
“Lu dah mandi?” gua tanya Wan Zul Speaker.
“Gua masuk jamban, gua buang air kecil….gua dengar bunyi ting! ting! ting! Air kecil gua dah jadi air batu. Sejuk tahap gaban. Kemudian lu tanya gua dah mandi ke belum,” jawab Wan Zul Speaker.
Dinihari itu sangat sejuk – sejuk yang amat.
Nafas gua dengan nafas Wan Zul Speaker keluar asap berkepul-kepul.
Budak-budak F6 yang gua bawa, sedang tidur. Nyenyak yang amat. Cuba lu bayangkan:
“Bangun awal pagi di kaki Gunung Kinabalu. Kemudian berjalan melawan graviti sejauh 3 kilometer, dengan 10kg beban dibelakang, , basah sepanjang denai, perut yang bukan lagi berkeroncong , dalam suhu yang sangat sejuk. Kemudian lu sampai ke tempat penginapan setelah 8 jam berhuh hah huh hah, kemudian makan nasi goreng panas-panas dengan sup ayam dan secangkir kopi pahit panas. Dan hujan pula semakin lebat. Lu penat. Penat giler. Hawa sangat dingin. Lu ada sebuah katil dan tilam empuk. Lu ada sleeping bag di atas tilam itu. Lu juga ada heater.
Dan hujan semakin lebat. Hawa sangat dingin.
Apa yang ada dalam kepala otak hanyalah zzzzzzzzz.”
Jadi gua tak salahkan budak-budak itu kalau mereka lena bagai seekor ular sawa yang baru menelan seekor anak babi hutan!
Dinihari itu sangat sejuk – sejuk yang amat.
Gigi atas bercumbu rayu dengan gigi bawah.
Hujan masih lebat.
“Macam mana? Nak naik ke tak?” gua tanya Wan Zul Speaker.
“Hujan tu bro,” gua kata.
“Nanti gua tanya guide tu. Kalau dia kata ok, kita on,” kata gua lagi.
“Bulih juga kamu naik ke atas sana tu. Tapi kana hati-hati sikit. Batu licin,” kata guide yang gua rasa mungkin berusia sekitar awal 20-an.
“Ok, on!” gua kata kat Wan Zul Speaker.
“Budak-budak tu?” tanya Wan Zul Speaker kat gua.
“Tak payah bawa. Jadi apa-apa hal, susah nanti kita nak jawab. Anak orang tu.” gua kata.
Gua pun pakai beberapa lapis pakaian. Gua pakai wind breaker kat luar. Gua pakai sarung tangan kulit yang gua pinjam daripada Alias Che Long.
Wan Zul Speaker pun sama. Cuma dia tak ada sarung tangan kulit sahaja. Sarung tangan dia dari jenis yang kodi, sangat kodi…sarung tangan para buruh kasar yang buat bangunan batu. Ha! Ha! Ha! Ha!
Kemudian gua dengan Wan Zul Speaker, melangkah ke pintu Gunting Lagadan.
Dinihari itu – hujan masih lebat – hawa sangat dingin
“Kamu mahu ke mana ni?” tanya seorang guide tiba-tiba.
“Mahu mendaki ke atas,” Wan Zul Speaker jawab.
“Mana bulih mandaki. Hujan lebat bah itu. Bahaya.” guide itu kata.
“Tak apa, kamu dua orang sahaja. Budak-budak tu tak ikut,” gua kata.
“inda bulih bah. Aku indak bulih kasi kabanaran untuk kamu. Nanti kalau apa-apa terjadi, susa siya mau kasi jawab,” guide itu kata lagi. Bersungguh-sungguh.
Gua tengok Wan Zul Speaker. Wan Zul Speaker tengok gua.
Hujan masih lebat – hawa sangat dingin – dinihari itu sangat gelap
“Aku sendiri pun yang dah beratus-ratus kali mandaki pun indak berani ke sana,” guide itu kata lagi.
Gua dengan Wan Zul Speaker terpaksa akur.
Gua kecewa. Wan Zul Speaker lagi kecewa.
Gua dengan Wan Zul Speaker kemudian memanskan air. Secangkir kopi kami cicip dalam kedinginan di Gunting Lagadan. Di luar sana hujan masih lebat.
7.00 pagi. Baru hujan reda.
“Woiiiiii…!!!!” Wan Zul Speaker memanggil gua. Dia berada di luar.
Gua menyusur ke tempat Wan Zul Speaker.
“Cuba lu lihat sana,” Wan Zul Speaker kata sambil jari telunjuknya mendongak ke atas.
Gua tengok air terjun yang sangat besar berasak-asak di laluan pendakian. Patutlah guide itu tidak membenarkan gua dengan Wan Zul Speaker mendaki ke Low’s Peak.
“Kalaulah guide itu tak sedar yang kita akan pergi ke sana. Kemudian tiada siapa yang larang, lu rasa-rasalah apa yang akan jadi kat kita?” Wan Zul Speaker tanya gua.
“Sama ada kita beku di sana dan menjadi patung air batu yang paling hensem pada dekad ini, atau mungkin juga kita tidak akan ditemui oleh sesiapa kerana jasad kita tidak tahu berada di celah lurah yang mana satu,” gua kata.
Nafas gua dengan nafas Wan Zul Speaker mendesah-desah sambil mengeluarkan asap.
***
Di depan Gunting Lagadan, beberapa orang pelajar F6 sedang bergaya di depan kamera. Dan mereka masih lagi mempunyai guru Pengajian Am dan guru Ekonomi untuk mengajar mereka pada hari Isnin nanti.
No comments:
Post a Comment