Friday, 23 December 2011

Kereta Api Malam


Dia menutup pintu itu bagaikan ingin memecahkannya dan tanpa sebarang kata dia menekan butang lif.  Sebaik pintu lif terkuak dia melangkah tanpa memandang ke sudut dinding berkaca seperti yang selalu dilakukannya.
“Aku suka melihat cahaya matahari pagi.  Ia mengingatkan aku bahawa Tuhan memberi rahmat-Nya untuk aku terus berjalan dan bernafas.  Sekali gus Tuhan bagaikan menghantar kan isyarat-Nya supaya aku sentiasa sujud kepada-Nya tanpa gagal,” begitu jawapannya pada suatu pagi setelah aku bertanya tentang kesukaannya melihat cahaya matahari pagi.

Tapi, pagi itu, dia bagaikan lupa akan rutinnya. 
Terlupakah dia akan nikmat Tuhan yang dilimpahkan-Nya pada setiap pagi?
Alpakah dia untuk terus bersujud seperti yang selalu dilakukannya?

Aku biarkan dia pergi tanpa sebarang soal.  Biarlah.  Mungkin ada sedikit kecelaruan dalam dirinya setelah aku mengatakan bahawa apa-apa yang telah dilakukannya pada hari sebelumnya adalah salah dan tidak patut diulangi untuk hari-hari berikutnya.

“Memang dia akan datang secara tersusun tetapi engkau juga harus ingat yang dia akan pergi sesuka hatinya sama ada tanpa engkau sedar atau tanpa engkau mengatakan tidak kepadanya,” aku cuba mengingatkan dia tatkala dia datang dan menarik kerusi dan duduk di sebelah meja aku.

Untuk cuba menantikan cahaya merah matahari terbenam pada musim tengkujuh hanyalah suatu perbuatan yang sia-sia.  Dan aku cuba mengingatkan dia tentang itu.  Hanya sekadar untuk peringatan.  Tidak lebih daripada itu.  Tidak lebih.  Tidak.

Tatkala aku sedang melihat sepasang merbah di koridor pejabat, suatu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon genggam aku yang menghantar pesanan, “Dia sedang menantikan kereta api malam untuk menuju ke Timur.”

Aku mengumpul dua ranting kayu halus yang satunya panjang dan satunya pendek.  Yang panjang untuk ‘ya’ dan pendek untuk ‘tidak’.  Aku meletakkan nasib pada dua ranting kayu halus untuk memberikan jawapan.  Ternyata ranting kayu halus panjang yang tercabut daripada genggaman tapak tangan aku walaupun aku berharap agar aku mendapat yang pendek.  Celaka apakah yang akan berada di landasan kereta api malam yang ingin ditumpanginya tidak ingin aku mengambil tahu kerana aku hanya bersedia dengan jawapan untuk ranting kayu halus kecil.

Aku duduk di koridor untuk beberapa jam yang berikutnya yang sengaja aku lakukan sambil berharap pasangan merbah yang telah menghilang itu kembali bertenggek di hujung dahan acacia dan sambil menuangkan waktu ke dalam lajur-lajur detik dan minit dan jam.  Aku sengaja berbuat demikian kerana aku berharap aku akan mendapat ranting kayu halus panjang kerana itu yang aku harapkan kerana aku tidak akan mengangkat tanganku untuk memberi lambaian bagi mengucapkan sayonara kepada dia kerana itulah yang telah dipilihnya dan aku tidak ingin berasa menyesal sepanjang hidup.

Dan memang aku sengaja sampai terlalu lewat di stesen kereta api dan seluit kereta api malam yang berbunyi sebaik aku melangkah masuk ke pintu depan stesen telah berada dipihak aku.  Aku tidak mengangkat tangan untuk menghantar sayonara dan dia juga tidak tahu yang aku ada di stesen pada malam itu tetapi tidak pernah melihat haluan landasan kereta api malamnya.

Malam itu kereta apinya meluncur perlahan-lahan yang melaju kemudiannya di atas landasan yang dialas dengan kerikil-kerikil yang diambil dari bukit di sebelah teluk hujung sana.  Dan kereta api itu tentunya akan kembali ke stesen itu semula dan aku tidak peduli sama ada dia juga berada di dalam kereta api yang kembali itu atau tidak.  Aku tidak ingin mengambil tahu apa-apa lagi.

Thursday, 22 December 2011

Temu Ramah Sesuka Hati [siri II]


Poora-poora : Suka menulis ke?
Gua : Suka

Poora-poora : Sejak bila menulis.
Gua : Sejak dajah satu lagi.  Gua suka menulis sejak dajah satu.  Gua tak masuk tadika sebab kat kampung takder tadika.  Kalau masuk tadika, rasanya sejak tadikalah gua suka menulis.  Bila masuk dajah satu, macam-macam gua tulis.  Mula-mula cikgu gua yang montel tu ajar tulis ABC.  Tulis jawi pun ada.  Bukan macam sekarang ni.  Tulisan jawi dah pupus kat sekolah.  Lama-lama tulisan jawi akan mati camtu jer.  Tu ler orang kita.  Bila dah pegang kuasa bukannya nak pertahankan apa-apa yang ada.  Nak kembangkannya jauh sekali.  Tak silap gua, Menteri Pelajaran Malaysia yang tah apaker namanya yang hapuskan tulisan jawi.  Sayang beb!  Sebab apa?  Sebab tulisan jawi ni kira macam identitikal bangsa Melayu.  Bila dah hapus tulisan jawi, generasi berikutnya dah tak tau baca dan tulis jawi.  Akhirnya salah satu identiti bangsa Melayu lenyap.

Poora-poora : Cop! Cop! Cop!  Apa yang saudara duk merepek ni?  Saya tanya lain, saudara jawab merapu-meraban.
Gua : Tah.  Gua kadang-kadang lupa daratan kalau menjawab soklan.

Poora-poora : Seriuslah sikit.  Orang tanya betul-betul, dia selalu jer nak main-main.  Jawab betul-betul.  Nanti saya belanja beger kat Mekdi.
Gua :  Ekekekekek....ok.

Poora-poora : Sejak bila mula menulis?  Jangan jawab semenjak dari darjah satu ekkk...kita tak suka.
Gua : Seingat gua la, sejak dari sekolah rendah lagi memang gua suka menulis.  Masa sekolah rendah, kalau bab karangan, cikgu selalu baca karangan gua kat depan kelas.  Cikgu kata “Ini contoh karangan yang bagus”.  Kembang kempis der lobang idung gua.  Dan pengembangan dan pengempisan lubang idong gua tu berterusan sampailah ke sekolah menengah.  Karangan gua ada la juga keluar dalam majalah Dewan Pelajar dan akhbar mingguan Mingguan Kanak-Kanak.  Kedian, masa gua form four , gua hantar cerpen kat radio Malaysia.  Sajer jer suka-suka nak test power la konon.  Tah macam mana, cerpen gua kena baca kat radio.  Tak silap gua, penyampai radio masa tu Mazni Yusof.  Sekarang dah datin dah dia.  Masa gua tahun 1 kat UM, jabatan gua ada buat lawatan kat RTM.  Alaaaa...kat tepi rumah sewa gua jer pun kat Pantai Dalam.  Masa lawatan tu ler gua nampak Mazni Yusof hidup-hidup.  Dalam hati gua kata, hah...inilah orang yang baca cerpen aku kat radio.  Pastu,banyak la gua tulis.  Tapi gua tulis suka-suka jer.  Gua tak hantar kat mana-mana pun.  Habis tinggi gua bagi kat kawan gua yang jadi ketua pengarang majalah kolej kediaman.  Itu pun setelah dia memujuk rayu gua dengan mee sepinggan dan air sirap segelas suruh gua menulis.  Sebab takder orang nak menulis. Sekian, terima kasih.

Poora-poora : Sekarang, kalau saudara menulis, saudara suka tulis tentang apa?
Gua : Gua main belasah jer.  Semua gua tulis. Tapi kalau cik penanya soklan peratikan apa yang gua tulis kat belog, sebenarnya gua ada selit-selitkan beberapa isu secara tak langsung.  Gua tulis dalam bentuk yang paling santai, bagi gua ler.  Bagi orang lain gua tak tahu.  Macam juga dengan cerita-cerita rakyat warisan orang-orang Melayu.  Pak Kaduk, Lebai Malang, Mat Jenin, Si Luncai dan banyak lagi tu sebenarnya sarat dengan kritikan sosial.  Tetapi ia disampaikan secara santai dan lawak jenaka.  Orang-orang Melayu dahulu, apabila diperdengarkan cerita-cerita ni, mereka gelak sampai pecah-pecah perot.  Tapi sebenarnya mereka tak sedar yang mereka sedang dikritik oleh tukang-tukang cerita, oleh Tok Selampit, oleh Awang Batil, oleh penglipur lara, oleh Tukang karut dikir Barat, oleh Tok Peran Makyung.

Poora-poora : Apa pula teknik dan gaya penulisan yang saudara guna?
Gua : Teknik yang gua pakai ialah teknik yang dinamakan ‘aku belasah sesuka hati apa kau nak peduli’.  Tentang gaya penulisan pula gua pakai ‘aku punya tulisan, ikut aku ler nak pakai gaya apa-apa pun’.  Pendek kata, gua hanya pakai teknik dan gaya sesedap anak tekak gua.  Gua boleh tulis dengan teknik dan gaya tertentu sebab gua banyak tahun juga ler duk pung! pang! pung! pang! sastera Melayu tingkatan 6.  Kalau nak tulis ikot Tatabahasa Dewan sebijik...sebijik pun boleh sebab gua belajar benda tu kat Universiti dulu.  Tapi semua tu, gua simpan atas meja.  Gua pakai semua tu untuk kerja-kerja formal gua yang bersangkutan sembelih menyembelih manuskrip.

Poora-poora : Macam mana pula dengan membaca?  Suka?
Gua : Oooooooooooo....gua memang suka membaca.  Kalau tanya sebab apa suka membaca, gua takder jawapan.  Gua rasalah sebab persekitaran kot.  Bapak gua suka baca surat kaba, baca buku, dan apa-apa sahaja.  Masa gua kecik-kecik, bapak gua cakap gua selalu duk atas riba dia masa dia baca buku.  Dia kata lagi, masa dia baca buku, mata gua asik duk tengok tulisan-tulisan kat buku tu.  Dia kata gua berlagak siot...macam ler gua pandai baca.  Kedian, masa gua dajah 2, gua dah boleh baca dengan lancar.  Abis segala surat kaba gua baca.  Masa gua dajah 3, gua dah baca buku-buku hikayat macam Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Abdullah, Sejarah Melayu dan banyak lagi.  Kesemua buku tu, bapak gua yang punya.  Kedian nak jadikan cerita, bapak gua tah dari mana tah dia amik ensiklopedia penuh satu kotak.  Jadi, hari-hari gua duk mengadap ensiklopedia tuh.  Masa gua dajah 4, gua masuk library sekolah.  Gua pinjam Hikayat Hang Tuah.  Kaler kulit buku itu hitam.  Ada gambar sebilah keris kat kulit depan.  Buku tu punyalah berat.  Kalau jatuh kat atas kepala, rasanya mahu koma dua tiga bulan.  Satu minggu, habis gua baca Hikayat Hang Tuah.  Pastu, masa gua sekolah rendah lagi gua dah baca majalah Dewan Masyarakat.  Bukan gua yang beli tapi kakak gua yang masa tu nak amik STPM.  Masa kakak gua amik SPM, ada buku Khadijah Hashim bertajuk Badai Semalam yang jadi buku teks.  Pun gua balun gak.  Pendek kata, sejak dari gua pandai membaca sampai la sekarang, tak abis-abis gua membaca.  Sampai la gua jadi cikgu, mengajar Pengajian Am lagi la gua banyak membaca.  Dan sekarang ni gua kerja dengan buku.  Syok der, sebab gua dibayar tiap-tiap bulan untuk baca buku.  Orang lain belum baca lagi, gua dah abis baca dah.
Errrr...cik penanya soklan.  Belanja gua beger mekdi.  Yang dabel punya.  Lapar lah.
Poora-poora : Iyo laaaa...

Wednesday, 21 December 2011

Search Memang Suatu Fenomena Selama 30 Tahun


 Maka, apabila Search buat konsert sempena 30 tahun mereka kat MIECC ari tu, gua menjoinkan diri .   Walaupun mulanya gua gelakkan kat Din Cromok kerana bawak dua lai baju hujan, tapi itu hanyalah selingan buat seorang jejaka kecil molek yang tidak tahu apa itu MIECC.
“Dalam dewan.  Kalau hujan takyah nak pakai baju hujan.  Nanti orang gelak,” kata gua.
“Kawe ingatkan tempat terbuka,” Din Cromok kata.

Nak masuk saja dalam dewan, gua dah rasa macam VIP.  Kiri kanan ada amoi genit berbaju dan berskirt merah lambai-lambai tangan sambil kata “Welkam” dengan senyuman yang dibuat-buat tapi masih lagi manis.  Perghhhh...macam pelumba F1 plak rasa.

Masuk dewan, ngam-ngam Mak Jemah menjerit melalui pembesar suara
“DIPERSEMBAHKAN KEPADA ANDA SEMUA.....SEARCHHHHHHHHH!!!!”

Gua dan Din Cromok cilok sana cilok sini.  Cari port paling baik.  Tapi dengan jumlah peminat susah mati [die hard fan] Search, memang betul-betul susah nak cari port terbaik.  Maka gua dan Din Cromok pun tersangkutlah dalam ribuan manusia : lelaki, pompuan, tua, muda, awek bertudung, awek seksi...semua ada.

Mula-mula video Yazit bersiap-siap nak naik ke pentas terpampang di tiga layar gergasi.  Para penonton pun “Woooooooooo.....!!!”

Pastu Nasir.

Pastu Din.

Pastu Kidd.

Last sekali Amy.

Rekaan pentas memang superb.  Gua dah layan banyak konsert.  Sama ada konsert Search sendiri atau konsert group lain.  Tapi yang ini paling best.  Ada api meletup-letup.  Dengan lampu-lampu LED yang lip lap lip lap.  Sound sistem takyah nak cerita.  Memang world class.  Tolak sound sistem Opera Hidup Wings di Istana Budaya, inilah sound sistem konsert yang paling cun pernah gua dengar.

 Yazit : tukang pukul dram ni memang dah nampak berumur.  Dengar cerita, dah banyak kali jugak keluar masuk hospital.  Tapi bila brader ni amik stick, pukul sana pukul sini...budak-budak umur 20 tahun pun akan mengaku kalah.  Selama 3 jam, Yazit pukul dram dengan segala sendi-sendinya yang tak berhenti-henti.   Walaupun pernah keluar sekejap dari Search [digantikan oleh Lola], tapi sebagai anggota pengasas Search, Yazit masuk semula.  Bagi gua, tanpa Yazit [walau Lola juga antara yang terhebat menjadi pemukul dram] Search ibarat nasi beriani tanpa kari kambing.

Din, menjadi pemain gitar rhytm.  Din jarang-jarang goreng gitar.  Kejer dia, buat rhytmn jer.  Sekarang ni, kalau dia greeenggg! greeeenggg! greeeengg! gitarnya, dia nampak lebih selamba dan rileks.  Bukan macam dulu yang nampak sangat agresif.  Mungkin Din nak sesuaikan dengan imej rambut pendek tapi funkynya itu.  Dia macam nak kata, "Hey, tengoklah stail baru rambut gua ini.  Sebab tu gua tak banyak hangguk-hangguk kepala."  Dan seperti kata Amy, Din ialah seorang pemain gitar ryhtmn yang paling hebat, gua juga setuju dengan kata-kata itu.

Nasir kelihatan sangat sempoi akhir-akhir ini dengan skirt Scotish dan berjanggut yang dicat putih.  Gua rasa, brader ni banyak simpan skirt kat dalam almari di rumah dia.  Album Cinta Buatan Malaysia, Nasir takder.  Masa tu Yan yang jadi bassis.  Kemudian, bila Yan join Lefthanded, baru Nasir masuk balik Search.  Tapi Nasir keluar lagi dan Yan masuk semula.  Kemudian keluar lagi, dan digantikan pula oleh Fauzi.  Kemudian masuk balik.  Gua suka tengok Nasir apabila dia main bass.  Attitude sebagai seorang bassis jelas terpancar.  Kadang-kadang dia telungkupkan seluruh tapak tangannya kat fret gitar bassnya.  Gua tak tau apa tujuannya.  Tapi mungkin untuk mempelbagaikan bunyi yang keluar kot.  Tah ler, gua tak penah main gitar bass, jadik gua tak tau apa tujuannya.

Hilary Ang, pemetik gitar awal Search sangat hebat.  Bunyi yang keluar dari petikannya sangat menakjubkan.  Bila Hilary pegang gitar jer, seluruh aura terkumpul dan terpancar pada dirinya.  Jadi, apabila Hilary keluar Search dan digantikan Kidd, ramai yang sinikal dan kata "Boleh ke mat rock bunga-bunga ni main gitar?".  Ramai yang kata camtu sebab Kidd asalnya gitarist Gersang.  Sebuah band yang claim main muzik rock tetapi berpakaian macam budak-budak Institut Kemahiran Mara yang nak masuk kelas.  Tapi Kidd membuktikan yang dia juga boleh goreng gitar hingga ranggup dan menjilat jari.  Dalam album Fenomena, Hilary main beberapa buah lagu, Kidd main beberapa buah lagu.  Tapi bunyi yang dihasilkan oleh Kidd juga sangat ajaib.  Dan Kidd terus kekal dengan Search sehingga kini. [Kidd pernah keluar daripada Search bersama abangnya, Din, dan Hilary masuk semula, dan Hilary keluar lagi, Kidd masuk semula].  Cuma malam tu, yang gua tak berapa nak berkenan sikit, Kidd main gitar sambil hisap rokok.  Memang ler Slash pun buat camtu.  Tapi, bila Kidd main gitar sambil hisap rokok, nampak macam tak berapa nak kenalah.

Amy, mula-mula dengar nama dia, gua kata "Pehal nama cam pompuan."  Tapi nama 'yang macam nama pompuan' tu tidak memberikan apa-apa kesan apabila Amy memegang mikrofon dan mula menjerit.  Jantan habis!  Amy di luar pentas, sebagai orang biasa sangat berbeza.  Sebab Restoran Cheng Ho dekat ngan opis gua, ada la dua tiga kali gua nampak Amy.  Di luar, Amy nampak sangat matang, cool, dan 'cahaya keimanan' jelas terpancar dari wajahnya.  Tapi bila Amy di pentas, gua ternampak suatu entiti luar biasa yang sedang perform.  Malam tu Amy mulakan persembahan dengan "Panggung Khayalan".  Satu lagu demi satu lagu selama tiga jam.  Berenti pun sekejap jer sebab nak tukar baju.  Selama tiga jam itu, vokal amy tak pancit walau sedikit pun.  Dari "Panggung Khayalan" sampailah lagu terakhir "Fantasia Bulan Madu" vokal Amy maintain jer.  Masa nyanyi lagu heavy , Amy lompat sangat lincah.  Kadang-kadang dia melompat. Ketika nyanyikan "Isi atau Kulit" Amy hampir terjatuh sebab kaki dia terbelit dengan kabel mikrofon.

Dan, semasa melontarkan suaranya pada lagu terakhir, Fantasia Bulan Madu, di pertengahan lagu, Amy terduduk dengan mukanya terlungkup pada kedua-dua pahanya.  Lama.  Hampir seminit.  Amy terhenti seketika dari melontarkan suaranya.  Tapi gema "Fantasia Bulan Madu" bersiponggang di seluruh pelusuk MIECC.  Dari layar gergasi, gua nampak wajah Amy yang begitu terharu.  Betul-betul terharu.  Bukan dibuat-buat.  Dari matanya yang berkaca, Amy bagaikan berkata, "Terima kasih semua kerana menyokong Search".

Malam itu, gua menyaksikan The Living Legend.  Suatu persembahan yang paling hebat sepanjang gua hidup.


Walaupun rambutku panjang
Pakaian lusuh tak keruan
Tapi bukan munafik macam setengah orang!
[petikan lirik Mat Rock]

[pic: kredit untuk Go Search Sdn Bhd dan Din Cromok.]

Friday, 16 December 2011

Temu Ramah Sesuka Hati [siri I]


Poora-poora : Apa khabar?  Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu ramah.
Gua :  No hal. Kecik jer tu.

Poora-poora : Sudah makan ke ni?  Agaknya apakah makanan yang menjadi kegemaran saudara pagi-pagi buta?
Gua :  Dulu-dulu, masa kecik gua suka makan nasi belauk.  Bawak duit lima posen pegi kedai dah penuh perut.  Boleh bekal tenaga pegi lastik burung, panjat pokok kerian, atau cari ikan sekareng.  Tapi tu dulu la.  Zaman duk kampung.  Zaman belum masuk jawi lagi. Zaman dosa ditanggung mak bapak.  Tapi semenjak jadi orang kolumpo ni, gua jarang makan pagi. Pegi gerai, ada nasi lemak jer.  Semua sama beb! Nasi lemak...nasi lemak...nasi lemak.  Cuma yang berbeza ialah ketebalan lipstik dan bedak sejuk yang dipakai makcik-makcik yang jual nasi lemak.  Itu jer.  Jadik, selalunya kalau gua lepak mana-mana kedai atau gerai pada waktu pagi, gua minum jer.  Sambil minum, tarik sebatang dua dunhill.  Sambil pung! pang! pung! pang! kutuk sana, kutuk sini.  Orang itu tak betul!  Orang ini tak betul!  Pendek kata, gua pun turut sama menjadi aktivis waktu pagi orang-orang kita yang suka pung! pang! pung! pang! macam tong kosong.  Sambil-sambil tu jeling-jeling orang lalu lalang.  Tengok bas.  Tengok kereta.  Tengok lori.  Tengok orang kaya naik kereta besar.  Tengok orang miskin jalan kaki.  Ehhhh...ni dah melalut.  Dah, dah... kao tanya soklan lain pulak sebelum aku melalut dengan lebih lanjut.

Poora-poora :  Hihihihi [ketawa sopan sambil tutup-tutup mulut dengan tangan].  Saya sengaja biarkan abang ...ehhh.... saudara.  Ada sense of humor juga abang....ehhhh...saudara ni.   Boleh citerkan serba sikit latar belakang?
Gua :  Latar kat belakang ke?  Malu la nak kasi tau.  Sebab banyak sangat parut kudis kat belakang ni.  Maklum ler budak kampung.   Masa kecik-kecik dulu selalu berkubang dalam baruh sebab nak tangkap ikan sekareng.  Jadi selalu ler kena gigit lintah sebesar kerbau kat belakang.  Takpong, selalu kena bedal ngan tali timba kat belakang oleh mak atau ayah sebab ponteng ngaji quran.  Tu yang penuh parut.  Macam-macam saiz ada.  Macam-macam corak ada.  Errrr...tadi, tanya soalan haper yer?
Poora-poora : Menci tau...[buat muncung].  Jawab betul-betul la.  Orang tanya tentang latar belakang....hisshhhhh....kang saya merajuk....kang....kang...kang.
Gua : Susah la nak jawab soklan macam tu.  Nak jawab soklan Ekonomi tingkatan 6 tak ler susah nak jawab soklan tu.  Alaaaa....jangan la merajuk.  Cuba tanya soklan direct jer.  Takyah tanya soklan yang terlalu bercapah-capah.  Tak pasal2 plak gua bagi jawapan bercapah-capah.
Poora-poora : Ok la! Ok la!  Saudara ni penah jadik cikgu ke?
Gua: Penah.  Penah jadi cikgu sekolah.  Tapi belum penah pagi jadi cikgu driving school atau cikgu kelas memasak Pergerakan Wanita UMNO.

Poora-poora : Ooooo...kiranya saudara ni pernah dilatih jadi cikgu la yer?
Gua : Ni, gua nak habaq dengan penuh rasa sombong melambung-lambung sambil mengembang-kempiskan lobang idong:  Gua memang disahkan dan ada cap halal dari Kementerian yang mengatakan gua boleh menjadi cikgu sekolah.  

Poora-poora : Jadi, kenapa berhenti jadi cikgu?
Gua : Saja jer.  Dah boring kot!  Ingatkan lepas berenti jadi cikgu, nak try plak jadi Perdana Menteri.  Tapi rupa-rupanya tak boleh ler.  Nak kena masuk bertanding pilihan raya dulu.  Kena menang dulu, baru boleh jadi Perdana Menteri.  Gua ni kalau bab-bab politik, gua alergik.  Sebab kalau jadi ahli politik, gua kena ada kemahiran bela lembu.  Selain itu gua juga kena ada kemahiran untuk bela lembu dalam kondo.  Aishhhh...tak boleh ler!  Baik gua jadi tukang cari etok jer.

Poora-poora : Masa jadi cikgu dulu, apa kenangan yang paling saudara tak dapat lupakan?
Gua :Oooooooooooooo.....baanyaaaaakk!! Hari pertama gua jadi cikgu pun dah jadi kenangan. Lapor diri kat sekolah jer, gua kena ajar tingkatan 6.  Masa tu, gua baru jer abis belajar U.  Masuk kelas, tengok budak-budak nampak sebaya gua.  Beza umur diorang ngan gua tak banyak.  Dalam 4 tahun.  Malah ada yang muda setahun jer dari gua.  Ini kes beli surat beranak ler ni.  Punya la kekok nak mengajar dalam kelas.  Kena pulak gua ni dari jenis spesies jantan pemalu.  Masa mengajar, gua tak tengok pong barisan budak2 pompuan.  Asik tengok budak laki2 jer.  Kalau tanya soklan pun, asik tanya kat budak laki2 jer.  Last2 gua kena komplen.  Budak2 pompuan ngadu kat cikgu lain kata gua amalkan dasar berat sebelah.  Malu siot gua.

Poora-poora : Tak penah bergaduh dengan student?
Gua :  Maunya tidak!  Masa tu kita umur pun tak banyak.  Darah pula senang mengelegak.  Budak2 yang nampak cam gangster ni selalu la macam nak test kita.  Last2, kena lekuk sebijik sorang kat dahi.  Tapi lama-lama, gua fikir.  Sampai bila aku asik nak bergasak dengan diorang?  Mereka tu budak2 yang hingus pun masih tak kering kat hidung.  Kemudian, gua amik satu pendekatan.  Gua geng dengan diorang.  Mana-mana kepala gangster, semua gua jadikan kawan.  Dan hasilnya superb beb! Masa cikgu disiplin lain main tinju-tinju dengan diorang, gua pulak hidup dengan aman.  Pendek kata kalao gua masuk BDC pun, gua tak rasa apa-apa.  Cik penanya soklan tau ke apa menatang BDC tu?

Poora-poora : Tak.  Apa tu?  Sejenis kuih ke?
Gua : Ada plak kuih.  BDC tu nama satu penempatan, di pinggir pantai.  Kira macam kampung yang dibina atas air ler.  Gua pun tak tahu, apa kejadahnya orang2 Sabah ni suka bebeno buat rumah atas air.  Tinusa ke, Sim-Sim ke, Kg Gas ke....semua kat atas air.  Senang nak buang air kot.  Kat BDC tu segala jenis manusia ada.  Dari sebaik-baik manusia, hinggalah ke sejahat-jahat manusia.  Dari yang setulen-tulen IC sehinggalah yang tiada apa-apa dokumen langsung.  Kalau kat Sandakan, sebut jer BDC, mereka terbayangkan sebuah kawasan ala-ala ghetto kat new york.  Takder undang-undang.  Dipenuhi dengan samseng.  Tapi, rasa2nya cam betul gak persepsi tu.  Kalau kita bawak keter ker, bas ker, lori tangki minyak ke, lori balak ke, bila limpas jer BDC, kalau ada orang BDC nak lintas jalan, kita yang kena berenti.  Bagi diorang lintas dulu.  Mungkin diorang fikir diorang ni dari spesies incredible hulk kot.  Tapi kalau kena gilis, jadi roti canai juga diorang tu.

[sambung....kalo gua ada mood la]

Thursday, 15 December 2011

Grace Closet

7.55 p.m. - Add request.  Grace Closet.  Ada ikon :).
Gua samar-samar.  Siapa Grace?
Jadi gua diam.  Gua tak buat apa-apa...

10.55 p.m. [esoknya] -
Gua di kedai mamak.  Tarik teh sambil tarik seputung dua dunhill.
aku terpanggil nak add cigu sebab aku tmimpi cigu cigu baru2 ni.  :)...  Gud luck. Bye.
Gua masih samar-samar.  Siapa Grace?
Gua tarik teh sambil tertanya-tanya, Siapa Grace?

11.55 p.m - sharifah sini. :(  . No answers pun.
Gua agak-agak, Grace ni Sherry.  Yang kejer amik darah orang kat DOK.  Lalu gua tanya:
"Sherry ke ni? Yang suka main gitar?"

Sampai sekarang takder jawapan.  Merajuk kot sebab gua lambat reply.

Hak! Hak! Hak!

[up dated :hihi, saja ja, yang akaun lama sudah deactivated...byk kacau bilau, :)
:)...
]

Dude, saper Sharifah ni?
Oooo..budak Bokara.  Ada pic dia di bawah.  Alaaaa...yg duk tekan2 henpon tu.

Dude, lu jangan buat kecoh.  Lu jangan terkelompok dalam golongan manusia yang suka buat konklusi tanpa mata.  Cikaro ni kawan gua.  Tak lebih dan tak kurang.  Cuma cikaro ni selalu hilang.  Lepas tu dia timbul balik dengan platform baru.  Bila gua tanya "kenapa?".  Cikaro ni bilang, "Selalu huru hara di platform yang lama."  Cuma gua respek dengan dia sebab dia sangat menghargai persahabatan gua dengan dia.  Walau sepuluh kali dia hilang, sepuluh kali juga dia akan cari gua.

Gua salute lu, Sherry!

Friday, 9 December 2011

Sebab Dulu-dulu, Takder Internet, Takder Pesbuk.


Dulu dulu, Internet tak banyak kat Sandakan.  Dulu-dulu takder pesbuk.  Dulu-dulu budak sekolah takder henpon.

Jadi, kalau budak-budak Smk nak menghantar surat cinta sesama sendiri, diorang akan tulis kat atas kertas kajang.  Kalau nak menambahkan kesan, dituliskan di atas kertas kajang kaler pink atau biru.  Kalau tak cukup kaler pink atau kaler biru, diletakkan bedak.  Kononnya romantikalosofa akan bertambah.
Diorang punya tektik penghantaran, sterotype.  Selalunya kawan sendiri yang akan menjadi tukang pos.  Kadang-kadang surat cintan cintun itu diselitkan di dalam buku, kemudian mereka akan bertukar-tukar buku.  Nampak akademik la tu kononnya.
Hah, camtu ler tektik dan cara budak-budak sekolah bercinta.

Suatu hari.
Masrizal semak-semak buku latihan budak tingkatan 5.  Lepas satu, satu lagi dia tenyeh.  Terhingguk-hingguk kepalanya.  Kadang-kadang mengeluh.

“Tenyehlah.  Lepas tenyeh kawe belanja demo roti kobra Habeeb,” kata gua.
Masrizal tenyeh-tenyeh lagi.  Lepas satu, satu.

“Huuuhhh...” tetiba, Masrizal mengeluh.  Berat bunyinya.
Gua tengok Masrizal. Gua buat mimik muka suatu pertanyaan.  Masrizal tarik dua helai kertas dari buku latihan yang sedang dia tenyeh.
“Surat cinta,” dia kata.
“Hehehe...” gua kata.
“Nak panggil ke budak ni?” Masrizal tanya.
“Kalu nak panggil, panggil.  Kalau tak nak panggil, senyap-senyap jer,” gua jawab.

Masrizal keluar dari bilik guru.  Tak lama kemudian dia masuk semula.  Duduk di atas kerusinya.  Berpusing-pusing atas kerusi.

Seorang pelajar perempuan tingkatan lima, tingkatan lima apa tah, gua sudah lupa, masuk bilik guru dan terus ke meja Masrizal.  Tersengih-sengih di tepi meja Masrizal.  Sebab gua hanya mengajar tingkatan 6 sahaja, gua senyap dan tak masuk campur.  Sebabnya gua tak tau hujung pangkal pe’el perangai budak.  Masuk campur tanpa tahu hujung pangkal dan pe’el perangai seseorang pelajar tak elok.  Kesimpulan dan keputusan prejudis akan berlaku.

Jadi, gua hanya senyap tanpa berkata apa-apa.  Gua hanya mendengar.
Kemudian, dengan gaya seorang cikgu yang penuh karismatik, Masrizal menuturkan kata-kata nasihat:
“Kamu ni baru berumur 17 tahun.  Perjalanan hidup kamu masih jauh.  SPM belum tentu lagi lepas.  Buatlah sesuatu yang lebih berfaedah demi masa depan kamu.  Orang-orang Sabah tak maju bukan sebab pendatang, atau sebab orang-orang Semenanjung.  Orang-orang Sabah tak maju sebab diri mereka sendiri.”
Budak pompuan tu diam.  Tapi masih tersengih-sengih.

Kemudian, Masrizal sambung lagi, “Bapak kamu hari-hari jadi kuli di kem.  Tak kira hujan, tak kira panas.  Kalau silap, kena maki hamun sama towkey.  Kenapa jadi macam tu?  Sebab bapak kamu tak ada pelajaran.  Sebab bapak kamu hanya kerja kuli.  Orang yang kerja kuli ni memang selalu dipandang hina.  Tapi demi mencari rezeki untuk menyekolahkan kamu, dia sanggup tahan telinga kena maki.  Dia sanggup kerja di tengah panas terik.  Sanggup berhujan.”
Budak pompuan tu masih tersengih-sengih.  Masih lagi diam.
“Tapi kamu ni, belum apa-apa dah gatal nak bercinta.  Dah gatal nak cari boy fren.  Patutnya kamu konsteret dulu dengan pelajaran.  Belajar betul-betul.  Belajar setinggi yang boleh.  Dapatkan kerja bagus-bagus.  Bantu bapak kamu.  Keluarkan orang-orang Sabah dari belenggu kemiskinan.”
Gua hanya mendengar.  Budak pompuan tu tetap diam tanpa sebarang kata.
“Ni...” kata Masrizal sambil menarik dua helai kertas kajang dari sebuah buku latihan.  “Surat cinta?”
Budak pompuan tu sengih-sengih.  Pelan-pelan dia mengangguk.
“Lain kali, jangan gatal-gatal nak bercinta.  Belajar dulu betul-betul.  Dah kerja elok-elok nanti, kamu nak bercinta macam hero heroin filem Hindustan pun, lantak kamu ler,” kata Masrizal. Kemudian Masrizal kata, “Dah, pegi masuk kelas. Lain kali jangan masukkan surat cinta dalam buku latihan.  Tak berkat nanti”

Budak pompuan tu pelan-pelan pegi.  Tiba-tiba, Masrizal panggil budak pompuan tu.
“Surat cinta kamu ni.  Kamu nak hantar kat saper?”
Budak pompuan tu masih tersengih-sengih.  Kemudian dia kata, “Hantar kat cikgu la bah.”
Masrizal terlopong.  Satu jawapan yang tak pernah dia duga.
Gua dah tak tahan.  Akhirnya gua ketawa besar-besar.
HA! HA! HA! HA!

“Jom!” gua tarik tangan Masrizal yang berbulu.
Di dalam kereta menuju ke Restoran Habeeb, Masrizal diam.  Kadang-kadang mengeluh.
Dan gua, gua HA! HA! HA! HA! [dalam hati]

[Masrizal, atau Ahmad Masrizal.  Kini menjadi pensyarah di IAB di puncak Genting.  Selalu keluar dalam Astro Awani berpung! pang! pung! pang! tentang seputar politik tanah air]

Thursday, 8 December 2011

Ladang Tembakau dan Timun Cina

Gua sudah tak jumpa dengan dia.

Dari awal sekolah menengah, sehingga SPM, gua berkawan dengan dia.  Seorang anak kampung yang biasa-biasa sahaja.  Miskin material, tapi kaya dengan nilai persahabatan.  Perlahan dalam pelajaran, tapi laju dengan senyuman.

Musim tembakau ialah waktu yang membahagiakan.
“Petang nanti, selepas sekolah kita makan timun cina.”  Ayat-ayat itu menjadi rutin untuk lima tahun berikutnya.   Maka, usai loceng terakhir sesi persekolahan, gua akan berjalan seiring dengannya menuju ke batas-batas tembakau.  Mencelah pokok-pokok tembakau setinggi bahu.  Menuju ke perkebunan timun cina kepunyaan orang tuanya.  Sebilah pisau lipat kecil dari kocek seluar sekolahnya yang lusuh memutuskan tangkai timun cina.  Sebiji timun cina dibaling.  Gua sambut.  Sebiji lagi dibawanya sendiri.

Di bawah teduhan pokok jembal, di tengah panas terik matahari, menikmati timun cina yang manis, menjadikan persahabatan gua dengan dia semakin meranum.

“Minggu depan dah SPM,” dia kata.
“Aku rasa, aku tak akan ke mana-mana,” kata dia lagi.
Gua senyap.
“Memang betullah kata cikgu.  Aku ni bodoh,”
“Rezeki.  Mana kita tahu rezeki kita.  Kalau Tuhan dan turunkan rezeki Dia, siapa yang boleh menahannya?” kata gua.
“Aku ni budak bodoh.  Kena maki.  Kena hamun kat cikgu tu dah selalu.  Sejak dari sekolah rendah lagi.  Kata-kata cikgu tu berkat.  Itu kata mak aku.  Kalau seminggu tiga empat kali cikgu sumpah seranah aku kata aku bodoh, lama-lama aku akan jadi bodoh.  Kata-kata cikgu tu berkat,” dia kata.

Memang.   Kalau kecerdikan dan kebodohan itu diukur dari jumlah angka yang tercatat pada setiap helaian kertas ujian, dia memang ‘bodoh’.  Kalau kecerdikan dan kebodohan itu diukur dari jumlah kerja sekolah yang harus disiapkan, dia memang ‘bodoh’.  Kalau kecerdikan dan kebodohan itu diukur dari jumlah tanda palang pada petak buku kehadiran, dia memang bodoh.  Dan selalunya, cikgu-cikgu akan melepaskan peluru kemarahan bersalut maki hamun  terlebih dahulu.  Selepas peluru-peluru kemarahan dilepaskan, baru nak bertanya.  Tetapi banyak cikgu yang tak sedar bahawa peluru-peluru kemarahan yang datang bertalu-talu itu, ada yang mengena pada betis.  Mengena pada tapak tangan.  Mengena pada kuping-kuping telinga.  Dan ada yang mengena tepat ke jantung dan hati.  Mendarahkan hati, sekali gus meranapkan jiwa seorang anak muda kampung yang tak punya apa-apa.  Dan dia akan senyap-senyap sahaja di bucu kelas tanpa berkata apa-apa.  Kesenyapan itu menjadi nanah yang membengkak dalam hati dan jiwanya.  Memusnahkan semangat dan keakuannya secara diam-diam.  Menjadikannya sebagai pewaris kesusahan dan kesengsaraan ayahnya yang buta huruf.

“Lepas ni, kau dah nak masuk U.  Aku akan terus di sini.  Mungkin akan jadi penanam tembakau seumur hidup,” dia kata sebaik mengambil keputusan peperiksaan.
“Aku akan datang ke ladang tembakau kau.  Kau tetap boleh memberikan aku buah timun cina yang paling manis.  Kita tetap boleh menyusuri batas-batas tembakau itu.  Mencium bau pahit daun tembakau,” kata gua.

Kemudian.  Langkah gua semakin jauh.  Sehabis universiti, gua menyeberang Laut China Selatan.  Mendengar bunyi ombak Laut Sulu di Grand View.  Mencium angin dan udara baru.

Lama.  Memang lama.  Gua tidak tahu apa yang telah terjadi kepada dia.  Mungkin terus-terusan menjadi penanam tembakau, sambil menyimpan sebiji timun cina untuk gua, sahabatnya.  Dan gua pula tidak pernah cuba untuk pulang dan mencari timun cina itu untuk menggigitnya bersama-samanya.  Sahabat jenis apakah gua ini?

Sehinggalah hari ini.  Namanya terpapar pada satu baris ayat dalam akhbar.  Bukan bercerita tentang kejayaannya menjadi penanam tembakau yang berjaya.  Atau bercerita tentang timun cinanya yang manis.  Tapi bercerita akan kehilangan isterinya.  Ditarik nafas isterinya oleh sang malaikat dalam keadaan yang cukup trajis.

Alangkah.
Kesengsaraannya tidak pernah tamat. 

Gua.
Diam.





Monday, 5 December 2011

Pak Asril


 [Bapak Asril, di tengah-tengah. Berjanggot sejemput ialah rakan Pak Asril. Memakai sneaker berjalur tiga, gua]

Jurutunjuk tu kata, “Dua langkah ke depan, kemudian pusing kanan.  Dua langkah ke belakang, pastu dua langkah ke depan.  Angkat kaki depan, kedian angkat kaki belakang.”
Bila muzik dipasang, gua main rembat sesuka hati gua.  Orang pusing kanan, gua terpusing ke kiri.  Orang ke depan, gua terke belakang.  Aisehhhhh...poco-poco ni memang gua fail.
“Bang, saya nak joging jer la.  Poco-poco ni saya tak reti ler!” kata gua. 
Oleh sebab gua bukan ahli AMENO yang sangat sinonim dengan poco-poco pada waktu pagi, maka gua amik keputusan menarik diri pelan-pelan ke belakang.  Di bawah pokok rambutan yang sedang melebat buahnya, gua duduk sambil melihat orang lain berpoco-poco.

Pastu,
Poco-poco pun selesai.  Acara yang gua nanti-nantikan akhirnya tiba jua: Acara mengisi cawan dengan kopi  panas berasap dan meletakkan seberapa banyak kuih di atas piring.

Di sebuah meja bundar beralaskan kain putih, gua mengongsinya dengan Bapak Asril, Ustaz Razali, Cik Mat, Nani dan Sue.
Nani boleh dikatakan baru saja berkahwin.  Sue pula dah lama kahwin.

Sambil makan karipap dan menghirup kopi panas berasap dengan jayanya, gua sembang-sembang dengan Bapak Asril.  Lelaki separuh umur yang berasal dari Indonesia ini sangat luas pengetahuannya.  Kalau berbicara dengan Bapak Asril, sangat banyak kias ibarat dan tamsil-tamsilan.  Dengan loghat dan patah-patah perkataan pekat Indonesianya, bapak Asril bisa mencernakan sesuatu isu.  Selalunya pada bahagian terakhir setiap ayat yang dituturkan Bapak Asril, gua akan terdiam.  Memikirkan betapa benarnya tamsilan dan kias ibarat yang dituturkan oleh Bapak Asril.

“Sungguh kasihan suami kamu, Nani,” kata Bapak Asril.
“Kenapa bapak?” tanya Nani.
“Iyalah, ditinggalkan seorang diri di rumah.  Mengurusi sendiri-sendiri makan minum.  Tidur pun seorang diri gara-gara kamu datang ke sini,” kata Pak Asril.
“Alaaa...biarlah.  Bukan selalu pun,” kata Nani.

Kemudian Bapak Asril berseloroh, “Jangan nanti, kamu yang berkursus motivasi di sini, suami kamu bermotivasi mencari isteri lain di Kuala Lumpur.”
Bapak Asril ketawa halus dengan suaranya yang kasar.
Cik Mat senyum.
Ustaz Razali juga senyum.
Gua pula hirup kopi yang sudah menjadi suam.
“Kalau dia berani, buat la,” kata Nani.
Kemudian Bapak Asril kata, “Kalau dia buat sekalipun, ngak salah apa-apa.  Bukannya dilanggar hukum agama.”
“Mana boleh.  Tak boleh buat macam tu.” Kata Nani.

Bapak Asri tersenyum.
“Nabi Muhammad semasa Israk dan Mi’raj, berkata baginda meliat banyaaaaak perempuan yang menjadi isi neraka,”  Kata Bapak Asril.  Perkataan ‘banyak’ itu ditekankanya.
“Mungkin yang menjadi penyebabnya, inilah.  Banyak para isteri yang menjadi kufur gara-gara poligami.  Mereka menjadi pemberontak terhadap hukum Allah dalam diam-diam dan tanpa sadar.  Banyak isteri yang marah kalau sang suami berjudi sampai ke pagi.  Atau minum arak sampai pengsan di tepi parit.  Tapi, ya... itu sahaja.  Marah tetap marah.  Tapi, kalau suatu hari ada orang membawa berita, memberitahu sang suami sudah berkahwin lain, marahnya alang kepalang.  Bak Krakatoa memuntahkan laharnya.  Kalau diletakkan labelnya, marah sang perempuan terhadap suaminya yang punya isteri satu lagi, berada di tangga yang paling atas.  Manakala marah sang perempuan yang punya laki berjudi sampai ke pagi, berada di tangga kedua atau ketiga.  Sedangkan, perlakuan sang suami yang punya isteri satu lagi bukan menyalahi hukum Allah.  Langsung yang berjudi dan minum arak itu terang-terang melanggar ketetapan Allah.  Namun tahap marah dan kebenciannya tak sama. ”  Panjang lebar Bapak Asril bercerita.

Kemudian, gua mencuit lengan Bapak Asril, “Ayuh bapak, sudah jam delapan.  Mungkin sang instructor sedang menanti,” kata gua.  Cehhhh...tetiba gua terikut-ikut cara Bapak Asril bercakap.

Sambil berjalan, Bapak Asril menyalakan Djarumnya. 
Meninggalkan asap dan aroma cengkihnya di belakang.

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...