Tuesday, 11 May 2010

Aku Ingin Kembali Ke sana.


Gambar ini telah menjadi sedikit kabur. Mungkin sudah agak lama. Tapi kekaburan gambar ini tidak bermakna ingatan gua telah kabur kepada mereka. Gadis-gadis yang sedang memanjat dewasa, yang sangat suka bercerita dengan gua. Maka, bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi gua apabila ramai hamba Allah di luar sana membebel entah apa-apa tentang keakraban gua dengan mereka. Gua sangat senang dengan mereka. Menjadi penghibur, adakalanya. Berbicara apa sahaja sebelum masing-masing masuk ke dalam khemah untuk bermain dengan mimpi. Tapi selalunya mereka akan 'setia menemani' gua sambil meletakkan kayu-kayu kering untuk menghidupkan unggun api yang semakin kecil. Kemudian gua dengan mereka sama-sama mencium bau asap unggun api sambil menyapu-nyapu kepala yang mula disingahi embun lewat pagi.

Apabila bercerita tanpa ada apa-apa tabir antara gua dengan mereka, gua menjadi lebih mengenali anak-anak Sabah. Tentang keluh-kesah mereka di bumi sendiri. Tentang masa depan yang masih lagi samar-samar. Dan kadang-kadang melihat air mata mereka yang bagaikan mutiara gugur satu demi satu apabila bercerita tentang keperitan hidup. Dan inilah yang ramai tidak faham. Tidak faham apa yang gua sedang buat dan sedang lakukan. Gua cuba masuk ke dalam diri mereka dan cuba memahami setiap liku perjalanan hidup mereka. Setiap mereka mempunyai jalan hidup yang berbeda, dan perbedaan itulah yang menjadi landas untuk gua berjalan ke halaman masa depan mereka.

Mereka ialah kelopak-kelopak kembang yang gua lihat harus dibawa untuk mekar di taman masing-masing. Bermula dari kudup, terbuka perlahan-lahan menjadi kembang dan seterusnya menebarkan aroma wangi ke segenap pelusuk alam.

***
Di situ, Sepilok Laut.
Merentas Teluk Sandakan dari jeti Jabatan Perhutanan di Tanah Merah dengan sebuah bot, kemudian menyusuri sungai yang diapit pokok-pokok bakau untuk sampai di sana, yang sebelumnya ada yang kata: “Engkau gila membawa budak-budak berkhemah di Sepilok Laut!”.

Hahahaha… mereka mengatakan aku seperti orang hilang akal hanya semata-mata membawa ahli-ahli Kelab Pencinta Alam bermain-main dengan alam hutan di Sepilok Laut. Hanya kerana seminggu sebelum itu seorang pegawai tentera yang tersesat di hutan sana yang kemudiannya dijumpai meninggal secara misteri, mereka menghakimi hutan Sepilok Laut penuh dengan makhluk halus yang akan menghisap darah setiap manusia yang berkunjung ke sana. Tapi gua kata, “Aku peduli apa!? Aku membawa anak-anak untuk mengenal anugerah Tuhan. Pendidikan bukan hanya setakat berada di atas bangku dan menopang dagu dengan dua tangan yang diletakkan di atas meja sambil mendengar cikgu berbla! bla! bla! bla!...”

Gua suka dengan hutan. Bau-baunya, bunyi-bunyinya, nyanyiannya. Ada anak sungai jernih, mengalir dengan malas dan ada anak-anak ikan bermain-main di dalamnya. Merasai gelap yang awal di dalam hutan kerana daun-daun pokok kayu menabiri panahan cahaya matahari senja, dan kemudiannya melihat jalur-jalur matahari pagi yang menyelit-nyelit dan menerobos silara bumbung hutan.

****
Tuhan,
aku ingin kembali ke sana, kembali mencium bau hutan, kembali berbicara dengan anak-anak dunia! Kembali akrab bersama mereka.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...