Tuesday, 22 February 2011

retrospektif

seingat gua, gua mula main-main dengan string gitar masa gua baru masuk sekolah menengah. masa tu gua takder sen nak beli gitar. jadi gua tumpang-tumpang main gitar member. dulu, bila dah dapat greenggg....greeeengggg....greeeenngggg... gitar kapok sudah cukup puas hati. note lagu belakang kira. asal ada bunyi, gua dah rasa happy.

kemudian, ketika gua form 6, gua tinggak kat tepi sekolah gua. rakan rumah sewa gua nama jailani. dia pandai dan ada skill main gitar.
"kalu demo nak cepat pandai belajar main gitar, demo kena ado gitar sendiri" kata jailani.
gua tengok2 baki akaun simpanan bank pertanian gua. semua duit biasiswa kelas persediaan universiti gua masuk situ. bila gua tengok angka-angka di dalamnya tak begitu mewah, gua kata kat jailani, "aku takdok duit lagi nak beli gitar".

Minggu depannya, bila jailani pulang ke rumahnya dan kembali ke rumah sewa, dia pikul sebiji lagi gitar kapok kaler perang.
maka, gua dengan jailani pun greeenggg...greeeenggg....greeeennngggg....gitar kapok di atas wakaf.

"Duk main gitar sokmo. bila baco buku ni?" kata awek rumah sewa sebelah.
"Kito main gitar sambil baco buku" kata gua.

rupanya, betul la apa yang gua kata yg gua dengan jailani main gitar sambil baca buku. sebab tahun depannya gua dengan jailani masuk universiti malaya. awek rumah sewa sebelah yang selalu baca buku, kantoi di tengah jalan.

kemudian, masa gua di um, gua duduk di kolej dayasari. sebelah bilik gua ialah bilik muzik. macam tahu-tahu plak fellow kolej ni yg gua suka muzik. kesannya, gua lebih banyak duk dalam bilik muzik dari duk dalam bilik sendiri!

bila dapat pinjaman jpa, gua tak pegi shopping di pertama kompleks seperti member2 gua yang lain. gua pegi muzik store. gua angkat satu gitar.

dan dari sejak itu sehinggalah gua buat diploma pendidikan di um, gua duk tenyeh gitar itu sahaja. gua sendiri tak tahu berapa kali stringnya putus. badan gitar tu macam-macam gua tampal sticker. tapi banyak sticker gambar tengkorak, rock la konon. walaupun gitar tu dah banyak kali tukar string dan harganya murah sahaja, gua sangat sayang.

kemudian, selepas gua habis diploma pendidikan, gua kena lambung pegi sabah. gua tinggalkan gitar tu kat member gua yang kerja jadi pengawal keselamatan di yaohan. gua tak bawa sebab gua pikir leceh nak pikul gitar dalam kalangan guru-guru muda yang sedang bersemangat. jadi masa di airport, gua hanya heret beg lipat-lipat beroda.

di sabah, gua tercampak ke sandakan. di sana, gua tak greeenggg.....greeenggg...greeenggg... gitar sebab gua tak bawa gitar. pernah satu kali, gua ke taman damai, batu 4. wan zul yang mengajar satu sekolah dengan gua tinggal sana. wan zul ada sebijik gitar. gua amik, dan petik-petik di atas sofa. rosli yang berjanggut sejemput, jeling-jeling gua. selepas kena jeling-jeling, gua letak balik gitar tu.

dan untuk 10 tahun gua di sana, gua langsung tak pegang gitar. gua rasa mungkin sebab persekitaran gua yang tak begitu kondusif untuk gua main gitar. tak pun gua rasa masa tu gua sibuk : sibuk melihat sumandak2 yang cantik dan gebu-gebu!

kemudian, beberapa tahun lepas, gua terserempak balik dengan kawan gua yang jadi pengawal keselamatan Yaohan dulu. dia bukan lagi seorang pengawal keselamatan, tapi sudah naik status sosialnya. dia dah jadi ASP di damansara.
"gitar demo dulu ada lagi," dia kata.
"kalu nak, marila rumah kawe," kata dia lagi.

gua pegi ke rumah kawan ASP gua tu. dia bawa gitar gua yang dulu, berbungkus dalam plastik.
"ada la dua tiga orang pinjam gitar ni, try main. tapi tak lama. diorang hantar balik. ada yang tak pandai main. ada juga yang luka jari sebab kuat sangat menenyeh," kata kawan gua.

dari dalam sebuah setor gelap, gitar gua dulu diambil. gitar itu terbungkus dalam plastik. penuh debu di atas permukaannya. gua huuuuusssshhhhh....dengan angin dari mulut gua. zarah-zarah halus debu mengapung ke atas.

gua amik gitar itu. gua try greeenggg...greeenggg...greeenngggg.... Nada yang keluar tak la merdu sangat lagi. maklum la gitar season. walaupun lama tersimpan dalam setor dan penuh debu, tapi gua sayang gitar tu.

bila gua conggak-conggak, rupanya sudah hampir 12 tahun gua tak petik gitar itu. dan hampir 12 tahun juga gua tak petik mana-mana gitar. tapi perasaan sayang gua pada gitar itu, sama seperti gua mula-mula memegangnya. bila gua petik dan cuba menekan nada dan note, iramanya masih keluar walaupun banyak yang sumbang.

tapi, mungkin sebab gua dah 12 tahun tak memetiknya, kemahiran gua banyak yang tergelincir. gua cuba petik sehabis baik. mula-mula nada bunyinya seperti yang gua dengar seperti 12 tahun yang lepas. dan sebab sudah berbelas tahun tidak menekan string, hujung-hujung jari gua berasa sakit dan sedikit pedih. tapi, gua tahan jer. strumming gua juga banyak yang kantoi. tapi gua belasah jer.

setelah 12 tahun, nadanya masih lagi menari mengikut naluri dan jiwa gua. walau lama terkurung dalam setor dan penuh debu, gua tetap sayang gitar gua itu...

2 comments:

  1. gua lemah sangat petik string nie..... bukak string aja gua campin sikit2 hehe

    ReplyDelete
  2. apakah string yang lu sangat campin membukanya itu ada huruf G di depannya?

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...