Thursday, 20 May 2010

Momen-momen yang Cantik.


Sebenarnya, sangat sukar untuk menjauhkan sesuatu yang menjadi kenangan. Ia seperti segumpal rambut yang bersimpul antara antara satu sama lain. Semakin ditarik, simpulannya menjadi semakin kental dan erat. Mereka adalah pemberi momen indah yang cantik untuk gua. Tatkala guru lain lebih senang untuk memilih berada di dalam kelas sambil melihat-lihat jam menanti tamatnya masa pembelajaran, gua pula sangat suka untuk memilih berada bersama-sama mereka. Makan apa yang mereka makan. Mandi di anak sungai yang sama, berkongsi mimpi dan cerita. Dan kadang-kadang bersila beramai-ramai di atas rumput sambil mengunyah-ngunyah megi mentah. Bersama-sama mereka, gua bermain-main dengan hamparan pasir yang memutih di Pulai Selingan. Meredah Laut Sulu dengan kapal nelayan [kapal yang percuma sahaja kerana seorang bapa telah bermurah memberikan khidmatnya] sambil melihat ada antara mereka yang pening-pening kerana olengan kapal yang meniti ombak yang kadang-kadang menaik dan menurun secara mendadak.

Bersama-sama mereka juga gua menyusur masuk ke perut Gomantong. Menghidu hancing kencing kelawar. Memijak lapisan-lapisan guano sambil melihat dengan penuh kagum para lelaki yang memanjat batang bambu untuk mengambil sarang burung layang-layang.

Bersama mereka juga gua meredah Lembah Danum, bermain dengan pacat selepas hujan yang turun pada waktu petang. Berjalan di lantai hutan yang basah hanya ingin melihat air terjun yang berada di tengah-tengah Lembah Danum. Dan mereka jugalah yang bersorak-sorai apabila melihat gua dengan Parida berlumba-lumba berenang merentasi Sungai Segama yang berarus deras. [dan setibanya di tebing sebelah sana, gua berasa sangat menyesal kerana terpaksa berenang sekali lagi untuk pulang ke tebing sebelah sini].

Mereka ialah anak-anak yang sangat jujur. Tiada kepura-puraan yang menjadi garis hidup mereka, waktu itu. Mereka akan berkata dan memberitahu apa yang mereka rasa patut dan harus diberitahu. Dan gua pula persis seorang pendeta yang mendengar dengan penuh minat segala citra-citraan mereka itu. Mendengar sambil mengangguk kepala, dan kadang-kadang gua akan menggosok-gosok bahu mereka apabila ada titis-titis mutiara yang gugur dari kelopak mata mereka yang bening. Memang sangat sukar untuk orang lain memahami apa yang sedang gua buat. Melihat seorang guru lelaki yang kadang-kadang pahanya menjadi bantal alas kepala pelajar perawan sering menjadi poin untuk mereka mennyatakan ‘kesalahan’ gua. Bagaikan gua telah melakukan satu kesalahan yang boleh meruntuhkan sebuah negara, gua sering diterkam dan diterjah dengan pelbagai sindiran. Tapi, gua tidak pernah menyimpannya ke dalam kantung hidup gua. Bagi gua, kalau mereka tidak mahu masuk ke dalam diri pelajar-pelajar, biar gua sahaja yang melakukannya.

Sekarang, masing-masing sudah mempunyai hidup sendiri. Dan gua tetap wujud seperti dulu. Apabila mereka lama hilang, dan kemudian muncul seorang demi seorang menyapa gua, gua merasakan suatu rasa yang sangat sukar untuk dijelaskan. Mereka hilang, tetapi kemudiannya mencari gua semula.

Dan gua tetap wujud seperti dulu.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...