Thursday, 26 May 2011

Apa lagi yang harus kami jimatkan?

Akhir-akhir ini, harga barangan pengguna yang semakin meninggi menjadi isu yang hangat. Semuanya bertitik tolak daripada kenaikan harga minyak dunia, kononnya. Maka untuk mengatasi 'beban' yang terpaksa ditanggung kerajaan, maka beberapa langkah untuk merasionalisasikan dan menyelaraskan subsidi dan harga telah dibuat oleh kerajaan.

Sebenarnya isu ini tidaklah rumit sangat. Dan kerajaan juga mesti sedar akan situasi yang telah menyebabkan kelunturan populariti mereka di mata majoriti rakyat. Bagi rakyat, mereka tidak mahu tahu apa yang telah terjadi terhadap pasaran dunia. Bagi rakyat, jika kehidupan mereka semakin terhimpit, semakin sengsara, semakin terhakis kuasa beli, maka kesimpulannya amat mudah : Kerajaan yang gagal.

Zaman sekarang ini ialah zaman maklumat bergerak dengan pantas. Kewujudan dunia maya telah banyak merobah corak pemikiran rakyat. Zaman 'hanya kerajaan sahaja yang serba tahu' telah bertukar menjadi zaman 'rakyat juga serba tahu'. Maka segala alasan lembam dan daif yang diberikan oleh pihak kerajaan akan hanya menjadi modal untuk digelaktawakan. Alasan seperti harga minyak kita lebih murah berbanding dengan Singapura yang menjadi alasan kegemaran kerajaan, hanya memberikan markah sifar untuk kerajaan. Semua itu hanyalah ulasan yang sangat senang dipatahkan apabila rakyat juga tahu yang kerajaan menyembunyikan angka pendapatan perkapita negara kita jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita negara Singapura.

Ambil sahaja contoh negara Thailand [salah sebuah negara kegemaran kerajaan untuk dijadikan contoh]. Secara perbandingan lateralnya, memang harga minyak di sana adalah lebih tinggi dengan negara kita. Tetapi apabila diteliti dengan lebih mendalam, beban hidup rakyat di negara itu tidaklah seteruk seperti yang ditanggung oleh penduduk di Malaysia. Harga kereta import mereka jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kereta jenama yang sama yang dibawa masuk ke negara kita. Banyak rakyat mereka yang mampu menggunakan kereta berteknologi hibrid lantaran harganya yang sangat kompetitif. Teknologi hibrid yang digunakan pada kereta-kereta tersebut telah berjaya mengurangkan hampir separuh daripada penggunaan bahan bakar berasaskan fosil. Dengan ini, kos terhadap bahan bakar [minyak] telah dapat dikurangkan juga hanpir separuh.

Rakyat Thailand juga tidak dibebankan dengan pelbagai bayaran seperti yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Malaysia. Sebagai contoh, lesen memandu hanya dibayar sekali sahaja untuk seumur hidup. Selagi pemandu itu masih bernyawa, maka dia tidak perlu membayar yuran pembbaharuan lesen memandu. Malah, cukai jalan juga tidak dikenakan kepada mereka. Kemudian, sekiranya mereka memandu dari Hatyai ke Bangkok, menggunakan lebuh raya enam lorong, mereka tidak akan bertemu dengan palang-palang tol yang akan dinaikkan hanya apabila dibayar dengan kadar terterntu. Tetapi apakah ini berlaku di negara kita? Jawapannya sangat jelas : TIDAK. Jadi, kenapa TV3, RTM, BERNAMA, UTUSAN MALAYSIA dan serba aneka media massa di Malaysia tidak pula bercerita tentang itu? Kenapa hanya diceritakan tentang harga minyak mereka lebih tinggi berbanding dengan negara kita? Dan satu lagi, kenapa juga tidak diceritakan yang Thailand tidak mempunyai telaga minyak sendiri?

Kemudian untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan pengguna di sini, kerajaan telah mengesyorkan agar rakyat berjimat cermat. Soalnya, apa lagi yang rakyat hendak jimatkan? Selama ini pun para pemandu teksi, penoreh getah, petani, nelayan, kaki tangan kerajaan sudah lama berjimat kerana kenaikan kos hidup saban tahun. Apakah kerajaan ingin mengatakan : 'Jika selama ini kamu semua memberikan 12 botol susu untuk bayi kamu, maka kamu haruslah berjimat. Kurangkan kepada 8 botol susu sahaja. Bayi kamu kelaparan tak apa, asal sahaja kamu boleh berjimat'. Atau mungkin kalau nak menyahut seruan kerajaan lagi, sekiranya duit belanja anak-anak yang diberikan 1 ringgit untuk 1 hari dikurangkan menjadi 50 sen sahaja untuk satu hari. Anak-anak hanya perlu membeli sebiji karipap dan kemudian pergilah ke sinki untuk meneguk air paip! Mungkin rakyat tidak meradang dan tidak kisah sekiranya anak-anak dan cucu para menteri pun turut berbaris di sinki sekolah untuk sama-sama menghirup air paip tersebut.

Semasa meminta rakyat untuk berjimat, adalah amat malang sekali apabila subsidi sejumlah 19 bilion terus diberikan kepada penyedia bekalan tenaga bebas (IPP). Menjadi sangat malang apabila meminta rakyat mengikat perut demi sama-sama membantu negara, sedangkan pada masa yang sama FLOM diwujudkan di Putrajaya dan membuat bayaran ratusan ribu ringgit untuk satu malam bagi bilik hotel mewah untuk seorang isteri yang terlebih berlagak menjadi PM.

Sesungguhnya, rakyat sudah tidak tahu apa lagi yang mereka harus jimatkan. Yang jelas, orang-orang di atas sana yang mesti berjimat. Orang-orang yang ada banglo mewah 4 tingkat dan masih lagi mampu tersenyum lebar walaupun tingkat atas banglonya itu ranap dimamah api, itulah yang seharusnya berjimat cermat. Yang punya banglo 4 tingkat itu merupakan cerminan kepada orang-orang di atas sana. Betapa wang bagi mereka tidak ada apa-apa masalah.

[Dude, kenapa lu tulis macam karangan STPM ni?]
[Gua : Hahahaha....]

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...