
Sama ada menonton pada Malam Gala atau Malam Preview; gua diberikan pilihan begitu.
Malam Gala = Tetamunya VVIP, ada bapak-bapak menteri, ada orang-orang dari atas kayangan. Akan menjadi malam yang dipenuhi protokol jadi-jadian.
Malam Preview = Menjadi sekelompok manusia massa pertama melihat dunia nyata Lat diterjemahkan di atas pentas.
Maka keputusan gua = Pergi duduk-duduk di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam preview.
************
Awie menjadi Lat.
Atilia menjadi Faizah, suri hati Lat.
Omar Abdullah menjadi A Samad Ismail, Lat punya bos di NST.
Jalil Hamid menjadi bapak Lat.
Sandhra Soothy menjadi Miss Hiew, cikgu Bahasa Inggeris Lat.
Douglas Lim menjadi Frankie, kawan Lat yang paling akrab.
Puspa Narayan menjadi Mis Thambi, cikgu kelas piano Lat.
************
AWIE
Lat di dalam diri Awie, kadang-kadang gua terlihat Usin dalam cerita Hantu Kak Limah. Mungkin loghat Perak yang menjadi sebabnya. Namun, karakter Lat dalam diri Awie lebih berwarna. Ada komedi, ada serius, ada lurus bendul, ada seorang suami yang dipinggirkan isterinya sendiri lantaran tiada masa untuk keluarga, ada seorang bapa yang terlupa akan janji untuk menarik anak perempuannya di atas upih pinang, ada seorang rookies yang lurus bendul, ada seorang sahabat yang tak pernah lupa akan sahabatnya...huhhh....terlalu banyak untuk disenaraikan. Terlalu berwarna-warni wataknya.
Awie memang seorang aktor. Lapan belas tahun yang lalu, sewaktu di KFC Bangsar Utama, gua tak pernah menyangka yang mamat rockers ini boleh menjadi seorang aktor yang sangat baik. Bercakap seperti mengulum emas sebungkur di dalam mulutnya. Tapi itu 18 tahun lepas. Lapan belas tahun kemudian, Awie telah bertukar menjadi aktor hebat. Orang kata, kayu ukur kepada lakonan ada di atas pentas teater. Dan Awie telahpun diukur dengan kayu pengukur tersebut dan diberikan cop 'lulus dengan cemerlang'.
Oh, ini teater muzikal. Maka sudah tentu lu akan melihat Awie bernyanyi. Ini kali, Awie bukan bernyanyi genre terasnya; rock. Ini kali Awie berdendang genre balada bernuansakan broadway. Muzik secara langsung yang diterajui Veerapan memang superb. Dan Atilia kata, "Apabila muzik dimainkan, kemudian Awie mula melontarkan vokalnya, aura Awie sebagai seorang penyanyi jelas terpancar". Dan gua nak tambah, "Kamu pun sama wahai Atilia."
ATILIA

Si kecil molek ini menjadi Faezah. Gua suka tengok masa dia menjadi Faezah masa muda. Hippies habis. Berkaca mata besar, berambut lurus, lilit kepala macam awek red indian, berseluar baggy. Lakonannya pun dalam kelas tersendiri. Bab bernyanyi tak payah cerita la, itu memang kerja dia. "Saya ialah seorang penyanyi yang pertama dan berlakon yang kedua" kata Atilia.
Omar Abdullah

Menjadi Pak Samad (A Samad Ismail). Dia membawa A Samad Ismail menjadi seorang yang skeptikal, tegas, motivator kepada stafnya. Gua pernah diberi tahu, Pak Samad memang seorang bersifat seperti seekor Singa yang sentiasa kelaparan. Makian dan kata-kata sakratik memang menjadi makanannya. Dan Pak Samad juga seorang yang suka mengeluarkan kata-kata bersemangat lucah.
"Kau tengok perempuan di atas kerusi itu!" kata Pak Samad.
Pekerjanya yang ketakutan kerana baru dimaki Pak Samad mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Siapa perempuan itu?" soal Pak Samad.
"Anak Pak Samad," jawab anak muda yang sedang ketakutan.
"Cantik?" tanya Pak Samad lagi.
"Ya, cantik.." kata anak muda yang ketakutan itu sambil mengangguk-anggukan kepalanya.
"Aku buat dia lima minit saja tu. Boleh jadi cantik. Yang kau ni dah hampir satu jam tak siap-siap lagi! Tak cantik-cantik lagi kau punya karangan!" bentak Pak Samad.
(Dan audiens mengilai ketawa)
Babak yang paling gua suka.

Awie bernyanyi. Mood sedih sebab dia 'terlupa' akan anak dan isterinya lantaran sibuk dengan kerja.
Di hujung lagu, Awie 'terbang' ke atas. Pentas digelapkan. Kelir putih dibelakang tertayang bintik-bintik bintang. Setinggi satu tingkat bangunan, lampu sorot putih memancar terus kepada Awie. Awie a.k.a. Lat terus bernyanyi dengan mood sedih. Awie a.k.a. Lat mendongak kepalanya ke langit sambil menarik suara hiba. Kedua-tangannya dijulang ke atas. Di atas pentas ketika itu jelas satu watak yang sedang kesedihan walaupun berada di atas puncak!
********
Tengah malam itu, gua keluar dari Istana Budaya, menyusuri Jalan Ampang yang separa tidur.
mcm best ja! 1 tiket harganya berapa?
ReplyDeleteRuby, kalau kamu minat sama teater, minat sama muzik, minat sama seni, maka Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal akan menjadi best untuk kamu! Tiket paling murah rasanya 80 ringgit. (Pada malam saya masuk ke sana, ada 3 tiket berlebihan di tangan saya. Kalau saya punya 3 cewek manis, maka sudah tentu ketiga-tiganya akan saya bawa... malangnya satu pun saya teda...hahahaha)
ReplyDelete...aku ingat teater ni utk golongan aristokrat aje...
ReplyDelete