Sunday, 20 June 2010

Ada Ketikanya Konvensi Hidup Amat Berbeza

Lebih kurang 13 tahun yang lalu, gua menziarahi Suri di Sakilan Desa. Adik lelakinya dijemput Tuhan pergi ke dunia sebelah sana

Merentasi jalan berdebu merah pada suatu tengahari yang sangat rentung, dan akhirnya sampai di sebuah rumah papan semata-mata untuk menyatakan simpati gua atas kehilangan adiknya, rasanya agak memeritkan. Semasa Suri melihat gua sampai di hadapan rumah papannya, dia seperti patung apabila melihat gua. Mungkin dia tak pernah menyangka, gua akan sampai sejauh itu ke rumahnya. Mungkin dia tak pernah menyangka gua akan mencari rumahnya. Dan bagi gua, gua merasa satu tanggungjawab telah gua laksanakan apabila gua berkunjung ke rumah pelajar yang sedang berselimut dengan kesedihan.

Setelah 13 tahun, gua bertamu di rumah Suri sekali lagi.

Kali ini bukan di Sakilan Desa, tetapi di Venice Hill. Bukan lagi di sebuah rumah papan yang kaya dengan habuk tanah merah, tetapi di sebuah kondominium di puncak sebuah bukit Tiada lagi jalan tanah merah yang berdebu. Rumah papan pun sudah tiada. Juga tiada lagi tangga kayu untuk masuk ke dalam rumah. Yang ada ialah lif dari tempat letak kereta berbumbung yang terus sampai di hadapan pintu rumahnya.

Tiada lagi angin panas dari ladang kelapa sawit di sebelah sana. Yang ada ialah hembusan bayu yang segar dari puncak bukit.

Tiada lagi papan keras mengalas duduk. Yang ada ialah kusyen empuk yang sangat mendodoikan.

Hidup Suri sudah banyak yang berubah.

Yang tidak berubah ialah Suri itu sendiri. Kelembutannya tetap kekal, sama seperti yang gua lihat 13 tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...