Tuesday, 20 September 2016

KAWAN, INI FRAGMEN CERITA KITA (II)


Kadang-kadang kita teringin menikmati sup yang lazat. Dan restorannya bukan terletak di Daerah Sandakan itu. Di Batu 32, di simpang tiga yang memisahkan Kota Kinabalu-Kinabatangan/Lahad Datu/Semporna/Tawau – Sandakan, kau dan aku akan menghirup sup yang lazat itu, sambil melihat manusia-manusia kecil berjaja rezeki dari satu van ke satu van.

Manusia-manusia kecil dengan cerita-cerita besar. Engkaulah yang memberitahu aku tentang salak gula yang isinya sangat manis dan sangar berjus yang dijajaj oleh manusia-manusia kecil ini. Tetapi cerita besar. Cerita tentang tanah pusaka meeka yang dirampok sang penguasa yang berhati Firaun. Cerita tentang tanah yang disandak dan dituntut zaman-berzaman. Cerita tentang persona non grata. Terlalu kacau dan sukar untuk dimengertikan aku yang baru menghirup udara Bumi di Bawah Bayu ini.

Dan engkau, kawan, memahamkan aku.







Saturday, 17 September 2016

KAWAN, INI FRAGMEN-FRAGMEN KITA (I)



Dengan apa lagi katakata harus diluncurkan lagi, sedang rindu yang tak pernah padam itu terhapus dengan sebaris kata pada suatu pagi: dia sudah pergi. Dan katanya lagi, kau pergi dengan begitu damai tatkala umat melaungkan takbir.

Aku tak pasti apa yang aku rasa tatkala itu. Sedang tawamu yang kecil masih merayap di kuping telingaku, sedangkan engkau tiada sebenarnya, aku terputus bicara. Sungguh. Aku. Terputus. Bicara.

Segala cerita gila yang kita bina, ah … susah untuk aku sembunyikannya. Restoran Khadijah, di Taman Tun Razak, engkaulah yang membawa aku buat pertama kalinya pada jam 1 pagi. Dalam alunan lagu “Penasaran” daripada kotak muzik di hujung pintunya, sepinggan mi bodoh (itu katamu, lantaran hanya mi yang digoreng bersama beberapa tetes kicap pekat) aku makan sehingga habis. Dan di hujung sana, di sebelah kaunter, ada seorang gadis kurus kecil yang tersenyum-senyum tanpa aku tahu apakah maksudnya itu? Lalu kau berkata, ah kesian sungguh si gadis itu, terlalu berharap kedatangan kama sedangkan kama akan berijab kabul dengan gadis di pinggir pantai pasir putih!







Thursday, 15 September 2016

IKAN PERUMAHAN


Bulan Puasa. Petang itu sangat panas. 

Pagi, semasa di sekolah Bob kata, “Aku nak buat ikan percik.”

Gua jawab, “Perghhhh…!” Dua-dua ibu jari, kanan dan kiri gua naikkan ke atas.  

Bayangkan, bulan puasa, jauh di Sabah sana, kau bersungkai dengan ikan percik!  Syurga yang teramat!

“Tengah hari pasni, habis sekolah, aku nak pegi pasar.  Beli ikan ‘perumahan’.” 

Gua mengekek! Sebab Bob telah ada panggilan khas untuk ikan kembung.  Di Sabah, ikan kembung dipanggil ikan “lumahan”.  Tapi Bob sengaja memanggilnya “ikan perumahan”.

“Menguluk jak cegu ni!” kata Asnita, gadis Bajau+Suluk+Sungai+Afghanistan bila gua kata, “Abang Bob pigi pasar, beli ikan perumahan”, bila dia tanya mana pergi Bob, kerana dia telefon ke rumah Bob di Grand View, tiada orang yang menyambut.

Bulan puasa. Petang itu sangat panas.
“Aku tukang kipas ikan, nak buat percik aku tak reti.” Gua kata.

Bob sengih.

Di dalam longkang cetek, di tepi anjung kereta, maka duduklah gua di situ. Di dalam longkang cetek, ada arang sedang membara.  Asap berkepul-kepul.  Dawai besi pagar yang telah dipotong, diletak di atas arang membara.  Di atas dawai besi pagar yang telah dipotong, 4 ekor ikan perumahan sedang baring.  Asap berkepul-kepul.  Dan gua mengipas-ngipasnya dengan mata pejamcelik, celikpejam.

Pukul 6.25 petang di Sea View, gua bersungkai dengan ikan percik. Lazatnya bagaikan di sorga!

Pukul 6.25 petang di Grand View, Bob bersungkai dengan ikan percik.

Tadi petang.  Cuacanya sangat panas. 





Tuesday, 13 September 2016

KAWAN, AKU TAK SEMPAT MENGHANTARMU.




Dalam perjalanan pulangmu ke tanah leluhur untuk mencium bau tanah tembunimu ditanam, aku hanya mampu menyusun doa dalam diam. Sungguh, kita ini sahaya yang hanya bertandang sebentar cuma di saujana padang, kelak akan berpulang jua ke tempat asal. Cuma engkau, kawan, kepulanganmu lebih cepat daripada aku.

Kawan, engkau pun berangkat pergi. Dan aku masih di sini. Segala kenang denganmu kawan, aku simpan di dalam saku kenangan….

[mengenang seorang sahabat, ahmad bukhari salleh, yang berpulang pada pagi ini. Jantungnya terhenti di hospital damai, luyang, kota kinabalu, sabah.]

Thursday, 8 September 2016

E-BOOK vs BUKU KONVENSI.






Dulu-dulu, kalau gua ke mana-mana, di dalam beg sandang gua paling kurang ada dua buah buku. Tapi sekarang ni, gua jarang-jarang bawa buku di dalam beg.  Yang selalu gua bawa ialah iPad. Banyak e-book yang gua simpan dalam iPad. 

Kenapa gua suka baca buku dalam iPad?
1.  Senang: gua tak payah bersusah payah bawa buku yang digemari ke hulu ke hilir. Duduklah di mana-mana, buka ipad dan baca,

2. Dalam gelap pun boleh baca!

3.  Belek berkali-kali, takkan koyak punya.

Tapi, ini ini paling leceh: baca e-book cepat memenatkan mata!

Tuesday, 6 September 2016

PERIHAL ORANG dan ORANG-ORANGAN.

1. Ada orang yang membesar-besarkan diri untuk menampakkan dirinya besar

2. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang-orang tertentu untuk dilihat sebagai besar.

3. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang sekeliling kerana kemampuannya.


Orang yang dalam kelompok (1) akan selalu berkeliaran di Facebook.

Orang yang dalam kelompok (2) ialah para penjilat orang atasan.

Orang yang dalam kelompok (3) selalu bersembunyi di bawah meja.

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...