Dia menelefon gua pada ketika matahari baru masuk beradu, pada ketika ufuk langit sedang berserak dengan warna jingga. Dia kata tiba-tiba dia teringatkan gua. Bagi gua, gua tak kisah. Sama ada dia ingin menelefon gua atau tidak, gua memang tak kisah.
Bukan gua yang menghilangkan diri. Dia yang bersembunyi. Bukan gua yang memutuskan, dia yang memotongnya. Bagi gua, gua tetap begini. Gua memang seorang yang sangat pendendam. Tapi itu tidaklah menjadikan gua seorang Hitler yang akan menyemburkan gas beracun kepada para Yahudi. Dendam gua, gua akan hanya simpan dalam hati. Gua akan menjadi seorang yang sangat pendendam hanya apabila gua tahu yang gua bukannya berada dalam lingkungan garis kesalahan. Tetapi gua dituduh dan dilihat berada dalam lingkungan itu. Dan kemudian tanpa bilik perbicaraan, gua telah disabitkan dengan kesalahan yang gua sendiri tak tahu. Maka itu, gua akan menjadi seorang yang sangat pendendam. Kalau si penuduh hilang ghaib tanpa berita, gua tidak berasa apa-apa. Gua tidak berasa kehilangan yang boleh merencatkan hidup gua. Sama ada dia ada atau tiada, hidup gua tetap sama, tetap begini. Dan apabila dia memilih untuk bertanya khabar, gua pula memilih untuk memberitahunya yang gua tidak apa-apa.
Mungkin dia menyangka gua menjadi celaru. Atau mungkin juga dia berfikir yang gua ingin meletakkan muncung senapang patah ke dalam mulut gua, dan dengan menggunakan ibu kaki gua akan menekan picu untuk meletupkan kepala gua sendiri. Gua bukan begitu. Memang ada ketikanya gua terasa sangat kosong apabila sesuatu yang gua tidak jangkakan berlaku dalam sekelip mata sahaja. Bulatan kosong itu mengisi kepala gua kerana gua tidak pernah diberi kesempatan. Ia seumpama gua sedang memotong sebuah Kancil di garisan berkembar sambil mendaki sebuah bukit curam, dan tiba-tiba muncul treler beroda 24 dari atas langit. Gua tiada pilihan melainkan membiarkan sahaja tubuh gua dilenyek oleh 24 roda-roda treler tersebut. Tapi percayalah, gua tidak mati. Hanya tulang-tulang gua sahaja yang berkecai. Hanya daging-daging tubuh gua sahaja yang tersiat dan melayang merata-rata. Tapi gua masih bernyawa. Dan kesakitan itu memang teramat sangat. Tapi gua masih hidup. Dan gua tidak akan menekan picu senapang patah itu untuk menamatkan riwayat gua sendiri hanya kerana untuk menamatkan kesakitan yang gua tanggung.
Jadi, apabila dia memilih untuk mendail nombor telefon gua semula, walaupun hanya sekadar untuk mengucapkan “apa khabar?” bagi gua, itu adalah suatu perjalanan hidup yang biasa-biasa sahaja. Bagi gua itu bukanlah plot yang boleh mengejutkan gua dari tidur. Gua tidak tahu apa yang tersimpan di dalam hati dia. Siapa kita untuk mengetahui apa-apa yang tersimpan di dalam hati orang lain? Mungkin suatu ketika dahulu dia ingin memberitahu gua sesuatu. Tetapi dia tak terluah. Bimbang barangkali. Bimbang gua berkecil hati? Bimbang gua memaki hamunnya? Bimbang gua meletakkan racun di dalam air minumnya? Atau bimbang gua menghantar santau angin ke dalam tubuhnya? Tidak. Gua tidak akan melakukannya. Walaupun gua seorang pendendam, tapi gua lebih menyimpannya di dalam hati.
Kalau dia mahu datang, dan memilih untuk senyap semula, gua tak kisah. Sama juga apabila dia senyap dan kemudian memilih untuk menelefon gua semula, pun gua tak kisah.
Gua tak kisah beb!
No comments:
Post a Comment