Friday, 25 March 2011

Rebab Berbisik (Sebuah Monodrama)



Babe, dunia ini bundar.

Kalau kamu berjalan dari hujung sini, pergi ke hujung sana, kamu tak akan tergelincir di kaki langit. kamu hanya akan kembali ke tempat dari mana kamu bermula. Kalau kamu ingin berhenti, maka kamu akan berhentilah. Kamu akan berada di satu titik. Kemudian terpulang kepada kamu sendiri sama ada ingin merayau-rayau sampai kebas atau sampai kaki kamu terpatah riuk, semua di tangan kamu.

Atau mungkin kamu pernah merayau di atas padang rumput. Berhenti dan melepaskan lelah di atasnya. Kadang-kadang meraup embun ke tapak tangan. Melihat awan sambil berbaring. Mendengar angin bernyanyi.... suatu nikmat hidup yang kadang-kadang bersembunyi. Maka kerana ketersembunyian itulah menyebabkan hidup kamu seolah-olah berada di alam yang penuh misterius. Kamu seolah-olah melihat pari-pari melompat dan menari dari awan ke awan! Tapi benarkah begitu? Apakah kamu tidak pernah merasakan yang itu hanyalah suatu fragmen fatamorgana, yang terkoyak satu demi satu?

Babe, hidup dalam mimpi memang indah!

Tapi, apabila matahari mula memanjat langit, dan di dada langit berseraknya warna perak dan emas, maka kamu harus membuka mata. Mimpi kamu akan hilang bersama matahari yang semakin tinggi mendaki. Ketika itulah, mata yang kamu pejamkan harus di kuak kelopaknya. Kamu tidak lagi bermimpi. Setelah tidak bermimpi, cuba kamu palingkan muka kamu ke belakang. Lihatlah bekas-bekas tapak kaki yang kamu tinggalkan. Mungkin ada darah yang menitik di dalam lekuk bekas tapak kaki kamu. Mungkin sebelumnya kamu tidak sedar bahawa batu ratna manikam yang menjadi aspal jalan, rupanya tidak lebih daripada himpunan batu-batu kerikil tajam. Kerikil-kerikil tajam yang telah memamah setiap inci kulit dan daging tapak kaki kamu.

Babe,
Berjalan di dunia yang nyata ini sama sekali tidak sama hidup di alam mimpi!

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...