Thursday, 24 June 2010

Berhentilah Sekejap

Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang kita akan mara dengan pantas antara bukit dan lembah, lalu membidik anak-anak panah ke arah dada musuh. Kadang-kadang juga kita akan diasak dari arah yang tidak dijangka. Maka untuk berundur beberapa tapak bagi mengatur strategi bukanlah suatu tindakan yang dayus. Pertempuran bukan hanya akan berlangsung untuk hari ini sahaja. Mungkin ia akan berpanjangan saban waktu. Untuk apa menang hari ini untuk kita terus kalah pada masa hadapan secara berpanjangan?

Masih ingat lagi tentang kerakusan soldadu Feringi Putih untuk menguasai pelabuhan Melaka? Albuque bukannya mendapat kemenangan pada serangan yang pertama. Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud berserta tentera Melaka yang berkeris, bertombak, dan mempunyai beberapa biji rentaka sangat gembira apabila Feringi Putih dapat dihalau kembali ke laut pada serangan yang pertama. Kemenangan pada pusingan yang pertama adalah milik Melaka. Tapi babe, kemenangan itu tidak kekal lama. Pada pusingan-pusingan yang seterusnya, istana Melaka telah ranap. Sultan Ahmad telah kehilangan mahkotanya. Sultan Mahmud pula telah awal-awal lagi melarikan diri sambil membawa nyawa baginda. Bendahara pula terpaksa mencopet makanan penduduk kampung semata-mata untuk memberi makan kepada Sultan Mahmud dan permaisurinya, Tun Fatimah. Dan apa yang berlaku di bumi Melaka? Sedang Sultan Mahmud menampar-nampar nyamuk di hutan belantara, Albuque pula berpesta dengan perempuan, dengan joget, dengan air anggur dalam piala.

Apa yang cuba aku katakan ialah tidak salah untuk kita berhenti sekejap. berikan apa-apa sahaja yang orang lain mahukan. Rasa dendam dan amarah sebenarnya hanyalah sifat-sifat yang tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. Berhentilah sekejap. Nikmati siulan-siulan burung dari minaret yang menjadi tempat para burung menumpang tidur. Rendamkanlah kaki kamu pada paras buku lali di dalam anak sungai yang jernih dan dingin airnya. Tidurlah sekejap di atas permaidani rerumput di padang yang paling subur sambil mencium bau harum bunga-bunga liar. Percayalah babe, kamu akan bangkit dengan satu perasaan yang sangat segar dan sentiasa ingin ke hadapan untuk berasa kemenangan.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...