Thursday, 27 May 2010

Untitled [ii]

Malam, aku sangat suka pada malam. Bersunyi-sunyi seorang diri sambil melihat bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang], mencium bau malam, sambil menjepit gulungan nikotin, sangat mendamaikan. Ada satu macam rasa yang sangat misteri tetapi mendinginkan.

Kemudian, katakanklah, ada hujan yang singgah pada senja tadi. Rumput-rumput sudah tidak lagi berbunga. Daun-daun lalang pula tidur di lantai hutan, maka pada waktu itu gua ingin tidur sambil melepaskan mimpi semalam. Mimpi yang ingin sangat aku lepaskan dan tidak mahu merinduinya lagi. Aku tak ingin menjadi helang yang pulang petang dan mabuk kepayang setiba di sarang, terbang menyongsang angin ke muka bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang] dan berlagu pada berlaku.

Embun yang mengering, biarlah ia mengering. Esok dinihari akan ada titis-titis embun lain, yang mungkin lebih dingin dan lebih jernih. Apa-apa yang masuk dan singgah sekejap, kemudian pantas berlalu pergi bak semilir dimusim tengkujuh…biarkan sahaja. Bukankah alam telah berhukum - hilang sesuatu pada hari ini akan digantikan dengan sesuatu pada hari esok?Berjalan dengan telapak kaki yang tercantas oleh paku-paku yang sangat bersembunyi, akan hanya sekejap sahaja. Musafir yang mengembara digurun tandus, akan sampai ke oasis juga di hujung jalannya.

Malam. Ingin aku lepaskan semua. Tidak lagi menjadi apa-apa untuk aku!

Selamat malam bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang]


[pada suatu malam, di Kota Damansara, Joanne telah berkata “Usah dibicarakan lagi tentang bintang”].

Wednesday, 26 May 2010

Untitled

aku
ingin
bersepi diam-diam
dan pupus berlama-lama.
wangian bunga
yang tak pernah ada
muncul tiba-tiba

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula [ii]



Lembah Danum.

Sehari sebelum ini, gua dengan ahli-ahli KPA menjelajah belantara Lembah Danum. Dengan ditemani oleh dua orang petugas Pusat Penyelidikan Luar Lembah Danum, kami beransur-ansur masuk ke dalam belantara. Malam sebelumnya hujan lebat. Kerana itu, lantai belantara Lembah Danum sangat lembap dan basah. Dalam situasi yang lembap dan basah itu, pacat-pacatlah yang menjadi makhluk Tuhan yang paling aktif dan agresif. Betis-betis gua dan ahli-ahli KPA dipanjat oleh pacat-pacat yang menghisap rezekinya. Kadang-kadang gua terpaksa berhenti dan membongkok untuk membuang pacat-pacat yang sedang berpesta di betis ahli KPA yang ‘manja’ dan seram dengan pacat.

Keesokannya, gua dan ahli KPA menyeberang Sungai Segama melalui jambatan gantung yang untuk ke tebing sebelah sana. Dari atas jambatan gantung, gua melihat air sungai itu. Laju dan keruh. Mungkin kerana hujan lebat semalam, isipadu air Sungai Segama menjadi semakin perkasa.

“Kalau dapat bermain-main di tepian sungai ini, best juga,” kata gua. Nani yang berjalan di sebelah gua menyampuk, “jomlah kita ke sana.”
Gua diam. Gua tak memberi apa-apa respons.

Dari atas jambatan gantung itu, gua pandang ke dada Sungai Segama. Airnya yang kekuningan berasak-asak dari bahagian hulu untuk mencari hilir. Airnya yang keruh itu bagaikan menyimpan seribu macam misteri di hutan simpan tropika yang tertua itu. Seperti sebuah peti purba yang menyimpan pelbagai khazanah yang sangat berharga.

Kemudian gua turun ke tebingnya. Pasir ditebing, putih menghampar seperti di tepi pantai. Patutlah ada satu papan tanda yang tercatat “Pantai Sungai Segama”.

Gua bermain-main di tepian sungai itu. Melihat-lihat airnya yang meluncur laju. Ada pokok-pokok di tebing, dahan-dahannya menghulur ke dada sungai. Beroleng-oleng.

“Boleh la ba cigu, kita mandi-mandi di sini,” kata Nani. Pelajar-pelajar lain menyokong dengan riak muka masing-masing. Mereka seperti ingin menduga apa yang ada dalam arus yang laju itu. Gua tidak memberi apa-apa jawapan. Ini soal keselamatan.
“Selagi saya tidak memberi apa-apa arahan, jangan sesiapa yang gatal-gatal bermain dengan air sungai,” kata gua.
“Kenapa?” tanya mereka.
“Saya membawa 21 orang pelajar ke sini. Dan saya tidak ingin pulang dengan hanya 20 orang pelajar, kurang satu orang,” kata gua.
Dan mereka mendengar arahan gua tanpa sebarang bantahan. Memang mereka sangat mendengar arahan dan perintah. Kerana itu gua sangat senang untuk membawa mereka ke mana-mana aktiviti luar yang gua kepalai.

Gua tahu, mereka sangat ingin bermain-main di air sungai itu. Tapi gua harus melihat-lihat terlebih dahulu. Soal keselamatan, gua tiada kompromi.

“Kamu semua jangan ke mana-mana,” kata gua. Kemudian gua masuk perlahan-lahan ke dalam sungai. Di bahagian tepi, airnya tidaklah dalam. Sifat sungai di bahagian hulu memang begitu. Sangat cetek di tepi dan akan dalam tiba-tiba di bahagian tengah.

Setelah menduga-duga sungai itu, gua kata “Ok, kalau kamu semua mau mandi, mandi sahaja di bahagian tepi. Jangan sesiapa pun yang pandai-pandai mahu jauh dari sini.”

Dari atas hamparan pasir, gua memerhatikan mereka. Melihat mereka sangat berpesta di sungai itu, menyebabkan gua ingin merasai pesta tersebut. Gua kemudiannya bersama-sama mereka, dan perlahan-lahan gua berenang menyimpang arus ke tengah. Walaupun nampak deras, tapi tidaklah sampai mematahkan tenaga gua untuk berenang.

“Cigu!!” panggil Paridah.
Gua berpaling dan berenang ke tepian.
“Kita pergi ke tebing sebelah sana. Mau?” kata Paridah.
“Boleh ke kau sampai ke sana?” tanya gua.
“Saya sudah biasa ba cigu. Selalu juga saya berenang dalam sungai yang macam ni,” kata Paridah lagi.
“Deras air sungai ni,” kata gua.
“Kanapa, cigu takut ka…hahahaha” Paridah kata lagi.
“Kamu nak lumba berenang ngan saya?” tanya gua.
“Anytime ba cigu,” kata Paridah.
“Ok, kamu berenang dulu, saya berenang di belakang kamu,” kata gua.

Sebaik sahaja gua kata begitu, Paridah terus ke arah tengah sungai dan terus berenang. Gua, apabila melihat Paridah berenang gua spontan ‘mengejar’. Gua bimbang kalau-kalau Paridah tiba-tiba tenggelam, atau hanyut dibawa arus.

Paridah berenang di hadapan gua, gua berenang di belakang Paridah. Air sungai yang deras itu gua rasakan semakin lama semakin deras. Mata gua pedih. Gua tahan. Gua tak melepaskan pandangan gua ke arah Paridah. Setakat ini Paridah tiada apa-apa. Dia masih lagi berjaya mengapungkan dirinya. Perlahan-lahan Paridah sampai ke tebing sebelah sana. Gua mencecahkan kaki gua di tebing sebelah sana setelah Parida duduk-duduk untuk mengambil nafas.

Pelajar-pelajar gua di seberang tebing bersorak-sorai setelah melihat gua dengan Paridah berjaya meyimpang arus. Cehhhh…mereka tak tau yang cikgu mereka ini hampir putus nafas kerana penat menyimpang arus.

Gua duduk-duduk mengambil nafas yang hilang. Paridah pot pet pot pet menceritakan itu dan ini. Hampir sepuluh minit, gua duduk-duduk sambil melihat pelajar-pelajar gua di seberang sana.

“Cigu, jom kita balik ke sana!” kata Paridah.
Gua senyum, senyum yang tak menjadi. Gua membebel dalam hati, “Apa kejadahnya aku berenang menyeberang sungai yang berarus deras ni. Adehhh…nak kena berenang balik ke sana pula ni.”

Dan, kalau gua diminta sekali lagi untuk berenang melintangi arus sungai yang deras di bahagian hulu, dengan berseluar trek dan bertshirt, sungguh gua tak akan melakukannya lagi. Ada nyawa yang dipertaruhkan di situ sebenarnya. Sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

Jari Telunjuk Gua Berdarah.

Daun pintu itu gua tolak. Sebaik gua masuk, Oja tersenyum.
“Lama tak nampak abang,” dia menegur gua.
“Kamu tu yang lama tak nampak. Bertapa kat mana?” balas gua.
“Sibuk sikit la bang. Banyak paper nak kena siap,” Oja jawab.

Oja, pelajar tahun akhir Undang-Undang UM kadang-kadang ‘melepak’ di studio tempat gua selalu jamming. Teman lelakinya, Mat Lan selalu lepak dengan gua di sana.

“Bang, nak request lagu ni,” kata Oja.
Gua senyum.
“Lagu apa?” tanya gua.
“Lagu Ungu, Kekasih Gelapku” kata Oja.
“Ah, sudah Mat Lan. Lu dah kena madu. Oja ada kekasih lain,” kata gua.
Hahahaha… kata Mat Lan.

“Boleh ke bang?” tanya Oja lagi. Gua pandang Mat Lan. Mat Lan seperti faham. Kemudian dia kata, “kordnya dah ada. Tu gua ada tulis.”

Gua tengok sehelai kertas atas amplifier. Gua tengok-tengok kordnya.
“Hmmm…banyak plucking ni. Ni yang gua lemah sikit. Tapi takper, kita cuba dulu,” kata gua.

Kemudian, gua mengambil gitar. Capo gua letakkan pada fret yang kedua. Kemudian jari-jari gua menekan-nekan string-string gitar pada fret. Mencari nada yang betul.

“Ok, kita try dulu,” kata gua kat Mat Lan.

Mat Lan main gitar yang kedua. Gua banyak plucking. Gua terus menekan-nekan string gitar mencari kord dan nada. Makin lama, jari-jari gua rasa pedih. Pada kord yang terakhir, kord B jari telunjuk gua berasa ngilu.

Sesudah meletak gitar, gua tengok jari gua.
“Bang, jari abang berdarah la,” kata Oja.
“Ah, sikit jer ni,” kata gua.
Gua duduk. Oja mengeluarkan tisu dari poket jeansnya. Oja mengelap-ngelap jari telunjuk gua. Mat Lan hanya melihat.
“Hahahaha…kerana Kekasih Gelap, jari aku berdarahlah Oja,” kata gua bergurau.

Gua kemudian turun ke bawah. Menuju ke sebuah gerai di seberang jalan. Telunjuk gua masih lagi berbalut dengan tisu kepunyaan Oja.

Sambil menanti teh o kurang manis, gua melihat-lihat jari sendiri. Kerana Kekasih Gelapku, malam itu jari telunjuk gua berdarah.

Tuesday, 25 May 2010

Sebelum Kamu Mahu Melenyapkan Nyawa Kamu Sendiri

Kamu ingin mengambil nyawa kamu sendiri. Nah, persilakan. Tiada sesiapapun yang mahu menghalang. Tapi, aku ada beberapa nasihat untuk kamu.

1. Jadilah Selebriti Dahulu
Apabila kamu adalah selebriti, maka kematian kamu itu akan dianggap sebagai satu tragedi kehilangan. Semua orang akan meratap kematian kamu. Kalau kamu bernasib baik, akan ada orang-orang lain yang akan turut membunuh diri lantaran rasa sedih kerana kamu telah mati. Adakah kamu seperti Kurt Korbain yang meletupkan kepalanya sendiri? Seperti Marilyn Monroe yang menelan pelbagai jenis pil tidur? Seperti Cleopatra yang membiarkan dirinya dipagut kobra Mesir? Atau sekurang-kurangnya seorang yang sangat kejam seperti Hitler? Kalau jawapan kamu “tidak”, maka aku kata, janganlah engkau persiakan hayat kamu. Atau kamu akan mati dalam keadaan yang sangat tidak dipedulikan oleh publik.

2. Binalah Sekta Sendiri
Buatlah satu kumpulan sekta kamu sendiri. Angkatlah diri kamu sebagai nabi dalam kumpulan itu. Dan pilihlah ahli-ahli untuk kumpulan sekta kamu itu dari kalangan orang-orang yang sepenanggungan dengan kamu. Orang-orang yang sudah tidak bermaya lagi untuk hidup dan menempuh hakikat sebuah kehidupan. Jangan kamu ambil dari kalangan orang-orang yang teguh pendiriannya terhadap hidup kerana ini akan meruntuhkan sekta yang sedang kamu bina itu. Atau sekurang-kurangnya kamu tidak akan diangkat sebagai nabi dalam sekta itu. Dan Apabila kamu telah dinabikan, kematian kamu akan diratapi oleh segenap umat sesekta tersebut. Kamu akan diingati. Kamu akan diratapi. Kalau kamu tidak mampu untuk menjadi nabi dalam sekta kamu-kamu sendiri, maka kematian kamu hanya akan menjadi statistik kajian dalam makalah dan jurnal pelajar perubatan dan para physcologist sahaja. Nah, kematian kamu hanyalah kematian yang memenuhi ruang jalur dalam kertas para pengkaji sahaja.

3. Katalah “Aku ingin meninggalkan dunia ini secara sengaja” Sebelum Kamu Membunuh Diri
Kalau kamu ada blog, maka buatlah satu posting yang bertajuk “Aku Ingin Mati dan Aku Benar-benar Maksudkannya”. Kemudian kamu tunggu respons dari para pembaca kamu [itupun kalau kamu ada pengikut setia yang membaca blog kamu]. Apakah mereka menjerit dan memekik kepada kamu “Jangan” atau reaksinya adalah nihil. Atau mungkin kamu boleh menulis pada kad manila “Malam Nanti Aku Akan Memotong Urat Nadiku” dan mengangkatnya tinggi-tinggi sambil berdiri di persimpangan lampu isyarat. Tunggu dan lihat reaksi publik. Kalau berduyun-duyun datang mengatakan “jangan” sambil memujuk kamu dengan linangan air mata, maka kamu teruskanlah niat kamu untuk membunuh diri itu. Kerana kamu adalah subjek yang sangat diambil tahu oleh publik dan kematian kamu akan diratapi dan diingati. Tapi kalau tiada sesiapapun yang ambil kisah, jangan kamu membunuh diri kerana kematian kamu itu tidak akan dipedulikan.

4. Kamu Harus Menjadi Seorang Fasis Terlebih Dahulu.
Macam Hitler, dia menembak dirinya sendiri bukan kerana putus cinta atau kerana selalu dimaki hamun oleh orang-orang Amerika. Hitler membunuh diri bukan kerana dia bercita-cita ingin membunuh diri sewaktu ditanya oleh gurunya semasa dia bersekolah rendah. Hitler membunuh diri kerana dia bercita-cita sangat besar dan tinggi. Dia ingin memerintah dunia. Dan dia telah gagal dalam cita-citanya. Nah, adakah kamu juga mempunyai cita-cita sebesar Hitler? Kalau setakat hidup kamu bergelora kerana dibebani hutang, ada jalan penyelesaiannya. Kalau kamu hanya putus cinta, belajarlah untuk menjadi seorang yang setia dan bijak. Lagi 3 tahun akan adalah yang akan menjadi kekasih sepanjang hayat kamu. Atau kamu tunggu sahaja lagi 30 tahun. Kalau kamu berdepan dengan masalah yang pelik-pelik, jangan bunuh diri. Pergilah belajar berenang. Berenang itu baik untuk menyelesaikan semua masalah. Tidak percaya? Belajarlah berenang dahulu.

5 Bunuhlah Diri Kamu Dengan Cara Yang Bukan Konvensional.
Terjun dari kondominium, itu konvensional. Menggantung diri sendiri pada kipas silang, juga konvensional. Menghiris nadi pada pergelangan tangan, sangat-sangat konvensional. Menelan pil-pil tidur dan pelbagai jenis dadah, terlalu konvensional. Dan alangkah rendahnya martabat kamu kalau sekiranya kamu terus memilih antara satu dari yang tersebut sebagai kaedah untuk menamatkan hayat kamu sendiri. Kamu akan menjadi satu kumpulan dengan orang-orang lain yang telah membunuh diri. Kalau kamu berniat untuk membunuh diri, pilihlah satu kaedah yang bukan konvensional. Satu kaedah yang bisa diingati oleh seru sekalian alam. Misalnya kamu mendidihkan air dalam sebuah periuk yang besar, dan kamu terjun ke dalamnya. Atau kamu ke puncak Krakatoa dan jatuhkan diri kamu ke dalam kawah gunung berapi. Nah, kamu telah melakukan sesuatu yang sangat tidak konvensional dan sesungguhnya kamu akan sentiasa diingati kerana menamatkan nyawa kamu dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Simpan sahaja tali gantung, pisau cukur dan pil-pil itu ke dalam mangkuk tandas.


Kalau kamu mahu mati, biarlah kematian kamu akan sentiasa diingati dan diratapi. Kalau kematian kamu tidak dipedulikan, kamu adalah manusia yang paling malang sehingga kamu membawa malang itu ke lubang kubur kamu sendiri.

Kamu masih mahu membunuh diri?

Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (An-Nisa' : 29)

Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah saw., bersabda : “Sesiapa yang membunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya.” (Shahih Muslim)

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula


Malam. Sepilok Laut

Malam itu sangat pekat. Di tengah-tengah belantara yang terkenal dengan orang utannya, memang tiada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi unggas dan bunyi angin sahaja. Koloni manusia yang terdekat pula ada kira-kira 2 km dari tempat gua dan pelajar-pelajar gua berkhemah. Selain itu hanyalah pokok-pokok, bintang-bintang dan angin malam yang dingin sahaja. Orang tua-tua kata, di tengah-tengah belantara, akan ada satu padang yang menghampar. Dan apabila gua berada di situ, gua percaya akan kata-kata itu. Gua sedang berada di padang yang menghampar di tengah-tengah belantara. Dan kata orang tua-tua di padang yang menghampar itulah adanya makhluk lain yang tinggal di situ.

Malam itu, sesudah pelajar-pelajar gua menjamah makanan,gua adakan aktiviti burung hantu. Pelajar lelaki gua bawa masuk jauh ke dalam hutan dan diletakkan duduk-duduk seorang diri. Pelajar perempuan hanyalah di pinggir sahaja, tapi masih lagi seorang diri. Kemudian, gua akan merayap ke sana sini melihat-lihat mereka, risau kalau-kalau ada sesuatu yang tak kena. Ini hutan belantara beb! Bukan padang permainan di hadapan rumah. Suria, Florence dan Lisa pula gua arahkan untuk menjaga khemah.

Selain menjenguk-jenguk yang berada di dalam hutan dan di pinggir hutan, gua juga harus ke tapak perkhemahan. Suria dan Florence juga harus gua pastikan keselesaannya agar tiada apa-apa yang aneh datang menyapa mereka.

“Cigu…” panggil Suria sebaik nampak gua menjenguk mereka.
“Macam bekalan makanan kita mo habis suda ni,” kata Suria. Florence hanya diam. Lisa juga diam Matanya sahaja berkelip-kelip.
“Untuk pagi esok, apa yang ada?” gua tanya.
“Rasanya kalau untuk 3 urang, boleh la,” kata Suria.

Gua menconggak-conggak sendiri. Sebelum masuk ke dalam belantara ini, gua telah membuat perkiraan yang rapi. Berdasarkan pengalaman yang lepas, bekalan yang dibawa memang berkecukupan. Dan pada pagi tadi pun gua masih sempat meninjau bekalan yang diamanahkan kepada Suria, Lisa dan Florence untuk menjaganya. Dan gua rasa memang cukup. Dan di tengah-tengah hutan tebal ini, gua tidak mahu memikirkan apa-apa yang boleh mematikan semangat gua sendiri. “Kehilangan” bekalan makanan itu gua simpan dalam diri gua.

“Ndapa, nanti saya fikirkan macam mana mo setel masalah ini,” kata gua sambil berlalu pergi. Pelajar-pelajar yang ditinggalkan di dalam dan di pinggir hutan harus gua jenguk.
Sambil berlalu gua kata, “Kalau ada apa-apa yang pelik, kamu tiup wisel kuat-kuat”.
Suria dan Florence tidak berkata apa-apa.
“Jangan risau, teda apa-apa. Ada juga renjer yang sedang menjaga kita,” kata gua. Dan pada malam itu sebenarnya gua berbohong kepada mereka kerana tiada seorangpun renjer yang ada di situ.

Selesai ‘burung hantu’, setelah semua pelajar berhimpun, setelah semua tiada apa-apa, dan setelah semua berada di khemah masing-masing, gua ke ‘dapur’. Suria, Florence dan Lisa masih di situ. Bersembang-sembang sesama mereka.

“Saya kena pergi ke daratan. Saya harus mencari dan membawa bekalan makanan. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa makanan,” kata gua.
“Tapi malam suda ba ini, cigu. Mo jam 1 suda,” kata Lisa.
“Tak apa. Saya tiada pilihan. Saya mesti ke HQ ranjer forest. Minta tolong hantarkan saya ke bandar sekejap,” kata gua lagi.
“Gelap ba cigu. Jauh juga HQ ranjer tu,” Lisa kata lagi. Suria dan Florence diam tak berkata. Tapi dalam samar pekat malam, gua dapat lihat keresahan pada wajah mereka.
“Biar kami temankan cigu,” tiba-tiba Suria bersuara.
Gua senyum.
“Tak apa. Biar saya pegi sorang-sorang. Berjalan di tengah malam dalam hutan, banyak yang buruk dari baiknya,” kata gua

Suria, Florence dan Lisa diam.

Gua bersiap. Sebilah pisau yang selalu gua bawa semasa berkhemah, gua genggam kemas-kemas. Semasa gua bangun untuk ‘mengembara’, Lisa menghulurkan lampu suluh.
“Mungkin ini akan berguna untuk cigu,” kata Lisa. Perlahan suara dia.
Gua ambil. Gua pandang ke muka anak-anak perawan yang mula meninggalkan angka belasan pada usia mereka. Garis-garis resah, risau dan takut ada pada wajah mereka.
“Bah, janganla kamu semua bimbang. Teda apa-apa juga tu nanti. Campin juga saya ni dalam hutan,” kata gua separuh bergurau. Gua senyum. Tapi senyuman tiada pada diri mereka.
“Ingat, jangan kamu mengasi tau sama palajar-palajar lain saya teda. Nanti entah apa-apa yang durang lakukan nanti. Kalau ada yang bertanya, katakan sahaja saya ada dalam khemah,” kata gua.

Gua bangun.
“Cigu…” kata Lisa. Perlahan suaranya. Sayu pada telinga gua.
Gua berpaling. Gua lihat Lisa. Gua sangat faham sinar yang terdapat pada mata Lisa. Gua menghampirinya. Sambil menggosok-gosok bahunya gua kata, “Jangan risau.”

Dan dalam pekat malam itu gua merentas hutan itu seorang diri. Tangan kiri gua memegang lampu suluh yang diberikan Lisa. Tangan kanan gua pula mengenggam pisau yang bersarung.

Malam itu, hutan Sepilok Laut sangat gelap. Gua harus merentas sejauh dua kilometer untuk ke HQ ranjers Jabatan Perhutanan. Gua hanya berjalan berpandu pada naluri dan daya ingatan sahaja. Dalam pekat malam, amat sukar untuk melihat denai. Lampu suluh yang diberikan Lisa tidak gua gunakan. Dalam hutan, amat tidak elok untuk menggunakan sesuatu yang bercahaya. Bimbang akan menarik perhatian hidupan yang tidak ingin gua lihat dan tidak ingin gua jumpa.
Semasa berjalan, gua teringat-ingat peristiwa seorang pegawai tentera muda yang sesat di dalam hutan Sepilok Laut selama berminggu-minggu, dan kemudiannya dijumpai rangkanya berhampiran Seguntor. Sangat misteri. Dan sekarang gua sedang berada di hutan yang sama pada tengah malan yang sangat gelap! Tapi gua tahu, Yang Di Atas akan menjaga gua.

Setelah bermain-main dengan malam yang pekat di tengah hutan, setelah mendengar bermacam-macam bunyi unggas hutan, dan setelah bermacam-macam imaginasi yang gua bayangkan, akhirnya gua sampai ke HQ Jabatan Perhutanan. Seorang ranjer terkejut apabila melihat gua setelah membuka pintu yang diketuk gua. Dengan sebuah bot laju, gua dibawa menyusur sungai menghilir ke muara Teluk Sandakan, dan kemudiannya berlabuh di jeti Tanah Merah.

Kemudian pada jam hampir 2.30 pagi, gua mengetuk sebuah kedai runcit di Tanah Merah.

Dan lebih kurang 2 jam kemudian gua sudah berada semula di tapak perkhemahan Sepilok Laut.
“Kan saya sudah kata, saya ni campin dalam hal-hal hutan,” kata gua sambil tersenyum kat Lisa.

Kalau gua diberi kesempatan untuk melakukannya sekali lagi, berjalan di tengah belantara pada waktu malam yang pekat, sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

Monday, 24 May 2010

Getaran itu Adalah Kehidupan


Setiap kali gua diterjah dengan sindiran dan cerita-cerita yang tak betul, mereka akan datang diam-diam berjumpa gua dalam bilik guru. Mereka sangat tahu, kalau gua diam dan bisu dalam bilik guru, hati gua sedang gundah. Dan mereka juga sangat tahu dari mana akar gundah itu membiak.

“Ndapa ba cigu, kami tau juga sapa cigu,” kata mereka. Bila mereka berkata-kata begitu, ada tergaris warna-warna suram pada wajah mereka. Mereka menjadi suram apabila gua diam.

Memang mereka adalah anak-anak yang baik. Faham akan apa yang sedang gua lakukan. Faham akan apa yang berapungan dalam kotak fikiran gua. Kadang-kadang, gua memberikan sedikit keresahan gua kepada mereka. Dan mereka akan duduk-duduk sambil melihat keresahan gua itu. Tidak sedikitpun berkalih ke kanan atau ke kiri. Kalau terjahan itu datang dari kiri, maka dari situlah mereka akan menyusur. Kalau terkaman itu silaunya dari kanan maka disitulah mereka ada untuk menampannya. Dan mereka akan mencuit bahu gua kalau ada yang datang dari belakang yang cuba-cuba untuk memukul curi.

Bagi gua, mereka bukanlah hamba Tuhan yang yang diutuskan dari sorga. Tapi mereka adalah serikandi yang beralaskan keikhlasan apabila berjalan. Mereka bukan dari kelompok yang manis di luar yang sangat berulat di bahagian dalam. Bukannya kelompok yang suka berkata-kata dengan penuh asyik tentang kekhilafan yang mungkin gua lakukan. Mereka bukannya kelompok yang cepat-cepat memadamkan nama gua setelah puas menabur paku dari mulut dan tangan masing-masing. Mereka juga bukan dari jenis yang suka bermain dengan kata-kata. Bukan juga dari kumpulan yang suka menggunakan laman sosial untuk berkata itu dan ini dan kemudiannya memadam nama orang lain apabila terpalit pada hidung sendiri.

Sungguh, gua sangat banyak belajar dari perjalanan yang berlaku.

Friday, 21 May 2010

Gua Sangat Beruntung dan Bertuah.


Anak perempuan gua, selalu melayan seleranya di restoran2 makanan segera. Kalau tidak dilayan rengekannya untuk menggigit burger atau menjilat ais krim, dia akan terus-terusan merengek. Tapi anak-anak di sana terpaksa mengekor ibunya membawa periuk kosong menanti rezeki.

Gua masih ada t shirt murah dari pasar malam. Jeans koyak dari kedai bundle. Tapi mereka tak punya apa-apa. Gua jauh lagi beruntung dari mereka.

Bermain-main berhampiran tulang-tulang dan tengkorak, adalah biasa. Bagaikan kematian itu sangat hampir dengan mereka. Tapi mereka tidak pernah berkira-kira untuk memendekkan nafas sendiri supaya terlepas dari segala kepayahan.

Anak ini harus berada di kaki lima yang berdebu untuk menyambung hayat. Tanpa mangkuk itu, dia mungkin akan tidur dalam kelaparan. Anak ini sangat tidak bertuah.

Tatkala gua bermimpi di atas tilam empuk, ada pula yang di hujung sana berharap agar dia terus tidur dan berharap agar tidak bangun lagi, ingin tidur dan menutup mata sampai bila-bila.
Sungguh, gua sangat beruntung dan bertuah.

Last Kiss

"Cikgu, menang ke Chelsea?" tanya EJ

"Tah gua tatau, gua x tengok tv. Gua kt studio. Jaming" balas gua.

"Jamming lagu apa?" EJ tanya lagi via sms.

"Tah, macam2 gua belasah. Main ikut sedap tekak jak ni," kata gua, via sms.

“Cikgu, wa cukup suka dengan lagu Last Kiss,” kata EJ.
“Saper yang nyanyi?” tanya gua.
“Pearl Jam,” EJ kata lagi.
“Oooo…” gua kata.

“Wa suka dengan bunyi gitar dia” kata EJ lagi.
“Oooo..” gua kata lagi.
“Nanti cikgu nyanyi sepesel untuk wa bila wa gi KL ar,” EJ kata lagi.
“No hal. Nanti gua cari dia punya kord dulu.” kata gua.

Gua pun menyelongkar Youtube. Gua cari Last Kiss. Bila dapat, gua dengar dan tengok lirik dia.

“Oh, senang ni. Relay Chord ni,” kata gua dalam hati.
Gua dengar lagi….. open chord sahaja lagu ni dari akhir hingga habis. Strumming dia pun tak susah.

“Ok, EJ. Gua dah ready. Lu datang KL, Last Kiss ini akan jadi lu punya lagu” kata gua, malam besoknya.
“Perghhh…cepat juga,” kata EJ.

Thursday, 20 May 2010

Momen-momen yang Cantik.


Sebenarnya, sangat sukar untuk menjauhkan sesuatu yang menjadi kenangan. Ia seperti segumpal rambut yang bersimpul antara antara satu sama lain. Semakin ditarik, simpulannya menjadi semakin kental dan erat. Mereka adalah pemberi momen indah yang cantik untuk gua. Tatkala guru lain lebih senang untuk memilih berada di dalam kelas sambil melihat-lihat jam menanti tamatnya masa pembelajaran, gua pula sangat suka untuk memilih berada bersama-sama mereka. Makan apa yang mereka makan. Mandi di anak sungai yang sama, berkongsi mimpi dan cerita. Dan kadang-kadang bersila beramai-ramai di atas rumput sambil mengunyah-ngunyah megi mentah. Bersama-sama mereka, gua bermain-main dengan hamparan pasir yang memutih di Pulai Selingan. Meredah Laut Sulu dengan kapal nelayan [kapal yang percuma sahaja kerana seorang bapa telah bermurah memberikan khidmatnya] sambil melihat ada antara mereka yang pening-pening kerana olengan kapal yang meniti ombak yang kadang-kadang menaik dan menurun secara mendadak.

Bersama-sama mereka juga gua menyusur masuk ke perut Gomantong. Menghidu hancing kencing kelawar. Memijak lapisan-lapisan guano sambil melihat dengan penuh kagum para lelaki yang memanjat batang bambu untuk mengambil sarang burung layang-layang.

Bersama mereka juga gua meredah Lembah Danum, bermain dengan pacat selepas hujan yang turun pada waktu petang. Berjalan di lantai hutan yang basah hanya ingin melihat air terjun yang berada di tengah-tengah Lembah Danum. Dan mereka jugalah yang bersorak-sorai apabila melihat gua dengan Parida berlumba-lumba berenang merentasi Sungai Segama yang berarus deras. [dan setibanya di tebing sebelah sana, gua berasa sangat menyesal kerana terpaksa berenang sekali lagi untuk pulang ke tebing sebelah sini].

Mereka ialah anak-anak yang sangat jujur. Tiada kepura-puraan yang menjadi garis hidup mereka, waktu itu. Mereka akan berkata dan memberitahu apa yang mereka rasa patut dan harus diberitahu. Dan gua pula persis seorang pendeta yang mendengar dengan penuh minat segala citra-citraan mereka itu. Mendengar sambil mengangguk kepala, dan kadang-kadang gua akan menggosok-gosok bahu mereka apabila ada titis-titis mutiara yang gugur dari kelopak mata mereka yang bening. Memang sangat sukar untuk orang lain memahami apa yang sedang gua buat. Melihat seorang guru lelaki yang kadang-kadang pahanya menjadi bantal alas kepala pelajar perawan sering menjadi poin untuk mereka mennyatakan ‘kesalahan’ gua. Bagaikan gua telah melakukan satu kesalahan yang boleh meruntuhkan sebuah negara, gua sering diterkam dan diterjah dengan pelbagai sindiran. Tapi, gua tidak pernah menyimpannya ke dalam kantung hidup gua. Bagi gua, kalau mereka tidak mahu masuk ke dalam diri pelajar-pelajar, biar gua sahaja yang melakukannya.

Sekarang, masing-masing sudah mempunyai hidup sendiri. Dan gua tetap wujud seperti dulu. Apabila mereka lama hilang, dan kemudian muncul seorang demi seorang menyapa gua, gua merasakan suatu rasa yang sangat sukar untuk dijelaskan. Mereka hilang, tetapi kemudiannya mencari gua semula.

Dan gua tetap wujud seperti dulu.

Pae Si Tukang Pukul

Antara drummer terbaik yg terdapat di Malaysia namanya Pae. Sebelum ini pernah bermain untuk XPDC bagi menggantikan tempat Amy dan Lola. Kemudian bersama-sama Ali, dia telah menubuhkan Mpire.

Kalau dilihat cara dia mengetuk drum, bukan calang-calang orang boleh melakukannya. Kemahiran ini gua rasa bukan hanya setakat boleh diperoleh di studio jamming. Cara bermain drumnya nampak 'cerdik' dan profesional. Kalau kat negara orang putih, mungkin Pae sudah menjadi kaya raya dengan kerja memukul drum ini.

Hidup Ialah Suatu Pengembaraan.

Gua terasa sangat ingin untuk mengembara. Membawa sebuah beg yang disandang di belakang, bersneaker ringan, bertopi besball dan merayau-raya melihat keliling. Berhenti di tepi-tepi jalan untuk melepas lelah sambil menjepit sebatang dunhill antara jari telunjuk dengan ibu jari. Mengesat peluh dengan bandana, sambil bersandar di tiang perhentian bas, gua rasa sangat cool.

Kemudian berjalan lagi, dari aspal berdebu ke lorong ke kaki lima ke mana-mana sahaja, yang gua rasa harus pergi dan berhenti di situ. Bercakap-cakap dengan manusia dan melihat-lihat manusia. Gua ingin mendengar nyanyian para manusia dan menonton lakon layar hidup mereka. Tentang jerih perih para gelandangan, si pengutip kertas usang dan tin-tin kosong, si penjual ganja, si penjaja tubuh, atau juga si penyeluk saku. Bagi gua, cerita mereka amat menarik. Tiada manusia yang ingin mencari hidup dan menyambung nafas dengan cara itu, tapi tentu ada sebabnya kenapa jalan itu yang mereka pilih. Gua ingin masuk ke dalam dunia mereka, cuba memahami jiwa dan rasa mereka.

Kemudian mencari lojing murah, hanya sekadar untuk membebaskan lelah dan bermimpi. Tilam yang nipis, hapak dan mungkin mempunyai tampalan-tampalan sperma dari pelbagai bangsa tidak menjadi duri bagi gua. Sambil menyandarkan belakang ke penjuru katil sambil menyedut aroma Dunhill dan mengetik-ngetik papan kekunci lappy untuk meneroka ke dunia lain… gua rasa sangat cool.

Atau mungkin juga kalau mata gua sangat keras untuk ditutup, gua akan menyusuri kehidupan malam di tempat gua menumpang. Sambil merasa hawa hangat tadi yang sedikit demi sedikit dihalau pergi sambil menanti kedinginan malam yang mula menjengah dirinya. Orang bilang, kalau mau mencari manusia, carilah pada waktu malam. Kita akan dapat meilhat rupa manusia yang sebenar. Di sebalik malam yang kelam, kita akan dapat melihat suatu hakikat. Dan memang gua percaya dengan baris ayat itu. Siang, ramai manusia yang berpura-pura yang menjadikan cahaya matahari sebagai topeng untuk melindungi wajah sebenar.

Bila sudah ingin berangkat dari tempat itu, gua akan mencari bas yang paling murah biaya perjalanannya. Kusyen empuk atau pendingin hawa, gua tak peduli. Gua ingin mengembara dan bukannya ingin merasa berada dalam servis 5 bintang. Atau mungkin saja gua akan menyusuri aspal penuh debu pada suatu tengahari sambil mengangkat ibu jari kepada para pemandu yang ingin berjalan ke hadapan. Menumpang lori sayur pada dingin hari gua rasa ianya sangat mengasyikan bagi seorang yang ingin bersenggama dengan kebebasan. Dan, gua juga akan memilih untuk menumpang lori sayur atau lori penghantar akhbar atau mungkin juga van mayat. Gua tak kisah dan gua tak peduli.

Gua ingin mengembara, seperti yang pernah gua lakukan suatu ketika dahulu. Suatu ketika di mana gua tiada apa-apa. Kembara gua yang pertama telah gua lakukan sewaktu gua berada di tingkatan empat. Gua menyusuri pantai, bermula dari Pantai Irama selepas waktu asar hinggalah tiba di Pantai Bisikan Bayu, seorang diri. Sambil menyusur pantai gua melihat bintang-bintang yang bergantungan di bumbung langit. Kemudian terus lena di sebuah wakaf setibanya di Pantai Bisikan Bayu pada jam 1 pagi. Gua tidur dengan nyamuk dan mungkin juga dengan kala jengking.

Gua ingin sekali mengembara, meninggalkan semua yang pahit di belakang.

Tuesday, 18 May 2010

Babe, Hidup Ini Serba Bercelaru!

Manusia-manusia itu menjadi semakin bengong.
Dalam riuh-rendah memperlekeh bekas rakan sekandang kononnya penagih alkohol tegar, mereka pula yang memberi kad hijau kepada judi.

Nah, rakyat Malaysia! Alkohol itu haram, tapi judi adalah halal!

Dan tidak lama lagi mungkin para perempuan yang menjaja kelangkangnya akan menjadi halal di negara 1 Malaysia ini!

Biarkan mereka dengan dungu masing-masing. Bertepuk tanganlah wahai syaitan. Engkau telah menambah koleksi temanmu.

“Mamak, Dunhill 20 satu!” kata gua.
Dan gua menyedut dengan penuh nikmat sambil melihat gadis bertudung yang telanjang.

*pling* gua hilang lagi dalam kecelaruan yang malu-malu kucing.

Konvensi Hidup yang Sangat Membosankan [iii]

Babe,
Dalam hidup ini, permainannya kadang-kadang sangat klise. Plot yang sama berulang-ulang. Bagi aku, plot yang mengalami repitisi ini dan kemudian di kitar secara berulang-ulang menunjukkan akan kedunguan makhluk yang dipanggil manusia ini. Contohnya, “Aku sangat obses dengan kerja. Aku tak dapat membaca perubahan bini yang aku dakap saban malam. Dia cari lelaki lain. Dan aku tak tahu bini aku cari jantan lain sebab aku sangat sibuk bekerja mencari harta,” Hahahaha… bukan ke dungu cerita itu?!
Dengar sini, kalau kamu ingin melakar sebuah cerita, aku cadangkan buatlah sebuah cerita yang lagi logik. Sebuah cerita yang apabila orang mendengarnya akan berkata, “Oh, kesian kamu!” Janganlah kamu ulangi isi cerita yang sama dan plot yang sama. Hanya orang yang sangat naif dan bengong dan terencat akalnya akan mempercayai cerita kamu yang sangat klise itu..Babe, ini bukan zaman filem Jins Shamsuddin memperoleh pecah panggung. Ini zaman ialah zaman robot-robot transformer bergelut dengan makhluk asing dari angkasa lepas.

Babe,
Sekali lagi aku ingin berfikir di luar kotak… :) Aku sedang mengimaginasikan satu garisan kenderaan yang panjang di toll gate pada setiap pagi. Aku sedang mengimaginasikan para pengendali kereta yang masing-masing dengan penuh sopan santunnya memberi luang untuk pemandu di sebelah melunaskan duit tol [yang entah berapa juta sudah ditelan oleh syarikat konsesi akan duit rakyat ini]. Kemudian yang menghulurkan tangan putih melepak mengutip duit-duit tol ini ialah gadis-gadis seksi seiras Maria Ozawa dan memberi senyuman paling manis sebaik duit itu berada di atas telapak tangannya. Dan jangan lupa, pada setiap resit bayaran tol itu tercatat no henfon gadis persis Maria Ozawa itu dengan catatan.. Call me when you free. Dan aku tidak akan pedulikan lagi bunga telur yang dihulurkan gadis tol sebelum ini.

Babe,
Ada orang sibuk-sibuk bertanyakan betapa kutunya aku. Sebab aku selalu memakai Levis bundle, t shirt yang di jual di pasar-pasar malam, sneaker kain yang sudah menampakkan ibu kaki, mereka kata aku kutu. Baiklah, aku memang kutu. Tapi sekutu-kutu aku, aku tidak pernah merogol gadis bawah umur seperti yang dibuat oleh pemimpin itu yang selalu bergaya dengan sut yang paling mahal. Aku juga tidak menjual enjin pesawat tempur negara. Aku juga tidak mengaut komisen berbilion-bilion ringgit dari hasil jual beli kapal selam terpakai [yang kemudiannya menjadi kapal selam yang tak boleh menyelam]. Atau sekurang-kurangnya aku bukanlah Mat Romeo yang berdagang cinta yang kemudiannya senyap dan diam dan kelu dan bisu setelah mengucap kata-kata cinta!

Babe,
Sebenarnya tiada apa yang hendak kusampaikan lewat coretan ini. Aku hanya ingin memberitahu kamu betapa kalau kamu terasa ingin membunuh diri, jangan lagi mencari bangunan 7 tingkat. Kamu pecut sahaja kereta di awal pagi dan kemudian over takelah kereta peronda polis, nescaya niat kamu untuk memutuskan nyawa sendiri akan tercapai. Tapi janganlah kamu ingin terasa membunuh diri melainkan kamu ingin berada dalam satu kelompok dengan syaitan dan iblis.

Semoga hari ini kamu lebih berbahagia, babe!

Ronnie James Dio Grant


Antara pelantun vokal terbaik, telah mati pada Ahad lepas. Tapi "Holly Diver"nya masih tetap gua layan hingga kini.
Holy Diver
You're the star of the masquerade
No need to look so afraid
Jump on the tiger
You can feel his heart but you know he's mean
Some light can never be seen

Monday, 17 May 2010

Livea

Engkau pun
sudah pergi
ke dunia sebelah
sana
meninggalkan taman
di sebelah sini.
Livea,
sujudmu itu
telah membuka satu pintu
untuk seorang hamba Tuhan
masuk ke dalam ruang kebenaran.
Selamat tidur, Livea
semoga kamar tidurmu itu
sentiasa bercahaya.

Dunia Di Sebelah Sana

i

Dunia itu sudah lama ada di belakang gua.
Kadang-kadang gua berpaling ke sana. Melihat kesuraman. Imej-imej suram dengan garis-garis yang tidak menentu susunannya yang tersimpan dalam kotak yang dipatri dengan besi tuang yang paling berharga.. Gua sudah jauh pergi. Tapak-tapak kaki gua sudah lama terbenam di dalam pasir. Air hujan pula telah menghanyutkannya. Ada yang menumpang di dalam longkang, menghanyir dan membusung di situ. Ada juga yang terus hanyut ke dalam anak sungai, menghilir ke muara dan bersatu dengan masin air laut. Ada juga yang tidak ke mana-mana. Statik di situ. Dipanah hangat sinar suria, kemudian bertukar menjadi wap, mengapung ke langit dan dipanggil semula turun ke muka bumi.

Dunia itu sudah lama gua tinggal.
Namun ucap salam daripada mereka, tidak pernah terputus. Semakin jauh gua pergi, semakin dekat mereka datang. Mungkin kematangan hidup, menjadikan mereka memandang sesuatu itu dengan lebih bercahaya. Pada suatu ketika dahulu, mereka sering tersangkut-sangkut untuk bernafas. Dan gua akan menjerkah mereka untuk terus hidup. Supaya mereka terus bernafas. Jangan menjadi bak anjing yang tak bertuan di tanah sendiri. Hanya rasa ghairah untuk menyalak di balik bukit, tapi orang lain pula enak-enak meratah kekayaan yang ada di depan halaman rumah.

Dunia itu sudah lama ada di belakang gua.
Dari sebalik tanah dan laut ini, gua melihat dan mendengar cerita. Cerita tentang kegembiraan, cerita tentang gundah gulana. Memang hidup ini adalah permainan silangkata. Hanya perlu mencari aksara-aksara dan menyusunnya. Mengisi aksara yang betul pada kekotak kosong yang betul adalah hukum untuk terus hidup dan bernafas dengan licin. Tersilap memilih aksara juga adalah hukum hidup. Dan dari sebalik tanah ini dan di sebalik laut ini, gua lontarkan suara ini. Mengeluh dan mencebik bukanlah cara yang terbaik untuk terus hidup bahagia.

Dunia itu sudah lama gua tinggal.
Tapi pada setiap pertengahan bulan Mei, mereka datang semula.


ii

Di ibu kota Gajah Putih pula, keadaan menjadi semakin kacau. Bau peluru dan asap tayar terbakar menjadi satu pesta. Para lasykar melepaskan peluru kepada kelompok berbaju merah. Warna merah pada baju mereka menjadi darah yang tersembur dan membuak dari dada dan kepala mereka. [Alangkah.. di Malaysia, polis menembak orang hingga mati kerana melanggar lampu merah, di sana lasykar menembak orang yang memakai baju merah!]

Thaksin tetap nyenyak tidurnya di atas timbunan wang kertasnya. Manakala para pengagumnya tidur di atas aspal dan kaki lima yang keras dan pejal. Sangat bertuah menjadi Thaksin, beratus ribu sanggup meletakkan nyawa di hujung senjata api para tentera demi meletakkan dia semula di atas tahkta kerajaan. Tatkala ratusan ribu itu bermain-main dengan nyawa, Thaksin pula sedang enak-enak menghirup wain merah terbaik.

Kota Bangkok sangat kacau. Aku berharap engkau yang pulang ke sana, dan berjanji untuk aku untuk kembali semula ke sini tetapi kemudiannya senyap tanpa suara sentiasa baik-baik sahaja. Supranee Jamjaeng alias Nurlisa Abdullah, aku harap engkau baik-baik sahaja di tengah-tengah kota yang sedang membakar itu.

Tuesday, 11 May 2010

Aku Ingin Kembali Ke sana.


Gambar ini telah menjadi sedikit kabur. Mungkin sudah agak lama. Tapi kekaburan gambar ini tidak bermakna ingatan gua telah kabur kepada mereka. Gadis-gadis yang sedang memanjat dewasa, yang sangat suka bercerita dengan gua. Maka, bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi gua apabila ramai hamba Allah di luar sana membebel entah apa-apa tentang keakraban gua dengan mereka. Gua sangat senang dengan mereka. Menjadi penghibur, adakalanya. Berbicara apa sahaja sebelum masing-masing masuk ke dalam khemah untuk bermain dengan mimpi. Tapi selalunya mereka akan 'setia menemani' gua sambil meletakkan kayu-kayu kering untuk menghidupkan unggun api yang semakin kecil. Kemudian gua dengan mereka sama-sama mencium bau asap unggun api sambil menyapu-nyapu kepala yang mula disingahi embun lewat pagi.

Apabila bercerita tanpa ada apa-apa tabir antara gua dengan mereka, gua menjadi lebih mengenali anak-anak Sabah. Tentang keluh-kesah mereka di bumi sendiri. Tentang masa depan yang masih lagi samar-samar. Dan kadang-kadang melihat air mata mereka yang bagaikan mutiara gugur satu demi satu apabila bercerita tentang keperitan hidup. Dan inilah yang ramai tidak faham. Tidak faham apa yang gua sedang buat dan sedang lakukan. Gua cuba masuk ke dalam diri mereka dan cuba memahami setiap liku perjalanan hidup mereka. Setiap mereka mempunyai jalan hidup yang berbeda, dan perbedaan itulah yang menjadi landas untuk gua berjalan ke halaman masa depan mereka.

Mereka ialah kelopak-kelopak kembang yang gua lihat harus dibawa untuk mekar di taman masing-masing. Bermula dari kudup, terbuka perlahan-lahan menjadi kembang dan seterusnya menebarkan aroma wangi ke segenap pelusuk alam.

***
Di situ, Sepilok Laut.
Merentas Teluk Sandakan dari jeti Jabatan Perhutanan di Tanah Merah dengan sebuah bot, kemudian menyusuri sungai yang diapit pokok-pokok bakau untuk sampai di sana, yang sebelumnya ada yang kata: “Engkau gila membawa budak-budak berkhemah di Sepilok Laut!”.

Hahahaha… mereka mengatakan aku seperti orang hilang akal hanya semata-mata membawa ahli-ahli Kelab Pencinta Alam bermain-main dengan alam hutan di Sepilok Laut. Hanya kerana seminggu sebelum itu seorang pegawai tentera yang tersesat di hutan sana yang kemudiannya dijumpai meninggal secara misteri, mereka menghakimi hutan Sepilok Laut penuh dengan makhluk halus yang akan menghisap darah setiap manusia yang berkunjung ke sana. Tapi gua kata, “Aku peduli apa!? Aku membawa anak-anak untuk mengenal anugerah Tuhan. Pendidikan bukan hanya setakat berada di atas bangku dan menopang dagu dengan dua tangan yang diletakkan di atas meja sambil mendengar cikgu berbla! bla! bla! bla!...”

Gua suka dengan hutan. Bau-baunya, bunyi-bunyinya, nyanyiannya. Ada anak sungai jernih, mengalir dengan malas dan ada anak-anak ikan bermain-main di dalamnya. Merasai gelap yang awal di dalam hutan kerana daun-daun pokok kayu menabiri panahan cahaya matahari senja, dan kemudiannya melihat jalur-jalur matahari pagi yang menyelit-nyelit dan menerobos silara bumbung hutan.

****
Tuhan,
aku ingin kembali ke sana, kembali mencium bau hutan, kembali berbicara dengan anak-anak dunia! Kembali akrab bersama mereka.

Monday, 10 May 2010

Konvensi Hidup yang Sangat Membosankan [ii]

Babe,
Kadang-kadang aku tidak faham dengan karenah manusia. Contohnya, kalau aku terlambat reply mesej di YM lantaran harus ke bilik sebelah kerana ada perbincangan, maka ada orang yang merajuk tanpa sebab selain aku terlambat menreply mesejnya. Atau contoh yang lain, aku terlambat menjawab SMS kerana sedang memandu di lorong laju dan harus cepat sampai ke Midvaley sebab jam dikereta sudah menunjukkan ke hampir pukul sembilan setengah malam. Aku tidak boleh memberikan signal untuk aku masuk ke lorong kecemasan, memberhentikan kereta aku semata-mata ingin membalas SMSnya. Aku harus segera sampai ke ruang parkir Midvaley, kemudian bergegas ke MPH kerana beberapa minit lagi premis itu akan ditutup. Aku harus segera sampai. Tapi babe, mereka telah menjadikan kelewatan aku untuk membalas SMS remeh itu sebagai alasan untuk mengatakan “kamu juga seperti manusia di rumahku”. Satu konvensi hidup dia, yang cuba diserkupkan ke dalam hidup aku.

Babe,
Aku kadang-kadang bosan dengan rutin dan konvensi hidup yang tak pernah berubah. Mengetuk-ngetuk kekunci pada papan keyboard, dan kemudiannya menekan butang off pada setiap malam dan menjadi manusia yang paling akhir menenyehkan ibu jari pada mesin perakam waktu! Kemudian menyalakan sebatang Dunhill sambil menyusur keluar dari kawasan opis dan kemudian berfikir-fikir ke gerai mana pula malam ini untuk aku menjadi pelanggannya? Atau sambil mengingat-ingat tab lagu “You Never Be Mine” sambil berangan-angan akan mengalihkannya kepada tali-tali gitar sesampai di rumah nanti dan akhirnya aku memakir kereta di A n W di hadapan Amcop Mall.

Babe,
Seperti sebelum ini, aku juga selalu berfikir di luar kotak…. :), Misalnya, aku membayangkan orang di rumah menelefon saban petang dan memberitahu agar perlu segera pulang ke rumah kerana dia memasak hidangan yang aku paling gemar untuk dimakan pada malam itu. Atau menyediakan sandwich berintikan ayam belanda yang kemudiannya dimasukkan ke dalam tupperware untuk aku membawanya ke pejabat dan mengunyah perlahan2 sambil memeriksa inbox emel dari Duggie atau Michelle.

Babe,
Sebenarnya tiada apa yang aku ingin memberitahu kamu lewat tulisan ini melainkan aku ingin menyatakan yang aku sedang mengigit biskut kering bersama air kosong tatkala sedang melayan akal yang sedang berada di luar kotak!

Zaman Tak Ada Youtube

Dulu-dulu, zaman Siti Nurhaliza baru-baru nak akil baligh, zaman susah nak tengok komputer, zaman tak ada istilah Internet, zaman Youtube adalah satu istilah yang amat luarbiasa [sebab dalam ‘you’ ada ‘tube’] maka zaman itu gua belajar pegang-pegang gitar bawah pokok gajus.

Zaman itu, bapak saudara gua kata kat gua “Mu main gitar, tak dok pekdah. Malaikat pung tak masok dale ghumoh,”. Dan gua pada masa itu selalu membayang-bayangkan bagaimana agaknya susuk malaikat seperti yang dikatakan bapak saudara gua itu. Gua membayangkan seorang lelaki yang berlegar-legar di depan tangga rumah papan gua. Lelaki itu mau masuk ke dalam rumah, tapi terhalang oleh sebaris cahaya yang dikeluarkan oleh gitar gua! Itu yang gua bayangkan.

Zaman itu, gua belajar petik-petik gitar, gosok-gosok gitar bawah pokok gajus. Kadang-kadang di atas wakaf di tepi jalan raya. Masa itu Abang Shukran yang paling hebat main gitar walaupun dia hanya tau 6 kord sahaja. Maka dialah yang menjadi mahaguru merangkap sifu gitar gua. Dalam masa yang sama dia juga merangkap tukang cuci kolah madrasah tepi kubur kampung gua.

Zaman itu, zaman cerita Oshin.

“Guano nak tukar kord F sharp gi ke E minor?” tanya gua.
“Pukul berapa doh ni?” Abang Shukran tanya gua.
Gua tengok jam.
“Dekat-dekat puko lapan setengoh,” kata gua.
“Nanti aku bagi tau esok. Aku nak tengok Oshin,” kata Abang Shukran.
Aduhaiiii..susah betul dapat mahaguru yang gilakan cerita Jepun.

Zaman itu, zaman tak ada Internet, zaman tak ada Youtube. Kalau masa itu dah ada Youtube, gua tak pedulikan Abang Shukran. Gua akan belajar dari Youtube jer.

Friday, 7 May 2010

Konvensi Hidup yang Sangat Membosankan

Babe,
aku mula adakalanya berfikir di luar kotak..:-) bila sangat kebosanan. Aku membayangkan setiapkali membayar tol, adik manis penjaga tol akan memberi balasan resit yang diselit pada bunga telor siap dengan sebiji telur rebus dan jambangan mawar berwarna pink. Petrol station akan memberi percuma sepotong kek buah. Penjaga parkir akan menghulur sebatang Dunhill setiap kali kita melaluinya. Polis trafik boleh sahaja menukar pakaiannya kepada batik asli buatan Terengganu. Alangkah lain jadinya, kita tentu berasa bagai di alam baru yang tidak streotype, tidak kovensi dan di luar tatacara rutin.

Babe,
hanya beberapa perkara sahaja yang membuat aku teruja di sepanjang perjalanan ke tempat kerja pagi hari. Contohnya bila melihat matahari naik dicelah pohon pohon di sepanjang sungai di Jambatan Connought. Garis garis sinar sang mentari akan terjojol keluar di balik balik kemilau awan. Atau juga bila pulang ke rumah, melihat mentari yang akan tenggelam di horizon yang penuh batu batan bangunan. Melihat awan, matahari atau lukisan lukisan alamiah di langit membuat aku tidak sabar2 untuk bercuti, pulang ke kampung misalnya atau pergi ke pulau atau ke hutan dan bermalam di sana. Babe, aku rindu bangat untuk bermalam di hutan, rindu kepada kesunyiannya, rindu kepada desir desir dedaunan dan bunyi2 cengkerik atau siamang dikejauhan. Atau aku rindu bangat untuk menyelam, bertemu baraccuda atau penyu atau nemo atau hidupan hidupan seni di dasar samudera.

Babe,
tiada apa sebenarnya untuk kutuliskan kepadamu lewat tulisan ini, ia cuma catatan untuk menceritakan bahawa aku sungguh bosan untuk memandu pulang ke rumah sehabis kerja pada setiap malam.

Sound Check Double Trouble









Setelah 14 tahun tidak bergabung di atas satu pentas, Awie, Amy, Kid, Joe, Eddie, Nasir, Din, Black dan Yazid akhirnya bersatu atas satu pentas.

Gua dah dapat pass ke konsert. Tapi gua kena kansel sebab gua nak pegi melahu ke Kuantan. Adik punya pasal, gua kena berkorban. Tapi gua sempat melayan Wings dan Search masa durang buat sound check.

"Perut lu nampak kecik sikit," gua kata.
"Huh...ari-ari gua masuk gym. Lu tengok Eddie, dari mengandung 6 bulan dah jadi 3 bulan. Gua paksa dia layan gym," kata Awie.
Kids pula, gua nampak sedikit cekung. Sekarang ni, kalau dia perform, bandana selalu ada kat atas kepala dia.

Lepas sound check, gua layan teh tarik kurang manis sorang-sorang.
Gua tengok ke meja sebelah. Orang-orang sedang rancak bersembang.
Gua tengok meja gua. Ada seberkas kunci dan segelas teh tarik. kerusi di kanan gua kosong. Di sebelah kiri pun kosong. Di hadapan juga kosong.

Gua sorang-sorang jer.

Memang sejak dari dulu, gua selalu sorang-sorang. Dan gua tak akan pergi dan mencari lagi.

Thursday, 6 May 2010

Kadang-kadang Kita Terperangkap dalam Permainan yang Kita Cipta Sendiri.

Dia, telah lama gua tak jumpa. Waktu terakhir gua melihat dia, usianya baru 17 tahun. Pertama kali gua berjumpa dengannya semasa usianya menginjak 16 tahun. Dia seorang anak gadis yang manis; berkulit putih dan berkening lebat. Dalam kelas 4 Biru, dia agak pendiam.

Itu sewaktu 14 tahun yang lepas.

Dua tahun lepas, gua jumpa dia semula.

“Salam cigu, masih ingat sama saya ka?” dia tanya.
“Masih ingat,” gua kata.
Kemudian gua menyebut nama penuh dia, nama bapanya, kelas dia yang pernah gua ajar, taman perumahan tempat tinggalnya dan juga nama kawan-kawan rapatnya.
“Wah, cigu ingat masi sama kami bah!” dia kata. Girang.
“Saya selalu ingat kamu semua. Kamurang jak yang lupa suda sama saya,” kata gua.

Kemudian, dia hilang. Senyap. Hilang tiba-tiba. Gua tak tahu ke mana dia pergi.

****
“Bro, cuba lu pikir. Asal jer gua on line lewat malam, dia mesti ada,” kata Hanafiah. Masa tu gua dengan Hanafiah sedang kunyah-kunyah roti canai kat Penampang. Gua ada seminar kat sana. Hanafiah pula jadi tukang rasmi seminar tersebut.
“Gua tak boleh nak pikir apa-apa,” kata gua.
“Kalau dia ada husband, lu pikir husband dia bagi ke dia on line setiap malam? Kadang-kadang tu sampai awal pagi,” kata Hanafiah.
“Lu kompom dia ada husband?” tanya gua.
“Hundred persen!,” balas Hanafiah.

Gua menghirup teh tarik terakhir. Kemudian gua menDunhillkan diri gua. Kemudian, gua dengan Hanafiah menuju ke dewan Perpustakaan Awam Penampang. Kemudian, selepas Hanafiah merasmikan majlis, gua pun pung!pang! pung! pang! depan cikgu-cikgu dari Penampang dan Kota Kinabalu.

****
“Kenapa kamu jadi macam ni?” gua tanya dia.
Dia diam.
Senyap.
“Kenapa?” gua tanya dia lagi.
“Aku sedih bah cigu. Aku kecewa. Ndada suda sayang aku sama laki aku,” kata dia.

*****
“Saya bukan tak mau tolong dia, cikgu. Dia best friend saya. Tapi dia macam lain sekarang ni,” kata Elby, rakan baik dia semasa bersekolah dulu.
“Ahhhh…” gua mengeluh dalam hati.

*****
“Mar, kamu harus jujur dengan aku. Aku tahu kamu ada masalah. Tak guna kamu mencari aku, kemudian bercerita itu ini, tapi kamu seperti sedang berlindung di bawah bayang-bayang yang kamu sendiri pun tak pasti,” kata gua.
“Cikgu mau aku buat apa?” dia tanya.
“Bercerita, hal yang sebenarnya tanpa tertinggal. Kamu yang mencari aku. Aku boleh menjadi pendengar, sekurang-kurangnya. Atau mungkin aku boleh bercakap dari sisi penglihatan aku,” kata gua.

“Kamu bermasalah dengan husband kamu?” tanya gua.
“Ya”
“Kenapa?” tanya gua.
“Sayang saya sama dia hilang sudah. Cikgu pun mesti dapat agak apa sebabnya” kata dia.
Gua diam. Gua tak memberikan apa-apa reaksi. Gua tidak hanggukkan kepala gua. Gua juga tidak geleng-geleng kepala gua.

“Ckgu..” dia panggil gua.
“Sebenarnya, aku pun sudah melakukan kesilapan. Aku fikir aku harus membalas kejahatan dengan kejahatan. Tapi aku sendiri yang terperangkap.” kata dia.

Dia sambung,
“Aku juga bermain cinta bila dia bermain cinta. Tapi akhirnya aku terperangkap. Aku betul-betul jatuh cinta dengan orang yang aku bermain.”

******
“Bro, lu ada kat mana? Gua baru sampai KL,” SMS Hanafiah menerobos ke dalam henfon gua.
“Lu check in kat mana, nnti gua angkat lu. Lepak2.” balas gua dalam SMS.
“Tak tau lagi, sedang merangkak-rangkak di tengah jem,”
“Ok, bila lu dah check in, roger kat gua. Malam ni kita lepak. Besok gua dah belah pegi Kuantan,” kata gua.
“Ok” balas Hanafiah via SMS.

TaTKaLa

tatkala kamu sampai ke sini
segala resah dan nanti telah aku lepaskan ke atas langit

tatkala kamu sampai ke sini
bukan sekadar bahu aku yang ingin kujadikan tempat kamu bersandar dan meluruhkan air mata

tatkala kamu sampai ke sini
aku ingin masuk ke dalam nafas kamu dan menghirup setiap bimbang dan gelisah hidup dari bajana hidup kamu,

tatkala kamu sampai ke sini
aku ingin berhenti sahaja dan tidak ingin ke mana-mana.

dan
tatkala kamu pergi
segala resah telah aku simpan di pelipatan hujung bumi .

selamat malam,
aku ingin tidur sahaja
sambil mengucapkan selamat tinggal kepada pencipta mimpi

Wednesday, 5 May 2010

Pinky Rock

Nama dia Rafidah. Gua memanggilnya Fidah. Dia bukan satu departmen dengan gua. Dia orang sales. Gua orang conteng-menconteng. Tapi gua selalu berhubung dengan dia sebab kadang-kadang gua menjadi buruh paksa orang-orang sales untuk merayau ke sana ke mari ke seluruh pelusuk negara.

Pagi itu, Fidah melalui depan bilik gua. Gua menjeling dengan ekor mata sebab gua sedang sibuk menconteng. Fidah hilang. Kemudian tidak sampai 3 saat, dia berada di depan bilik gua dalam mode gostan.

Fidah berdiri di depan bilik gua. Gua pandang dia. Gua berhenti menconteng sekejap.
“Encik Zamani…” Fidah bersuara. Suaranya dilembutkan.
Gua pandang Fidah.
“Rambut dah ok, dah panjang. Dah nampak rocker,” kata Fidah.
Gua senyum.
“Mp3, lagu metal jer. Ok juga tu,” Fidah sambung lagi.
Gua senyum lagi. Gua tak kata apa-apa.
“Kadang-kadang pakai Levis koyak rabak. Macam Joe Wings,” Fidah kata lagi.
Gua masih senyum-senyum tanpa kata.
“Tapi kan..” Fidah kata. Matanya dikecilkan sedikit. Jari telunjuknya dimain-mainkan pada ulas bibirnya.
Gua pandang Fidah. Dua tangan gua, gua angkat dari meja L gua.
“Tu…” Fidah kata sambil menjuihkan ulas bibirnya.
Gua pandang kiri kanan.
“Apa?” tanya gua.
“Tu…botol air tu,” kata Fidah.
Gua tengok botol air gua. satu-satunya bekalan yang gua bawa dari rumah.[Dude, tahun demi tahun demi tahun demi tahun, hanya itu sahaja bekalan gua dari rumah… air kosong]
“Botol air tu…” kata Fidah.
“Warna pink…feminin sangat. Hilang rock encik Zamani,” kata Fidah. Dia geleng-geleng kepala.

HAHAHA.. gua kata.
“Anak bongsu saya yang tukang pilih ni. Kalau saya tak ambil, nanti dia meraung. Satu TESCO orang akan pandang saya,” kata gua.

Hehehehe…kata Fidah.

Fidah senyum. Fidah berjalan ke bilik air wanita.

Tuesday, 4 May 2010

Kamu Menjadikan Aku Sangat Terluka..

Sebaiknya, kamu luluhkan sahaja kata ‘cikgu’ itu dari lidahmu. Kalau aku sangat tersimpang, seperti yang kamu fikirkan, maka ucapkankanlah kata-kata pemuas nafsumu sekehendak hatimu! Cuma hanya satu sahaja yang aku mahu, luluhkanlah perkataan “cikgu’ itu.

Sesungguhnya hati aku begitu tersayat apabila kamu terus-terusan berdendang seloka menyusun bait-bait kata yang sangat mulus untuk kamu ucapkan, yang sangat menyeronokkan untuk kamu hamburkan. Dan setiap bait-bait yang kamu ucapkan itu sebenarnya kamu jolok dari pohon peribadi dan maruah aku. Kemudian kamu susun dan memijaknya berama-ramai sambil memekik melolong ke setiap penjuru alam. Aku bukannya malaikat yang diutuskan Tuhan tanpa dosa. Aku bukan juga seorang wali yang hijabnya tersingkap antaranya dengan Tuhan. Aku seorang manusia yang masih kaya dengan rasa amarah. Aku boleh membalasnya senda seloka kamu dengan hanya sepatah kata sahaja, dan aku tahu sepatah kata aku itu akan menjadikan seluruh kehidupan kamu tidak akan berkat sehingga ke liang lahad.

Kalau kamu masih lagi ingin berdendang lagu dengan ritma sumbang terhadap aku, ini sahaja yang aku minta: campakkan sahaja kata “cikgu” itu ke dalam longkang yang paling hanyir. Kerana di longkang itulah selayaknya gelaran itu berada bagi orang-orang yang seperti aku, orang-orang seperti yang kamu fikirkan.

Apakah aku menyesal kerana pernah menjadi ‘cikgu’ kepada kamu? Tidak sekali-kali! Aku tidak pernah mempunyai sekelumit kata sesalan lantaran aku memberi apa yang harus aku berikan. Aku diupah untuk mengajar kamu. Aku diupah untuk mendidik kamu. Aku diupah untuk menjadikan kamu sebagai manusia yang tidak merempat di bumi sendiri. Dan aku rasa aku telah menyempurnakan semua itu. Tapi ketahuilah, walau aku tidak diupah sekalipun aku akan tetap menjadikan kamu sebagai manusia yang tahu membezakan antara harum kasturi dengan hanyir nanah yang mengalir di jalanan. Kalau aku tidak diupah sekalipun, aku tetap menjadikan kamu sebagai manusia yang tidak merempat dan menjadi anjing bangsat di tanah air kamu sendiri.

Cukuplah, berhentilah. ‘Kejahatan’ aku di mata kamu tidak akan membawa kamu ke mana-mana. Aku sangat terluka apabila ‘kejahatan’ itu kamu gabungkan dengan kata ‘cikgu’ di hadapan namaku.

Cukuplah, berhentilah.
Kamu menjadikan aku sangat terluka…

AMARAN : Jangan Memandu Kereta dengan Laju sambil Memotong Kereta Polis!

Bila gua baca dan bila gua mendengar hikayat tentang seorang budak lelaki yang mati kerana ditembak polis, gua kata , “Nah, mungkin kita ada satu akta halimunan yang berbunyi ‘berhenti, kalau tidak kamu akan ditembak’”

Gua pernah ada pengalaman melihat sendiri sekumpulan anggota polis melaksanakan tugasnya:
Sebuah kereta yang telah pancit tayarnya, dikejar oleh sebuah kereta peronda bersiren dan sebuah kereta biasa tanpa siren. Masuk ke dalam taman perumahan dan tersekat ditengah taman tersebut kerana telah dihadang oleh sebuah lagi kereta lain yang tidak bersiren. Seorang lelaki dari kereta tanpa siren keluar dan menembak ke dalam kereta yang pancit. Padam!
Kemudian gua diberitahu, lelaki yang ditembak mati itu baru melakukan rompakan bersenjata disebuah kedai emas di Subang Jaya. Bagi gua, penjenayah yang memang penjenayah, membawa senjata api, sanggup melepaskan pelurunya kepada sesiapa sahaja, memang layak menerima peluru polis berumah di dalam jantung dan paru-parunya.

Tapi apabila seorang budak mati kerana peluru polis, negara seperti di langgar garuda. Bertempiaranlah para pemuka-pemuka berkeliaran di mana-mana. Mahu menjadi juara kononnya!

Maka mereka pun berteriaklah:

“Keadilan!”
“Keadilan!”
“Keadilan!”
“Kami mahu inkues, segera!”
“Kami mahu siasatan diraja!”

Soalnya, kenapa budak 15 tahun itu memandu kereta jam 1.15 pagi?
Solanya, kenapa polis harus melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan sebuah kereta buatan Malaysia yang terkenal dengan ‘teknologi’nya?
Soalnya, kenapa KPN mengeluarkan kenyataan bebal apabila berkata dia sedia mengarahkan anggotanya untuk tidak mengawal rakyat Malaysia apabila rakyat mempersoalkan kewajaran peluru pistol dilepaskan oleh anggota polis?
Soalnya, kenapa pemuka-pemuka badan poliltik berlumba-lumba menunjukkan muka mereka?

Seorang anak yang baik, tidak akan merayau di awal pagi dengan memandu kereta tanpa lesen. Itu pada anggapan gua.
Seorang polis yang tidak bodoh tidak perlu menghentikan sebuah kereta buatan Malaysia dengan menggunakan peluru pistol. Itu pada tanggapan gua.
Seorang KPN tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti orang merajuk kerana ditinggalkan buah hati. Itu pada tanggapan gua.

Dude,
inilah negaraku yang tercinta dengan orang-orang yang dibayar gajinya daripada duit rakyat untuk menjaga kita!

Dan nasib baik juga wakil rakyat kawasan tersebut tidak mati. Kalau tidak tentunya akan adalah pilihan raya kecil. Kalau ada pilihanraya , maka segala masalah dan titik bengit akan dapat dilangsaikan sebelum gua sempat mengelipkan mata. Macam biasa juga!

Monday, 3 May 2010

Gua mau memetik gitar, tetapi hanya di dalam bilik

“Bang, t shirt Aspiring Moment With Karl masih ada lagi. Abang nak?” tanya Pian via SMS.
“Boleh, gua angkat” jawab gua, via SMS
“Nak jumpa kt mana?” Pian tanya balik via SMS.
“Pandan Indah” gua balas via SMS.
“Saya X tahu mcm mana nk pegi sana” Pian jawab balik, via SMS
“Tmpt yg lu pegi sana aritu,” gua balas lagi.
“Aritu pn member yg tolong bawa saya,” kata Pian lagi, masih dalam mode SMS.
“Cehhhh…lu tunggu gua kt Wangsa Melawati,” kata gua.
“OK” balas Pian via SMS.

Kemudian

Gua sampai ke Wangsa Melawati. Pian yang berambut panjang sampai pinggang sedang menyedut rokok. Gua mengambil sehelai t shirt hitam, t shirt yang dibikin secara syok sendiri untuk para peminat syok sendiri. Mana mau cari t shirt hitam yang terpampang potret Karl zaman muda yang sedang menggoreng gitar? Tidak akan ada terjumpa di mana-mana pasar malam! Kira t shirt ini merupakan harta karun bagi para pengikut berani mati Cromok.

“Lepas ni kitorang nak pegi Segambut. Ada miting,” kata Pian.
Semenjak Pian terbabas secara tidak langsung dengan dunia korporat kapitalis, dia sudah pandai menuturkan beberapa patah perkataan yang hanya disebut oleh orang-orang bisnis. Contohnya perkataan ‘miting’. Kalau dulu hanya ada kosa kata ‘lepak’ tetapi sekarang ini ‘lepak’ sudah hilang walaupun gua tau yang durang akan ‘miting’ di restoran mamak sambil pung! pang! pung! pang! bercakap tentang gitar, tentang muzik, tentang Chelsea, tentang mak bapak yang berleter tentang rambut durang, dan tentang awek-awek yang tak pernah lekat dengan durang.
“Bang, pasni kitorang ada miting ngan Karl,” kata Pian.
“Pehal?” gua tanya. Gua menciluk sebatang Dunhill Pian. Pian tolong bakarkan kertas putih yang membungkus nikotin. Nah, inilah satu-satunya sifat terpuji para perokok. Walaupun rokoknya disamun tanpa izin, namun mereka tetap menolong menyalakan rokok yang disamun itu.
“Kita sedang merancang nak buat satu lagi gig, tapi bukan hanya Karl seorang sahaja.” kata Pian.
“Bagus, lu cari Sam ngan Miji sampai dapat. Kalau dapat Hilary join sekali pun lagi cantik. Kita buat satu show yang benar-benar gempak. Kaki-kaki gua yang melata di seluruh Malaysia gerenti akan turun semua.” kata gua.
“Tengoklah macam mana nanti,” kata Pian.
“Lu buat sampai jadi.” kata gua.

“Lagi satu bang, konsert Double Trouble akan dibuat sekali lagi. Kat JB,” kata Pian.
“Oh, jauh tu. Gua tak boleh nak join.” kata gua.
“Tapi bang, kitorang telah dipanggil untuk buat opening.” kata Pian.
“Baguslah tu.” kata gua sambil menepuk-nepuk bahu Pian.
“Masalahnya bang, kita tak cukup line up. Bang tolong kitorang,” kata Pian. Macam merayu. Kuyu jer gua tengok mata Pian. Dia ni kalau jadi awek, gua syak boleh tahan gak dia punya cun.
“Lu nak gua tolong apa? Nak cari saper2 yang boleh cover?” tanya gua.
“Kalau abang dapat join kitorang masa opening tu, cun gak,” kata Pian.
Pian memang tahu gua boleh petik-petik gitar. Pian juga tahu gua main muzik dengan jiwa, bukan kerana nak tackle awek.
Tapi yang Pian tak tau, gua dah lama tak main atas stage. Yang Pian tak tahu, gua dah lupa banyak kord. Yang Pian tak tahu gua dah hampir 14 tahun tak main gitar!

“Bro, lu cari manusia lainlah. Gua tak boleh,” kata gua.
Gua lihat Pian. Mata dia seperti berkata “Please banggg….”
“Lu, cari orang lain ar. Gua banyak kerja, takut tak sempat nak prektis. Tapi lu jangan risau, gua akan selalu menyokong lu orang semua,” kata gua.

Selepas menDunhillkan diri gua, gua membelah pekat malam kota raya Kuala Lumpur. Pian pula memulas minyak moto kapcainya menghala ke Segambut.

Malam itu, dalam bilik, gua memetik-metik gitar karen gua dengan volume yang paling rendah.

Bau angin pantai itu, masih sama seperti hari itu.

Malam yang perlahan-lahan mengesot ke awal pagi.

Ada bulan yang masih tersangkut di atas langit.

Sebaik menjejak kaki di pasir-pasir ini, gua berhenti. Mendongak ke langit. Menyedut perlahan-lahan udara dan bau angin laut.

Pantai yang berteluk itu, macam selalu. Sama juga seperti yang gua kunjungi malam itu. Masih ramai yang berkunjung, bersantai, bercerita walaupun waktu awal pagi sudah tiba.

Ombak itu tetap ada di situ. Bau angin laut tetap juga di situ.
Di atas tembok batu, gua duduk-duduk dengan diri gua. Dari atas tembok batu yang berlantai pasir itu, gua melihat susuk seorang lelaki. Dia melihat temannya, seorang wanita ayu, berambut lurus, putih melepak, sibuk merakam gambar. Merakam batu-batu pejal, ombak-ombak, pasir-pasir.

Gua duduk-duduk dan memerhati.

Manik-manik hujan dari atas langit turun tiba-tiba. Halus-halus dan lambat-lambat awalnya. Gua masih di tembok batu melihat lelaki itu dengan wanitanya.

Kemudian,
Manik-manik hujan menjadi kasar dan laju. Kepala gua kebasahan. Angin laut dihalau manik hujan yang kasar. Angin dan bau laut hilang entah ke mana. Pasir pantai pula basah dan melekit. Melekat keras di kaki gua dan kemudian mencuri masuk ke dalam sepatu gua yang koyak.

Sambil menggigit hirisan empuk kepingan burger McDonald, gua melihat lelaki itu menumpang teduh di bawah bumbung putih. Tangannya masih erat menggengam wanitanya. Bagaikan seorang pahlwan purbakala, lelaki itu menepis setiap butir manik-manik hujan yang cuba menyentuh pipi wanitanya.

Gua menggigit dan mengunyah kepingan burger perlahan-lahan. Manik hujan makin kasar. Ritma hujan tatkala awal pagi sangat mengajak ke kamar tidur.

Gua berpaling mencari lelaki itu dan wanitanya.
*pling* ghaib! Tiba-tiba!

Kepala gua kebasahan. Kaki gua terasa pedih. Gua melihat ke kaki gua. Ada gelupasan kulit. Pasir-pasir pantai yang mencuri masuk ke dalam sepatu gua, telah menggigit dan mengikis kulit kaki gua. Pedih tapi tidak berdarah. Gua membuka sepatu. Dalam hujan yang masih melebat, gua berjalan di bawahnya dengan sepatu di tangan gua. Gua menyentuh aspal pada awal pagi itu dengan hujan dari atas dan pasir-pasir dari bawah.

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...