Monday, 1 March 2010

Di Atas Awan



Pic : Mas Mohd Yunus


Di atas awan itu, yang mengapas, gua bertemu dia lagi.
Sekarang, kalau gua bertemu dan bercakap-cakap dengan dia, gua harus pergi ke sebuah taman khayalan. Ada pokok kekacang yang ditanam seorang kenit, berbulu mata lebat putih. Pokok kekacang itu mempunyai batang-batang yang berselirat dan terus melingkar ke atas awan.

“Hai..” gua kata. Dia sedang berayun-ayun di atas awan. Kedua-dua kakinya berjuntaian ke bawah.
“Lama aku panggil, kenapa kau baru tiba?” dia tanya. Seperti merajuk.
Gua senyum.
“Aku mencari pokok kekacang itu. Sudah beralih tempat,” gua kata.
Gua menyapu titis wap yang melembapkan pipi dan rambut gua.

Bila gua tak berkata-kata, dan dia tak berkata-kata, di awan itu menjadi sangat bisu dan sunyi.
“Kau tak rasa sunyi, tinggal seorang diri di atas awan?” gua tanya.
Dia tak menjawab. Kakinya tetap berayun-ayun, santai.

“Aku tau,” kata gua
“Tau apa?” dia tanya.

Kali ini gua pula yang diam. Awan-awan bergerak perlahan. Gua memilih sebongkah awan dan duduk di situ. Betul-betul menghadap dia.

“Aku penat,” kata dia.
“Memang penat kalau kau asyik berlari,” kata gua.
“Janganlah berlari. Kau duduk-duduk sahaja di situ,” kata gua lagi.

Gua diam. Dia diam. Di awan itu menjadi sangat sunyi dan bisu.

“Masih banyak air hujan di sini. Kalau kau terjumpa satu mata air hujan, yang sangat jernih, boleh menghilangkan haus kau, boleh menyejukkan kau sewaktu musim kemarau, boleh mendodoikan kau waktu kau mau lena, boleh bawa kau ke sana dengan selamat, kau pilihlah telaga itu,” kata gua.

Dia diam. Masih lagi bermain-main dengan kakinya yang dijuntaikan di bawah.

“Nanti kalau mata air hujan itu sudah ada, kau cari angin, kawanku itu. Pesankan sama angin agar memberitahu aku yang kau sudah jumpa telaga itu. Dengan itu aku akan segera turun dari awan ini dengan gelungsur pelangi yang aku tahu sudah lama menunggu,” kata gua.

Dia diam.
Gua diam.

Di awan itu menjadi sangat bisu dan sepi bila tiada suara.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...