Friday, 14 November 2025

MENELAN MAAF

 


Daripada menebak siapa yang pertama menodai tenang, lebih baik kita potong saja salahnya, dan mengunyah maaf yang pahit itu.  Perlahan-lahan.  Sebab nanti, di hujung dendam itu tiada sesiapa pun yang boleh dijulang sebagai jaguh.  Bahkan, yang lidah titiskan nanti bukan lagi kata-kata, tetapi darah. Hamis. Meloyakan. Lantaran harus menyebutkan nama yang seharusnya dilupakan.

Wednesday, 12 November 2025

TIDAK MENGAPA

 





Mari kita rayakan hal-hal kecil, meski tak ada yang bertepuk tangan. Dengan segelas kopi yang tak tumpah, dan nafas yang masih sempat dihela, mari kita rayakannya. Tidak mengapa kalau sepi. Tidak apa-apa jika tak difahami siapa-siapa. Kita sudah cukup hebat, kerana mampu bertahan tanpa panggung, terus tega tanpa sorak, dan tahu waktunya kita harus meninggalkan pentas.

Tuesday, 11 November 2025

TAKDEER

 



Takdir memang indah. Ada takdir yang datang dalam sebatas senyuman, ada juga yang datang dalam kehilangan yang tak bertepi. Kedua-duanya tetap indah. Cuma cara kita melihatnya yang berbeza. Apa-apa pun bentuknya, dan bagaimana ia datang, semuanya daripada Allah Yang Maha Mengetahui. Kadang kita tak faham mengapa sesuatu itu terjadi. Lalu kita pun rasa punah, kita rasa arah yang ingin dituju sudah hilang daripada pandangan. Tapi suatu hari nanti, kala masa sudah berlalu, kita “kan menoleh ke belakang dan berkata dalam hati, ‘Sunhanallah, kalau bukan kerana itu, aku tak ‘kan jadi seperti hari ini.’


Itulah takdir. Kelihatannya berat, tapi di sebaliknya tersimpan hikmah yang indah. Allah tak pernah menulis takdir untuk menyakitkan kita. Dia menulisnya untuk menguatkan kita. Dan kala kita belajar untuk reda, kita akan sedar … setiap takdir-Nya itu, walau pahit pada awalnya, tapi akan berakhir dengan keindahan yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata….


Monday, 10 November 2025

PERI-PERI YANG MENJADI MERPATI

 





Dan. Ia pun pergi. Seperti selalu. Ia seperti sebuah buku yang halamannya sudah dibaca. Lalu ditutup untuk dibuka lagi pada suatu hari nanti. Dan juga seperti suatu perjalanan pengalaman yang kita mulai semalam, tetapi tak tahu jalan hujungnya walaupun kita pasti titik penamatnya ada di sana.


Lalu aku hanya berjalan sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, disapa oleh suara yang tak pernah pun aku dengar. Atau, oleh suara yang lama bersembunyi, tetapi mengintai-intai dari sebalik sehelai tirai tipis. Dan. Aku pasti kilas di sebalik tirai itu ialah sepasang matamu. Lama menghilang. Tanpa suara yang tiba di sini. Mengkhabarkan adakah di tanah hujung ada ribut, ataupun sentiasa tenang?


Suaramu sunyi. Tapi aku mendengarnya dari sini. Adakah engkau masih besembunyi di tempat rahsiamu, sesekali? Atau, adakah tempat rahsiamu itu tidak lagi menjadi rahsia? Lalu engkau membukanya dan membiarkan angin segara menyerbu masuk? 


Walaupun aku tidak lagi mempunyai ingin mencari jawapan, tetapi aku dapat merasainya. Tidak perlu kepada suara, cukup dengan suatu bisikan halus.


Maka jadilah ia seperti seekor merpati yang tugasnya menghantar bingkis. Tetapi sayapnya kepatahan dipukul pawana dari arah matahari terbit. Lalu bingkisan itu terus utuh di ranting kakinya. Terus ada di situ sementara menunggu tumbuhnya sayap baru untuk dia megepak lagi. 


Seperti merpati yang patah sayapnya, bingkisan yang dikirim tak pernah tiba. Tiada lagi.

Tiada desir bayu.

Tiada butir-butir hujan.

Tiada juga bayang-bayang.


Saturday, 25 October 2025

BERJALANLAH

 


Orang kata, berjalanlah. 

Ya, berjalanlah. Befjalanlah sedayamu.  Pilihlah: denai, susuran sungai, jalan kerikil, dan sebagainya yang kau temukan.  Kadang-kadang kita sangkakan kaki kita memijak empuknya rerumput. Namun, setelah kita toleh ke belakang, menatap setiap jejak yang kita tinggalkan, ada titis-titis darah. Rumput yang kita sangka itu rumput sebenarnya kerikil-kerikil tajam dan halus. Menikam dan menusuk setiap ini daging telapak kaki. Sedikit demi sedikit sehinggalah telapak kaki kita membengkak perlahan-lahan. Dari bengkak akhirnya menjadi nanah. Hanya menunggu masa untuk meletus dan mengalir keluar. Mungkin nanah itulah yang akan menjadi pembasuh setiap denyut ngilu telapak kaki kita; pedih tetapi lama-kelamaan akan menghilang. Mungkin apabila hari berganti. Atau, mungkin apabila minggu berganti. Atau, mungkin apabila bulan berganti. Atau, mungkin apabila tahun bertukar. Antara lewat dan cepat, ia tetap akan sembuh. Kemudian yang ditinggalkan hanyalah parut yang payah untuk diselindungkan. Tetap akan dapat dipandang, dan dipegang dengan jari. Itu ialah hakikat.


Benarlah orang kata, buatlah kebaikan semahunya. Namun akhirnya semua kebaikan itu akan menjadi pusara purba. Tidak akan dipandang dan tidak akan diingati. Jauh sekali untuk disebut-sebut. Yang dipandang ialah khilaf kita yang selalunya datang secara senyap dan Kadang-kadang khilaf itu dipanggil dan dijemput orang.  Lantas, khilaf itulah yang akan disebut-sebut semahunya. Tiada lagi kebaikan engkau selama ini. Seribu kebaikan yang engkau lakukan akan ditelan oleh satu khilaf. Sejuta pengorbanan yang kau hamparkan, akan lenyap dimamah oleh satu kelibat khilaf.


Friday, 24 October 2025

HUJAN MALAM



hujan malam
pada langit yang digoreskan dadanya
adalah
malam yang tertunda lukanya
yang menitis
satu
satu
.
.
.
.
.
tanpa darah
menjadi
dua
dan bertali-temali
tanpa pangkal asalnya
tanpa hujung akhirnya.

 

Thursday, 23 October 2025

BERANGKAT

 



Usia seperti juga jejak-jejak yang kita tinggalkan di pasir-pasir, sewaktu kita mengatur langkah untuk melihat matahari pagi yang memberi salam kepada alam. Ataupun, ketika ke sana lagi, tapi ke sebelah hujung sana pula untuk membalas lambaian selamat tinggalnya pada hari itu.  Kadang-kadang ia berlalu tanpa kita sedar.


“Cigu … sa mo baju tu. Cantik,” kata dia.

Aku senyum. 


Entah. Aku pun tak tahu sebab dia suka t-shirt celoreng yang aku pakai.


Dan, kebetulan aku ada sehelai lagi t-shirt yang sama.


Esoknya. Seperti biasa, sebelum dia pulang ke rumah, dia akan masuk ke bilik guru. Berjumpa dengan kesemua gurunya dan menyalami mereka. Atau, untuk guru lelaki dia mengucapkan, “ Terima kasih cigu. Saya pulang dulu. Assalamualaikum.” 


Dan dia berbuat demikian setiap hari. Tanpa gagal.


~~~~****~~~~

Beberapa bulan yang lepas, aku mendapat khabar. Khabar tentang kesihatannya yang sangat merosot.

“Dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Berkerusi roda. Ulang-alik ke hospital sekarang ni.” Demikian kata Mia, sahabat baiknya kepada aku. 

“Sudah agak lama juga dia dalam keadaan begitu.” Mia menyambung kata.


~~~~~*****~~~~~

“Sahabat kita, Masria baru menghembuskan nafas terakhirny.” Begitu Mia tulis dalam kumpulan Whatsapp.


Aku diam. Bukan tidak peduli. Tapi dia terlalu cepat berangkat ke sana. Takdir yang membawa dia pergi. Dan, siapalah kita untuk menepis takdir.


Sewaktu matahari mulai berengsot turun, dalam diam tanpa lisan aku mendoakan kesejahteraannya. 


“Jalan baik-baik, jaga diri,” seperti yang selalu aku ucapkan kepadanya tatkala dia memberi salam sebelum berlalu pergi dari bilik guru. Dahulu kata-kata itu keluar dari mulutku, perlahan-lahan. Tapi tatkala ini, ia keluar tanpa sesiapa yang mendengarnya, tak juga engkau yang telah berangkat.






Sunday, 12 October 2025

HELAIAN MASA LALU

 

Seperti sebuah buku yang halamannya masih terbuka. Terisi oleh aksara demi aksara. Lalu menjadi sebaris ayat. Kemudian bersatu membina seperenggan. Perenggan demi perenggan mengalirkan banyak kisah. Yang aku kira sudah tamat di situ. Lalu aku pun cuba mencari kulitnya, hadapan dan belakang. Lalu ingin menutupnya. Namun jalan ceritanya belum lagi tamat. Walau aku cuba menutupnya, helaian-helaiannya masih lagi terselak satu demi satu. Lalu aku pun dapat membaca kisah-kisah lalu yang cuba kau sembunyikan. 

          Ya, muka surat itu akhirnya terbuka, dan aku di sini menjadi terluka. 


Sunday, 5 October 2025

HIPOKRASI

 



Dan engkau seperti selalu. Bagaikan anak kecil. Menayang potret hipokrasi. Lalu, kau pun tenggelam. Dan hanyut bersama rasa taajub. Lagi. Sedang engkau. Tak pernah sekali pun. Cuba berfikir. Dan merenung. Dengan akal yang dianugerahi Tuhan. Bahawa. Dunia ini. Dipenuhi topeng. Yang tersenyum bila di depanmu. Tapi. Menyeringai tajam bila di belakangmu. Lalu. Engkau pun tak pernah. Cuba mengambil tahu. Bahawa. Engkau bagi mereka. Hanyalah badut penyedap bicara di kedai kopi.


Saturday, 4 October 2025

COKELAT II

 


Sekeping cokelat datang tanpa undangan, lalu aku simpan di dalam saku kanan celanaku. Tidak pernah kubuka pembalutnya sebab bimbang manisnya dibawa angin. Sehinggalah aku tinggalkannya di pintu pagar sebuah masjid, pada suatu hari yang langit petangnya mula bersiap menyambut datangnya mega jingga.



Friday, 3 October 2025

SEKEPING COKELAT





Ketika itu, hari sudah mahu senja. Aku masih lagi kebosanan di katil, DOK. Tadi petang pelajar-pelajar  datang. Lalu kami pun berpung! pang! pung! pang!  sehingga mereka sendiri yang terpaksa blah dari katil  sebab masa melawat telah hampir tamat. Lagipun mereka juga perlu bersungkai.

Malam itu, gua terkelip-kelip atas katil. Seorang misi datang. Di tangannya ada cokelat yang dipakejingkan dalam bekas alumunium (?) nipis berwarna merah. Misi itu meletakkan cokelat di atas meja gua.

“Ada orang minta tolong bagi sama cigu,” dia kata.
“Siapa?” aku tanya.
“Tak tahu, lupa pula mau tanya dia punya nama,” dia jawab.
Aku diam sambil memandang cokelat itu.
“Dia pakai uniform sekolah, kain warna purpe,” dia bagi tau lagi.
Bila misi itu cakap ‘kain purple’ memang akutahu, itu memang pelajar aku. Masa itu hanya pelajar tingkatan 6 SMK Sandakan sahaja yang memakai kain purple.

Tapi sampai sekarang aku tak tahu siapakah pelajar aku yang telah memberikan cokelat tersebut dan mengapa hanya diberikan kepada jururawat untuk disampaikan kepada au, dan tidak dia sendiri yang berbuat demikian.

Kalau pelajar lelaki, yang pastinya tentulah bukan cokelat yang akan diberikan kepada gurunya yang sedang berbalut di kaki akibat dilanggar sebuah kereta semasa menunggang motosikal.

Sampai sekarang aku tak tahu.


*DOK - Dutchess of Kent Hospital

MENELAN MAAF

  Daripada menebak siapa yang pertama menodai tenang, lebih baik kita potong saja salahnya, dan mengunyah maaf yang pahit itu.  Perlahan-lah...