Ya, kita memang suka akan cerita-cerita sensasi. Tapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar yang kita selalu ditipu dan diperdaya saban hari. Ia bukan berlaku pada hari ini. Bukan juga baru semalam kita ditipu dan diperdaya. Bukan juga tahun lepas perkara sebegini berlaku. Tetapi ia sudah berlaku semenjak beratus-ratus tahun yang lalu.
Okey, gua bukan nak membebel tentang betapa orang kita telah diperdaya dan ditipu semenjak ratusan tahun yang lalu. Garis masa tersebut terlalu panjang dan lama. Kalau membebel pun, mungkin tak banyak yang akan memahaminya. Lagipun benda-benda lama ini ialah sejarah. Dalam keadaan mata pelajaran Sejarah dibangku sekolah pun menghidangkan entah fakta apa-apa, fakta-fakta yang disembunyikan, hanya sebahagian sahaja fakta yang ditonjolkan, kemudian dimanipulasikan; jadi apa lagi yang kita harapkan daripada generasi terkini?
Azizan Osman ialah nama yang sangat popular sehari dua ini. Dahulu namanya sangat wangi dan dipandang dengan mata positif oleh kebanyakan manusia di Malaysia, khususnya orang-orang Melayu. Namun begitu, sekarang ini nama “Azizan Osman” yang berada tinggi nun di langit ketujuh, tiba-tiba gugur ke pelimbahan yang busuk dan hanyir. Ini semua gara-gara gelaran “Doktor Falsafah Kehormat”. Entah siapa yang begitu berminat untuk menyelongkar segala gelaran yang Azizan Osman ini peroleh. Tetapi yang pastinya orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu sudah tentu orang-orang yang memandang tinggi terhadap Azizan Osman. 99% gua berani kata, yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu ialah musuh-musuh Azizan Osman.
Kenapa mereka membuat pendedahan begini? Adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan ini berasa bertanggungjawab untuk menghentikan penipuan yang dilakukan oleh Azizan Osman selama ini? Adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu berasa yang dia mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan?
Atau, adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu mempunyai dendam peribadi terhadap Azizan Osman? Maka, demi melunaskan api dendamnya, dia ingin melihat Azizan Osman terduduk di pasak bumi.
Baiklah, gua bukannya nak kata sama ada gelaran “Dr.” pada pangkal nama Azizan Osman itu sah atau tidak. Bagi gua, itu bukan isunya. Yang gua nak fokuskan ialah sikap dan respons orang-orang kita.
Betapa banyaknya orang-orang kita mengutuk dan mengecam Azizan Osman ini. Apatah lagi dalam dunia di hujung jari ini, semua kutukan itu bergerak dan meluncur dengan begitu pantas. Penuh segala “tembok” FB dengan pembongkaran ini. Namun, sedarkah kita, sekalipun Azizan Osman ini menipu gelaran “Dr.”nya, dia tidak pula membelasah harta orang ramai sesuka hatinya! Sebaliknya, sudah banyak orang berjaya yang terhasil daripada bimbingan Azizan Osman.
Kalaulah orang kita bereaksi yang sama seperti reaksi mereka terhadap para pembolot harta negara, alangkah bagusnya. Azizan Osman membantu orang-orang kita untuk berjaya dalam hidup. Tetapi si pencuri harta negara hanya membesarkan tembolok sendiri dan tembolok anak-beranak mereka sahaja.
Kamu kutuklah Azizan Osman. Tanpa gelaran “Dr” pun sekarang ini Azizan Osman boleh pergi ke mana-mana ceruk dunia dengan menggunakan mana-mana syarikat penerbangan, menggunakan kelas perniagaan, dan mendaftar masuk ke bilik hotel yang paling mahal, untuk bercuti.
Dan kita dapat apa? Hari-hari kena tipu, der!
No comments:
Post a Comment