Monday, 28 June 2010

Aku Sentiasa Berdoa untuk Kamu

Babe,
Aku tidak pernah berada jauhpun dari laman kamu, sebenarnya. Cuma mungkin aku lebih sangat bersunyi-sunyi sekarang ini. Dari luar jendela tingkap rumah kamu, aku tinggalkan “diri” aku di situ untuk melihat kamu. Aku teringin sangat mahu mengucapkan “selamat pagi” untuk kamu setiap kali kamu membuka jendela rumah kamu pada setiap awal pagi, seperti yang pernah aku lakukan seketika dulu. Tapi aku sendiri bagaikan sudah kehilangan kekuatan untuk berkata-kata dan memberi salam apabila warna di jendela itu aku sendiri pun tidak tahu calitan apa warnanya sekarang ini. Rasanya, aku bimbang sebenarnya. Atau mungkin juga aku sendiri yang tertegun tanpa rasa apabila jelmaan beberapa ekor sang pawana yang tiba-tiba masuk ke dalam kamar istirahat aku dan ketawa berdekah-dekah tanpa henti.

Kadang-kadang aku seperti terperangkap dan terbenam di dalam janji yang aku sendiri bangunkan. Misalnya, apabila aku berjanji yang aku akan menggelonsor turun daripada bilah-bilah pelangi apabila sampai ke titik yang aku katakan, maka aku harus menjelmakan janji itu menjadi satu hakikat. Aku harus menggelonsor turun walaupun 7 bilah warna pelangi itu tidak memberi apa-apa yang salah kepada aku. Tetapi, kerana aku sudah berjanji, maka aku harus patuh kepada janji itu. Aku bukannya seorang laki-laki yang berada dalam sekumpulan manusia yang mencatat janji pada panji-panji, dan kemudian akan membakarnya sendiri apabila janji itu sendiri yang telah memamah setiap inci daging dan kulit mereka.

Aku sangat menghormati kamu. Sejak dulu, aku memang selalu menghormati kamu. Dan aku akan terus menghormati dan menyokong kamu walau siapa pun kamu. Itu tiada sebarang kompromi. Jadi tiada sebab untuk aku terus hilang ghaib tanpa mempedulikan kamu. Jadi babe, aku ada sebenarnya, walaupun aku seperti tiada. Mungkin di balik-balik daun di luar pagar laman rumah kamu, aku ada di situ, duduk-duduk sambil bermain-main dengan angin.

Sebenarnya, aku tidak mahu dilihat dan dianggap sebagai si penyibuk yang entah apa-apa. Apabila aku kepingin menegur kamu, aku tentunya akan bertanyakan tentang itu dan tentang ini. Aku mungkin akan bertanya tentang tanah yang engkau telah pijak. Mungkin juga aku akan bertanya tentang baris-baris ayat masa yang kamu susun. Atau mungkin juga aku akan kata “jangan” dan “tidak” pada apa-apa yang aku rasakan tidak sepatutnya kamu berada di situ atau berbuat sesuatu.. Aku juga mungkin akan bertanya tentang resah dan gelisah kamu. Dan aku cukup risau kalau semua rasa ingin tahu aku itu akan sangat menganggu kamu.

Aku bukanlah hulubalang yang mempunyai kekuatan 7 kadim yang mampu mengalahkan setiap musuh yang datang dengan sekali hembusan. Atau, aku juga bukanlah pawang yang mampu memanggil sehelai sirih bertemu urat dan kemudian bisa meramalkan apa yang akan diturunkan oleh Tuhan pada besok pagi. Namun aku tidak akan menjadi sang kalandar yang mengharap hidup pada ehsan orang lain. Aku hanya ingin melihat kamu sentiasa sentosa dan sejahtera tanpa beralih ke arah denai berlumut yang licin yang mungkin akan merebahkan kamu sendiri. Kamu pernah rebah. Walau kamu kata kamu tidak apa-apa, tapi aku tahu sakitnya tetap ada.

Babe, aku sentiasa berdoa untuk kesejahteraan kamu walaupun aku seperti lenyap dan sirna.

Thursday, 24 June 2010

Berhentilah Sekejap

Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang kita akan mara dengan pantas antara bukit dan lembah, lalu membidik anak-anak panah ke arah dada musuh. Kadang-kadang juga kita akan diasak dari arah yang tidak dijangka. Maka untuk berundur beberapa tapak bagi mengatur strategi bukanlah suatu tindakan yang dayus. Pertempuran bukan hanya akan berlangsung untuk hari ini sahaja. Mungkin ia akan berpanjangan saban waktu. Untuk apa menang hari ini untuk kita terus kalah pada masa hadapan secara berpanjangan?

Masih ingat lagi tentang kerakusan soldadu Feringi Putih untuk menguasai pelabuhan Melaka? Albuque bukannya mendapat kemenangan pada serangan yang pertama. Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud berserta tentera Melaka yang berkeris, bertombak, dan mempunyai beberapa biji rentaka sangat gembira apabila Feringi Putih dapat dihalau kembali ke laut pada serangan yang pertama. Kemenangan pada pusingan yang pertama adalah milik Melaka. Tapi babe, kemenangan itu tidak kekal lama. Pada pusingan-pusingan yang seterusnya, istana Melaka telah ranap. Sultan Ahmad telah kehilangan mahkotanya. Sultan Mahmud pula telah awal-awal lagi melarikan diri sambil membawa nyawa baginda. Bendahara pula terpaksa mencopet makanan penduduk kampung semata-mata untuk memberi makan kepada Sultan Mahmud dan permaisurinya, Tun Fatimah. Dan apa yang berlaku di bumi Melaka? Sedang Sultan Mahmud menampar-nampar nyamuk di hutan belantara, Albuque pula berpesta dengan perempuan, dengan joget, dengan air anggur dalam piala.

Apa yang cuba aku katakan ialah tidak salah untuk kita berhenti sekejap. berikan apa-apa sahaja yang orang lain mahukan. Rasa dendam dan amarah sebenarnya hanyalah sifat-sifat yang tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. Berhentilah sekejap. Nikmati siulan-siulan burung dari minaret yang menjadi tempat para burung menumpang tidur. Rendamkanlah kaki kamu pada paras buku lali di dalam anak sungai yang jernih dan dingin airnya. Tidurlah sekejap di atas permaidani rerumput di padang yang paling subur sambil mencium bau harum bunga-bunga liar. Percayalah babe, kamu akan bangkit dengan satu perasaan yang sangat segar dan sentiasa ingin ke hadapan untuk berasa kemenangan.

Rasa yang Sangat Menyegarkan

Bayangkan ini :
Pada awal pagi…
Katakanlah sekitar jam 1. Menyusuri jalan bertingkat-tingkat yang berselirat di dada KL. Di dalam sebuah kereta yang sengaja dilipatkan bumbungnya masuk ke dalam…. membiarkan angin dari luar berhembus masuk…dan melihat helaian-helaian rambut menari-nari bersama angin, ia bagaikan satu keajaiban.

Dia kata, dia tak pernah naik kereta begini. Kereta yang tidak berbumbung. Maka sibuklah jejari dia memetik butang pada henfonnya untuk merakam gambar. Merakam gambar diri sendiri, untuk simpanan diri sendiri dan untuk dilihat-lihat oleh diri sendiri.

Kemudian berada pula di atas bangku-bangku di medan selera Damansara Up Town untuk berbla! bla! bla! tentang apa-apa sahaja. Di atas ialah langit kosong tanpa awan.
Memang satu keajaiban apabila dapat melihat satu perasaan kegirangan yang tak terbatas.

Hembusan bayu jam 1 pagi, lebuh raya bertingkat-tingkat, dan medan selera di Damansara Up Town; sangat menyegarkan rasa dan jiwa gua.

Tuesday, 22 June 2010

Duka yang Melukakan

Babe,
Kadang-kadang ingin sangat aku berada di sana. Duduk-duduk di hadapan kamu, memandang ke dalam mata kamu sambil mendengar dan berkongsi segala resah dan gundah kamu dengan penuh rasa tanggungjawab, adalah satu kepuasan yang amat sangat untuk aku sebenarnya. Tapi, aku cukup faham, tidak seharusnya aku melangkaui jauh masuk ke dalam taman dan kebun hidup kamu lantaran ada duri-duri yang engkau semaikan dan aku pula telah menjadi si penabur bajanya bagi menyuburkan lagi duri-duri itu.

Maka apa yang mampu dan terdaya untuk aku lakukan hanyalah berada di bumi sebelah sini, di seberang bukit sambil memegang panji-panji terbakar yang tertinggal, di bau tanah yang tak sama, di langit yang mempunyai bintang berbeza, dan melihat kamu dari jauh sahaja. Selalunya aku hanya menumpang angin dan berbicara dengan diri sendiri, dan aku akan berhenti pada jarak yang sangat jauh.

Tapi babe, ketahuilah… walaupun aku tidak lagi akan masuk ke kebun hidup kamu di sebelah sana, tapi itu tidak menjadikan aku seorang yang sangat pelupa pada setiap duka kamu. Dan aku menjadi sangat sakit kerana aku semakin laju berlari meninggalkan jauh kenangan yang terbakar, sedangkan kamu seperti terlalu akrab dengan resah dan gundah, resah dan gundah itu yang aku pernah berangan-angan untuk membuangnya jauh-jauh dari kamu.

Monday, 21 June 2010

Pendustaan Itu Tidak Akan Menjadi Dusta untuk Selamanya

Babe,

Dalam hidup ini tidak semua kata-kata dusta akan terus berada di atas landas percaya dan sentiasa dipandang seperti nyata. Contohnya, mungkin hari semalam Bush Yang Gila menabur kata-kata yang Uncle Sam menjahanamkan bumi Tigris dan Eureprathes kerana negara itu memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Dan mungkin ketika itu banyak yang percaya serta takut akan Saddam Husein yang bermuka garang dan tampak segak gagah dalam uniform tempurnya.. Warga dunia mula mengimaginasikan yang bumi ini mula terbelah dan terserpih yang mungkin boleh berlaku sekiranya Saddam Husein sambil meneguk wain merah kegemarannya menekan punat hijau di papan kekunci pusat kawalan nuklear di Baghdad.

Tetapi pendustaan itu sudah tidak laku pada hari ini. Tiada senjata pemusnah yang dijumpai di bumi Tigris dan Eureprathes. Unta yang memunggah uranium pun tiada. Apabila memperkosa bumi itu, Uncle Sam tidak mencari loji senjata. Tapi Uncle Sam bagai nak gila mencari Saddam yang sedang bersembunyi di lubang tikus. Dan apa yang terjadi kemudiannya ialah leher Saddam telah dijerut dan rohnya telah kembali ke alam yang satu lagi manakala ada para penentang yang menyeru-nyeru “Muqtada!” “Muqtada!” “Muqtada!” sewaktu Saddam sedang berjalan untuk mati. Para pendokong Ba’ath pun sudah bertempiaran. Taman Kota Babylon pula telah separuh lenyap. Tapi tiada juga senjata pemusnah seperti yang dibebelkan oleh Bush Yang Gila itu. Nah, pendustaan tidak akan dipercayai sampai bila-bila. Apabila sampai ketikanya, pendustaan itu sendiri yang akan menyatakan kebenarannya.

Babe,

Dalam hidup ini pun begitu juga. Pendustaan tidak selama-lamanya akan dipercayai. Mungkin ada yang berdusta pada semalam dan hari ini. Dan pendustaannya itu amat dipercayai. Kadang-kadang khalyak yang mendengar menaruh simpati yang amat sangat. Kata-kata simpati mencurah turun bagai hujan suci yang terjun dari langit. “Kasihan kamu”, “Tidak sepatutnya kamu menjadi begini”, “Kamu telah menjadi mangsa”, atau “Kamu telah mengambil jalan yang betul walaupun kamu sendiri sengsara [kononnya]” sangat klise. Ia bagaikan plot yang mengisi sebuah filem hindustan yang dihidupkan dengan watak-watak protagonis tampan dan cantik menawan dengan dendangan lagu berlatarkan gunung-ganang yang memutih salju di puncaknya, pokok-pokok pine di kiri kanan serta anak sungai berkerikil kecil yang sangat jernih airnya. Maka orang yang mendengarnya akan terbuai dengan ketampanan, kecantikan atau terpegun dengan kemerduan nyanyian si pembohong dalam filem itu.

Tapi babe, seperti juga sebuah filem Hindustan, pendustaan juga mempunyai penamat plotnya. Sebuah filem Hindustan akan habis, tidak akan terus-menerus ditayang di kelir perak. Usai sahaja filem itu, maka para penonton akan bergegas keluar. Meninggalkan bekas-bekas bertih jagung, kulit-kulit kuaci, atau juga botol-botol plastik lutsinar air mineral yang sudah kosong. Maka Bangla situkang sapu pun akan melaksanakan tugasnya membersihkan segala jenis bekas bertih jagung, kulit-kulit kuaci dan botol-botol plastik lutsinar air mineral yang kosong itu. Mengisikannya ke dalam plastik sampah hitam dan kemudian menghumbankannya ke dalam tong keluli berwarna hijau yang hanyir di belakang bangunan. Sementara menanti lori sampah datang memungut besok pagi, maka para tikus akan menyelongkar mencari makan di situ. Sambil menyelongkar, para tikus akan kencing dan menaburkan najisnya di situ; menambahjijikkan lagi tong sampah keluli yang sudah sedia hanyir itu..

Babe,

pendustaan ini hanyalah seperti gunung berapii yang sedang tidur. Gunung berapi yang sedang tidur memang sangat cantik. Boleh menjadi tempat untuk bersantai-santai. Atau para pasangan pengantin baharu boleh mendaki ke puncak dan merakamkan gambar mereka dengan pakaian pengantin yang disewa dari kedai dan diambil gambarnya oleh jurufoto terbaik. Kerana itu Hawaii menjadi destinasi yang sangat digemari oleh para pembulan madu. Tapi gunung berapi ini juga sangat misteri sifatnya. Payah untuk dijangka. Babe, masih kamu ingat lagi si Toba yang meletup (The Toba Erruption) beribu-ribu tahun sebelum Nabi Isa dilahirkan?. Letupan yang sangat mengerikan sehingga melenyapkan hampir 90 % populasi manusia di muka bumi dan hanya meninggalkan 5000 lebih sedikit baki manusia untuk terus berkembang biak. Sangat dahsyat kan!?

Nah, dapatkah kamu melihat akan persamaan antara pendustaan dan gunung berapi itu? Kedua-duanya bisa melenyapkan manusia.

Jadi babe, jika rakan kamu hilang lenyap secara tiba-tiba dari Facebook, maka mungkin pendustaan sudah dan sedang berlangsung. Mungkin kamu sendiri yang telah melakukan pendustaan, atau mungkin juga rakan kamu itu yang melakukannya. Tapi itu tidak menjadi soal sebenarnya. Sebabnya siapa yang melakukan pendustaan, dia sendiri yang akan tahu sendiri jawapannya. Sama seperti jika aku yang melakukan pendustaan. Maka tentunya aku cukup tahu akan pendustaan itu kerana pendustaan itu aku sendiri yang melakarkannya. Dan jika kamu memilih untuk hilang lenyap secara tiba-tiba dari aku [dan Facebook aku dan blog aku dan Twiter aku], maka aku tahu yang engkau tahu bahawa aku yang telah menyempurnakan satu pendustaan.

Tapi jika aku yang hilang dan lenyap dan ghaib secara perlahan-lahan atau tiba-tiba, maka mungkin pendustaan dari orang lain pula yang sedang berlaku di sekeliling aku.

Babe,

Sebenarnya tiada apa-apa yang hendak aku katakan lewat coretan ini. Hanya sekadar ingin melepaskan lelah dan rasa marah kerana jiran-jiran sebelah sedang bertempik-sorak menonton 22 orang lelaki yang mengejar sebiji bola. Sedangkan aku harus tidur untuk mencari mimpi pada jam 3 pagi [setelah letih menghangguk-hanggukkan kepala di studio sehingga jam 1 atau bersama teman-teman berpung! pang! pung! pang! di Down Town]. Sorak-sorai mereka itu telah menyebabkan mimpi-mimpi aku telah terhalau dan aku terpaksa [kononnya, terpaksa] menyalakan api pada hujung gulungan kertas putih kerana rasa kantuk pun sudah pergi mengikut jejak-jejak mimpi itu dan aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan melainkan mendengar gongongan anjing dari hujung padang di hadapan rumah aku.

Sunday, 20 June 2010

Ada Ketikanya Konvensi Hidup Amat Berbeza

Lebih kurang 13 tahun yang lalu, gua menziarahi Suri di Sakilan Desa. Adik lelakinya dijemput Tuhan pergi ke dunia sebelah sana

Merentasi jalan berdebu merah pada suatu tengahari yang sangat rentung, dan akhirnya sampai di sebuah rumah papan semata-mata untuk menyatakan simpati gua atas kehilangan adiknya, rasanya agak memeritkan. Semasa Suri melihat gua sampai di hadapan rumah papannya, dia seperti patung apabila melihat gua. Mungkin dia tak pernah menyangka, gua akan sampai sejauh itu ke rumahnya. Mungkin dia tak pernah menyangka gua akan mencari rumahnya. Dan bagi gua, gua merasa satu tanggungjawab telah gua laksanakan apabila gua berkunjung ke rumah pelajar yang sedang berselimut dengan kesedihan.

Setelah 13 tahun, gua bertamu di rumah Suri sekali lagi.

Kali ini bukan di Sakilan Desa, tetapi di Venice Hill. Bukan lagi di sebuah rumah papan yang kaya dengan habuk tanah merah, tetapi di sebuah kondominium di puncak sebuah bukit Tiada lagi jalan tanah merah yang berdebu. Rumah papan pun sudah tiada. Juga tiada lagi tangga kayu untuk masuk ke dalam rumah. Yang ada ialah lif dari tempat letak kereta berbumbung yang terus sampai di hadapan pintu rumahnya.

Tiada lagi angin panas dari ladang kelapa sawit di sebelah sana. Yang ada ialah hembusan bayu yang segar dari puncak bukit.

Tiada lagi papan keras mengalas duduk. Yang ada ialah kusyen empuk yang sangat mendodoikan.

Hidup Suri sudah banyak yang berubah.

Yang tidak berubah ialah Suri itu sendiri. Kelembutannya tetap kekal, sama seperti yang gua lihat 13 tahun yang lalu.

Tiada Apa-Apa Selain Hanya Konvensi Hidup yang Berulang

Dia menelefon gua pada ketika matahari baru masuk beradu, pada ketika ufuk langit sedang berserak dengan warna jingga. Dia kata tiba-tiba dia teringatkan gua. Bagi gua, gua tak kisah. Sama ada dia ingin menelefon gua atau tidak, gua memang tak kisah.

Bukan gua yang menghilangkan diri. Dia yang bersembunyi. Bukan gua yang memutuskan, dia yang memotongnya. Bagi gua, gua tetap begini. Gua memang seorang yang sangat pendendam. Tapi itu tidaklah menjadikan gua seorang Hitler yang akan menyemburkan gas beracun kepada para Yahudi. Dendam gua, gua akan hanya simpan dalam hati. Gua akan menjadi seorang yang sangat pendendam hanya apabila gua tahu yang gua bukannya berada dalam lingkungan garis kesalahan. Tetapi gua dituduh dan dilihat berada dalam lingkungan itu. Dan kemudian tanpa bilik perbicaraan, gua telah disabitkan dengan kesalahan yang gua sendiri tak tahu. Maka itu, gua akan menjadi seorang yang sangat pendendam. Kalau si penuduh hilang ghaib tanpa berita, gua tidak berasa apa-apa. Gua tidak berasa kehilangan yang boleh merencatkan hidup gua. Sama ada dia ada atau tiada, hidup gua tetap sama, tetap begini. Dan apabila dia memilih untuk bertanya khabar, gua pula memilih untuk memberitahunya yang gua tidak apa-apa.

Mungkin dia menyangka gua menjadi celaru. Atau mungkin juga dia berfikir yang gua ingin meletakkan muncung senapang patah ke dalam mulut gua, dan dengan menggunakan ibu kaki gua akan menekan picu untuk meletupkan kepala gua sendiri. Gua bukan begitu. Memang ada ketikanya gua terasa sangat kosong apabila sesuatu yang gua tidak jangkakan berlaku dalam sekelip mata sahaja. Bulatan kosong itu mengisi kepala gua kerana gua tidak pernah diberi kesempatan. Ia seumpama gua sedang memotong sebuah Kancil di garisan berkembar sambil mendaki sebuah bukit curam, dan tiba-tiba muncul treler beroda 24 dari atas langit. Gua tiada pilihan melainkan membiarkan sahaja tubuh gua dilenyek oleh 24 roda-roda treler tersebut. Tapi percayalah, gua tidak mati. Hanya tulang-tulang gua sahaja yang berkecai. Hanya daging-daging tubuh gua sahaja yang tersiat dan melayang merata-rata. Tapi gua masih bernyawa. Dan kesakitan itu memang teramat sangat. Tapi gua masih hidup. Dan gua tidak akan menekan picu senapang patah itu untuk menamatkan riwayat gua sendiri hanya kerana untuk menamatkan kesakitan yang gua tanggung.

Jadi, apabila dia memilih untuk mendail nombor telefon gua semula, walaupun hanya sekadar untuk mengucapkan “apa khabar?” bagi gua, itu adalah suatu perjalanan hidup yang biasa-biasa sahaja. Bagi gua itu bukanlah plot yang boleh mengejutkan gua dari tidur. Gua tidak tahu apa yang tersimpan di dalam hati dia. Siapa kita untuk mengetahui apa-apa yang tersimpan di dalam hati orang lain? Mungkin suatu ketika dahulu dia ingin memberitahu gua sesuatu. Tetapi dia tak terluah. Bimbang barangkali. Bimbang gua berkecil hati? Bimbang gua memaki hamunnya? Bimbang gua meletakkan racun di dalam air minumnya? Atau bimbang gua menghantar santau angin ke dalam tubuhnya? Tidak. Gua tidak akan melakukannya. Walaupun gua seorang pendendam, tapi gua lebih menyimpannya di dalam hati.

Kalau dia mahu datang, dan memilih untuk senyap semula, gua tak kisah. Sama juga apabila dia senyap dan kemudian memilih untuk menelefon gua semula, pun gua tak kisah.

Gua tak kisah beb!

Friday, 18 June 2010

Babe, Hidup Ini Tidak Lebih Hanya Dari Satu Nostalgia Semata!

Babe,
Dalam hidup, akan adalah titik-titik perjalanan bersambung yang menjadi satu garisan yang akan kekal dalam kotak hidup. Sama ada garisan itu adalah garisan lurus tanpa liku, atau garisan yang comot serta kabur, itu semua menjadi soal yang kedua.

Babe,
Kadang-kadang, kita sangat bernostalgia terhadap garisan itu. Kemudian ada ketikanya membuatkan kita menjadi sangat tidak keruan apabila segala cerita yang lepas terlayar kembali dalam kotak hidup. Kita ingin melepaskan dan membiarkannya pergi. Dan sangat berharap ia pergi tanpa kembali lagi. Ya, mungkin garisan itu berlalu pergi. Tanpa sebarang kata-kata mengusir, garisan itu seperti patuh kepada perintah yang tidak pernah diucap. Namun, selalunya ia akan menjenguk juga sekali-sekala di taman dan perkebunan hidup kita. Sama ada sewaktu kita berada di tengah riuh orang ramai, dan tentunya semasa kita sedang bersunyi-sunyian seorang diri di dalam diri sendiri, garisan itu boleh datang dan memberi salam secara tiba-tiba Dan selalunya ia datang dengan senyap, dan akan bersembunyi di satu ruang yang paling jauh dan paling dalam dalam hati kita. Inilah yang selalu mencederakan rasa dan mendarahkan kembali parut kenangan.

Babe,
Aku bukan sekadar ingin bercerita dan berhikayat pada catatan ini. Setelah lama tidak mencatat, alangkah mualnya kalau aku memulakannya semula dengan catatan yang entah apa-apa. Catatan yang kosong, sifar dan nihil. Bagi aku, setiap perkataan yang dipilih ialah yang terpilih. Ada spiritnya. Mengapa aku tidak memilih perkataan itu tetapi memilih perkataan ini? Ada sebabnya, babe. Begitu juga, apabila ada yang bertanya mengapa aku memilih untuk hidup seperti ini. Dan aku ingin menjawabnya dengan ini : HA! HA! HA! HA!

Babe,
Sesudah menekan butang berdigit pada papan lift, dan kemudian ditanya mengapa aku tidak terus berada di sana dan berbla!bla!bla!bla! di dalam sana, sesungguhnya itu sangat meletihkan aku untuk memberi jawapannya. Telah aku katakan, aku ini ibarat pelari yang sudah sampai ke garisan paling hujung. Dan aku tak mahu lagi kembali ke garisan permulaan menunggu letupan pistol untuk berlari lagi sekali. Aku telah sampai ke garisan paling hujung. Maka tiada sebab untuk aku kembali lagi ke pangkal permulaan. Aku bukan takut untuk terus berlari. Tapi aku sudah terlalu penat setelah memecut tanpa henti. Kadang-kadang aku terlupa untuk menarik nafas bagi mengisi oksigen pada paru-paru sendiri, semata-mata untuk memberi nafas dan oksigen untuk diisi ke rongga pernafasan orang lain. Dan sekarang, biarlah aku bernafas untuk aku sendiri dahulu sebelum menyempurnakan nafasku untuk orang lain. Apakah sekarang ini aku seorang pengamal individualistik? Aku fikir, tiada salahnya kalau dalam hal-hal tertentu aku mengutamakan diriku terlebih dahulu.

Duduk-duduk di sebuah meja bundar di tingkat dua yang berdinding kaca, kemudian ada cahaya matahari berwarna gangsa yang beransur-ansur menjadi perak yang mencuri-curi menerobos dari balik daun-daun ketapang di luar sana, mengingatkan aku pada hakikat. Hakikat tidak akan berubah. Hakikat tetap statik. Tiada apa yang boleh mempersoalkannya, kecuali jika kamu berjaya menemukan sebuah teori baharu dan menjadi gah satu dunia. Kemudian teori kamu itu akan diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa. Manakala kamu sendiri akan menjadi antara sang juara akademisian yang disegani. Untuk mencipta nama dengan mereka satu teori baharu sebenarnya tidaklah terlalu rumit. Babe, kamu masih ingat tentang Newton yang terkenal dengan teori gravitinya? Dia hanya duduk-duduk di bawah sepohon pokok epal. Atau, ingatkah kamu bagaimana Archimedes mencipta teorinya sewaktu merendamkam tubuhnya yang montel itu di dalam sebuah tab mandi. Nah, mereka hanya duduk-duduk di bawah pokok epal dan berendam-rendam dalam tab mandi sahaja! Tidak perlu memakai kot putih labuh dan mundar-mandir di dalam makmal sambil memegang tabung uji untuk mencipta satu teori baharu.

Babe,
sebenarnya tiada apa-apa yang ingin aku perkatakan lewat coretan ini, melainkan sekadar ingin memberitahu yang aku sedang mendengar lagu Yesterday. Dan aku sangat bernostalgia apabila sekali-sekala mendengar lagu ini kerana lagu ini selalu aku dengar di dalam sebuah bilik warden asrama SMK Sandakan yang penuh dengan habuk dan lipas, berbelas-belas tahun yang lalu. Itu sahaja babe, tiada apa-apa pun sebenarnya.

Babe,
aku sedang rindu pada habuk dan pada lipas itu…

Permisi dulu, aku ingin mencari habuk dan lipas itu.

Friday, 4 June 2010

Suatu Malam dan Awal Pagi.

Gua tengah jamming. Henfon gua dimasukki sms. Gua baca : “free ke mlm ni?”

Gua balas, “setakat ni free. knp?”

“tngk wyg,”

Gua tengok jam. Dah lebih jam 11 malam. Malam ini malam Isnin. Bukan malam Sabtu atau malam minggu.

“Mn ada show jam 12,” kata gua.

“ada,”

Sebab gua dah lama tak menjengah pawagam, jadi gua fikir “oh, dah ada midnight pada malam-malam biasa rupanya.”

“K. kejap lg smpi.”

Sesampai di Flr.Dmns., dia dah ada menunggu di tangga lobi.

“Ke mana ni?”

“The Curve. Itu yang paling dekat.”

Ada ke show ni?”

Ada bah. Jumaat malam aritu kawan aku ada tinguk.”

Dari Flr Dmns, melintasi Dmns Prdn, dan kemudian menyusuri Mtr Dmns, akhirnya kami sampai di The Curve.

Selepas memakir kereta, gua keluar. Dia juga keluar.

Dia tengok gua. Macam hairan-hairan sedikit.

“Kenapa?” gua tanya.

“Rock juga rupanya. Aku nda taupun a**** rock cam gini.”

Hahahaha….

Memang malam tu, levis yg gua pakai levis yang koyak-rabak. Levis yang gua selalu pakai kalau jamming. Pakai t shirt cap ayam dan meletakkan topi besball di kepala. Rambut pula ala-ala basah tak basah kerana peluh.

“Yang kamu ajak tinguk wayang masa saya tengah jamming, saper suruh?” kata gua.

“Hehehehe….boring bah. Mo tidur juga. Tapi nda bulih”

“Kalau kamu tercium bau masam, jangan komplen. Berpeluh saya tadi,” kata gua.

Dan dia macam biasa juga, senyum dan sengih memanjang.

Di tingkat 3 The Curve, di depan ciniplex, orang sudah tiada. Pintu gelongsor di situ tertutup kemas. Dia tengok gua. Tersengih-sengih.

Gua tengok dia.

“Saya sudah cakap, mana ada midnight,” kata gua.

Dan dia terus tersengih-sengih.

“Jadi, macamana?” gua tanya.

Dia geleng-gelengkan kepala.

“Ok, kau ikut jak,” kata gua

“Ke mana?”

“Ikut jak la bah…,” gua kata.

Dari The Curve, gua ke B.SDmns.

Di situ, kami lepak2 di MekDi sambil menikmati burger dan berbalas-balas cerita.

Selepas pung!pang!pung!pang! bercerita, gua tanya, “tiada kelas ke besok ni?”

“Tiada.”

“Oooo…” kata gua

“Tapi ada exam.”

“Hah, exam?” tanya gua

Dia angguk-angguk kepalanya.

“Tiada kertas besok?” gua tanya.

Ada. Jam 9”

“Adehh..!!” kata gua.

Gua melihat jam ditangan. Hampir 2.30 pagi.

“Jom, saya hantar balik. Saya ingatkan kamu takder kelas, tapi ada exam lagi,” kata gua

“Hehehe..rileks la. Kitorang yg exam. A**** yang gelabah,”

“Maunya tak bimbang, nanti orang lain dapat jadi misi, kamu pula jadi amah rumah orang,” kata gua

“Eeeeeiiii….nda mo. Palis-palis!!”

“Jom, saya hantar kamu balik,” kata gua.

Flr.Dmns -àThe Curve -àB. SDmns -àFlr.Dmns. dan kemudian pada awal pagi, gua menyusuri LDP -à NKVE -à Kerinchi Link dan tiba di Federal Highway. Berhampiran simpang Midvalley, gua berhenti. Sambil menyedut nikotin [dude, apa lagi yang mampu gua buat selain dari menyedut dan sedut dan sedut dan kemudian melepaskan asap putih naik ke atas langit?] gua melihat jalan raya yang kosong. Rupanya syok juga mendunhillkan diri di laluan yang paling sibuk pada waktu siang, tapi kosong pada awal pagi.

Kosong.

Wap dari mulut dan hidung gua memanjat ke langit perlahan-lahan. Naik ke atas, dan hilang. Tiba-tiba gua terasa seperti ingin berakit ke langit. Tiada Adam. Tiada Hawa. Tiada taman. Tiada syurga.

Malam di Sri Hartamas

Pada malam kaamatan yang baru berlalu, gua terjumpa dengan dua sumandak dari Telupid di sini. Jane dan Ann sedang bertungkus-lumus menyiapkan diri di sebuah kolej untuk menjadi jururawat. Dan gua pun kata, “kotobian tadau do kaamatan” kat Ann dan Jay. Dan Ann dan Jay balas, “aramaitih kita”. Kemudian gua balas dengan gelengan kepala sambil kata. “Nda bagus bah. Lagipun ndada tajau di sini” sambil tersenyum.

Malam di Sri Hartamas.

Sudah agak lama juga gua tidak lepak-lepak di sini. Ramai bangsa asing bersidai di kedai-kedai makan dan pub-pub yang terbuka. Dari sebelah hujung sana, telinga gua menangkap bunyi muzik. Ada live band. Nampaknya, Sri Hartamas sudah mencuri tugas Bangsar.

“Sudah berapa kali kamu tak menyambut kaamatan?” gua tanya Ann.

Ann pandang gua. Ann senyum. Ann kemudian menegakkan jari telunjuk dan jari tengahnya.

“Dua kali?,” kata gua.

Ann angguk dan senyum.

“Selalu ke kamu araimatih?” tanya gua.

Ann geleng-geleng kepala.

“Selalu tengok-tengok jak,” Ann kata.

“Tengok-tengok jer?” tanya gua.

Ann angguk-anggukkan kepala.

“Tak pernah join sama?” gua tanya lagi.

Ann geleng-gelengkan kepala

Ann, sumandak yang dibesarkan separuh di Ranau dan separuh di Telupid, lebih suka bercakap dengan menggunakan kepala, dengan menggunakan bibir, dengan menggunakan mata. Suaranya, sekali sekala sahaja digunakan apabila bercakap dan itupun dengan menggunakan ayat yang paling ringkas dan yang paling pendek. Dan yang selebihnya ialah sengih dan senyum sahaja.

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...