Dan. Ia pun pergi. Seperti selalu. Ia seperti sebuah buku yang halamannya sudah dibaca. Lalu ditutup untuk dibuka lagi pada suatu hari nanti. Dan juga seperti suatu perjalanan pengalaman yang kita mulai semalam, tetapi tak tahu jalan hujungnya walaupun kita pasti titik penamatnya ada di sana.
Lalu aku hanya berjalan sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, disapa oleh suara yang tak pernah pun aku dengar. Atau, oleh suara yang lama bersembunyi, tetapi mengintai-intai dari sebalik sehelai tirai tipis. Dan. Aku pasti kilas di sebalik tirai itu ialah sepasang matamu. Lama menghilang. Tanpa suara yang tiba di sini. Mengkhabarkan adakah di tanah hujung ada ribut, ataupun sentiasa tenang?
Suaramu sunyi. Tapi aku mendengarnya dari sini. Adakah engkau masih besembunyi di tempat rahsiamu, sesekali? Atau, adakah tempat rahsiamu itu tidak lagi menjadi rahsia? Lalu engkau membukanya dan membiarkan angin segara menyerbu masuk?
Walaupun aku tidak lagi mempunyai ingin mencari jawapan, tetapi aku dapat merasainya. Tidak perlu kepada suara, cukup dengan suatu bisikan halus.
Maka jadilah ia seperti seekor merpati yang tugasnya menghantar bingkis. Tetapi sayapnya kepatahan dipukul pawana dari arah matahari terbit. Lalu bingkisan itu terus utuh di ranting kakinya. Terus ada di situ sementara menunggu tumbuhnya sayap baru untuk dia megepak lagi.
Seperti merpati yang patah sayapnya, bingkisan yang dikirim tak pernah tiba. Tiada lagi.
Tiada desir bayu.
Tiada butir-butir hujan.
Tiada juga bayang-bayang.
No comments:
Post a Comment