Bulan juga kadang-kadang tidak bermain dengan angin. Atau, melontar pandang kepada sang pungguk yang saban malam menyerunya untuk turun ke bumi. Tiada apa-apa yang harus dinanti. Bulan tetap akan berada di dada langit. Pungguk mungkin terlupa betapa anggunya diq pada malan hari, bertenggek di dahan paling tinggi di pokok ara. Atau, mungkin sahaja dia tidak mengetahuinya. Tidak tahu yang ia makhluk Tuhan yang paling anggun. Bertuah tetapi sering bertingkah adat pandangan manusia. Apabila sahaja pungguk berlagu pada malam yang sunyi, maka para ibu pun cepat-cepat menyeru anaknya mengunci mulut. Sambil pelbagai cerita pelik keluar daripada mulutnya.
Ahhh….cukuplah membebel. Dunia tak akan berubah dengan kata-kata. Dunia juga tidak akan berputar songsang lalu kembali ke masa silam. Maka, melangkahlah. Usah bercanda dengan kerang-kerangan yang meninggalkan cangkerangnya di pinggir pantai. Kelak kakimu sendiri yang tercucuk lalu terluka. Meninggalkan setiap tetes darah di atas bekas injak telapak kakimu.
Kata orang, ada pohon pauh janggi di dasar lautan sana. Begitulah yang diceritakan para leluhur. Benarkah? Benarkah ada pauh janggi tumbuh mengakar lalu meninggi di dasar lautan lepas? Jawapannya janganlah kita sandarkan pada hukum logik zaman sekarang. Kembali sahaja ke zaman leluhur yang hidup dikurung oleh feudalisme.
No comments:
Post a Comment