Ruang kedai makan itu telah sendat. Semua kerusi ada penghuninya. Lalu, dengan itu dia dengan sopan meminta izin untuk duduk di sebuah kerusi, di hadapan gua.
“Tak perlu keizinan. Duduk sahajalah,” kata gua.
Dia duduk sambil tersengih-sengih.
Oh, sesungguhnya kosa kata “tersengih-sengih” itu amat kurang tepat. Seharusnya digantikan dengan “tersenyum-senyum”. Lalu gua padamkan kosa kata “tersengih-sengih” itu dan digantikan dengan “tersenyum-senyum”.
“Seorang sahaja?” dia tanya.
“Tak. Ramai.” Kata gua.
“Mana?” tanya dia.
Kali ini gua pula yang tersengih-sengih. Untuk gua, kosa kata ‘tersengih-sengih’ itu harus dikekalkan.
Selalu sahaja gua lihat dia makan seorang diri. Tidak berteman.
“Gadis seayu kamu, selalu makan dengan diri sendiri. Agaknya si jejaka kamu ada di hujung dunia?” kata gua.
“Tiada,” jawab dia. Sepatah sahaja.
“Mengapa?” sebab dia jawab sepatah, maka gua pun bertanya sepatah.
“Entah...,” sepatah lagi dari dia.
Gua diam. Dia pun diam.
Kata-kata dia dengan kata-kata gua ada jeda di tengah-tengahnya. Dan gua biarkan jeda itu berterusan.
Jeda.
Jeda.
Jeda.
Jeda.
“Sangat susah untuk mencari jejaka. Kamu tahu bagaimana untuk aku tahu jejaka yang bagaimana yang harus aku jadikan teman?” Berpatah-patah pula pertanyaan daripada dia.
Ini kali gua pula yang mencipta jeda. Gua tak tahu nak bagi jawapan apa. Gua buat-buat muka berkerut. Seperti Perdana Menteri yang sedang berkira-kira untuk menaikkan harga barang apa lagi. Dan tidak seperti Perdana Menteri yang sentiasa ada jawapan untuk barang apa yang harus dinaikkan harganya, gua pula tiada sebarang jawapan untuk pertanyaan daripada dia.
Sehinggalah 49 jam, 35 minit dan 0.12 saat kemudian, baru gua ada jawapannya.
“Carilah seorang laki-laki yang memanggil kamu “si cantik”, bukan “si seksi”; yang menelefon kembali ketika telefon genggammu kehabisan kuasa; yang mau tidur di bawah bintang dan mencuri pandang kosmik; atau mau tetap siaga untuk melihat kamu tidur; tunggulah seorang laki-laki yang gemar mencium dahimu; Yang mau mempamerkan dirimu pada dunia ketika kamu bercelana XXXL; yang menggenggam tanganmu di depan teman-temannya; Yang menganggap kamu tetap cantik tanpa lipstick dan bulu alis palsu; Seseorang yang selalu mengingatkan kamu, betapa besar kepeduliannya kepadamu; dan betapa beruntungnya dia memilikimu.
Seseorang yang berkata kepada teman-temannya: dialah orangnya…”
No comments:
Post a Comment