sampai ke sana?” tanya gua.
“Saya sudah biasa ba cigu. Selalu juga saya berenang dalam sungai yang macam ni,” kata Paridah lagi.
“Deras air sungai ni,” kata gua.
“Kanapa, cigu takut ka…hahahaha” Paridah kata lagi.
“Kamu nak lumba berenang ngan saya?” tanya gua.
“Anytime ba cigu,” kata Paridah.
“Ok, kamu berenang dulu, saya berenang di belakang kamu,” kata gua.

Sebaik sahaja gua kata begitu, Paridah terus ke arah tengah sungai dan terus berenang. Gua, apabila melihat Paridah berenang gua spontan ‘mengejar’. Gua bimbang kalau-kalau Paridah tiba-tiba tenggelam, atau hanyut dibawa arus.

Paridah berenang di hadapan gua, gua berenang di belakang Paridah. Air sungai yang deras itu gua rasakan semakin lama semakin deras. Mata gua pedih. Gua tahan. Gua tak melepaskan pandangan gua ke arah Paridah. Setakat ini Paridah tiada apa-apa. Dia masih lagi berjaya mengapungkan dirinya. Perlahan-lahan Paridah sampai ke tebing sebelah sana. Gua mencecahkan kaki gua di tebing sebelah sana setelah Parida duduk-duduk untuk mengambil nafas.

Pelajar-pelajar gua di seberang tebing bersorak-sorai setelah melihat gua dengan Paridah berjaya meyimpang arus. Cehhhh…mereka tak tau yang cikgu mereka ini hampir putus nafas kerana penat menyimpang arus.

Gua duduk-duduk mengambil nafas yang hilang. Paridah pot pet pot pet menceritakan itu dan ini. Hampir sepuluh minit, gua duduk-duduk sambil melihat pelajar-pelajar gua di seberang sana.

“Cigu, jom kita balik ke sana!” kata Paridah.
Gua senyum, senyum yang tak menjadi. Gua membebel dalam hati, “Apa kejadahnya aku berenang menyeberang sungai yang berarus deras ni. Adehhh…nak kena berenang balik ke sana pula ni.”

Dan, kalau gua diminta sekali lagi untuk berenang melintangi arus sungai yang deras di bahagian hulu, dengan berseluar trek dan bertshirt, sungguh gua tak akan melakukannya lagi. Ada nyawa yang dipertaruhkan di situ sebenarnya. Sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...