Friday, 23 December 2011

Kereta Api Malam


Dia menutup pintu itu bagaikan ingin memecahkannya dan tanpa sebarang kata dia menekan butang lif.  Sebaik pintu lif terkuak dia melangkah tanpa memandang ke sudut dinding berkaca seperti yang selalu dilakukannya.
“Aku suka melihat cahaya matahari pagi.  Ia mengingatkan aku bahawa Tuhan memberi rahmat-Nya untuk aku terus berjalan dan bernafas.  Sekali gus Tuhan bagaikan menghantar kan isyarat-Nya supaya aku sentiasa sujud kepada-Nya tanpa gagal,” begitu jawapannya pada suatu pagi setelah aku bertanya tentang kesukaannya melihat cahaya matahari pagi.

Tapi, pagi itu, dia bagaikan lupa akan rutinnya. 
Terlupakah dia akan nikmat Tuhan yang dilimpahkan-Nya pada setiap pagi?
Alpakah dia untuk terus bersujud seperti yang selalu dilakukannya?

Aku biarkan dia pergi tanpa sebarang soal.  Biarlah.  Mungkin ada sedikit kecelaruan dalam dirinya setelah aku mengatakan bahawa apa-apa yang telah dilakukannya pada hari sebelumnya adalah salah dan tidak patut diulangi untuk hari-hari berikutnya.

“Memang dia akan datang secara tersusun tetapi engkau juga harus ingat yang dia akan pergi sesuka hatinya sama ada tanpa engkau sedar atau tanpa engkau mengatakan tidak kepadanya,” aku cuba mengingatkan dia tatkala dia datang dan menarik kerusi dan duduk di sebelah meja aku.

Untuk cuba menantikan cahaya merah matahari terbenam pada musim tengkujuh hanyalah suatu perbuatan yang sia-sia.  Dan aku cuba mengingatkan dia tentang itu.  Hanya sekadar untuk peringatan.  Tidak lebih daripada itu.  Tidak lebih.  Tidak.

Tatkala aku sedang melihat sepasang merbah di koridor pejabat, suatu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon genggam aku yang menghantar pesanan, “Dia sedang menantikan kereta api malam untuk menuju ke Timur.”

Aku mengumpul dua ranting kayu halus yang satunya panjang dan satunya pendek.  Yang panjang untuk ‘ya’ dan pendek untuk ‘tidak’.  Aku meletakkan nasib pada dua ranting kayu halus untuk memberikan jawapan.  Ternyata ranting kayu halus panjang yang tercabut daripada genggaman tapak tangan aku walaupun aku berharap agar aku mendapat yang pendek.  Celaka apakah yang akan berada di landasan kereta api malam yang ingin ditumpanginya tidak ingin aku mengambil tahu kerana aku hanya bersedia dengan jawapan untuk ranting kayu halus kecil.

Aku duduk di koridor untuk beberapa jam yang berikutnya yang sengaja aku lakukan sambil berharap pasangan merbah yang telah menghilang itu kembali bertenggek di hujung dahan acacia dan sambil menuangkan waktu ke dalam lajur-lajur detik dan minit dan jam.  Aku sengaja berbuat demikian kerana aku berharap aku akan mendapat ranting kayu halus panjang kerana itu yang aku harapkan kerana aku tidak akan mengangkat tanganku untuk memberi lambaian bagi mengucapkan sayonara kepada dia kerana itulah yang telah dipilihnya dan aku tidak ingin berasa menyesal sepanjang hidup.

Dan memang aku sengaja sampai terlalu lewat di stesen kereta api dan seluit kereta api malam yang berbunyi sebaik aku melangkah masuk ke pintu depan stesen telah berada dipihak aku.  Aku tidak mengangkat tangan untuk menghantar sayonara dan dia juga tidak tahu yang aku ada di stesen pada malam itu tetapi tidak pernah melihat haluan landasan kereta api malamnya.

Malam itu kereta apinya meluncur perlahan-lahan yang melaju kemudiannya di atas landasan yang dialas dengan kerikil-kerikil yang diambil dari bukit di sebelah teluk hujung sana.  Dan kereta api itu tentunya akan kembali ke stesen itu semula dan aku tidak peduli sama ada dia juga berada di dalam kereta api yang kembali itu atau tidak.  Aku tidak ingin mengambil tahu apa-apa lagi.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...