Monday, 7 March 2016

HINGGA KE HUJUNG DUNIA (I)

Gilang dan Daud bertemu dengan Anissa pada suatu petang. Ketika itu dua anak berumur 10 tahun itu sedang mengayuh basikal. 

Anissa sedang menjengket-jengketkan kakinya. Layang-layangnya tersangkut di hujung dahan. 

Gilang dan Daud berhenti. Mereka memandang Anissa dari seberang jalan, sebelum mampir.

"Layang-layang aku tersangkut." Anissa memberitahu Gilang dan Daud dengan mata yang penuh mengharap.

Gilang menjeling ke arah Daud dari hujung matanya. Daud memahaminya. Daud maju ke perdu pokok. Kedua-dua tangannya kukuh memaut batang pokok yang sedikit menggerutu. Serpihan--serpihan kulit kering gugur apabila tangan-tangan Daud kukuh memaut. 

"Ayuh...!" Daud mengarahkan Gilang.

Gilang maju, memanjat belakang Daud. Kemudian terus ke bahu Daud. Sebelah tangan Gilang memaut batang pokok. Sebelah lagi dihulur sejauh mungkin untuk mencapai layang-layang Anissa. 

Anissa memandang Daud. Anissa memandang Gilang, kemudiannya. Kemudian Anissa memandang layang-layangnya yang menari-nari di hujung dahan. 

"Sedikit lagi ... sedikit lagi...."

Anissa memandang Daud. 
Anissa memandang Gilang.
Anissa memandang layang-layangnya.

Setelah bersusah payah, dengan dukungan Daud, dengan renungan sayu Anissa, akhirnya jari-jemari Gilang berjaya menggapai layang-layang Anissa.

Anissa tersenyum girang.

Dan mereka pulang ke rumah dengan Anissa membonceng basikal yang dikendalikan Gilang.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...