Siri percakapan daripada seorang manusia kecil, Dihimpun sesuka hati dia. Dia belasah apa-apa sahaja. Dia memuji apa-apa sahaja. Dia memaki apa-apa sahaja. Kadang menjadi seorang rebel. Kadang-kadang menjadi seorang romantikalasofa. Kadang-kadang bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan. Kadang-kadang bercita-cita menjadi Tok Peran dalam Makyung.
Wednesday, 31 December 2025
SELAMAT KEMBALI KEPADA SELAMAT DATANG
Friday, 19 December 2025
SELAMAT JALAN, BRO...
“Ada orang mahu jumpa. Bos suruh jumpa En. Zamani,” ujar Aishah, si dara manis, di hujung talian.
“Baik,” aku jawab. Sepatah sahaja. Tanpa bertanya siapa yang harus aku santuni itu.
Dari tingkat 3, sengaja aku memilih tangga untuk ke bawah.
Melepasi pintu kaca lantai paling bawah, yang memisahkan ruang “untuk staf sahaja” dengan lobi, aku ternampak seorang lelaki. Ranbutnya panjang, sedikit melepasi bahunya. Berjambang, antara hitam dan putih serta keperang-perangan warnanya.
Aku meneka dalam hati, ‘itulah orangnya.’
Melewati Aishah, si dara manis penyambut tetamu, aku senyum kepadanya. Di hujung telinga, aku mendengar si dara manis itu berkata, “Itu orangnya.” Aku membalas kata-kata si dara manis itu dengan senyuman kedua.
Sebaik melihat aku datang, dia bangun. Menghulurkan tangannya . Kami bersalam.
“Anuar,” dia kata.
“Zamani,” aku balas.
“Begini tuan, saya ada cadangan untuk menerbitkan buku. Zakir yang mencadangkan supaya dibawa ke sini.” Dia memberitahu selepas berbasa-basi sedikit.
“S.M. Zakir?” tanya aku, ingin kepastian.
“Ya,” jawab dia.
Kemudian, senaskhah helaian-helain putih bersaiz A4 dia hulur. Sudah siap dijilidnya. Sekeping plastik lutsinar menjadi kulit hadapan, dan sekeping lagi menjadi kulit belakang.
Aku belek. Ada puisi. Ada juga gambar foto. Aku baca, sekali lalu.
“Puisi-puisi ini saya tulis hasil daripada pemerhatian saya sendiri. Saya ikut Zahid Hamidi waktu itu.”
Selesai dia berkata begitu, aku terfikir sesuatu yang dia ini “sesuatu.”
Begitulah kami kenal dan bertukar-tukar nombor telefon.
Seringkali, apabila dia melewati Seksyen 10, Wangsa Maju, ataupun ada di sekitar situ, dia akan menelefon. Mengajak minum sambil bersembang.
Dari situ, sedikit demi sedikit tirai terkuak. Memang dia “sesuatu”. Sebelum peristiwa besar 1998, dia CEO UDA Holdings. Tapi terpelanting keluar kerana dia “orang” Anwar Ibrahim yang baru disembelih oleh Dr Mahathir. Dari situ, jalan raya menjadi tempatnya meluah rasa. Bersama kawan-kawan tegar mereka bergerak secara agresif. Dikejar dan diintip SB sudah menjadi rutin hidupnya. Ezam lari ke Indonesia. Azmin bersembunyi entah di mana. Dia dan Chegu Bard menjadi sasaran polis.
Begitulah mulanya aku mengenai Anuar. Apabila sudah semakin banyak melepak dengan dia, mendengar dia bercerita, sedikit demi sedikit tirai dikuak, sehelai demi sehelai.
Blog yang popular sewaktu era Reformasi mengganas, Mahazalim, dialah pemiliknya. Blog Sang Kelembai milik politikus veteran Umno, Dato Zaharin, dialah yang mengejar politikus veteran itu.
Kisah tentang perjuangan reformasi, tentang Nora sang reformis wanita yang kental, tetap turun ke jalan setiap kali ada unjuk rasa, yang keluar masuk penjara, diherdik, dihentam, malah dipaksa berbogel dan gambarnya diambil oleh para petugas lelaki, juga diceritakan.
Pada 2018, selepas rejim BN dihumban ke dalam parit, dan PH 1.0 menaiki tahkta, Anuar menghubungi aku. Dia mengajak aku makan tengah hari. “Nanti Kambing akan ambil engkau,” kata Anuar.
“Baik, aku tunggu,” balas aku.
Kami makan tengah hari di Taman Melawati. Sebuah restoran yang menu utamanya gulai tempoyak patin Pahang.
Sambil menikmati patin tempoyak, Anuar bercerita. Selepas PH 1.0 memegang tampuk kuasa, dia dipanggil Putrajaya. Satu jawatan istimewa diberi kepadanya. Lebih kepada “membalas jasa” atas perjuangan reformasinya selama ini.
“Aku mahu kau menggemudi ****. Aku sudah aturkan. Kau tunggu beberapa proses perlu buat. Makan masa sikit.” Anuar kata.
Kemudian, masa pun berlalu. Tidak lama selepas itu berlaku pergolakan dalam kerajaan PH. Langkah Sheraton dibuat oleh beberapa oportunis politikus. Dan akhirnya kerajaan PH 1.0 jatuh.
Semenjak itu, Anuar kembali menjadi rakyat marhaen seperti sebelum ini. Kadan-kadang dia masih menghubungi aku. Bercerita tentang kesihatannya yang semakin merosot. Jantungnya tidak lagi sekuat seperti sebelum ini. Bercerita tentang kawan-kawan yang menjauh seorang demi seorang. Bercerita tentang kerinduannya akan arwah isterinya. Dan dia tidak lagi galak bercerita tengang politik negara. Dia seperti sudah kehilangan jiwa seorang reformis. Aku rasa, pemergian isterinya dan keadaan jantungnya yang tidak lagi mesra dengannya, menyebabkan dia menjadi begitu.
Kemudian, lama dia menyepi. Pesanan yang aku hantar, hanya satu tanda palang. Salam yang diberi lewat massenger, tidak berbalas. Berbulan-bulan begitu. Tiada khabar. Tiada juga berita untuk bercerita.
Sehinggalah pada lewat malam 13 Disember, aku mendapat khabar dia sudah pergi. Meninggalkan seorang puteri yang selama ini menjadi antara tajuk kebangaannya apabila bercerita. Dia pergi dengan prinsip perjuangan yang tidak pernah berubah.
Dia pergi dengan membawa cerita-cerita yang belum sempat diceritakan…
Friday, 14 November 2025
MENELAN MAAF
Wednesday, 12 November 2025
TIDAK MENGAPA
Mari kita rayakan hal-hal kecil, meski tak ada yang bertepuk tangan. Dengan segelas kopi yang tak tumpah, dan nafas yang masih sempat dihela, mari kita rayakannya. Tidak mengapa kalau sepi. Tidak apa-apa jika tak difahami siapa-siapa. Kita sudah cukup hebat, kerana mampu bertahan tanpa panggung, terus tega tanpa sorak, dan tahu waktunya kita harus meninggalkan pentas.
Tuesday, 11 November 2025
TAKDEER
Takdir memang indah. Ada takdir yang datang dalam sebatas senyuman, ada juga yang datang dalam kehilangan yang tak bertepi. Kedua-duanya tetap indah. Cuma cara kita melihatnya yang berbeza. Apa-apa pun bentuknya, dan bagaimana ia datang, semuanya daripada Allah Yang Maha Mengetahui. Kadang kita tak faham mengapa sesuatu itu terjadi. Lalu kita pun rasa punah, kita rasa arah yang ingin dituju sudah hilang daripada pandangan. Tapi suatu hari nanti, kala masa sudah berlalu, kita “kan menoleh ke belakang dan berkata dalam hati, ‘Sunhanallah, kalau bukan kerana itu, aku tak ‘kan jadi seperti hari ini.’
Itulah takdir. Kelihatannya berat, tapi di sebaliknya tersimpan hikmah yang indah. Allah tak pernah menulis takdir untuk menyakitkan kita. Dia menulisnya untuk menguatkan kita. Dan kala kita belajar untuk reda, kita akan sedar … setiap takdir-Nya itu, walau pahit pada awalnya, tapi akan berakhir dengan keindahan yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata….
Monday, 10 November 2025
PERI-PERI YANG MENJADI MERPATI
Dan. Ia pun pergi. Seperti selalu. Ia seperti sebuah buku yang halamannya sudah dibaca. Lalu ditutup untuk dibuka lagi pada suatu hari nanti. Dan juga seperti suatu perjalanan pengalaman yang kita mulai semalam, tetapi tak tahu jalan hujungnya walaupun kita pasti titik penamatnya ada di sana.
Lalu aku hanya berjalan sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, disapa oleh suara yang tak pernah pun aku dengar. Atau, oleh suara yang lama bersembunyi, tetapi mengintai-intai dari sebalik sehelai tirai tipis. Dan. Aku pasti kilas di sebalik tirai itu ialah sepasang matamu. Lama menghilang. Tanpa suara yang tiba di sini. Mengkhabarkan adakah di tanah hujung ada ribut, ataupun sentiasa tenang?
Suaramu sunyi. Tapi aku mendengarnya dari sini. Adakah engkau masih besembunyi di tempat rahsiamu, sesekali? Atau, adakah tempat rahsiamu itu tidak lagi menjadi rahsia? Lalu engkau membukanya dan membiarkan angin segara menyerbu masuk?
Walaupun aku tidak lagi mempunyai ingin mencari jawapan, tetapi aku dapat merasainya. Tidak perlu kepada suara, cukup dengan suatu bisikan halus.
Maka jadilah ia seperti seekor merpati yang tugasnya menghantar bingkis. Tetapi sayapnya kepatahan dipukul pawana dari arah matahari terbit. Lalu bingkisan itu terus utuh di ranting kakinya. Terus ada di situ sementara menunggu tumbuhnya sayap baru untuk dia megepak lagi.
Seperti merpati yang patah sayapnya, bingkisan yang dikirim tak pernah tiba. Tiada lagi.
Tiada desir bayu.
Tiada butir-butir hujan.
Tiada juga bayang-bayang.
Saturday, 25 October 2025
BERJALANLAH
Orang kata, berjalanlah.
Ya, berjalanlah. Befjalanlah sedayamu. Pilihlah: denai, susuran sungai, jalan kerikil, dan sebagainya yang kau temukan. Kadang-kadang kita sangkakan kaki kita memijak empuknya rerumput. Namun, setelah kita toleh ke belakang, menatap setiap jejak yang kita tinggalkan, ada titis-titis darah. Rumput yang kita sangka itu rumput sebenarnya kerikil-kerikil tajam dan halus. Menikam dan menusuk setiap ini daging telapak kaki. Sedikit demi sedikit sehinggalah telapak kaki kita membengkak perlahan-lahan. Dari bengkak akhirnya menjadi nanah. Hanya menunggu masa untuk meletus dan mengalir keluar. Mungkin nanah itulah yang akan menjadi pembasuh setiap denyut ngilu telapak kaki kita; pedih tetapi lama-kelamaan akan menghilang. Mungkin apabila hari berganti. Atau, mungkin apabila minggu berganti. Atau, mungkin apabila bulan berganti. Atau, mungkin apabila tahun bertukar. Antara lewat dan cepat, ia tetap akan sembuh. Kemudian yang ditinggalkan hanyalah parut yang payah untuk diselindungkan. Tetap akan dapat dipandang, dan dipegang dengan jari. Itu ialah hakikat.
Benarlah orang kata, buatlah kebaikan semahunya. Namun akhirnya semua kebaikan itu akan menjadi pusara purba. Tidak akan dipandang dan tidak akan diingati. Jauh sekali untuk disebut-sebut. Yang dipandang ialah khilaf kita yang selalunya datang secara senyap dan Kadang-kadang khilaf itu dipanggil dan dijemput orang. Lantas, khilaf itulah yang akan disebut-sebut semahunya. Tiada lagi kebaikan engkau selama ini. Seribu kebaikan yang engkau lakukan akan ditelan oleh satu khilaf. Sejuta pengorbanan yang kau hamparkan, akan lenyap dimamah oleh satu kelibat khilaf.
Friday, 24 October 2025
HUJAN MALAM
Thursday, 23 October 2025
BERANGKAT
Usia seperti juga jejak-jejak yang kita tinggalkan di pasir-pasir, sewaktu kita mengatur langkah untuk melihat matahari pagi yang memberi salam kepada alam. Ataupun, ketika ke sana lagi, tapi ke sebelah hujung sana pula untuk membalas lambaian selamat tinggalnya pada hari itu. Kadang-kadang ia berlalu tanpa kita sedar.
“Cigu … sa mo baju tu. Cantik,” kata dia.
Aku senyum.
Entah. Aku pun tak tahu sebab dia suka t-shirt celoreng yang aku pakai.
Dan, kebetulan aku ada sehelai lagi t-shirt yang sama.
Esoknya. Seperti biasa, sebelum dia pulang ke rumah, dia akan masuk ke bilik guru. Berjumpa dengan kesemua gurunya dan menyalami mereka. Atau, untuk guru lelaki dia mengucapkan, “ Terima kasih cigu. Saya pulang dulu. Assalamualaikum.”
Dan dia berbuat demikian setiap hari. Tanpa gagal.
~~~~****~~~~
Beberapa bulan yang lepas, aku mendapat khabar. Khabar tentang kesihatannya yang sangat merosot.
“Dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Berkerusi roda. Ulang-alik ke hospital sekarang ni.” Demikian kata Mia, sahabat baiknya kepada aku.
“Sudah agak lama juga dia dalam keadaan begitu.” Mia menyambung kata.
~~~~~*****~~~~~
“Sahabat kita, Masria baru menghembuskan nafas terakhirny.” Begitu Mia tulis dalam kumpulan Whatsapp.
Aku diam. Bukan tidak peduli. Tapi dia terlalu cepat berangkat ke sana. Takdir yang membawa dia pergi. Dan, siapalah kita untuk menepis takdir.
Sewaktu matahari mulai berengsot turun, dalam diam tanpa lisan aku mendoakan kesejahteraannya.
“Jalan baik-baik, jaga diri,” seperti yang selalu aku ucapkan kepadanya tatkala dia memberi salam sebelum berlalu pergi dari bilik guru. Dahulu kata-kata itu keluar dari mulutku, perlahan-lahan. Tapi tatkala ini, ia keluar tanpa sesiapa yang mendengarnya, tak juga engkau yang telah berangkat.
Sunday, 12 October 2025
HELAIAN MASA LALU
Seperti sebuah buku yang halamannya masih terbuka. Terisi oleh aksara demi aksara. Lalu menjadi sebaris ayat. Kemudian bersatu membina seperenggan. Perenggan demi perenggan mengalirkan banyak kisah. Yang aku kira sudah tamat di situ. Lalu aku pun cuba mencari kulitnya, hadapan dan belakang. Lalu ingin menutupnya. Namun jalan ceritanya belum lagi tamat. Walau aku cuba menutupnya, helaian-helaiannya masih lagi terselak satu demi satu. Lalu aku pun dapat membaca kisah-kisah lalu yang cuba kau sembunyikan.
Ya, muka surat itu akhirnya terbuka, dan aku di sini menjadi terluka.
Sunday, 5 October 2025
HIPOKRASI
Dan engkau seperti selalu. Bagaikan anak kecil. Menayang potret hipokrasi. Lalu, kau pun tenggelam. Dan hanyut bersama rasa taajub. Lagi. Sedang engkau. Tak pernah sekali pun. Cuba berfikir. Dan merenung. Dengan akal yang dianugerahi Tuhan. Bahawa. Dunia ini. Dipenuhi topeng. Yang tersenyum bila di depanmu. Tapi. Menyeringai tajam bila di belakangmu. Lalu. Engkau pun tak pernah. Cuba mengambil tahu. Bahawa. Engkau bagi mereka. Hanyalah badut penyedap bicara di kedai kopi.
Saturday, 4 October 2025
COKELAT II
Sekeping cokelat datang tanpa undangan, lalu aku simpan di dalam saku kanan celanaku. Tidak pernah kubuka pembalutnya sebab bimbang manisnya dibawa angin. Sehinggalah aku tinggalkannya di pintu pagar sebuah masjid, pada suatu hari yang langit petangnya mula bersiap menyambut datangnya mega jingga.
Friday, 3 October 2025
SEKEPING COKELAT
Monday, 29 September 2025
BULAN DI SEBALIK ANGIN
Bulan juga kadang-kadang tidak bermain dengan angin. Atau, melontar pandang kepada sang pungguk yang saban malam menyerunya untuk turun ke bumi. Tiada apa-apa yang harus dinanti. Bulan tetap akan berada di dada langit. Pungguk mungkin terlupa betapa anggunya diq pada malan hari, bertenggek di dahan paling tinggi di pokok ara. Atau, mungkin sahaja dia tidak mengetahuinya. Tidak tahu yang ia makhluk Tuhan yang paling anggun. Bertuah tetapi sering bertingkah adat pandangan manusia. Apabila sahaja pungguk berlagu pada malam yang sunyi, maka para ibu pun cepat-cepat menyeru anaknya mengunci mulut. Sambil pelbagai cerita pelik keluar daripada mulutnya.
Ahhh….cukuplah membebel. Dunia tak akan berubah dengan kata-kata. Dunia juga tidak akan berputar songsang lalu kembali ke masa silam. Maka, melangkahlah. Usah bercanda dengan kerang-kerangan yang meninggalkan cangkerangnya di pinggir pantai. Kelak kakimu sendiri yang tercucuk lalu terluka. Meninggalkan setiap tetes darah di atas bekas injak telapak kakimu.
Kata orang, ada pohon pauh janggi di dasar lautan sana. Begitulah yang diceritakan para leluhur. Benarkah? Benarkah ada pauh janggi tumbuh mengakar lalu meninggi di dasar lautan lepas? Jawapannya janganlah kita sandarkan pada hukum logik zaman sekarang. Kembali sahaja ke zaman leluhur yang hidup dikurung oleh feudalisme.
Sunday, 28 September 2025
TENTANG ANGIN
Terbanglah bersama angin. Angin tak pernah berbohong. Apabila tiba musimnya ia akan bertiup datang. Apabila tamat musimnya, ia akan pergi tanpa lengah. Cuma kadangnya pemergiannya tercepat, kadangnya sedikit lewat. Yang pasti, tidak perlu dinanti janji para angin untuk dilunaskannya. Beri saja kepercayaan kepadanya. Angin bukan seperti mulut manusia, yang didalamnya terhampar sekujur lidah. Tiada tulang. Lembut pada zahirnyq tapi mampu mengeluarkan patah-patah yang sangat keras. Adakalanya bertingkah kejam. Serta tajam. Dan penuh bisa. Yang mampu menggugurkan kuntum-kuntuk kasih ke bumi. Mengering. Kemudian dimakan para ulat. Lalu menyebatikan dirinya dengan tanah. Diam di situ. Menunggu tiba giliran. Disemikan benih-benih baru. Bertunas. Bercanbah. Lalu menjulang ke langit. Menjadi saka yang tegap. Teguh. Namun, datangnya angin berkembar taufan. Menguji ampuhnya dahan. Teguhnya ranting. Datang menyerbu si ribut. Kadang bertingkah waktu. Selalunya bertali arus tanpa henti. Lalu, sang saka yang teguh berdiri. Yang dahannya ampuh. Yang rantingnya teguh. Kecundang juga dengan kuatnya alam.
Saturday, 27 September 2025
DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.
Dan. Hujan. Pun. Gugur.
Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan. Biarlah tetes bersatu dengan tetes yang lain dan yang lain dan yang lain, lantas mereka pun mencari alur paling dekat dengan sumur. Mencari tempat yang sepatuynya dia berada. Walau berbatu laluannya berliku, akhirnya tempat asal datangnya juga yang dia akan berdiam. Alun gemalai. Bayu segar. Kicaun unggas. Daun kering. Gemeresik bambu … biarlah terus berdiam di situ. Aku ingin kembali menciumi bau tanah di pergunungan. Melihat embun yang hilang perlahan-lahan di hujung daun. Mendengar air bernyanyi di sebalik batu. Berhenti sekejap. Berteduh di bawah silara. Memanggil semula hembus nafas yang tertinggal. Denai becak selepas turunnya hujan ialah taman permainan indah yang tidak akan pernah difahami orang lain. Biarlah aku terus di situ. Meninggalkan segala kelam di belakang. Lalu menghilang pergi. Dan aku tak mahu lagi pamit. Atau mengucapkan selamat tinggal. Aku juga ingin menyimpan kata-kata, aku sayang kamu, yang aku ucapkan saban pagi setiap kali nafas pertama hari itu aku sedut. Aku akan menyimpannya. Dan aku harap Tuhan izinkan aku untuk membuang rasa itu…
Friday, 26 September 2025
LET IT BE
Rasa ingin tahu itu, aku simpan dalam-dalam. Biarlah ia tetap kekal sebagai rahsia, untuk aku. Aku tak ingin berkirim tanya. Mencari usul pada angin. Atau mengirim soal pada deru. Walau aku tahu. Banyak yang di sana. Atau di sini menunggu ketibaan tanyaku. Untuk dimuntahkan segala yang jijik. Sekadar untuk kepuasan diri. Namun, bagi aku. Itu semua tidak perlu. Bukan kerana sombong menyergup diri. Atau ingatan telah dihumban ke dalan rawa hanyir. Rasa itu tetap diam di tempatnya. Hanya sekadar ingin ingin berdamai. Berdamai dengan kemarahan. Dan dendam. Dan kecewa. Kata orang, waktu akan menyembuhkan luka. Dan aku percaya akan tertibnya waktu.
Thursday, 25 September 2025
Katakata
Adakalanya ”sayang” ini tdak diucapkan dengan kata-kata. Atau, ditunjuk dengan tingkah laku. Ada juga sayang itu ialah suatu kesenyapan. Sunyi tanpa suara. Terselindung di sebalik bayang-bayang duka semalqm yqng kita heret saban waktu. Kita ingin melepaskannya. Namun bisikan dari hati yang paling dalam meningkah, “usahlah.” Lalu kita sedar yang rasa itu tidak perlu kita kurung di dalam sangkar benci. Biarlah ia menerawang mengukut kehendaknya. Biarlkan sahaja. Kita tidak pernah tahu apa yang Tuhan sedang rencanakan untuk kita. Makq, kita jalani sahaja hidup ini dengan rasa damai, tanpa ada rasa benci yang menumpang di hujung tapak kaki kita. Usah peduli pada duri atau onak yang kadang-kadang melintang di jalanan kita. Usah patahkan onak itu. Biarkannya. Onak yang tumbuh dan melata di bumi ini pun tetap ada tugasnya. Biarkannya. Langkah sahaja onak itu. Sesungguhnya tidak semua onak punya penghujung duri yang tajam. Ada yang sudah tumpul, tidak bermata lagi. Mungkin sebab ada yang memijaknya tanpa sengaja lalu patah durinya dan terpendam ke dalam daging kaki si pemijak. Mula2 mungkin rasanya sangat pedih dan ngilu. Lama-kelamaan rasa pedih dan ngilu itu pun hilang. Bersatu dengan daging kaki. Dan kita tidak rasa apa-apa lagi selepas itu. Makq, usah bimbang. Melangkah sahaja. Tidak mengapa sekali sekala menoleh ke belakang melihat cinta kita yang tercicir dan tetinggal. Ada yang sengaja kita tinggalkan apabila bahu tidak lagi memberi izin upayanya untuk memikul. Maka, pamit sahaja sebagai tanda kita mengucapkan selamat tinggal. Tidak mengapa.
Tidak mengapa.
Tidak mengapa.
SELAMAT KEMBALI KEPADA SELAMAT DATANG
tiada apa-apa yang harus aku kesali untuk hari-hari 2025 kerana aku mengenggam akan rasa yakin "tuhan tidak kejam" yang datang d...
-
Gua sudah lupa nama dia. Tapi susuk wajah dan binaan tubuhnya, gua masih ingat. Hari itu hari pertama cuti penggal persekolahan. Asrama SM...
-
GUA AKAN CARI LU SAMPAI GUA DAPAT. GUA TAK MAIN-MAIN LAGI KALI INI>








