Thursday, 7 February 2019

ENGKAU KATA BULAN ITU WARNANYA UNGU SEDANGKAN AKU MELIHATNYA TANPA WARNA.

                                                      *prolog*
      Kalau dihitung, aku berkawan dengannya 5 tahun.  Namun jika dicampur lagi setahun (secara teorinya) sewaktu aku berada di Universiti Malaya, hitungan itu bukan setakat berhenti di angka 5 tapi 6.  Suatu perjalanan masa yang agak panjang sebenarnya.


*rewind*

Tiba-tiba senyap. Aku tak tahu apa sebabnya. Sewaktu berada di UM, aku langsung tidak mendapat khabar daripadanya. Surat-surat yang dihantar tidak pernah berbalas.(Ya, ketika itu apa pilihan yang aku ada selain surat?)

Sepanjang tempoh itu, fotonya sahaja yang mampu aku lihat. Aku letakkannya di dalam sebuah bingkai buatan tangan yang dibeli di pasar seni. Kemudian aku meletakkannya di suatu sudut meja belajar aku di Bilik 135, Kolej Kelima Dayasari. Setiap kali aku duduk di situ, sama ada untuk menelaah, atau menyiapkan tugasan yang tidak pernah habis, dia akan berada di situ, tidak pergi ke mana-mana. Dia melihat aku, dan aku seperti berhalusinasi yang dia bercakap-cakap dengan aku sambil memberi sokongan tanpa jemu.  Setiap dentingan mesin taip (tanda harus aku beralih ke baris berikutnya) bagaikan siulan kecil yang keluar daripada dua ulas bibirnya yang terhias dengan dua tahi lalat di bawahnya, kiri dan kanan.

Setiap kali cuti semester, aku akan menyusur aspal kecil yang membelah dada kampungnya.  Tidak terlalu meletakkan harapan untuk berselisih dengannya yang sedang mengayuh basikal di pinggir jalan, kerana aku tau keberangkaliannya hanyalah seperti sehelai kulit bawang. Namun sekurang-kurangnya aku mencuba. Lebih baik membuat sesuatu daripada tidak mencuba apa-apa.

Selama 4 tahun aku di UM, itulah rutinnya sewaktu aku pulang bercuti.


*fast foward*

Tuhan yang lebih tahu. Dia kata.
Tentang Apa? Aku tanya
Tuhan yang lebih tahu. Kata dia lagi. Mengulang.
Tentang apa? Tanya aku lagi. Mengulang.
Cerita-cerita yang tidak enak tentang aku. Dia jawab.
Aku diam. Tidak tahu maksudnya.
Kerana itu kau pergi dan hilang begitu saja, bukan? Dia menyoal.

Aku tiada jawapan. Bagaimana aku harus menjawab sedangkan aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya.

Ada sesuatu yang aku tidak tahu waktu itu? Aku tanya.
Tuhan yang lebih tahu. Dia jawab, mengulanginya lagi.

Dia kemudiannya diam. Begitu juga dengan aku yang tenggelam dalam tanya yang tiada hujungnya.


*fast foward ii*

Ia seperti suatu misteri yang tak terungkap. Suatu ketika aku terlalu bersungguh-sungguh mencarinya dan diam-diam berdoa untuk ketemu dengannya. Namun, dia bagaikan telah menjelma menjadi pari-pari setelah sepasang sayap tumbuh di kiri dan kanan belikatnya, lalu dia terbang entah ke mana-mana.

Dan bila aku bertemu dengannya bertahun-tahun kemudian, dia bercerita tentang cerita-cerita bikinan yang tidak enak perihal dirinya. Dan dia kata, sebab itulah aku pergi, meninggalkannya.  Ia semakin menjadi misteri kerana aku sendiri tidak tahu cerita itu tentang apa.


Aku yang fikir dia yang menghilang, sedang dia kata aku yang pergi tanpa pamit....


*pling!*

Dia yang pertama. Angan-angan untuk menjadikannya juga sebagai yang terakhir telah lupus, bagai istana pasir di tepian pantai, lenyap ditelan ombak. Tanpa jejak. Tanpa tanda. Namun yang pertama itulah yang masuk ke lubuk hati yang paling dalam, dan diam-diam berada di situ. Sampai bila-bila.


*pause*

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...