Wednesday, 21 December 2011

Search Memang Suatu Fenomena Selama 30 Tahun


 Maka, apabila Search buat konsert sempena 30 tahun mereka kat MIECC ari tu, gua menjoinkan diri .   Walaupun mulanya gua gelakkan kat Din Cromok kerana bawak dua lai baju hujan, tapi itu hanyalah selingan buat seorang jejaka kecil molek yang tidak tahu apa itu MIECC.
“Dalam dewan.  Kalau hujan takyah nak pakai baju hujan.  Nanti orang gelak,” kata gua.
“Kawe ingatkan tempat terbuka,” Din Cromok kata.

Nak masuk saja dalam dewan, gua dah rasa macam VIP.  Kiri kanan ada amoi genit berbaju dan berskirt merah lambai-lambai tangan sambil kata “Welkam” dengan senyuman yang dibuat-buat tapi masih lagi manis.  Perghhhh...macam pelumba F1 plak rasa.

Masuk dewan, ngam-ngam Mak Jemah menjerit melalui pembesar suara
“DIPERSEMBAHKAN KEPADA ANDA SEMUA.....SEARCHHHHHHHHH!!!!”

Gua dan Din Cromok cilok sana cilok sini.  Cari port paling baik.  Tapi dengan jumlah peminat susah mati [die hard fan] Search, memang betul-betul susah nak cari port terbaik.  Maka gua dan Din Cromok pun tersangkutlah dalam ribuan manusia : lelaki, pompuan, tua, muda, awek bertudung, awek seksi...semua ada.

Mula-mula video Yazit bersiap-siap nak naik ke pentas terpampang di tiga layar gergasi.  Para penonton pun “Woooooooooo.....!!!”

Pastu Nasir.

Pastu Din.

Pastu Kidd.

Last sekali Amy.

Rekaan pentas memang superb.  Gua dah layan banyak konsert.  Sama ada konsert Search sendiri atau konsert group lain.  Tapi yang ini paling best.  Ada api meletup-letup.  Dengan lampu-lampu LED yang lip lap lip lap.  Sound sistem takyah nak cerita.  Memang world class.  Tolak sound sistem Opera Hidup Wings di Istana Budaya, inilah sound sistem konsert yang paling cun pernah gua dengar.

 Yazit : tukang pukul dram ni memang dah nampak berumur.  Dengar cerita, dah banyak kali jugak keluar masuk hospital.  Tapi bila brader ni amik stick, pukul sana pukul sini...budak-budak umur 20 tahun pun akan mengaku kalah.  Selama 3 jam, Yazit pukul dram dengan segala sendi-sendinya yang tak berhenti-henti.   Walaupun pernah keluar sekejap dari Search [digantikan oleh Lola], tapi sebagai anggota pengasas Search, Yazit masuk semula.  Bagi gua, tanpa Yazit [walau Lola juga antara yang terhebat menjadi pemukul dram] Search ibarat nasi beriani tanpa kari kambing.

Din, menjadi pemain gitar rhytm.  Din jarang-jarang goreng gitar.  Kejer dia, buat rhytmn jer.  Sekarang ni, kalau dia greeenggg! greeeenggg! greeeengg! gitarnya, dia nampak lebih selamba dan rileks.  Bukan macam dulu yang nampak sangat agresif.  Mungkin Din nak sesuaikan dengan imej rambut pendek tapi funkynya itu.  Dia macam nak kata, "Hey, tengoklah stail baru rambut gua ini.  Sebab tu gua tak banyak hangguk-hangguk kepala."  Dan seperti kata Amy, Din ialah seorang pemain gitar ryhtmn yang paling hebat, gua juga setuju dengan kata-kata itu.

Nasir kelihatan sangat sempoi akhir-akhir ini dengan skirt Scotish dan berjanggut yang dicat putih.  Gua rasa, brader ni banyak simpan skirt kat dalam almari di rumah dia.  Album Cinta Buatan Malaysia, Nasir takder.  Masa tu Yan yang jadi bassis.  Kemudian, bila Yan join Lefthanded, baru Nasir masuk balik Search.  Tapi Nasir keluar lagi dan Yan masuk semula.  Kemudian keluar lagi, dan digantikan pula oleh Fauzi.  Kemudian masuk balik.  Gua suka tengok Nasir apabila dia main bass.  Attitude sebagai seorang bassis jelas terpancar.  Kadang-kadang dia telungkupkan seluruh tapak tangannya kat fret gitar bassnya.  Gua tak tau apa tujuannya.  Tapi mungkin untuk mempelbagaikan bunyi yang keluar kot.  Tah ler, gua tak penah main gitar bass, jadik gua tak tau apa tujuannya.

Hilary Ang, pemetik gitar awal Search sangat hebat.  Bunyi yang keluar dari petikannya sangat menakjubkan.  Bila Hilary pegang gitar jer, seluruh aura terkumpul dan terpancar pada dirinya.  Jadi, apabila Hilary keluar Search dan digantikan Kidd, ramai yang sinikal dan kata "Boleh ke mat rock bunga-bunga ni main gitar?".  Ramai yang kata camtu sebab Kidd asalnya gitarist Gersang.  Sebuah band yang claim main muzik rock tetapi berpakaian macam budak-budak Institut Kemahiran Mara yang nak masuk kelas.  Tapi Kidd membuktikan yang dia juga boleh goreng gitar hingga ranggup dan menjilat jari.  Dalam album Fenomena, Hilary main beberapa buah lagu, Kidd main beberapa buah lagu.  Tapi bunyi yang dihasilkan oleh Kidd juga sangat ajaib.  Dan Kidd terus kekal dengan Search sehingga kini. [Kidd pernah keluar daripada Search bersama abangnya, Din, dan Hilary masuk semula, dan Hilary keluar lagi, Kidd masuk semula].  Cuma malam tu, yang gua tak berapa nak berkenan sikit, Kidd main gitar sambil hisap rokok.  Memang ler Slash pun buat camtu.  Tapi, bila Kidd main gitar sambil hisap rokok, nampak macam tak berapa nak kenalah.

Amy, mula-mula dengar nama dia, gua kata "Pehal nama cam pompuan."  Tapi nama 'yang macam nama pompuan' tu tidak memberikan apa-apa kesan apabila Amy memegang mikrofon dan mula menjerit.  Jantan habis!  Amy di luar pentas, sebagai orang biasa sangat berbeza.  Sebab Restoran Cheng Ho dekat ngan opis gua, ada la dua tiga kali gua nampak Amy.  Di luar, Amy nampak sangat matang, cool, dan 'cahaya keimanan' jelas terpancar dari wajahnya.  Tapi bila Amy di pentas, gua ternampak suatu entiti luar biasa yang sedang perform.  Malam tu Amy mulakan persembahan dengan "Panggung Khayalan".  Satu lagu demi satu lagu selama tiga jam.  Berenti pun sekejap jer sebab nak tukar baju.  Selama tiga jam itu, vokal amy tak pancit walau sedikit pun.  Dari "Panggung Khayalan" sampailah lagu terakhir "Fantasia Bulan Madu" vokal Amy maintain jer.  Masa nyanyi lagu heavy , Amy lompat sangat lincah.  Kadang-kadang dia melompat. Ketika nyanyikan "Isi atau Kulit" Amy hampir terjatuh sebab kaki dia terbelit dengan kabel mikrofon.

Dan, semasa melontarkan suaranya pada lagu terakhir, Fantasia Bulan Madu, di pertengahan lagu, Amy terduduk dengan mukanya terlungkup pada kedua-dua pahanya.  Lama.  Hampir seminit.  Amy terhenti seketika dari melontarkan suaranya.  Tapi gema "Fantasia Bulan Madu" bersiponggang di seluruh pelusuk MIECC.  Dari layar gergasi, gua nampak wajah Amy yang begitu terharu.  Betul-betul terharu.  Bukan dibuat-buat.  Dari matanya yang berkaca, Amy bagaikan berkata, "Terima kasih semua kerana menyokong Search".

Malam itu, gua menyaksikan The Living Legend.  Suatu persembahan yang paling hebat sepanjang gua hidup.


Walaupun rambutku panjang
Pakaian lusuh tak keruan
Tapi bukan munafik macam setengah orang!
[petikan lirik Mat Rock]

[pic: kredit untuk Go Search Sdn Bhd dan Din Cromok.]

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...