Wednesday, 6 November 2024

WAKTU YANG TERDETIK

 Dia berada di atas bangku simen, sewaktu aku melangkah ke kaki lima masjid. Aku tidak mempedulikannya.


"Assalamualaikum."

Aku fikir dia sedang mengucapkan salam kepada seseorang melalui telefon bimbitnya. Tapi aku terdorong untuk menoleh kepadanya.


Aku sudah hampir di kaki lima masjid. Beberapa orang jemaah sedang memakai kasut dan menyarung selipar. Mereka sudah selesai menyelesaikan urusan masing-masing dengan Pencipta mereka.


"Minta bantuan, sikit." Lemah suaranya. Matanya memandang aku. Suatu pandangan yang kukira penuh harap.


Aku mengangkat tangan kananku sedikit, sebagai tanda "nanti dulu, yer."

Aku tahu. "Minta bantuan sikit," itu yang tersiratnya ialah "Sekiranya tidak keberatan, hulurkanlah saya seringgit dua."

Aku sampai di kaki lima masjid. Menanggalkan sepatu. Lalu melangkah masuk. Semasa mengatur langkah itulah terdetik dalam hati. 'Mengapa engkau begitu sombong?' Hati bertanya kepada aku.

'Aku mahu selesaikan urusan aku dengan-Nya dahulu,' jawab aku kepada hati.

                                       *pause*

Selesai urusan di dalam masjid, aku melangkah keluar. Dari sela tiang masjid, aku mencari sosok lelaki tersebut. Aku melihat ke kerusi batu. Kosong.

Lelaki itu telah tiada.

Wajah muramnya semasa mengucap salam, terbayang di fikiran. Lalu aku fikir, 'Dia bukan peminta-minta.' Sungguh, sinar wajahnya bukan mengisyaratkan yang dia seorang peminta-minta. Lalu aku berfikir, sekiranya tiada keperluan, tidak terdesak, dia tidak akan mengucapkan salam yang kemudiannya meminta "bantuan" daripada aku.

Sungguh, mengapa aku begitu sombong sebentar tadi?

Aku ke kereta. Cuba mencari-cari kelibatnya. Tiada.

Di dalam kereta, aku tertanya-tanya. Bagaimana urusan aku dengan Yang Maha Pengasih sedangkan aku sendiri tidak mengasihi saudaraku sendiri?

Tuhan, aku masih seorang pendosa yang terus menimbun dosa dan kesalahan...


No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...