Monday, 21 June 2010

Pendustaan Itu Tidak Akan Menjadi Dusta untuk Selamanya

Babe,

Dalam hidup ini tidak semua kata-kata dusta akan terus berada di atas landas percaya dan sentiasa dipandang seperti nyata. Contohnya, mungkin hari semalam Bush Yang Gila menabur kata-kata yang Uncle Sam menjahanamkan bumi Tigris dan Eureprathes kerana negara itu memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Dan mungkin ketika itu banyak yang percaya serta takut akan Saddam Husein yang bermuka garang dan tampak segak gagah dalam uniform tempurnya.. Warga dunia mula mengimaginasikan yang bumi ini mula terbelah dan terserpih yang mungkin boleh berlaku sekiranya Saddam Husein sambil meneguk wain merah kegemarannya menekan punat hijau di papan kekunci pusat kawalan nuklear di Baghdad.

Tetapi pendustaan itu sudah tidak laku pada hari ini. Tiada senjata pemusnah yang dijumpai di bumi Tigris dan Eureprathes. Unta yang memunggah uranium pun tiada. Apabila memperkosa bumi itu, Uncle Sam tidak mencari loji senjata. Tapi Uncle Sam bagai nak gila mencari Saddam yang sedang bersembunyi di lubang tikus. Dan apa yang terjadi kemudiannya ialah leher Saddam telah dijerut dan rohnya telah kembali ke alam yang satu lagi manakala ada para penentang yang menyeru-nyeru “Muqtada!” “Muqtada!” “Muqtada!” sewaktu Saddam sedang berjalan untuk mati. Para pendokong Ba’ath pun sudah bertempiaran. Taman Kota Babylon pula telah separuh lenyap. Tapi tiada juga senjata pemusnah seperti yang dibebelkan oleh Bush Yang Gila itu. Nah, pendustaan tidak akan dipercayai sampai bila-bila. Apabila sampai ketikanya, pendustaan itu sendiri yang akan menyatakan kebenarannya.

Babe,

Dalam hidup ini pun begitu juga. Pendustaan tidak selama-lamanya akan dipercayai. Mungkin ada yang berdusta pada semalam dan hari ini. Dan pendustaannya itu amat dipercayai. Kadang-kadang khalyak yang mendengar menaruh simpati yang amat sangat. Kata-kata simpati mencurah turun bagai hujan suci yang terjun dari langit. “Kasihan kamu”, “Tidak sepatutnya kamu menjadi begini”, “Kamu telah menjadi mangsa”, atau “Kamu telah mengambil jalan yang betul walaupun kamu sendiri sengsara [kononnya]” sangat klise. Ia bagaikan plot yang mengisi sebuah filem hindustan yang dihidupkan dengan watak-watak protagonis tampan dan cantik menawan dengan dendangan lagu berlatarkan gunung-ganang yang memutih salju di puncaknya, pokok-pokok pine di kiri kanan serta anak sungai berkerikil kecil yang sangat jernih airnya. Maka orang yang mendengarnya akan terbuai dengan ketampanan, kecantikan atau terpegun dengan kemerduan nyanyian si pembohong dalam filem itu.

Tapi babe, seperti juga sebuah filem Hindustan, pendustaan juga mempunyai penamat plotnya. Sebuah filem Hindustan akan habis, tidak akan terus-menerus ditayang di kelir perak. Usai sahaja filem itu, maka para penonton akan bergegas keluar. Meninggalkan bekas-bekas bertih jagung, kulit-kulit kuaci, atau juga botol-botol plastik lutsinar air mineral yang sudah kosong. Maka Bangla situkang sapu pun akan melaksanakan tugasnya membersihkan segala jenis bekas bertih jagung, kulit-kulit kuaci dan botol-botol plastik lutsinar air mineral yang kosong itu. Mengisikannya ke dalam plastik sampah hitam dan kemudian menghumbankannya ke dalam tong keluli berwarna hijau yang hanyir di belakang bangunan. Sementara menanti lori sampah datang memungut besok pagi, maka para tikus akan menyelongkar mencari makan di situ. Sambil menyelongkar, para tikus akan kencing dan menaburkan najisnya di situ; menambahjijikkan lagi tong sampah keluli yang sudah sedia hanyir itu..

Babe,

pendustaan ini hanyalah seperti gunung berapii yang sedang tidur. Gunung berapi yang sedang tidur memang sangat cantik. Boleh menjadi tempat untuk bersantai-santai. Atau para pasangan pengantin baharu boleh mendaki ke puncak dan merakamkan gambar mereka dengan pakaian pengantin yang disewa dari kedai dan diambil gambarnya oleh jurufoto terbaik. Kerana itu Hawaii menjadi destinasi yang sangat digemari oleh para pembulan madu. Tapi gunung berapi ini juga sangat misteri sifatnya. Payah untuk dijangka. Babe, masih kamu ingat lagi si Toba yang meletup (The Toba Erruption) beribu-ribu tahun sebelum Nabi Isa dilahirkan?. Letupan yang sangat mengerikan sehingga melenyapkan hampir 90 % populasi manusia di muka bumi dan hanya meninggalkan 5000 lebih sedikit baki manusia untuk terus berkembang biak. Sangat dahsyat kan!?

Nah, dapatkah kamu melihat akan persamaan antara pendustaan dan gunung berapi itu? Kedua-duanya bisa melenyapkan manusia.

Jadi babe, jika rakan kamu hilang lenyap secara tiba-tiba dari Facebook, maka mungkin pendustaan sudah dan sedang berlangsung. Mungkin kamu sendiri yang telah melakukan pendustaan, atau mungkin juga rakan kamu itu yang melakukannya. Tapi itu tidak menjadi soal sebenarnya. Sebabnya siapa yang melakukan pendustaan, dia sendiri yang akan tahu sendiri jawapannya. Sama seperti jika aku yang melakukan pendustaan. Maka tentunya aku cukup tahu akan pendustaan itu kerana pendustaan itu aku sendiri yang melakarkannya. Dan jika kamu memilih untuk hilang lenyap secara tiba-tiba dari aku [dan Facebook aku dan blog aku dan Twiter aku], maka aku tahu yang engkau tahu bahawa aku yang telah menyempurnakan satu pendustaan.

Tapi jika aku yang hilang dan lenyap dan ghaib secara perlahan-lahan atau tiba-tiba, maka mungkin pendustaan dari orang lain pula yang sedang berlaku di sekeliling aku.

Babe,

Sebenarnya tiada apa-apa yang hendak aku katakan lewat coretan ini. Hanya sekadar ingin melepaskan lelah dan rasa marah kerana jiran-jiran sebelah sedang bertempik-sorak menonton 22 orang lelaki yang mengejar sebiji bola. Sedangkan aku harus tidur untuk mencari mimpi pada jam 3 pagi [setelah letih menghangguk-hanggukkan kepala di studio sehingga jam 1 atau bersama teman-teman berpung! pang! pung! pang! di Down Town]. Sorak-sorai mereka itu telah menyebabkan mimpi-mimpi aku telah terhalau dan aku terpaksa [kononnya, terpaksa] menyalakan api pada hujung gulungan kertas putih kerana rasa kantuk pun sudah pergi mengikut jejak-jejak mimpi itu dan aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan melainkan mendengar gongongan anjing dari hujung padang di hadapan rumah aku.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...