
Petang. Pertengahan Mei, 1992, gua mula-mula sampai di Sandakan. Perjalanan dengan bas ekspres (bas ekspres?) dari KK membawa gua ke terminal bas Sandakan. Gua tak tahu apa-apa tentang Sandakan. .
Dengan teksi gua ke SMK Sandakan untuk melapor diri. Malam itu gua terdampar di bilik warden asrama. Gua tak tahu nak pergi ke mana-mana dan tak tahu macam mana nak pergi ke mana-mana.
Malam itu, ketika gua tengah melayan berita tv, Azli sampai dengan kapcainya. Azli setahun lebih awal tiba di Sandakan dari gua. Dan malam itu ialah kali kedua gua jumpa Azli. Kali pertama adalah ketika di pejabat sekolah petang tadi. Kebetulan Azli ada di situ.
“Demo make doh?” Azli tanya gua.
“Dak lagi,” kata gua.
“Jom, kita tubik makan. Kawe bawak doh helmet,” kata Azli.
Gua bersiap. Gua membonceng Azli. Berdesap-desup dia bawak gua. Gua tak tahu ke mana dia mahu bawak gua.
Melintasi bandar Sandakan. Kemudian menyusur ke sebatang jalan yang gua tak tahu di mana pun. Kemudian berhenti di sebuah tempat. Macam pasar malam. Kemudian gua dan Azli lepak di sebuah gerai.
“Abang Harun, nasi goreng dua!” laung Azli.
Sambil menunggu, gua melihat-lihat sekeliling. Ada pejabat pos berhampiran. Kadang-kadang gua terdengar bunyi ombak. Gua meneka tentu tempat ini berdekatan dengan laut.
“Tu, budak pompuan yang sibuk kat gerai sana, budak sekolah kita. Budak 6 rendah,” kata Azli.
Mata gua mencari budak pompuan yang dimaksudkan Azli. Gua nampak seorang budak pompuan yang sederhana badannya, berkening lebat dan berkulit putih. [Dia ialah Sapiah yang pernah bercerita sebelum ini]
“Di Sandakan ni, tak ado benda pun yang menarik. Malam jadi macam bandar hantu. Tak ada tempat nak lepak. Pukul 8 malam dah senyap sunyi,” kata Azli. Gua dengar sahaja.
“Nantilah, lepas ni kawe bawak demo gi mana-mana tempat yang hidup sikit,” kata Azli lagi. Dan gua dengar lagi.
Kemudian malam minggu, Azli bawa gua ronda-ronda lagi dengan kapcainya. Memang Sandakan waktu itu tiada tempat yang menarik. Satu-satunya kedai makan yang dibuka sampai lewat pagi ialah Restoran Khadijah, terletak di Taman Tun Razak, berhampiran Pejabat Pos Besar Sandakan merangkap terminal van jarak jauh. Makanannya memang langsung tak enak dan tak banyak pilihan. Tetapi kerana tiada tempat lain, maka di situlah tempat kebanyakan guru-guru bujang dari semenanjung lepak. Dan gua mula bergaul dengan guru2 semenanjung yang lain di situ.
Minggu pertama di Sandakan, Azli yang banyak membawa gua jalan-jalan. Pada waktu petang dia bawa gua lepak-lepak di Restoran Ajmeer. Di situ satu lagi port popular cikgu2 dari Semenanjung. Dan di situ gua menemui lebih ramai lagi cikgu2 dari Semenanjung.
Kemudian Azli menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sandakan. Gua banyak kali juga menjadi pensyarah sambilan di sana atas permintaan Azli sebab tak cukup pensyarah. Atas dasar persahabatan, gua terima pelawaan Azli walaupun student di maktab gua tengok macam sebaya jer dengan gua.
Kemudian Azli kembali ke Semenanjung. Gua dengar cerita dia berpindah ke Dungun, mengikut isterinya. Semenjak itu, gua tak pernah berjumpa dengan Azli. Gua hanya dengar cerita dari jauh sahaja tentang Azli. Tentang kesihatannya yang sering terganggu beberapa tahun lepas. Tapi gua tak pasti betul atau tidak cerita yang gua dengar.
*********
Pagi ini melalui telefon, gua diberitahu oleh Bob (yang pernah serumah dengan Azli di Sandakan) bahawa Azli baru berhijrah ke dunia sebelah sana.
Gua terdiam. Gua tak tahu apa yang patut gua katakan.
Seorang sahabat yang telah lama gua tak temui, pergi terlalu awal. Seorang sahabat yang menjadi ‘abang’ ketika gua mula-mula sampai di Sandakan, telah berhijrah.
Seorang sahabat gua, telah pergi ke pangkin dan dia sedang tidur pada lena yang panjang.
[Tahir, Mat Jef, Gua, Wan Zul, Allahyarham Azli dan Mamat Asri]
Janganlah berdiri di sisi pusaraku sambil menangis
Aku tiada di situ. Aku tidak berbaring.
Akulah antara ribuan bayu yang bertiup.
Akulah permata yang berkilau dari dalam salju.
Akulah cahaya dalam terik matari.
Akulah daun-daun berguguran dalam gerimis.
Pabila engkau bangkit dari tidur pada pagi yang cerah
Akulah yang menciumimu dalam lelah
Kawanan burung terbang bersama.
Akulah bintang suram yang menyinari malam.
Janganlah berdiri di pusaraku dan menangis:
Kerana aku tiada di situ. Aku tidak mati.
cikgu azli yang pernah kupanggil Cikgu ThunderCat sbb rambutnya slalu kusut dan kembang mcm katun thundercat sbb ditiup angin dr tingkap kelas kami.... blum sempat ku minta maaf.... apapun kuhadiahkan Al-Fatihah buat mu di sana.... al-fatihah......
ReplyDeletesemoga Allayarham dicucuri rahmat . amin!
ReplyDelete