Dalam kelas Pak Dharma (Dharmawijaya atau Kamaruzaman Abdul Kadir [Allahyarham]), beliau ada berkata yang lebih kurang berbunyi, "Sajak sangat berbeza dengan prosa. Perbezaan itu terutamanya dari segi sukatan suku kata dan jumlah kata. Jadi, sebuah sajak yang baik ialah sajak yang sangat miskin dengan kata tetapi kaya dengan emosi." Yang saya fahami daripada kata Pak Dharma itu ialah, semakin ekonomikal sesebuah sajak, semakin baik sajak itu. Tapi dengan syarat, kata-kata yang dipilih itu mestilah kata sangat tepat, padat dan jelas dalam penyampaian tema dan persoalan-persoalannya. Dengan kata lain, sajak tidak perlu berjela-jela panjangnya. Sajak jangan sekali-kali jelmaan suatu prosa yang dipatah-patahkan barisnya, lalu disusun dalam suatu rangkap!
Apabila membaca Sajak-sajak Palsu Sinaganaga ini, gua teringat kembali akan kata-kata Pak Dharma. Sajak-sajak Palsu Sinaganaga memang kedekut dengan kata-kata. Tapi kedekutnya Sajak-sajak Palsu ini turut melibatkan jumlah baris. Memang Sinaganaga ini kedekutnya, ya ampun!
Yang menariknya, walaupun pendek, sajak-sajak palsu ini bukanlah palsu yang plastik. Nilai seninya masih ada dan terkawal. Kalau diteliti secara rinci, jumlah kata yang ekonomikal ini jika dibaca/deklamasi akan menerbitkan iramanya. Bunyinya ala-ala terselit kemerduan. Lagu-lagu Hujan pun tidak semerdu dengan sajak palsu ini. Nah, kau nampak tak betapa geniusnya Jeneral, Si Penyajak Palsu ini!
Sepotong sajak yang dijadikan blurb, boleh dijadikan locus untuk mempertahankan hujahan di atas:
berjalan
mendatangi ku
dengan mata resah
dengan bahu cheetah
dengan igal si kucing birah
kau
menanyakan,
"lu ada lighter?"
Kamu semua nampak kegeniusan Sinaganaga menyusun baris dalam salah sebuah sajak palsunya ini? Kamu semua sudah kira berapa jumlah kata untuk setiap barisnya? Dan, kamu akan dapat merasai getar emosi yang datang perlahan-lahan, tetapi meletuskan bunyi *pop* (alaaa...bunyi yang terhasil dalam salah satu uji kaji yang pernah engkau buat dalam makmal sains) pada akhir baris.
Isi cerita dalam sajak ini mudah sahaja, sebenarnya. Ia tentang seorang brader yang mungkin dah lama tak berasap. Brader tu ada rokok, tapi tak ada api. Jadi, brader ini tak bolehlah sedut hembus sedut hembus tembakau+nikotin+tar+60 bahan kimia lain, yang dibalut dalam sehelai kertas putih nipis. Dan lu cuba bayangkan betapa resahgelisahracau kepala hotak seorang perokok tegar apabila dia tak dapat menghisap rokok, sehinggakan segala cheetah dan kucing birah tersembul keluar!
Gua nak cerita panjang-panjang pun tak guna. Tapi, secara peribadi gua suka akan Sajak-sajak Palsu Sinaganaga ini. Gua tak payah duduk di atas kerusi malas, baca satu per satu sajak-sajak, kemudian jari telunjuk dan ibu jari mengusap-usap dagu untuk memikirkan, "Benda alah apa ler yang penyajak ni nak bagitau?"
Untuk Sajak-sajak Palsu oleh Sinaganaga ni, gua bagi 5 bintang. Sebabnya ialah:
1. Sajak-sajaknya sempoi.
2. Walaupun pendek, sajak-sajak Sinaganaga ini sarat emosi.
3. Cerita dalam sajak-sajaknya sangat dekat dengan kita.
4. Diksi yang dipilih sangat padu.
5. Penulisnya ialah SINAGANAGA yang sangat pemurah menghulur barang sebatang dua Dunhillnya kepada gua.
No comments:
Post a Comment